Saturday, October 14, 2023

Halaman 453 : Sad (38:1-16)

PERKATAAN HARI 

نَوَصَ /  نَاصَ Melarikan diri. 
1 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS    

  1. Membahas pelbagai keyakinan orang Musyrik (38:1-11)
  2. Memperingatkan orang kafir dengan nasib terdahulu umat yang diazab (38:12-16)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 453. Hari ini kita masuk ke surah baru iaitu Surah Sad.

Surah ini dikenali sebagai Surah Sad yang diambil daripada ayat pertama. Surah Sad ini juga pernah dikenali sebagai Surah Daud kerana ada kisah Nabi Daud AS. 

Objektif surah ini: 

  1. Mendedahkan keburukan sifat orang musyrikin yang mendustakan Rasulullah SAW. 
  2. Memujuk hati Rasulullah SAW. Surah ini turun di Mekah semasa Nabi SAW ditekan oleh orang musyrik. Diturunkan di dalamnya juga kisah-kisah nabi terdahulu.


Ayat 38:1


صٓ ۚ وَٱلْقُرْءَانِ ذِى ٱلذِّكْرِ


Saad; demi Al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran.



Ayat 38:2


بَلِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فِى عِزَّةٍ وَشِقَاقٍ


(Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu - wahai Muhammad - tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran.


Ayat 38:3


كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ فَنَادَوا۟ وَّلَاتَ حِينَ مَنَاصٍ


(Tidakkah mereka menyedari) berapa banyak umat-umat (yang ingkar) yang terdahulu dari mereka, Kami binasakan? Lalu mereka meminta pertolongan, padahal saat itu bukanlah saat meminta pertolongan melepaskan diri dari azab.


Ayat 38:4


وَعَجِبُوٓا۟ أَن جَآءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ ۖ وَقَالَ ٱلْكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا سَـٰحِرٌ كَذَّابٌ


Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.


Ayat 38:5


أَجَعَلَ ٱلْـَٔالِهَةَ إِلَـٰهًا وَٰحِدًا ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَشَىْءٌ عُجَابٌ


" Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!"


Ayat 38:6


وَٱنطَلَقَ ٱلْمَلَأُ مِنْهُمْ أَنِ ٱمْشُوا۟ وَٱصْبِرُوا۟ عَلَىٰٓ ءَالِهَتِكُمْ ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَشَىْءٌ يُرَادُ


Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): "Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki.


Ayat 38:7


مَا سَمِعْنَا بِهَـٰذَا فِى ٱلْمِلَّةِ ٱلْـَٔاخِرَةِ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا ٱخْتِلَـٰقٌ


"Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata".



Ayat 38:8


أَءُنزِلَ عَلَيْهِ ٱلذِّكْرُ مِنۢ بَيْنِنَا ۚ بَلْ هُمْ فِى شَكٍّ مِّن ذِكْرِى ۖ بَل لَّمَّا يَذُوقُوا۟ عَذَابِ


(Mereka berkata lagi): Patutkah wahyu peringatan itu diturunkan kepada Muhammad (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita?" (Mereka bukan sahaja ingkarkan kelayakan Nabi Muhammad menerima wahyu) bahkan mereka berada dalam keraguan tentang peringatan yang Aku wahyukan (kepada Nabi Muhammad) itu, bahkan mereka belum lagi merasai azab.


Pengajaran Ayat 1-8


  1. Surah ini bermula dengan huruf muqoto'ah. Ayat seterusnya adalah mengenai al-Quran.
  2. Huruf yang terpisah selepasnya diceritakannya tentang al-Quran. Menunjukkan bahawa al-Quran merupakan wahyu dari Allah SWT. Kedua, al-Quran ini sesuai untuk semua manusia. Menjadikan al-Quran sebagai panduan dan peringatan.
  3. Dibangunkan huruf-huruf yang manusia ketahui, cuma hikmahnya Allah Mengetahui dari huruf-huruf muqoto’ah itu. Tinggal manusia perlu mencari dan bertadabbur al-Quran.
  4. Allah SWT hendak mengejutkan kaum musyrik untuk menarik perhatian mereka bahawa al-Quran adalah wahyu daripada Allah SWT sebagai peringatan untuk manusia.
  5. Orang-orang kafir berada dalam kesombongan dan permusuhan. Sifat sombong dan ego ini menjauhkan kita dari kebenaran. 
  6. Ia menceritakan perbalahan kaum terdahulu dengan nabi-nabi yang diturunkan kepada mereka.
  7. Kaum musyrik menolak kebenaran kerana sombong dan ego.
  8. Mereka menggelar Nabi SAW dengan berbagai gelaran yang buruk agar orang menjauhkan diri dari Nabi SAW (character assassination).
  9. Mereka yang berusaha menolak kebenaran akan diazab oleh Allah SWT. 


Ayat 38:9


أَمْ عِندَهُمْ خَزَآئِنُ رَحْمَةِ رَبِّكَ ٱلْعَزِيزِ ٱلْوَهَّابِ


Adakah di sisi mereka perbendaharaan rahmat Tuhanmu Yang Maha Kuasa, lagi Yang Maha Melimpah pemberianNya?.


Ayat 38:10


أَمْ لَهُم مُّلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۖ فَلْيَرْتَقُوا۟ فِى ٱلْأَسْبَـٰبِ


Atau adakah mereka menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya?. (Kalau ada kekuasaan yang demikian) maka biarlah mereka naik mendaki langit menurut jalan-jalan yang membawa mereka ke situ (untuk mentadbirkan seluruh alam).


Ayat 38:11


جُندٌ مَّا هُنَالِكَ مَهْزُومٌ مِّنَ ٱلْأَحْزَابِ


(Sebenarnya mereka hanyalah) satu pasukan tentera dari kumpulan-kumpulan (yang menentang kebenaran), yang pada suatu masa kelak tetap akan dikalahkan.


Ayat 38:12


كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَفِرْعَوْنُ ذُو ٱلْأَوْتَادِ


Sebelum mereka itu, kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Firaun yang mempunyai kerajaan yang kuat, telah juga mendustakan Rasul masing-masing.


Ayat 38:13


وَثَمُودُ وَقَوْمُ لُوطٍ وَأَصْحَـٰبُ لْـَٔيْكَةِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلْأَحْزَابُ


Dan juga Thamud (kaum Nabi Soleh), dan kaum Nabi Lut, serta penduduk Aikah; merekalah kumpulan-kumpulan (yang menentang kebenaran).


Ayat 38:14


إِن كُلٌّ إِلَّا كَذَّبَ ٱلرُّسُلَ فَحَقَّ عِقَابِ


Tidak ada satupun dari kaum-kaum yang tersebut, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul; maka berhaklah mereka ditimpa azab.


Ayat 38:15


وَمَا يَنظُرُ هَـٰٓؤُلَآءِ إِلَّا صَيْحَةً وَٰحِدَةً مَّا لَهَا مِن فَوَاقٍ


Dan orang-orang ini (yang menentang Nabi Muhammad), tidak menunggu melainkan satu jeritan suara yang tidak akan berulang lagi.


Ayat 38:16


وَقَالُوا۟ رَبَّنَا عَجِّل لَّنَا قِطَّنَا قَبْلَ يَوْمِ ٱلْحِسَابِ


Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek): " Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami, sebelum datangnya hari hitungan amal (yang dikatakan oleh Muhammad itu)".


Pengajaran Ayat 9-16


  1. Ayat 9 dan 10, Allah SWT mencabar kaum musyrik yang mempertahankan tuhan mereka.
  2. Kalau ada keegoan dalam diri, kita akan sukar menerima kebenaran. 
  3. Mereka terpukau dengan kebenaran al-Quran tetapi berusaha menolak al-Quran.
  4. Pembesar Quraisy menawarkan harta dan pangkat kepada Rasulullah SAW tetapi baginda tidak menerima tawaran mereka. 
  5. Mereka memberi berbagai alasan untuk menolak kebenaran.
  6. Mereka mempersoalkan kenapa al-Quran tidak diturunkan kepada mereka yang berpangkat besar.
  7. Allah SWT menemplak hujah mereka. Mereka akan dikalahkan dalam pertempuran dengan Rasulullah SAW.   
  8. Allah SWT ingatkan bahawa kaum-kaum terdahulu yang menentang rasul-rasul seperti kaum Nabi Nuh AS, Firaun, Tsamud, kaum Nabi Lut AS dan penduduk Aikah, mereka telah diazab oleh Allah SWT.
  9. Kaum musyrik mencabar Allah SWT supaya segera menurunkan azab kepada mereka. Mereka adalah golongan yang rugi.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Baca al-Quran untuk mendapat peringatan dan penjelasan hidup (38:1)
  2. Uruskan hati agar tidak sombong dan berasa sesak dengan al-Quran dan peringatan (38:2)
  3. Pilih kebenaran walau ia turun kepada orang yang tidak sehaluan dengan kita (38:8)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan agar uruskan hati agar tidak sombong dan berasa sesak dengan al-Quran dan peringatan.

Saya jelas saya mesti baca al-Quran untuk mendapat peringatan dan penjelasan hidup. Saya jelas saya mesti uruskan hati agar tidak sombong dan berasa sesak dengan al-Quran dan peringatan. Saya jelas untuk memilih kebenaran walau ia turun kepada orang yang tidak sehaluan dengan saya.

Ya Allah, bimbing kami baca al-Quran untuk mendapat peringatan dan penjelasan hidup. Ya Allah, bimbing kami untuk uruskan hati agar tidak sombong dan berasa sesak dengan al-Quran dan peringatan. Ya Allah, bimbing kami untuk pilih kebenaran walau ia turun kepada orang yang tidak sehaluan dengan kami.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...