Monday, May 1, 2023

Halaman 2 : Al-Baqarah, 2:1-5

PERKATAAN HARI INI


كتب  ditulis
319 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS

  1. Kitab yang tiada keraguan sebagai sumber hidayah
  2. Menjelaskan 5 ciri orang bertaqwa yang berjaya


Mukadimah

Allah SWT menjawab doa dari al-Fatihah ayat 5 dengan memberikan al-Quran sebagai kitab untuk menjadi petunjuk kepada orang yang hendak berjaya di dunia dan akhirat.


Ayat 1

الٓمٓ ١ 

Alif, Laam, Miim.


Pengajaran

Huruf-huruf ini dinamakan 'Huruf muqatta'ah' iaitu huruf yang dipotong-potong. Huruf ini bertujuan untuk mencabar orang Arab dalam seni berbahasa. Sehingga kini tiada siapa yang boleh menyahut cabaran untuk menandingi penyusunan ini ataupun mendatangkan sesuatu yang setanding dengannya.

Ulama ada menyatakan bahawa setiap surah yang dimulakan dengan huruf-huruf sebegini akan dituruti dengan pernyataan membela al-Quran dan mengagungkannya. Gabungan huruf-huruf ini merupakan antara keajaiban al-Quran dari segi bahasa dan susunannya.

Kita tidak akan tahu apakah maksud perkataan ini kecuali hanya Allah SWT yang tahu. Rasulullah SAW juga tidak pernah menjelaskan maksud perkataan tersebut. Demikian juga para sahabat Rasul.

Maka, kalau Allah tidak beritahu kepada kita apakah makna sesuatu itu, maka kita tidak akan tahu. Maknanya, kita mengharapkan ilmu daripada Allah tentang sesuatu ilmu itu. Jika Allah tidak mengizinkan kita tahu, maka kita tidak akan tahu.


Ayat 2

ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ٢ 

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;


Pengajaran

Allah SWT menggunakan perkataan ذَٰلِكَ untuk merujuk kepada al-Quran dan perkataan ذَٰلِكَ bermaksud 'itu'. Tetapi perkataan sesuai ialah yang bermaksud 'ini' kerana al-Quran yang sedang kita tadabbur ini berada di hadapan kita.

Perkataan ini digunakan untuk mengejutkan orang. Ini kerana tidak ada kitab dalam berbentuk mushaf yang digunakan pada zaman Nabi. Yang ada hanyalah al-Quran lengkap yang diturunkan sedikit demi sedikit oleh Malaikat Jibril. Jadi, perkataan 'itu' yang digunakan adalah merujuk kepada al-Quran.

Tidak ada keraguan sedikit pun bahawa al-Quran adalah wahyu daripada Allah SWT dan kalam-Nya yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW. Segala isi kandungannya adalah petunjuk bagi mereka yang bertakwa.

Takwa ini maksudnya takut dan menjaga hukum. Mungkin timbul satu persoalan, kalau dikatakan al-Quran ini adalah hidayah kepada orang yang bertakwa, bagaimana pula dengan orang yang tidak ada takwa?

Ulama mengatakan bahawa lafaz مُتَّقِينَ dalam ayat ini bukanlah bermaksud orang yang sudah sempurna takwa mereka, tetapi ia bermaksud 'orang yang hendak menjadi orang yang bertakwa'. Kalau seseorang itu ada keinginan untuk jadi orang bertakwa, Allah SWT pasti akan membukakan pintu hatinya untuk mencapai kedudukan itu.

Apabila seseorang itu mula mempercayai dan meyakini Allah SWT, tentulah dia mahu mempelajari isi kandungan al-Quran sebagai petunjuk. Petunjuk yang ada dalam kitab suci ini diberikan kepada orang yang sudah menerima tauhid, iaitu selepas dia mengucap dua kalimah syahadah. Ini supaya dia mengenali siapa Tuhan dan dalam masa sama tidak melakukan syirik seperti agama-agama lain.

Takwa ialah menjaga diri dari bahaya dengan pertolongan Allah SWT. Menggunakan al-Quran untuk mengelak diri dari bahaya (dimurkai Allah dan sesat dari Sirat al-Mustaqim). Berhati-hati menjalani hidup.


Ayat 3-4 

ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ ٣ 

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ ٤ 

Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).


Pengajaran

5 sifat orang yang bertaqwa

  1. Beriman kepada perkara-perkara ghaib (Allah, syurga, neraka, malaikat).
  2. Mendirikan solat - solat di awal waktu, faham bacaan solat, khusyuk.
  3. Sentiasa berinfaq dalam berbagai bentuk - harta, bantuan tenaga, nasihat, ilmu dan sebagainya.
  4. Beriman kepada al-Quran dan kitab-kitab terdahulu - sentiasa mengkaji al-Quran untuk islah diri.
  5. Yakin akan hari akhirat. 

Ayat 5

أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدًۭى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ ٥

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.


Pengajaran


Orang beriman mendapat 'hadiah' iaitu hidayah dan kejayaan yang menjadikan mereka istiqamah dengan Islam. Kejayaan yang sebenarnya adalah mereka kekal di dalam syurga dan selamat daripada azab api neraka. 

Hidayah itu memerlukan kesungguhan. Perkataan hidayah ada disebutkan sebanyak tiga kali. Bermula daripada surah al-Fatihah sehinggalah ayat yang kelima dari surah al-Baqarah. Allah SWT akan memberikan hidayah sekiranya kita bersungguh-sungguh mencarinya, dan kita pula mestilah sentiasa berdoa supaya dikurniakan petunjuk jalan yang lurus.

Bagaimana nak tahu kita sudah beroleh hidayah daripada Allah?

Salah satu tandanya adalah apabila kita rasa gembira dan seronok apabila mahu melakukan sesuatu yang baik. Contohnya kita telah diberikan al-Quran untuk dibaca. Lalu kita berasa gembira untuk membaca dan menghayati isi kandungannya. Bila ini berlaku ucapkanlah kalimah Alhamdulillah. Insya-Allah Allah akan tambah lagi 'hadiah' demi 'hadiah' (hidayah) buat kita.


RESOLUSI

Ingat! 

  1. Sedar kamu tak tahu - mesti rujuk al-Quran 
  2. Allah turunkan al-Quran sebagai petunjuk untuk hidup. 
  3. Ia mukjizat yang releven sepanjang zaman. Jadi kamu mesti pastikan apa yang dibuat mesti rujuk al-Quran. Bukan buat sebagai ikut orang lain. 
  4. Tulis setiap kali berinteraksi dengan al-Quran supaya lekat di ingatan untuk diamalkan.
  5. Semak diri kamu untuk pastikan ada 5 sifat orang yang bertaqwa. 

Lega kerana Allah turunkan al-Quran untuk panduan hidup saya, dan Allah sudah beritahu sifat orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Saya jelas untuk mengkaji al-Quran supaya hidup saya sentiasa berpandukan al-Quran. Saya tidak mahu menjadi pak turut. Mesti pastikan ikut al-Quran dan Sunnah. Menyerah diri dan tunduk ketika berinteraksi dengan al-Quran. Mesti jaga solat dan infaq sebagai kesan bersama al-Quran.

Ya Allah, kurniakan kami dengan sifat-sifat orang yang berjaya. Jadikan kami orang yang mendirikan solat, sentiasa berinfaq, istiqamah mengkaji al-Quran untuk memperbaiki amalan kami. Jadikan kami orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Jauhkan kami dari azab neraka.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...