Saturday, October 14, 2023

Halaman 454 Sad (38:17-26)

 

PERKATAAN HARI INI


خَطَبَ Memberi ucapan. 

12 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS


1. Kisah Nabi Daud AS (38:17-26)  

  












Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 454 Surah Sad.

 

Ayat 38:17

 

ٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَٱذْكُرْ عَبْدَنَا دَاوُۥدَ ذَا ٱلْأَيْدِ ۖ إِنَّهُۥٓ أَوَّابٌ

 

Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan, dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan ugamanya); sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan bersabar mematuhi perintah Kami).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memujuk Nabi SAW untuk bersabar menghadapi ejekan daripada kaum musyrik.
  2. Allah SWT ingatkan contoh daripada Nabi Daud AS yang mempunyai kekuatan dalam pegangan agamanya. Baginda sangat kuat beribadah walaupun sibuk mengurus negara. Allah SWT sangat suka solat dan puasa Nabi Daud AS. Dia bangun sepertiga malam untuk solat dan tidur satu pertiga. Dia puasa selang sehari.
  3. Nabi Daud AS sentiasa rujuk kembali kepada Allah SWT dengan bersabar mematuhi perintah Allah SWT. Kalau leka dia cepat kembali kepada Allah SWT. Dia juga kuat  mengawal emosi ketika marah. Lebih baik diam ketika marah.

 

Ayat 38:18

 

إِنَّا سَخَّرْنَا ٱلْجِبَالَ مَعَهُۥ يُسَبِّحْنَ بِٱلْعَشِىِّ وَٱلْإِشْرَاقِ

 

Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.

 

Pengajaran

 

  1. Salah satu kelebihan Nabi Daud AS ialah suaranya yang merdu. Bila dia bertasbih, gunung-ganang turut bertasbih.
  2. Dia bertasbih waktu petang dan waktu pagi.

 

Ayat 38:19

 

وَٱلطَّيْرَ مَحْشُورَةً ۖ كُلٌّ لَّهُۥٓ أَوَّابٌ

 

Dan (Kami mudahkan juga) unggas turut berhimpun (untuk bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya); tiap-tiap satunya mengulangi tasbih masing-masing menurutnya.

 

Pengajaran

 

  1. Unggas juga turut berhimpun untuk bertasbih memuji Allah SWT bersama dengan Nabi Daud AS.

 

Ayat 39:20

 

وَشَدَدْنَا مُلْكَهُۥ وَءَاتَيْنَـٰهُ ٱلْحِكْمَةَ وَفَصْلَ ٱلْخِطَابِ

 

Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT kuatkan kerajaan Nabi Daud AS, serta Allah kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman.
  2. Perkataan 'amma ba'du adalah daripada perkataan Nabi Daud AS. Dia bercakap dengan jelas.

 

Ayat 39:21

 

وَهَلْ أَتَىٰكَ نَبَؤُا۟ ٱلْخَصْمِ إِذْ تَسَوَّرُوا۟ ٱلْمِحْرَابَ

 

Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ceritakan kepada Nabi SAW tentang perbicaraan dua orang yang berselisih yang dikendalikan oleh Nabi Daud AS.

 

Ayat 39:22

 

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَىٰ دَاوُۥدَ فَفَزِعَ مِنْهُمْ ۖ قَالُوا۟ لَا تَخَفْ ۖ خَصْمَانِ بَغَىٰ بَعْضُنَا عَلَىٰ بَعْضٍ فَٱحْكُم بَيْنَنَا بِٱلْحَقِّ وَلَا تُشْطِطْ وَٱهْدِنَآ إِلَىٰ سَوَآءِ ٱلصِّرَٰطِ

 

Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: "Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

 

Pengajaran

 

  1. Mereka datang berjumpa Nabi Daud AS semasa baginda sedang beribadat di tempat khas. Baginda terkejut kerana tempat itu tidak boleh dimasuki oleh orang lain.
  2. Mereka minta Nabi Daud AS untuk menghukum di antara mereka dengan adil, jangan melampaui batas serta pimpin mereka ke jalan yang lurus.

 

Ayat 39:23

 

إِنَّ هَـٰذَآ أَخِى لَهُۥ تِسْعٌ وَتِسْعُونَ نَعْجَةً وَلِىَ نَعْجَةٌ وَٰحِدَةٌ فَقَالَ أَكْفِلْنِيهَا وَعَزَّنِى فِى ٱلْخِطَابِ

 

"Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: ' Serahkanlah yang seekor itu kepadaku ', dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu".

 

Pengajaran

 

  1. Salah seorang lelaki memberitahu Nabi Daud AS bahawa saudaranya itu mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan dia mempunyai seekor sahaja. Saudaranya itu mendesak dia serahkan yang seekor itu kepadanya.  

 

Ayat 39:24

 

قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَىٰ نِعَاجِهِۦ ۖ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْخُلَطَآءِ لَيَبْغِى بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَقَلِيلٌ مَّا هُمْ ۗ وَظَنَّ دَاوُۥدُ أَنَّمَا فَتَنَّـٰهُ فَٱسْتَغْفَرَ رَبَّهُۥ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ

 

Nabi Daud berkata: "Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Daud berkata bahawa saudaranya yang meminta kambing yang seekor itu telah berlaku zalim.
  2. Baginda juga berkata, kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan dalam berbagai-bagai lapangan hidup, setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!.
  3. Sebenarnya dua lelaki yang datang itu adalah malaikat yang hendak menguji Nabi Daud AS.
  4. Baginda memohon ampun kepada Tuhan sambil merebahkan dirinya sujud, serta dia bertaubat. Ini kerana baginda  sedar dia tersalah memberi hukuman tanpa meminta bukti. Ada ulamak mengatakan sebab Nabi Daud AS terlalu sibuk beribadah sehingga sukar rakyat hendak berjumpa baginda.
  5. Sebagai pemimpin sepatutnya biarlah orang senang berjumpa.

 

Ayat 38:25

 

فَغَفَرْنَا لَهُۥ ذَٰلِكَ ۖ وَإِنَّ لَهُۥ عِندَنَا لَزُلْفَىٰ وَحُسْنَ مَـَٔابٍ

 

Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ampunkan kesalahannya itu.
  2. Nabi Daud AS mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Allah SWT serta tempat kembali yang sebaik-baiknya pada hari akhirat kelak.

 

Ayat 38:26

 

يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةً فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ

 

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan kepada kita bahawa kita dijadikan oleh Allah SWT sebagai khalifah di bumi, maka kita sepatutnya jalankan hukum di antara manusia dengan hukuman yang benar mengikut panduan daripada Allah SWT.
  2. Allah SWT ingatkan supaya jangan menurut hawa nafsu dalam berhukum, kerana yang demikian itu akan menyebabkan kita lari dari kebenaran.
  3. Orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.
  4. Nabi dahulu juga diuji, begitu juga kepada Nabi SAW dan kepada kita.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Contohi Nabi Daud AS yang sentiasa bersabar walaupun menerima ucapan negatif daripada orang lain (38:17)
  2. Segera mohon ampun jika tersilap (38:24)
  3. Memimpin dengan penuh kesedaran dan tidak mengikut hawa nafsu (38:26)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan ampunkan dosa sekiranya saya segera mohon ampun jika tersilap.

 

Saya jelas saya mesti contohi Nabi Daud AS yang sentiasa bersabar walaupun menerima ucapan negatif daripada orang lain. Saya jelas saya mesti segera mohon ampun jika tersilap. Saya jelas saya mesti memimpin dengan penuh kesedaran dan tidak mengikut hawa nafsu.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk contohi Nabi Daud AS yang sentiasa bersabar walaupun menerima ucapan negatif daripada orang lain. Ya Allah, pimpin kami untuk segera mohon ampun jika tersilap. Ya Allah, bantu kami untuk memimpin dengan penuh kesedaran dan tidak mengikut hawa nafsu.Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...