Saturday, October 14, 2023

Halaman 471 Ghafir (40:34-40)

 

PERKATAAN HARI INI 


 طَبَعَ Menutup, mengunci. 

11 kali disebut di dalam al-Quran







SINOPSIS 

   

  1. Allah SWT kunci hati orang yang ragu, sombong dan tolak Kalamullah (40:34-35)
  2. Firaun mencari Tuhan Musa untuk meremehkan dan mengingkari risalahnya (40:36-37)3. Kesenangan dunia yang sementara dan pembalasan amal ikut apa yang dilakukan semasa di dunia (40:38-40)








Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 470 Surah Ghafir.

 

Sambungan kisah pemuda beriman penasihat Firaun yang membawa fakta demi fakta tentang kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa AS. Ia membincangkan tentang pengurusan risiko (risk management) untuk memastikan politik dan pengurusan Firaun tidak jatuh. Cara penyampaiannya tidak menunjukkan dia fanatik dengan Nabi Musa AS. Dia membawa logik yang boleh diterima oleh Firaun dan penasihatnya yang lain.

 

Ayat 40:34

 

وَلَقَدْ جَآءَكُمْ يُوسُفُ مِن قَبْلُ بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَمَا زِلْتُمْ فِى شَكٍّ مِّمَّا جَآءَكُم بِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا هَلَكَ قُلْتُمْ لَن يَبْعَثَ ٱللَّهُ مِنۢ بَعْدِهِۦ رَسُولًا ۚ كَذَٰلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ مُّرْتَابٌ

 

"Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila ia mati, kamu berkata: Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya; demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya (terhadap balasan Tuhannya),

 

Pengajaran

 

  1. Pemuda itu membawa perspektif sejarah dengan mengingatkan tentang kisah Nabi Yusuf AS yang telah datang membawa keterangan yang membuktikan kerasulannya (Nama Nabi Yusuf hanya disebut dalam surah Surah Yusuf dan surah Ghafir ini), tetapi nenek moyang mereka sentiasa dalam keraguan.
  2. Mereka berkata Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudah Nabi Yusuf AS.
  3. Nabi Yusuf AS membawa tauhid melaksanakan dakwah sebagai menteri kewangan pada waktu itu. Pelajaran: Kalau kita bekerja di mana sahaja pun sebenarnya kita boleh sampaikan mesej kebaikan kepada orang ramai. Bawa manusia kepada kebenaran menuju tauhid kepada Allah SWT.

 

Ayat 40:35

 

ٱلَّذِينَ يُجَـٰدِلُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ بِغَيْرِ سُلْطَـٰنٍ أَتَىٰهُمْ ۖ كَبُرَ مَقْتًا عِندَ ٱللَّهِ وَعِندَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۚ كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ

 

"(Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya!"

 

Pengajaran

 

  1. Allah menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya terhadap balasan Tuhannya.
  2. Mereka itu suka berdebat dan membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah tanpa bukti benar.
  3. Pemuda itu berkata bahawa besar kebencian dan kemurkaan di sisi Allah kalau seseorang itu suka berdebat.
  4. Orang beriman tidak suka berdebat tanpa bukti benar.
  5. Allah akan tutup pada hati orang yang sombong takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya.
  6. Kita jangan jadi orang yang takbur dan suka menekan orang lain bila ada harta dan pangkat. Jadilah orang yang suka menolong.

 

Ayat 40:36

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَـٰهَـٰمَـٰنُ ٱبْنِ لِى صَرْحًا لَّعَلِّىٓ أَبْلُغُ ٱلْأَسْبَـٰبَ

 

Dan Firaun pula berkata: "Hai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya)

 

Pengajaran

 

  1. Firaun menyuruh Haman binakan untuknya sebuah bangunan yang tinggi supaya dia dapat tengok jalan menuju kepada Tuhan Musa.

 

Ayat 40:37

 

أَسْبَـٰبَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ فَأَطَّلِعَ إِلَىٰٓ إِلَـٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّى لَأَظُنُّهُۥ كَـٰذِبًا ۚ وَكَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ وَصُدَّ عَنِ ٱلسَّبِيلِ ۚ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِى تَبَابٍ

 

"(Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa; dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!" Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan yang benar; dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.

 

Pengajaran

 

  1. Firaun menegaskan hujahnya bahawa dia percaya Musa itu seorang pendusta.
  2. Demikianlah diperhiaskan oleh Syaitan kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta ia dihalangi dari jalan yang benar.
  3. Tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.
  4. Firaun hendak buat bangunan itu bukan untuk rakyat tetapi hendak lawan Nabi Musa AS. Hanya untuk meneruskan legasi pangkatnya sahaja.
  5. Pelajaran: Kalau kita kenal atau terlibat dengan pemimpin, jangan jadi tukang kipas. Jangan gunakan peluang untuk dapatkan rasuah atau projek yang tidak betul. Itu juga perlu kita takwa.

 

Ayat 40:38

 

وَقَالَ ٱلَّذِىٓ ءَامَنَ يَـٰقَوْمِ ٱتَّبِعُونِ أَهْدِكُمْ سَبِيلَ ٱلرَّشَادِ

 

Dan berkatalah pula orang beriman itu: "Wahai kaumku! Turutlah (nasihatku), aku akan menunjukkan kepada kamu jalan yang benar.

 

Pengajaran

 

  1. Pemuda yang beriman itu menyeru kaumnya supaya turut nasihatnya. Dia akan tunjukkan mereka kepada jalan yang benar. Kata-katanya penuh yakin.
  2. Kata-katanya sama dengan kata-kata Firaun pada ayat 29, tetapi Firaun ada kegusarannya.

 

Ayat 40:39

 

يَـٰقَوْمِ إِنَّمَا هَـٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا مَتَـٰعٌ وَإِنَّ ٱلْـَٔاخِرَةَ هِىَ دَارُ ٱلْقَرَارِ

 

"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.

 

Pengajaran

 

  1. Pemuda beriman itu berkata kepada kaumnya bahawa kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan untuk sementara waktu sahaja, dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.
  2. Inilah kefahaman yang perlu kita jiwai sebenar-benarnya. Kita perlu kawal keinginan yang melampau terhadap kesenangan dunia.
  3. Gunakan kesenangan yang Allah berikan untuk ditukar dengan akhirat, tempat yang kekal.

 

Ayat 40:40

 

مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً فَلَا يُجْزَىٰٓ إِلَّا مِثْلَهَا ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ

 

"Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.

 

Pengajaran

 

  1. Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya.
  2. Sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.
  3. Sebagai orang yang beriman dan hendaklah kita mengerjakan amal soleh. Kita tidak boleh duduk diam kalau ada orang lain dizalimi atau memerlukan bantuan. Dapatkan maklumat yang betul sebelum lakukan sesuatu.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Yakin dengan apa yang disampaikan oleh para anbiya' dan rasul (40:34)
  2. Jangan berdebat tanpa ilmu kerana ia mendatangkan kesombongan (40:38)
  3. Dunia nikmat sementara, kejarlah akhirat (40:39-40)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya tidak sombong kerana padahnya azab di dunia dan akhirat.

 

Saya jelas saya mesti yakin dengan apa yang disampaikan oleh para anbiya' dan rasul. Saya jelas untuk tidak berdebat tanpa ilmu kerana ia mendatangkan kesombongan. Saya jelas bahawa dunia nikmat sementara, saya mesti kejar akhirat dengan menggunakan nikmat yang Allah berikan semasa di dunia.

 

Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami dengan apa yang disampaikan oleh para anbiya' dan rasul. Ya Allah, jauhkan kami daripada berdebat tanpa ilmu, jauhkan kami daripada  kesombongan. Ya Allah isikan hati kami dengan cintakan akhirat, kurniakan kami kebaikan di dunia dan bimbing kami untuk menukar kebaikan di dunia kepada kebaikan di akhirat.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...