|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 470 Surah Ghafir. Kita doakan Allah SWT terus
beri kita kekuatan untuk tilawah al-Quran.
Pada ayat 25,
Allah SWT menyatakan bahawa Nabi Musa AS membawa kebenaran daripada sisi
Allah SWT. Ia bukan kebenaran yang dibuat-buat, tetapi Allah mengakui
kebenarannya. Walaupun Firaun, Haman dan Qarun membuat strategi untuk
menghancurkan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa AS, mereka tidak berjaya.
Mereka tidak berjaya membunuh Nabi Israel, malah Firaun dan kuncu-kuncunya
terbenam di dalam laut.
Ayat 40:26
وَقَالَ فِرْعَوْنُ
ذَرُونِىٓ أَقْتُلْ مُوسَىٰ
وَلْيَدْعُ رَبَّهُۥٓ إِنِّىٓ
أَخَافُ أَن
يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَن يُظْهِرَ
فِى ٱلْأَرْضِ ٱلْفَسَادَ
Dan berkatalah
Firaun (kepada orang-orangnya): "Biarkanlah aku membunuh Musa, dan
biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku
bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka
bumi".
Pengajaran
- Kisah Nabi Musa
AS ada episod-episodnya pada surah-surah yang berbeza. Kali ini menyambung
cerita fokusnya Nabi Musa AS balik dari Madyan, bertemu dengan ahli sihir,
ahli sihir yang beriman sudah dibunuh oleh Firaun.
- Dalam ayat ini,
Firaun berkata yang dia mahu membunuh Nabi Musa AS kerana ahli-ahli sihirnya
dahulu, harapkan pagar, pagar makan padi terhadapnya.
- Rasionalnya
Firaun hendak membunuh Nabi Musa AS kerana bimbang Nabi Musa AS akan menukar
agama/cara hidup rakyatnya dan Nabi Musa AS akan menimbulkan kerosakan di
muka bumi. Inilah ucapan Firaun yang hendak melawan kebenaran. Padahal
merekalah sendiri yang membuat kerosakan. Dia rasa dialah yang baik.
- Hati orang yang
rosak/zalim, kadang-kadang dia menuduh pula kepada orang-orang lain.
Ayat 40:27
وَقَالَ مُوسَىٰٓ
إِنِّى عُذْتُ بِرَبِّى
وَرَبِّكُم مِّن
كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لَّا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ
ٱلْحِسَابِ
Dan (setelah
mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: "Sesungguhnya aku berlindung
kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu - dari (angkara) tiap-tiap orang yang
sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!"
Pengajaran
- Nabi Musa AS
berdoa kepada Allah SWT: "Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah
Tuhanku dan Tuhan kamu - dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur,
yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!"
- Baginda berdoa
mengharapkan bantuan daripada Allah SWT dan pada masa sama berdakwah.
- Firaun, Haman
dan kuncu-kuncunya merasa sombong dengan kemajuan dan kehebatan yang mereka
bawa di negara Mesir. Orang-orang yang takbur ini tidak beriman kepada hari
al-Hisab. Sebenarnya, mereka tidak kisah dengan apa yang dibuat kerana tidak
mersakan yang mereka akan dihisab pada hari akhirat nanti. Mereka rasa diri
mereka yang berkuasa membuat segala kemajuan.
Ayat 40:28
وَقَالَ رَجُلٌ مُّؤْمِنٌ مِّنْ ءَالِ فِرْعَوْنَ
يَكْتُمُ إِيمَٰنَهُۥٓ أَتَقْتُلُونَ
رَجُلًا أَن
يَقُولَ رَبِّىَ ٱللَّهُ
وَقَدْ جَآءَكُم بِٱلْبَيِّنَٰتِ مِن رَّبِّكُمْ وَإِن يَكُ كَٰذِبًا
فَعَلَيْهِ كَذِبُهُۥ وَإِن يَكُ صَادِقًا
يُصِبْكُم بَعْضُ ٱلَّذِى
يَعِدُكُمْ إِنَّ
ٱللَّهَ لَا
يَهْدِى مَنْ
هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ
Dan (pada saat
itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang
menyembunyikan imannya: "Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia
menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ' - sedang ia telah datang kepada kamu
membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau ia seorang yang berdusta
maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang
yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang
dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.
Pengajaran
- Pada masa itu
muncul seorang pemuda yang selama ini menyembunyikan imannya dari Firaun. Dia
duduk dalam kerajaan Firaun. Kali ini beliau sudah tidak tahan kerana Firaun
hendak bunuh Nabi Musa AS. Pemuda itu bangkit bercakap.
- Ini adalah
pelajaran untuk kita supaya bangkit jika ada perkara yang salah. Kalau terus
senyap itu bukan tanda keimanan yang kuat daripada diri kita.
- Menurutnya,
Nabi Musa AS membawa kebenaran dan mukjizat daripada Tuhan. Jika Nabi Musa AS
salah, kesan pendustaan adalah pada diri Nabi Musa sendiri. Tetapi jika yang
dibawanya benar, azab akan ditimpa kepada mereka semua. Allah SWT tidak
memberi hidayah kepada yang berdusta. Pemuda itu bercakap dengan lemah
lembut.
- Selama ini, pemuda
itu simpan dalam hati segala poin yang dibawa oleh Nabi Musa AS dan
mengeluarkan kata-katanya pada masa yang sesuai dan dirakan dalam ayat ini. Kisah
ini menjadi inspirasi kepada para sahabat.
- Pelajaran:
- Kena jadi
berani untuk sampikan kebenaran bila ada sesuatu kezaliman berlaku.
- Perlu beradab,
jangan sampai dichop fanatik.
- Walaupun kita
ada pangkat, tetapi jangan biar ia mengaburi perjuangan kita.
- Jika mahu
diampunkan Allah SWT, kita ingatkan orang lain juga untuk kembali kepada
Allah SWT seperti pemuda dalam kisah ini yang mengajak kaumnya. Kita ada
tanggung jawab walaupun ada risiko.
Ayat 40:29
يَٰقَوْمِ لَكُمُ ٱلْمُلْكُ ٱلْيَوْمَ
ظَٰهِرِينَ فِى
ٱلْأَرْضِ فَمَن
يَنصُرُنَا مِنۢ
بَأْسِ ٱللَّهِ إِن جَآءَنَا قَالَ فِرْعَوْنُ مَآ أُرِيكُمْ إِلَّا مَآ أَرَىٰ وَمَآ أَهْدِيكُمْ
إِلَّا سَبِيلَ ٱلرَّشَادِ
"Wahai
kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan
bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan
bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu
datang menimpa kita?" Firaun berkata: " Aku tidak mengesyorkan
kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku
tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar".
Pengajaran
- Pemuda tersebut
sambung lagi ceramahnya kepada Firaun dan orang ramai pada waktu itu. Dia
cuba membawakan logik lagi. Beliau mengingatkan, sekarang mereka ada kuasa
tetapi bila datang azab, siapa yang hendak tolong mereka kalau bukan Allah
SWT. Beliau menegaskan tentang tauhid tanpa bersembunyi lagi.
- Firaun membalas
kata-katanya dengan mengatakan yang dia juga membawa mereka di jalan yang
lurus.
Ayat 40:30
وَقَالَ ٱلَّذِىٓ
ءَامَنَ يَٰقَوْمِ إِنِّىٓ
أَخَافُ عَلَيْكُم مِّثْلَ
يَوْمِ ٱلْأَحْزَابِ
Dan berkatalah
pula orang yang beriman itu: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang
kamu akan ditimpa (kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang
bergabung (menentang Rasul-rasulnya)!
Pengajaran
- Pemuda tersebut
membalas lagi dengan menyebut yang beliau bimbang apa yang berlaku kepada
kaum-kaum terdahulu, akan berlaku kepada mereka juga.
- Pelajaran untuk
kita: Kita dapat sedikit, kita sampai sedikit. Tidak payahlah kita tunggu sampai
penuh ilmu di kepala.
Ayat 40:31
مِثْلَ دَأْبِ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ
وَٱلَّذِينَ مِنۢ
بَعْدِهِمْ وَمَا
ٱللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا
لِّلْعِبَادِ
"(Iaitu)
seperti keadaan kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi
Soleh), serta orang-orang yang datang kemudian daripada mereka (seperti kaum
Nabi Lut). Dan (ingatlah) Allah tidak menghendaki berbuat kezaliman kepada
hamba-hambaNya.
Pengajaran
- Pemuda ini tahu
tentang sejarah. Beliau ada banyak data untuk membawa logik-logik yang betul
kepada Firaun dan penduduk Mesir. Beliau tahu tentang kaum Nabi Nuh AS, kaum
Nabi Hud AS, dan Nabi Saleh AS.
- Apabila sahabat-sahabat
mengetahui kisah-kisah ini, mereka tahu yang kaum-kaum tersebut dihancurkan.
Allah SWT tidak mahu satu kezaliman pun berlaku kepada hamba-hambaNya.
- Pemuda tersebut
menekankan tentang tauhid. Itulah ciri pendakwah, yang sentiasa mengulang
peringatan. Al-Quran ini memang kena diulang-ulang membacanya supaya dapat
peringatan dan dapat pahala berkali ganda.
Ayat 40:32
وَيَٰقَوْمِ إِنِّىٓ
أَخَافُ عَلَيْكُمْ يَوْمَ ٱلتَّنَادِ
"Dan,
wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari
(kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon
pertolongan),
Pengajaran
- Dia terus
ceramah menyeru kaumnya, mengingatkan mereka tentang azab siksa hari kiamat.
- Apa yang
berlaku di hari akhirat: Orang di syurga memanggil kawan-kawannya yang tidak
ada di sana. Yang di neraka, memanggil-manggil gengnya memohon bantuan.
- Kita teruskan
seru ahli keluarga selagi kita boleh seru. Kita usaha untuk masuk ke syurga
bersama keluarga supaya tidak payah lagi terpanggil-panggil nanti
- Dalam tafsir
Baghawi menyatakan: ketika kematian disembelih, maka diseru: "Wahai
penghuni syurga, tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, tiada lagi
kematian"
Ayat 40:33
يَوْمَ تُوَلُّونَ
مُدْبِرِينَ مَا
لَكُم مِّنَ
ٱللَّهِ مِنْ
عَاصِمٍ وَمَن
يُضْلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِنْ هَادٍ
"(Iaitu)
hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada
sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah)
sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada
sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
Pengajaran
- Pemuda itu
mengingatkan lagi: Di hari akhirat nanti orang bersimpang siur cuba lari
mencari tempat berlindung dari azab. Pada masa itu sudah tidak ada
perlindungan kecuali dilindungi oleh Allah SWT.
- Siapa yang
dibiarkan sesat oleh Allah, tidak ada siapa yang boleh memberi hidayah.
Hidayah adalah amat penting iaitu kita menggunakan ilmu untuk melihat
kebesaran Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Berserah diri bulat-bulat kepada Allah SWT
saat ditentang sampaikan kebenaran (40:27)
- Jadi pemimpin yang adil dan tidak berlaku
zalim (40:28-29)
- Beri peringatan tentang kisah umat terdahulu
(40:31)
Saya berasa lega,
Allah SWT ceritakan tentang pemuda yang berani menyatakan kebenaran.
Saya jelas
saya mesti berserah diri bulat-bulat kepada Allah SWT saat ditentang
sampaikan kebenaran. Saya jelas saya mesti jadi pemimpin yang adil dan tidak
berlaku zalim. Saya jelas untuk beri peringatan tentang kisah umat terdahulu.
Ya Allah,
pimpin kami untuk sampaikan kebenaran. Ya Allah, bimbing kami untuk jadi
pemimpin yang adil dan tidak berlaku zalim. Ya Allah, bimbing kami untuk beri
peringatan tentang kisah umat terdahulu.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|