Thursday, May 4, 2023

Halaman 77 : Al-Nisa', 4:1-6


Hak wanita dan anak yatim


PERKATAAN HARI INI      

 

نَفَسَ   Bernafas, jiwa

298 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


1. Kesatuan asal usul manusia, kesatuan suami isteri dan ikatan keluarga [4:1]

2. Menyerahkan kembali harta anak yatim dan haramnya memakan harta anak yatim [4:2]

3. Kebenaran untuk berpoligami sehingga empat orang isteri dan hukumnya [4:3-4]

4. Larangan menggunakan dan menyerahkan harta kepada orang Safiih, anak kecil dan setara dengan mereka kecuali apabila mereka memiliki ar-Rusydu [4:5-6]


Mukadimah


Alhamdulillah kita diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk meneruskan pembelajaran pada surah yang keempat, surah al-Nisa'. Surah al-Nisa' ini mengingatkan kita kepada hidayah Allah yang kita minta. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Allah menjawab dengan Alif Lam Min, saya tidak tahu dan hanya Allah yang tahu. 


Jika kita beramal dengan surah al-Baqarah elok-elok, hati kita akan terjaga, cara kita bermuamalah dengan Allah dan manusia juga akan terjaga. Kita akan menjadi orang yang suka infaq dan jauhkan riba. Surah ali-'Imran bercerita tentang prinsip kebenaran dan perjuangan. Pada ayat terakhir surah ali-'Imran, Allah berikan formula untuk teruskan perjuangan hingga berjaya ke syurga dengan mengamalkan empat perkara: bersabar, berpesan-pesan untuk kesabaran, kuatkan pertahanan dan bertakwa kepada-Nya. 


Konsep surah adalah umpama binaan atau dinding sebuah kota. Kalau kita pergi ke Ipoh dan London, ada nampak persamaan bangunan-bangunannya kerana pengaruh Inggeris. Seperti binaan itu, Surah al-Nisa' nampak ada persamaan dengan al-Baqarah dan al-Ma'aidah.


Ayat [4:1]

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."


Pengajaran


1. Allah memanggil semua manusia untuk ingatkan supaya bertakwa kepada-Nya. 

2. Orang yang bertakwa sentiasa dekat dengan Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya.

3. Allah ingatkan kita bahawa semua manusia adalah ciptaan-Nya yang berasal usul daripada Adam dan Hawa. Akhirnya berkembang dan menjadi identiti manusia yang berbagai bangsa.

4. Allah menjadikan lelaki dan perempuan dengan tanggung jawab masing-masing.

5. Orang bertakwa menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan silaturrahim.

6. Hendaklah kita selalu berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-Nya yang sesuai.

7. Allah amat mengawasi kita (رَقِيبًا). Kita tak akan terlepas daripada tali Allah yang mengekang kita daripada lari jauh daripada jalan-Nya.


Ayat [4:2]

وَءَاتُوا۟ ٱلْيَتَـٰمَىٰٓ أَمْوَٰلَهُمْ ۖ وَلَا تَتَبَدَّلُوا۟ ٱلْخَبِيثَ بِٱلطَّيِّبِ ۖ وَلَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَهُمْ إِلَىٰٓ أَمْوَٰلِكُمْ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ حُوبًۭا كَبِيرًۭا

"Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar."


Pengajaran


1. Allah menyuruh kita untuk menjaga hak anak yatim. 

2. Jangan ditukarkan harta anak yatim dengan yang kurang baik. Contoh: Jika kita ada kereta kecil dan anak yatim ditinggalkan ayahnya dengan kereta besar. Kita asyik sahaja guna kereta anak yatim. Walaupun ada anak sendiri, kita jangan bezakan dengan anak yatim itu. 

3. Jangan makan harta anak yatim. Bagi pengusaha pusat-pusat anak yatim, jangan main-main. Memang anak yatim selalu mudah dimanipulasi oleh orang-orang yang tidak bertanggung jawab. 

4. Jika kita mampu menjaga keluarga dan rumah tangga dengan baik dan adil, pasti kita juga akan mampu menjaga anak yatim dengan baik.


Ayat [4:3]

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟

"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."


Pengajaran


1. Orang yang terlibat menjaga anak yatim sehingga dewasa boleh berkahwin dengan anak yatim tersebut untuk menjaga kemaslahatan mereka. 

2. Allah benarkan lelaki berkahwin 2, 3 atau 4 jika mampu adil.

3. Adil (قِسْط) ada 3 komponen:

a. kaji maklumat

b. buat penilaian yang adil

c. buat apa yang dicakap berasaskan maklumat dan penilaian

4. Bila hendak berkahwin 2,3,4 mesti ada قِسْط. Jika  membuat penilaian tentang sesuatu keadaan pun tidak mampu, cukuplah berkahwin satu sahaja.


Ayat [4:4] Rahsia Memulakan Perkahwinan

وَءَاتُوا۟ ٱلنِّسَآءَ صَدُقَـٰتِهِنَّ نِحْلَةًۭ ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَىْءٍۢ مِّنْهُ نَفْسًۭا فَكُلُوهُ هَنِيٓـًۭٔا مَّرِيٓـًۭٔا

"Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya."


Pengajaran


1. Lelaki yang hendak berkahwin, wajib memberikan mahar kepada wanita yang ingin dikahwininya. 

2. Maskahwin Itu sebagai tanda amanah dan tanggung jawab menjaga wanita itu berpindah daripada ayah kepada suami. Namun hubungan silaturahim dengan ibu-ayah wanita masih perlu dijaga. 

3. Bila telah diberi mahar, jangan pula memaksa isteri untuk berbuat sesuatu sebagai 'ancaman' hanya kerana pemberian itu. Berilah dengan ikhlas.  

4. Wanita boleh memberi sebahagian maskahwinnya kepada suami asalkan dengan rela hati, tanpa paksaan atau ancaman.

5. Perkahwinan akan terasa nikmat dan tenang sekiranya suami isteri saling bantu membantu.

6. Al-Quran sebenarnya memperjuangkan hak wanita.


Ayat [4:5]

وَلَا تُؤْتُوا۟ ٱلسُّفَهَآءَ أَمْوَٰلَكُمُ ٱلَّتِى جَعَلَ ٱللَّهُ لَكُمْ قِيَـٰمًۭا وَٱرْزُقُوهُمْ فِيهَا وَٱكْسُوهُمْ وَقُولُوا۟ لَهُمْ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا

"Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik."


Pengajaran


1. Allah melarang orang yang menjaga anak yatim daripada memberikan harta kepada anak-anak yatim yang belum matang ( ٱلسُّفَهَآءَ ). 

2. Penjaga mesti uruskan harta anak yatim dengan baik. Guna harta itu untuk keperluan mereka, jangan pula guna untuk diri sendiri. 

3. Jangan berkasar dengan anak yatim. Mereka memerlukan kasih sayang. Mereka adalah anak-anak yang diperjuangkan di dalam al-Quran.

Ayat [4:6]

وَٱبْتَلُوا۟ ٱلْيَتَـٰمَىٰ حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغُوا۟ ٱلنِّكَاحَ فَإِنْ ءَانَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًۭا فَٱدْفَعُوٓا۟ إِلَيْهِمْ أَمْوَٰلَهُمْ ۖ وَلَا تَأْكُلُوهَآ إِسْرَافًۭا وَبِدَارًا أَن يَكْبَرُوا۟ ۚ وَمَن كَانَ غَنِيًّۭا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَن كَانَ فَقِيرًۭا فَلْيَأْكُلْ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِذَا دَفَعْتُمْ إِلَيْهِمْ أَمْوَٰلَهُمْ فَأَشْهِدُوا۟ عَلَيْهِمْ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبًۭا

"Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan)."


Pengajaran


1. Bila anak yatim sudah cukup matang, berilah harta kepada mereka. Lihat kematangan dari luaran/fizikal          ( ءَانَسْتُم).

2. Jangan melampau-lampau memakan harta anak yatim. Boleh guna sekadar keperluan asas untuk kehidupan. Ada kisah sahabat yang buat 2 dapur berlainan untuk anaknya dan anak yatim kerana mahu menjaga. 

3. Jangan tergesa-gesa (بِدَارًا) membelanjakan harta anak yatim, menghabiskan dengan cepat-cepat dengan tujuan tidak mahu memulangkan kepada anak yatim itu.

4. Jika kita berkemampuan, tidak payahlah menggunakan anak yatim itu, guna duit sendiri. Kalaupun kita  fakir, ambil sekadarnya ( بِٱلْمَعْرُوفِ ). 

5. Pastikan ada saksi apabila menyerahkan harta kepada anak yatim. 

6. Allahlah sebaik-baik pengawas di atas tiap sesuatu.

7. Jangan gunakan anak-anak yatim untuk meminta derma atau sedekah.

8. Ajk Masjid, Surau, kenal pasti anak-anak yatim di kawasan masing-masing dan bantu. 


RESOLUSI 

Ingat !!

1. Jaga silaturrahim pada setiap masa sebagai tanda takwa [4:1]

2. Perjuangkan anak yatim dalam masyarakat [4:2]

3. Jaga hak harta anak yatim, wanita, anak kecil dalam masyarakat dan jangan dipermainkan [4:5-6]


Lega kerana Allah SWT tegaskan tentang hak wanita dan anak yatim.


Saya jelas untuk jaga silaturrahim, perjuangkan hak wanita dan anak yatim.


Ya Allah, bantu kami untuk menjaga silaturrahim agar kami menjadi orang bertakwa. Berilah peluang kepada kami untuk membantu anak yatim. Jauhkan kami dari bersikap buruk kepada anak yatim. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...