Saturday, October 14, 2023

Halaman 455 Sad (38:27-42)

 

PERKATAAN HARI INI


بَطَلَ Menjadi sia-sia. 

36 kali disebut di dalam al-Quran






SINOPSIS    

1.     Penegasan Ba'ts, pahala, hukuman dan keutamaan al-Quran (38:27-29)

2.     Kisah Nabi Sulaiman AS (38:30-40)

3.   Kisah Nabi Ayub AS (38:41-42)









Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 455 Surah Sad.

 

Pada halaman ini, ayat 27, 28 dan 29 Allah SWT menceritakan tentang fitrah manusia dan alam ini dijadikan. Ayat 30 Allah SWT ceritakan tentang Nabi Sulaiman AS. Kisah dalam al-Quran ini ada ayat penampan. Di antara kisah Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS ada ayat penampan (buffering verses) sebagai peringatan/pengajaran kepada kita.

 

Ayat 38:27

 

وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَآءَ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَـٰطِلًا ۚ ذَٰلِكَ ظَنُّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنَ ٱلنَّارِ

 

Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan bahawa Allah SWT menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang mengandungi hikmah dan keadilan tetapi orang kafir sangka ciptaan itu hanya sia-sia.
  2. Orang kafir sangka hidup hanya untuk dunia sahaja, tidak akan dibangkitkan. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka.
  3. Allah SWT ingatkan ada dua peranan manusia:

a.     khalifah

b.   mengabdikan diri kepada Allah SWT - Saidatina Aisyah RA ingatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah tinggalkan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh. Nabi SAW baca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Kedua-dua surah ini menjadikan kita mukhlis (orang yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah SWT). Solat sunat lepas Maghrib juga Rasulullah SAW baca al-Kafirun dan al-Ikhlas. Ini mengingatkan bahawa apa yang kita buat adalah hanya untuk Allah SWT. Kita tidak dijadikan sia-sia. Kita ada matlamat.

 

Ayat 38:28

 

أَمْ نَجْعَلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ كَٱلْمُفْسِدِينَ فِى ٱلْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ ٱلْمُتَّقِينَ كَٱلْفُجَّارِ

 

Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa.

 

Pengajaran

 

  1. Peranan orang yang beriman bukanlah seperti orang yang melakukan kerosakan.
  2. Allah SWT ingatkan bahawa Allah SWT tidak jadikan orang-orang yang bertakwa sama seperti orang-orang yang berdosa.

 

Ayat 38:29

 

كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ إِلَيْكَ مُبَـٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَـٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

 

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran ini Allah SWT turunkan mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya.
  2. Al-Quran adalah untuk difahami dengan teliti dan untuk kita beringat mengambil iktibar.
  3. Kita mestilah tadabbur dan tazakkur ayat-ayat al-Quran agar dapat faedah dan manfaat daripada ayat-ayat yang dibaca..

 

Ayat 39:30

 

وَوَهَبْنَا لِدَاوُۥدَ سُلَيْمَـٰنَ ۚ نِعْمَ ٱلْعَبْدُ ۖ إِنَّهُۥٓ أَوَّابٌ

 

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT kurniakan kepada Nabi Daud AS seorang anak bernama Sulaiman. Ia adalah sebaik-baik hamba yang kuat beribadat, lagi sentiasa bertaubat.
  2. Allah SWT puji Nabi Sulaiman AS.
  3. Rasulullah SAW pernah puji Abdullah bin Umar sebagai sebaik-sebaik manusia kerana dia rajin mendirikan qiamullail.

 

Ayat 39:31

 

إِذْ عُرِضَ عَلَيْهِ بِٱلْعَشِىِّ ٱلصَّـٰفِنَـٰتُ ٱلْجِيَادُ

 

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari.

 

Pengajaran

 

  1. 1.     Allah SWT ceritakan tentang Nabi Sulaiman AS yang ditunjukkan kepadanya kuda yang pantas berlari.
  2. Ulamak tafsir menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS sukakan kuda yang pantas. 

Ayat 39:32

 

فَقَالَ إِنِّىٓ أَحْبَبْتُ حُبَّ ٱلْخَيْرِ عَن ذِكْرِ رَبِّى حَتَّىٰ تَوَارَتْ بِٱلْحِجَابِ

 

(Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: " Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan lebih daripada mengingati (ibadatku kepada) Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam".

 

Pengajaran

 

  1. Mengikut tafsir Ibnu Kathir, Nabi Sulaiman AS terleka kerana terlalu asyik melihat kuda-kudanya sehingga tertinggal solat.
  2. Imam Tantawi tidak setuju dengan pandangan Ibnu Kathir. Katanya Nabi Sulaiman AS hanya terleka. Begitu juga Nabi SAW juga pernah terleka dalam perang Khandak sehingga baginda terlepas solat Asar.

 

Ayat 39:33

 

رُدُّوهَا عَلَىَّ ۖ فَطَفِقَ مَسْحًۢا بِٱلسُّوقِ وَٱلْأَعْنَاقِ

 

(Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): " Bawa balik kuda itu kepadaku"; maka ia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor).

 

Ayat 39:34

 

وَلَقَدْ فَتَنَّا سُلَيْمَـٰنَ وَأَلْقَيْنَا عَلَىٰ كُرْسِيِّهِۦ جَسَدًا ثُمَّ أَنَابَ

 

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami)

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Sulaiman AS diuji oleh Allah SWT kerana kelekaannya itu.
  2. Ada tafsir yang mengatakan:
  • yang terlantar sakit itu adalah Nabi Sulaiman AS sendiri.
  • ada juga tafsiran lain yang mengatakan bahawa jasad itu adalah anak Nabi Sulaiman AS yang meninggal selepas dilahirkan.
  • ada tafsir yang mengatakan syaitan duduk di singgahsana Nabi Sulaiman AS hingga kucar-kacir pentadbirannya.
  1. Pelajaran penting: Para nabi diuji. Setiap manusia akan diuji. Kemewahan adalah ujian yang boleh menyebabkan kita jauh daripada Allah SWT. Saat terleka, cepat-cepat kita kembali kepada Allah SWT.

 

Ayat 38:35

 

قَالَ رَبِّ ٱغْفِرْ لِى وَهَبْ لِى مُلْكًا لَّا يَنۢبَغِى لِأَحَدٍ مِّنۢ بَعْدِىٓ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ

 

Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ".

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Sulaiman AS sedar dia terleka lalu segera memohon keampunan daripada Allah SWT.
  2. Baginda berdoa: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak ada taranya dan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya".

 

Ayat 38:36

 

فَسَخَّرْنَا لَهُ ٱلرِّيحَ تَجْرِى بِأَمْرِهِۦ رُخَآءً حَيْثُ أَصَابَ

 

Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya;

 

Pengajaran

 

  1. Maka Allah SWT kabulkan permohonannya. Allah kurniakannya angin. Allah SWT mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya.
  2. Bila cepat kembali kepada Allah, Allah gantikan dan kurniakan perkara yang lain.
  3. Dengan kurniaan ini, Nabi Sulaiman AS boleh bergerak dengan pantas menggunakan angin.

 

Ayat 38:37

 

وَٱلشَّيَـٰطِينَ كُلَّ بَنَّآءٍ وَغَوَّاصٍ

 

Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing).

 

Ayat 38:38

 

وَءَاخَرِينَ مُقَرَّنِينَ فِى ٱلْأَصْفَادِ

 

Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT juga mudahkan baginya memerintah jin syaitan sebagai pekerja.
  2. Jin syaitan diperintah mendirikan bangunan dan yang menjadi penyelam.
  3. Pelajaran: Kalau kita segera bertaubat setelah sedar kesilapan yang dilakukan, Allah SWT akan gantikan dengan nikmat yang lebih baik.

 

Ayat 38:39

 

هَـٰذَا عَطَآؤُنَا فَٱمْنُنْ أَوْ أَمْسِكْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

 

(Serta Kami katakan kepadanya): "Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah kepadamu) dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu)".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT katakan kepadanya: "Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah kepadamu) dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu)".
  2. Inilah ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang taat kepada-Nya.

 

Ayat 38:40

 

وَإِنَّ لَهُۥ عِندَنَا لَزُلْفَىٰ وَحُسْنَ مَـَٔابٍ

 

Dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat lagi mulia di sisi Kami, serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Sulaiman AS mempunyai kedudukan yang dekat lagi mulia di sisi Allah SWT, serta tempat kembali yang sebaik-baiknya pada hari akhirat kelak.

 

Ayat 38:41

 

وَٱذْكُرْ عَبْدَنَآ أَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلشَّيْطَـٰنُ بِنُصْبٍ وَعَذَابٍ

 

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan tentang kisah Nabi Ayub AS yang berdoa merayu kepada Allah SWT semasa dia ditimpa kesusahan dan azab penyakit.
  2. Mengikut Imam Ibnu Hajar, Nabi Ayub AS ditimpa penyakit selama 18 tahun. Semua yang ada di sekelilingnya lari. Yang tinggal hanya Allah SWT.  
  3. Nabi Ayub AS tetap yakin dengan Allah SWT. Baginda berkata bahawa yang mengganggunya ialah syaitan. Baginda tidak menyalahkan Allah SWT, tetap yakin Allah SWT Maha Pengasih.

 

Ayat 38:42

 

ٱرْكُضْ بِرِجْلِكَ ۖ هَـٰذَا مُغْتَسَلٌۢ بَارِدٌ وَشَرَابٌ

 

(Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): " Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu " (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): " Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin) ".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT kabulkan permohonannya. Allah SWT perintahkan Nabi Ayub AS hentakkan kaki ke bumi maka terpancarlah air yang menjadi penawar kepada penyakit baginda.
  2. Allah SWT kurniakan air sejuk untuk mandi dan untuk minum bagi menyembuhkan penyakit zahir dan batin Nabi Ayub AS.

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Fahami hikmah sesuatu kejadian dan elakkan menuding salah pada Allah SWT (27)
  2. Yakin Allah SWT akan sentiasa muliakan orang beriman (28)
  3. Sentiasa bertadabbur dan tazakkur al-Quran agar dapat keberkatan (29)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan keberkatan kalau saya sentiasa tadabbur dan tazakkur al-Quran.

 

Saya jelas saya mesti fahami hikmah sesuatu kejadian dan elakkan menuding salah pada Allah SWT. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT akan sentiasa muliakan orang beriman. Saya jelas untuk sentiasa bertadabbur dan tazakkur al-Quran agar dapat keberkatan.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk fahami hikmah sesuatu kejadian dan elakkan menuding salah pada Mu. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau akan sentiasa muliakan orang beriman. Ya Allah, bimbing kami bertadabbur dan tazakkur al-Quran agar dapat keberkatan.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...