PERKATAAN HARI INI
حمد puji dan syukur
68 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
Maksud al-Fatihah ialah pembuka.
Ayat 1-4 Allah memperkenalkan diri-Nya yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Penguasa Hari Pembalasan
Ayat 5 Allah ajar kita supaya jadi HAMBA dan mohon pertolongan hanya kepada-Nya. Mengaku diri sebagai hamba akan membuka potensi. Itulah darjat tertinggi manusia.
Ayat 6-7 Ini ialah doa paling PENTING yang Allah ajar, iaitu memohon petunjuk jalan lurus, minta dijauhkan dari jalan orang-orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat.
Ayat 1-7
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ٢
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ ٤
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ٥
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ ٦
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Ringkasan
Surah Al-Fatihah ialah surah Makiyyah yang terdiri daripada 7 ayat dengan 25 kalimah dan 123 huruf. Kandungannya mencakupi tema utama al-Quran iaitu Akidah, Ibadah dan Panduan Hidup.
Surah ini mengandungi separuh pujian dan separuh doa.
Ayat 1-3: Allah memperkenalkan sifatNya kepada makhlukNya di dunia dan akhirat.
Ayat 4: Allah memberitahu bahawa akhirat adalah sebagai arah tuju perjalanan hidup kita.
Ayat 5: Allah menjelaskan tujuan hidup manusia iaitu untuk beribadah. Ibadah bermaksud apa yang kita perlu buat setelah kita mengenal Allah SWT dan setelah kita mengenali bahawa akhirat itu wujud.
Ayat 5: Allah juga memberitahu tentang isti'anah, iaitu meminta pertolongan hanya kepada Allah SWT sepanjang hidup. Bukan sekadar menjadi hamba Allah yang selamat di akhirat, bahkan khalifah Allah yang berkesan di dunia.
Ayat 6: Motivasi diri agar sentiasa melakukan yang terbaik di dunia sebagaimana para Anbiyak dan mereka yang diberikan nikmat oleh Allah SWT.
Ayat 7: Sentiasa berhati-hati di atas jalan ini kerana ada ramai musuh yang mahu menggelincirkan kita dari jalan yang diredhai olehNya.
Pengajaran
- Perbanyakkan syukur kepada Allah - Rabb yang menjadikan kita dan seluruh alam. Rabb yang mendidik kita.
- Kegelapan boleh diatasi jika beriman dengan ayat 2 - tiada lagi rasa dengki antara satu sama lain.
- Jadi umat Alhamdulillah - apabila orang lain dapat nikmat, katakan Alhamdulillah.
- Pohon hidayah agar Allah tunjukkan jalan lurus menuju ke syurga.
Sinopsis oleh Tuan Haji Fazrul Ismail
Al-Fatihah adalah surah pembukaan. Surah pertama membuka al-Quran. Surah ini adalah amat powerful kerana surah Al-Fatihah pembuka al-Quran. Ia adalah sinopsis ringkasan kepada 113 surah yang ada selepas surah as-Sabu'l Mathani, 7 ayat yang berulang-ulang ini.
Dan surah ini membuka potensi manusia kerana dalam surah ini Allah mengajar manusia bagaimana untuk memuji Allah itu sendiri. Allah mengajar bagaimana mengenal Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim, Maalikiyau Middin, Allah mengajar kepada siapa untuk beribadah dan mengajar kepada siapa ingin minta pertolongan.
Dalam surah ini Allah mengajar kita bagaimana berdoa meminta hidayah untuk berada di jalan yang mana satu, samada diberi nikmat, dimurkai atau disesatkan.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jawziah, beliau mengatakan sesungguhnya Allah telah menurunkan sebanyak 104 kitab, seluruh maknanya terkumpul dalam 3 kitab iaitu Taurat, Injil dan al-Quran. Seluruh makna pada 3 kitab tersebut terangkum pada al-Quran, seluruh makna dalam al-Quran terhimpun dalam surah Al-Fatihah dan seluruh makna Al-Fatihah terhimpun dalam ayat ke-5, Iyya kana'budu waiyya kanastai'n. Jadi, ayat ke-5 Al-Fatihah ini adalah ayat yang PALING penting selain daripada ayat-ayat lain.
Bercakap tentang untuk 'unleash' potential, untuk kita membuka potensi seseorang, seseorang itu perlu menjadi HAMBA. Seorang hamba sedar ia ada kesilapan, seorang hamba sedar ia ada kekeliruan ataupun penyakit ataupun kelemahan. Maka kalau dalam sesuatu masa itu kita ada dalam hati perasaan begitu, itu tandanya kita khusyuk sebagai seorang hamba. Dengan itu kita bersedia untuk membuka potensi untuk mendapat hidayah daripada surah ini dan surah-surah selepasnya.
Tetapi jika kita tidak ada 'state of humbleness', tidak ada keadaan untuk menjadi seorang hamba ketika membaca sesuatu ayat al-Quran, ketika mendengar, ketika berbuat sesuatu perkara, maka seseorang itu tidak beribadah, tidak mungkin seseorang itu mendapat pertolongan daripada Allah SWT.
Inilah surah Al-Fatihah, pembukaan kepada Al-Quran
Al-Fatihah Daripada Berbagai Sumber
Surah Al-Fatihah merupakan salah satu surah yang paling awal diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda berada di Mekah dan ia merupakan surah lengkap pertama yang diwahyukan. Menurut kronologi penurunan surah, Al-Fatihah adalah surah yang kelima diturunkan, iaitu diturunkan selepas surah Al-Muddathir.
Nama surah menandakan pentingnya surah ini sebagai 'Pembukaan' al-Quran. Tanpa melalui surah ini, kefahaman tentang kandungan al-Quran tidak akan dibuka kepada pembaca al-Quran, maka surah ini adalah KUNCI bagi keseluruhan 113 surah. Allah SWT Maha Berkuasa untuk mempermudahkan al-Quran sehingga 113 surah dirumuskan dalam surah Al-Fatihah. 113 surah selepas itu adalah jawapan Allah SWT untuk doa dalam Al-Fatihah.
Surah ini bermula dengan Allah SWT memperkenalkan diriNya sebagai Rabb kepada seluruh alam (al-'Alamin) dan berakhir dengan Allah sebagai Rabb kepada tiga golongan manusia iaitu golongan yang diberi nikmat, golongan yang ditimpa kemurkaan dan golongan yang sesat.
Selain nama 'Pembukaan', surah ini dikenal sebagai Sab'ul Mathaani iaitu 'tujuh ayat yang sering diulang'. Ia juga disebut sebagai Ummul Kitab bermakna 'Ibu Kitab' kerana ia merupakan dasar dan inti daripada al-Quran. Tambahan dari itu, Al-Fatihah juga disebut sebagai asy-Syifa' yang bermakna penyembuh dan ar-ruqyah bermakna 'jampi'.
Al-Fatihah bukan hanya sebagai pendahulu sebuah kitab. Surah ini wajib dibaca dalam solat sebanyak 17 kali sehari. Surah ini diajarkan oleh Allah SWT kepada manusia, sebagai anugerah bahawa inilah bentuk doa dan tatacaranya berdoa yang akan diterima oleh-Nya. Al-Fatihah adalah doa daripada mereka yang membaca al-Quran, dan seluruh isi al-Quran adalah jawapan daripada Allah SWT.
3 Segmen dalam Surah Al-Fatihah
Keberkesanan ayat ini akan dirasa sekiranya kita membacanya dari Lubb, iaitu dari sanubari/lubuk hati dengan perasaan yang khusyuk dan jiwa yang bersih.
Kita mesti perhatikan bahawa setiap ayat dalam Al-Fatihah pasti mempunyai tiga unsur iaitu:
• Akidah (A),
• Ibadah (I)
• Sirath - Jalan hidup (S).
Unsur-unsur A I S akan di ulang-ulang dalam setiap ayat lain dalam Quran.
Mengapa Penting Sangat Al-Fatihah?
Al-Fatihah amat penting kerana ia mengajak kita khusyuk. Untuk rasa khusyuk, kita mesti merasa diri kita kontang (disconnect). Perkataan khusyuk disebut 17 kali dalam al-Quran.
Al-Fushilat 41:39 --> Khoshi'ah --> Kontang
"Dan sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran)-Nya, engkau melihat bumi itu kering dan tandus, tetapi apabila Kami turunkan hujan di atasnya, niscaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya (Allah) yang menghidupkannya pasti dapat menghidupkan yang mati; sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu."
Apa yang terkandung dalam surah Al-Fatihah ini akan diterangkan dengan jelas pada surah-surah kemudian. Oleh itu surah ini dinamai "Ummul KItab" bererti ibu kitab. Telah mencakupi di dalamnya segala isi al-Quran, iaitu:
- Tauhid (keimanan)
- Janji kebahagiaan di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang menurut petunjuk al-Quran dan janji seksaan, jasmani dan rohani bagi orang-orang yang tidak menurut petunjuk itu.
- Amal ibadat untuk mendalami tauhid dan membersihkan jiwa.
- Menerangkan jalan yang lurus untuk mencapai kebahagiaan.
- Riwayat orang-orang yang taat mengikut Allah dan orang-orang yang derhaka untuk iktibar bagi umat yang terkemudian.
- Dan lain-lain, seperti ayat-ayat berhubungan dengan akhlak, ilmu pengetahuan, sejarah, perekonomian, kemasyarakatan dan pembangunan.
- Bahkan terdapat ayat-ayat berkaitan dengan pertahanan negara dan ketenteraan. Semua ini sebagai bukti bahawa al-Quran itu Universal - menerangkan segala sesuatu.
RESOLUSI
Ingat!
- Hanya Allah swt berhak menerima pujian. Jika menerima pujian katakan Alhamdulillah
- Hiduplah sebagai HAMBA, kerana itulah darjat paling tinggi seorang manusia di sisi Allah SWT
- Buat apa saja kerana menghambakan diri kepada Allah sebagai tanda syukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan-Nya
- Hayati betul-betul surah ini kerana inilah intipati al-Quran yang diulang-ulang baca sekurang-kurangnya 17 kali sehari
Lega kerana Allah ajar saya cara menghadapi hidup ini - jadi hamba yang bersyukur, fokus kepada hari pembalasan, sentiasa pohon pertolongan daripada-Nya supaya berjaya sampai ke syurga untuk menghadap-Nya Tuhan Yang Maha Pemurah Maha Penyayang.
Kami jelas untuk sentiasa bersyukur dan memohon doa dari Allah SWT supaya berjaya di dunia dan akhirat
Ya Allah, kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ajarkan kami al-Quran agar kami dapat melayari hidup ini berpandukan manual yang Engkau turunkan kepada kami. Kami memohon rahmat dan kasih sayang-Mu agar hidup kami terpandu di Sirat al-Mustaqim. Semoga kami berjaya sampai ke syurga Firdaus untuk melihat wajah-Mu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Malik.