PERKATAAN HARI INI
اسْتَجَابَ / جَوَبَ Memperkenankan, menjawab
43 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Balasan untuk berjuang [3:195 ]
2. Orang kafir, orang yang bertakwa dan beriman daripada kelompok ahli dan balasan untuk mereka [3:196-200]
Mukadimah
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT kita telah sampai di hujung surah ali-'Imran. Raikan kejayaan ini dengan banyakkan tasbih dan tahmid serta memohon keampunan daripada Allah SWT. Semoga Allah pimpin kita untuk terus diberi hidayah belajar surah an-Nisa' dan surah-surah lain hingga tamat.
Daripada surah al-Fatihah kita berdoa minta dijauhkan daripada jalan orang-orang yang dimurkai seperti yang kita telah dipelajari dalam surah al-Baqarah dan jalan orang-orang yang sesat seperti yang dijelaskan dalam surah ali-'Imran. Orang Kristian tersesat kerana tidak mendapat ilmu yang betul walaupun amalan mereka memang mantap. Mereka sanggup berkorban sebahagian besar harta mereka namun amalan tersebut tidak diterima oleh Allah SWT kerana asas kepercayaan terhadap Nabi Isa sebagai anak Tuhan menyeleweng dari kebenaran.
Ayat [3:195]
فَٱسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّى لَآ أُضِيعُ عَمَلَ عَـٰمِلٍۢ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ بَعْضُكُم مِّنۢ بَعْضٍۢ ۖ فَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَأُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَأُوذُوا۟ فِى سَبِيلِى وَقَـٰتَلُوا۟ وَقُتِلُوا۟ لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ثَوَابًۭا مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلثَّوَابِ
"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)."
Pengajaran
1. Orang-orang ulul abab, sentiasa membersihkan diri dan mereka sanggup berjuang. Kadang-kadang menang, kadang-kadang kalah. Mereka terus berjuang membersihkan diri, melihat kebesaran Allah SWT dan sentiasa berdoa.
2. Allah perkenankan doa orang-orang yang hatinya bersih. Allah akan berikan apa yang kita perlukan bukan apa yang kita inginkan. Allah lebih tahu apa yang kita perlukan.
3. Allah tidak mensia-sia kan setiap perbuatan ( عَمَلَ ) manusia yang ada niat dan hala tuju. Ada niat, ada tujuan pasti mendapat pahala dari-Nya.
4. Allah beri peluang yang sama untuk lelaki dan perempuan masuk syurga walaupun tanggung jawab dan tugas mereka berbeza. Allah memberi pahala kepada lelaki yang mencari nafkah untuk keluarga dan juga untuk untuk isteri yang bekerja menjaga anak dan keluarga di rumah. Kedua-duanya berjuang. Yang pentingnya amalan itu dibuat atas dasar iman.
5. Kita mesti bekerjasama menyokong antara satu sama-lain supaya kita sama-sama dapat berhijrah menjadi lebih baik.
6. Allah mengiktiraf mereka yang berhijrah untuk menjadi lebih baik (فِى سَبِيلِى).
7. Allah tutup dan lindungi dosa orang-orang yang beramal soleh dan beri mereka ganjaran syurga.
8. Sepanjang jalan perjuangan, kita tidak boleh lari daripada rasa sakit, tersakiti atau disakiti.
Ayat [3:196]
لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فِى ٱلْبِلَـٰدِ
"Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka)."
Ayat [3:197]
مَتَـٰعٌۭ قَلِيلٌۭ ثُمَّ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ
"(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan."
Pengajaran Ayat 196-197
1. Janganlah kita mudah terpedaya dengan usaha orang kafir yang hendak membawa kita kepada kekufuran.
2. Jalan ke akhirat memang jauh. Teruslah berjuang berbuat baik dalam apa keadaan pun.
3. Apa yang ada/dilalui di dunia ini, hanya sedikit berbanding dengan ganjarannya di akhirat.
4. Orang-orang yang hanya mementingkan keuntungan di dunia akan mendapat balasan neraka jahannam.
5. Kekalahan atau kesusahan yang kita lalui adalah bertujuan untuk membersihkan dosa-dosa agar tidak perlu melalui pembersihan yang lebih teruk di neraka.
Ayat [3:198]
لَـٰكِنِ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ لَهُمْ جَنَّـٰتٌۭ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا نُزُلًۭا مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ ۗ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌۭ لِّلْأَبْرَارِ
"Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan)."
Pengajaran
1. Ganjaran bagi orang bertakwa ialah syurga yang mengalir di bawahnya sungai. Kita hanya boleh membayangkan sungai, buah-buahan dan keindahan mengikut pengalaman kita. Hakikatnya, kita tidak mampu tahu keadaan sebenar di syurga. Ia melangkau apa yang kita dapat bayangkan.
2. Apa yang Allah terangkan dalam Quran hanyalah sebagai permulaan ( نُزُلًا ). Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti iaitu orang-orang yang berjuang.
Ayat [3:199]
وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَمَن يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِمْ خَـٰشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ ثَمَنًۭا قَلِيلًا ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
"Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya."
Pengajaran
1. Bukan semua ahli kitab tidak beriman. Ada yang merendah diri dan tidak menjual keyakinan untuk kepentingan diri mereka sendiri. Mereka akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
2. Allah akan berikan ganjaran di sisi-Nya kepada orang-orang yang beriman kepada Allah, kepada al-Quran, kepada kitab-kitab terdahulu, tunduk kepada perintah-Nya, dan tidak menukar ayat-ayatNya untuk keuntungan dunia.
3. Allah nampak apa yang kita buat dan akan memberi balasan yang segera di dunia dan di akhirat.
4. Ayat ini menunjukkan Allah memberi peluang kepada orang Kristian atau Yahudi untuk mendapat ganjaran syurga sekiranya mereka dapat betulkan akidah kepada Allah SWT.
5. Kita bertanggung jawab untuk sampaikan al-Quran agar tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyembunyikan kebenaran.
Ayat [3:200]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
Pengajaran
1. Untuk menjiwai surah ali-'Imran, kita mestilah menyahut seruan daripada Allah yang memanggil kita sebagai orang-orang yang kuat imannya.
2. Allah ajarkan formula untuk kekal dalam perjuangan hingga berjaya:
a. Bersabar ( ٱصْبِرُوا۟ ). Maksudnya berusaha sunguh-sungguh buat kebaikan secara beramai-ramai. Ingatkan ahli keluarga dan masyarakat.
b. Saling mengingatkan atas kesabaran ( صَابِرُوا۟ ). Kalau ada orang yang nak 'give up', selamatkan dia dari rasa negatifnya supaya kita tidak tertarik sekali ke bawah dengan sifat negatifnya. Ingat, yang sedikit boleh mengalahkan yang banyak.
c. Mesti bertahan ( رَابِطُوا ). Jangan lemah berdepan dengan musuh. Bersedia dengan kekuatan pertahanan
d. Bergantung ( وَٱتَّقُوا۟ ) pada Allah.
3. Umat Islam yang beramal dengan surah ali-'Imran mesti optimizekan perjuangan ke arah kebaikan, seimbang dunia dan akhirat.
4. Inilah mesej penting kepada pemimpin, sama ada di rumah, dalam organisasi dan negara. Berusaha dan buat yang terbaik tetapi tidak sampai 'extreme'.
5. Kita mestilah terus mengkaji al-Quran, melihat dan berfikir tentang alam dan kaitkan kepada al-Quran apa yang dilihat.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Terus beramal sama ada semasa senang atau susah [3:196]
2. Jangan mudah terpedaya dengan kehidupan dunia yang sementara [3:196]
3. Bina sabar dan keteguhan dalam hidup seharian untuk berjaya [3:200]
Lega kerana Allah SWT beri formula untuk kekal berjuang hingga berjaya ke syurga.
Saya jelas untuk terus beramal sama ada senang atau susah dan tidak mudah terpedaya dengan kehidupan dunia yang sementara. Saya mesti amalkan formula yang Allah ajar untuk berjaya dalam perjuangan.
Ya Allah, bantu kami untuk menjadi orang-orang yang terus melakukan amal soleh hingga ke akhir hayat kami. Jauhkan kami daripada terpedaya dengan kesenangan dunia yang sementara. Jadikan kami orang-orang beriman yang sabar, dan saling berpesan dengan kesabaran. Ya Allah, teguhkan pendirian kami untuk kekal berjuang di jalan-Mu dan masukkan kami dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.
TAMAT SURAH ALI-'IMRAN