Saturday, October 14, 2023

Halaman 442 Yasin (36:28-40) Juz 23

 

PERKATAAN HARI INI


جُنْدٌ Tentera. 

29 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

   

  1. Lanjutan kisah Ashaabul Qaryah [penduduk sebuah kota] & penurunan azab kepada golongan yang mendustakan para rasul (36: 28-32) 
  2. 2Berbagai bukti kuasa Allah SWT untuk melaksanakan Ba'ts dan yang lainnya (28:33-40)

       

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 442 untuk memahami Surah Yasin yang kita selalu baca. Semoga ia dapat menguatkan semangat kita sehingga dapat menghidupkan kesihatan masyarakat berteraskan apa yang diseru oleh Allah dalam surah ini. Surah dakwah ini mengingatkan kita untuk bergerak,bukan duduk statik tidak berbuat apa-apa.

 

Pada halaman lepas kita telah belajar seorang pemuda dari hujung kota telah menyeru kaumnya untuk mengikut seruan para rasul. Beliau menggunakan perkataan yang amat berhemah, selalu meletakkan dirinya bahagian kekurangan dan pada ayat ke 25 dia ingatkan mereka supaya mendengar seruan para rasul.

 

Bila diingatkan begitu, kaum yang degil itu tidak puas hati, mereka rasa teguran itu untuk menyerang mereka maka mereka menyerang pemuda itu menggunakan kekerasan. Pemuda itu dipukul sehingga syahid dan dia diizinkan ke syurga tetapi masih lagi mengatakan "alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui tentang betapa keampunan Allah dan balasannya amat berbaloi kalau percaya kepada para rasul".

 

Ayat 36:28

 

وَمَآ أَنزَلْنَا عَلَىٰ قَوْمِهِۦ مِنۢ بَعْدِهِۦ مِن جُندٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ

 

Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengatakan yang negeri mereka itu kecil dan Allah tidak perlu menghantar tentera dari langit untuk menghukum mereka kerana ia adalah amat mudah bagi Allah SWT.

Ayat 36:29

 

إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَٰحِدَةً فَإِذَا هُمْ خَٰمِدُونَ

 

(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT hanya hantarkan satu pekikan yang dahsyat, maka mereka semua mati.
  2. Dalam keadaan zaman sekarang, kalau ada orang memusuhi kepada orang Islam sebenarnya mereka tidaklah kuat mana pun. Yang penting ialah kita betul-betul komited kepada ajaran rasul.
  3. Allah SWT boleh musnahkan orang-orang yang memusuhi Islam dengan mudah sahaja.

 

Ayat 36:30

 

يَٰحَسْرَةً عَلَى ٱلْعِبَادِ مَا يَأْتِيهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

 

Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.

 

Pengajaran

 

  1. Para hamba yang mendustakan akan menyesal di akhirat kerana suka memperolok-olokkan kebenaran.
  2. Zaman sekarang pun ada orang yang memperolokkan kebenaran. Contoh: Menyindir kawan-kawan yang pakai tudung, baca al-Quran dan lain-lain kebaikan yang dibuat.
  3. Kita bertanggungjawab untuk menerangkan elok-elok, bukan mendoakan kehancuran. Itulah yang kita belajar daripada pemuda hujung kota.
  4. Sampai di syurga pun dia masih berkasih sayang kepada kaumnya yang bersifat ganas kepada beliau. Inilah spirit akhlak bagi orang yang baca Surah Yasin. Contoh: Tidak mungkin orang yang baca Yasin, tetapi menengking anak yang buat bising di surau.

 

Ayat 36:31

 

أَلَمْ يَرَوْا۟ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّنَ ٱلْقُرُونِ أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ

 

Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan supaya melihat sejarah tamadun-tamadun terdahulu yang telah dibinasakan kerana kufur kepada Allah SWT seperti Madyan, Thamud dan lain-lain.
  2. Umat-umat yang dihancurkan itu tidak dapat kembali membangunkan semula tamadun mereka.

 

Ayat 36:32

 

وَإِن كُلٌّ لَّمَّا جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ

 

Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

 

Pengajaran

 

  1. Kita semua akan dikembalikan kepada Allah SWT. Semua yang kita buat, yang kita tidak buat, akan dibentangkan dihadapan Allah SWT. Kalau ada dosa-dosa yang kita buat 20, 30 tahun yang lepas juga akan dihadirkan.
  2. Hendaklah kita banyakkan istighfar, buat kebaikan, ikut rasul menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat. Semoga Allah SWT memadamkan dosa-dosa kita. Jangan putus asa dari rahmat Allah SWT. 

Ayat 36:33

 

وَءَايَةٌ لَّهُمُ ٱلْأَرْضُ ٱلْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَٰهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ

 

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini membawa pembuktian daripada depan iaitu melalui sains dan pemerhatian di alam maya pada ini untuk melihat kebesaran Allah SWT.
  2. Salah satu kebesaran Allah SWT yang perlu kita perhati ialah Allah SWT hidupkan bumi yang tandus. Bila hujan turun, biji-bijian akan tumbuh menjadi tumbuh-tumbuhan yang memberi manfaat kepada manusia.
  3. Rasulullah SAW membawa al-Quran yang turun dari atas yang akan menghidupkan hati-hati yang mati. Akhirnya mengeluarkan amalan-amalan yang bermanfaat untuk masyarakat.
  4. Pastikan al-Quran ini diturunkan di rumah kita, di pejabat dan di mana saja, kerana ia akan menghasilkan orang-orang yang bermanfaat seperti tanah tandus akhirnya mengeluarkan biji-bijian yang dimakan oleh dunia.

 

Ayat 36:34

 

وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّٰتٍ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَٰبٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ ٱلْعُيُونِ

 

Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair,

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menurunkan air, jadi kebun dan jadi mata air. Dengan al-Quran yang turun pada hati kita, kesannya ialah hati kita ini juga ada taman yang dihidupkan oleh al-Quran sehingga ia sentiasa menghasilkan amalan yang memberi manfaat kepada manusia pada setiap masa.
  2. Ada air yang turun tidak jadi pokok, tetapi jadi mata air. Orang yang mendapat al-Quran akan jadi orang hafal al-Quran dan menyampaikan al-Quran. Dia umpama memberi air kepada orang-orang lain sehinggakan orang lain rasa sejuk bila mendengar bacaan dan mesej al-Quran.
  3. Inilah caranya bila kita baca Yasin, Allah SWT suruh kita tengok alam ini. Itu adalah bagaimana wahyu daripada langit memberi manfaat kepada manusia. Itulah perjuangan yang perlu kita gerakkan apabila membaca Qalbun Quran ini. Ia menyebabkan kita hendak berdakwah bagi memastikan al-Quran sampai ke dalam hati-hati masyarakat. 

 

Ayat 36:35

 

لِيَأْكُلُوا۟ مِن ثَمَرِهِۦ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلَا يَشْكُرُونَ

 

Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?

 

Pengajaran

 

  1. Ada buah yang kita makan datang dari kebun yang kita usahakan. Ada buah yang datang dari kebun yang ditanam oleh orang lain seperti epal dan oren.
  2. Kita tidak kawal bagaimana buah itu jadi. Segala manfaat dari buah yang kita makan seperti vitamin, rasa enak dan kecantikan buah-buahan itu, Allah SWT yang menjadikannya. Maka hendaklah kita bersyukur.
  3. Kita tidak tahu bagaimana al-Quran membentuk kita. Yang pastinya al-Quran akan menjadikan kita lebih manis daripada epal, lebih manis daripada buah-buah ranum yang kita makan selama ini.
  4. Inilah cara kita memerhati kepada ayat-ayat Allah SWT kerana surah ini ada kaitan dengan dakwah. Kita ini amat lemah. Jangan melawan Tuhan. Kita terus bersyukur menghambakan diri kepada kepada Allah SWT dan menyampaikan mesej kebaikan untuk membawa manusia kepada Allah SWT.

 

Ayat 36:36

 

سُبْحَٰنَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْأَزْوَٰجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

 

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

 

Pengajaran

 

  1. Bila kita lihat sesuatu yang mengkagumkan, bukan kita kata 'wow hebatnya!'. Katakan 'Subhanallah'.
  2. Bila kita lihat epal, kita fikir yang ia adalah dari debunga jantan dan betina yang akhirnya menghasilkan buah epal. Semuanya berlaku dengan kehebatan Allah SWT.
  3. Bila kita membaca al-Quran, wahyu daripada langit ini akan menghidupkan hati kita. Bagaimana mekanismenya kita tidak tahu. Semuanya formula daripada Allah SWT.
  4. Maha Suci Allah yang menjadikan pasangan pada semua perkara. Ada siang dan malam, ada suami dan isteri dan ada pasangan-pasangan yang kita tidak kenal. Tetapi makin kita mengkaji ilmu, kita akan terpana bahawa ini adalah ciptaan daripada Allah SWT.
  5. Yang tidak ada pasangan ialah Allah SWT.  
  6. Kalau ada yang belum berjumpa pasangan di dunia, jangan bimbang. Yang pentingnya terus bertasbih dan komited menyampaikan mesej kebenaran, Allah SWT akan berikan pasangan yang terbaik bila sampai di akhirat nanti. 

 

Ayat 36:37

 

وَءَايَةٌ لَّهُمُ ٱلَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ ٱلنَّهَارَ فَإِذَا هُم مُّظْلِمُونَ

 

Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;

 

Pengajaran

 

  1. Satu lagi kehebatan Allah SWT ialah Allah SWT memasukkan siang ke dalam malam dan malam ke dalam siang dengan lancar. Perkataan نَسْلَخُ sebenarnya ialah Allah SWT menyiat perlahan-lahan pertukaran malam dan siang sehingga kita tidak peras an pertukaran itu berlaku.
  2. Bila kita dapat al-Quran, mula-mulanya kita dalam kegelapan, Allah SWT akan siat kegelapan-kegelapan yang ada dalam diri kita, akhirnya jadi terang benderang hati kita dengan al-Quran. Itulah kesan bila kita berdakwah membawa mesej daripada rasul yang disumpah pada awal surah Yasin iaitu ٱلْمُرْسَلِينَ لَمِنَ إِنَّكَ "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus".
  3. Berpasang-pasangan adalah nikmat dari Allah SWT yang mesti kita syukuri dengan tasbih dan tahmid kepada Allah SWT. Cinta dan pasangan adalah dari Allah SWT. Amat mudah bagi Allah SWT mengatur pasangan untuk hambaNya.

 

Ayat 36:38

 

وَٱلشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ

 

Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

 

Pengajaran

 

  1. Matahari beredar dengan laju di orbitnya. Matahari yang sehebat itu pun ikut peraturan.
  2. Mengikut Ibnu Asyur, kenapa ayat ini di akhiri dengan  ٱلْعَلِيمِ  ٱلْعَزِيزِ kerana matahari itu besar, yang mengurusnya ialah al-Aziz al-'Alim Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Allah SWT uruskan perjalanan matahari sangat tepat dengan ilmuNya yang benar. Jika tidak, mungkin kita akan terbakar jika matahari terlalu dekat atau jadi ais kalau kurang cahaya di atas muka bumi ini.

 

Ayat 36:39

 

وَٱلْقَمَرَ قَدَّرْنَٰهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَٱلْعُرْجُونِ ٱلْقَدِيمِ

 

Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.

 

Pengajaran

 

  1. Bulan juga beredar mengikut peraturan melalui beberapa peringkat dari bulan purnama sehingga kembali menjadi bulan sabit.
  2. Rasul yang menerima wahyu dikaitkan dengan matahari, sentiasa memberi cahaya yang terang dan berdisiplin. Kita pula seperti bulan yang menerima pantulan cahaya dari Nabi SAW. Ada masa seperti bulan purnama, ada masa seperti bulan sabit.
  3. Makin kita melakukan dakwah maka kita akan jadi bulan purnama yang memantulkan 100% cahaya daripada matahari, teranglah alam ini maka kemenangan akan diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam suatu hari nanti.

 

Ayat 36:40

 

لَا ٱلشَّمْسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَن تُدْرِكَ ٱلْقَمَرَ وَلَا ٱلَّيْلُ سَابِقُ ٱلنَّهَارِ وَكُلٌّ فِى فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

 

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menentukan bahawa matahari tidak mungkin mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar di tempat edaran masing-masing.
  2. Nabi Muhammad SAW seperti matahari yang memantulkan cahaya kepada umatnya. Kita harapkan umat menjadi bulan purnama yang indah dan pada waktu itu kemenangan akan Allah berikan.
  3. Memahami hakikat ini, kita kena buat kerja masing-masing. Jangan cuba jadi orang lain. Masing-masing ada cara melaksanakan dakwah dalam hidup. Ada yang menulis. Ada yang mendidik anak di rumah. Ada yang bekerja di tempat kerja. Ada yang memimpin negara. Buat tugas masing-masing. Jangan jadi orang lain. Buat kerja ikut fasa.
  4. Berdakwah ini seperti berenang (يَسْبَحُونَ). Kita sebagai makhluk memang akan letih apabila kena berenang jarak jauh. Yang tidak letih dan tidak ada masalah menguruskan perkara ini adalah Maha Suci Allah (Subhanallah).
  5. Perkataan Subhanallah ada kaitan dengan  يَسْبَحُونَ. Kita memang akan cepat letih, tetapi kalau kita selalu bertasbih dan ajak orang banyak bertasbih kepada Allah SWT, kita akan dapat buat fungsi masing-masing. Jangan kacau bahagian orang lain. Insya Allah Islam akan naik dan akan menang di akhir nanti.

 

Kunang-kunang bercahaya terbang di Sabah

Nampak terang terus menyusup

Hargai Quran, kuatkan dakwah

Agar masyarakat sihat dan hidup

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Yakin bahawa Allah SWT berkuasa menghancurkan musuh dengan mudah (36:28)

2.     Perhatikan alam untuk menghargai hari akhirat (36:33)

3.     Makin bersyukur dengan segala nikmat Allah SWT berikan (36:35)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya buat tugas masing-masing dan bertasbih agar tidak letih.

 

Saya jelas bahawa Allah SWT berkuasa menghancurkan musuh dengan mudah. Saya jelas saya mesti perhatikan alam untuk menghargai hari akhirat. Saya jelas untuk makin bersyukur dengan segala nikmat Allah SWT berikan.

 

Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau berkuasa menghancurkan musuh dengan mudah. Ya Allah, bimbing kami perhatikan alam untuk menghargai hari akhirat. Ya Allah, jadikan kami orang yang makin bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau berikan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...