PERKATAAN HARI INI
بَانَ / بَيَن Menjelaskan, hujah
523 kali disebut di dalam Al Quran.
SINOPSIS
- Pengambilan janji dari ahli kitab bahawa mereka akan menerangkan kitab suci kepada manusia, sikap mereka yang gemar dipuji kerana sesuatu yang sebenarnya tidak mereka lakukan [187-189]
- Seruan untuk memikirkan penciptaan langit dan bumi serta balasan bagi mereka yang beramal sama ada lelaki atau wanita [190-194]
Mukadimah
Alhamdulillah, kita sudah hampir ke penghujung surah ali-'Imran. Syukur kita diberi innayah (bantuan) oleh Allah untuk bersama-sama berjuang dengan keazaman yang kuat bagi menyelami mutiara yang terdapat dalam al-Quran.
Surah ini menceritakan tentang perjuangan Nabi SAW. Dalam izzah Nabi SAW diajarkan untuk merendah diri. Dalam keadaan rasa kurang tapi Allah pujuk Nabi dengan mengatakan 'kamu itu tinggi walaupun ada sedih dan lemah apabila kalah dalam perang Uhud'. Allah hendak mengajar kita supaya jaga amalan, kerana amalan kita ini bukannya terpisah daripada apa yang kita usahakan di atas muka bumi ini. Semuanya akan dikira di akhirat nanti.
Dalam perjuangan akan ada luka, terluka dan dilukai. Jangan biarkan luka itu membawa ke neraka. Biarlah luka itu membuat kita terus bersemangat berjuang sampai ke syurga.
Ayat [3:187]
وَإِذْ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَتُبَيِّنُنَّهُۥ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُۥ فَنَبَذُوهُ وَرَآءَ ظُهُورِهِمْ وَٱشْتَرَوْا۟ بِهِۦ ثَمَنًۭا قَلِيلًۭا ۖ فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ
"Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya". Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu."
Menurut Ibnu Abbas, nabi SAW pernah baca 10 ayat terakhir ini sewaktu tidur di rumah Maimunah. Paginya baginda SAW membaca ayat-ayat ini sambil memandang ke langit.
Pengajaran
- Kitab bukan untuk disimpan. Ia perlu dijelaskan kepada manusia. Siapa yang mendapat isi-isi ayat al-Quran, mesti dikongsi. Jangan jadi seperti orang dahulu yang menyembunyikan kebenaran di dalam kitab mereka. Ini gejala orang yang terdahulu. Dalam universiti kehidupan, kita mesti jelaskan kepada orang lain walaupun kita bukan ustaz atau ustazah.
- Orang dahulu membaling kebelakang kitab dan ia adalah satu jenayah. Jangan hanya utamakan buku-buku lain dan ketepikan al-Quran. Mereka hanya mahukan keuntungan untuk diri sendiri sahaja. Janganlah kita ulang perkara yang sama.
- Allah tidak suka orang yang tidak menghargai al-Quran kerana ini adalah hadiah yang paling istimewa kepada manusia.
Ayat [3:188]
لَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَآ أَتَوا۟ وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا۟ بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا۟ فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍۢ مِّنَ ٱلْعَذَابِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ
"Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya."
Pengajaran
- Orang-orang Bani Israel gembira dengan apa yang kononnya mereka lakukan tetapi yang sebenarnya, bukan mereka yang buat. Untuk beramal dengan ayat ini, janganlah kita melampau memuji ustaz/ustazah/penceramah. Takut bila kerap dipuji hati mereka akan dirosakkan oleh puji-pujian tersebut. Banyakkan doa untuk mereka. Biar mereka mendapat pujian dan semangat hanya daripada Allah SWT.
- Perbuatan menciplak (plagiat) itu adalah meniru perangai Bani Israel.
- Orang yang mengambil pujian bukan atas usaha sendiri akan mendapat azab yang pedih.
Ayat [3:189]
وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ
"Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Pengajaran
- Allah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Segala yang kita punyai adalah pinjaman daripada Allah SWT.
- Sentiasa ingat, hanya Allah SWT yang layak dipuji.
- Ketika kita berjaya pujilah Allah. Tidak berjaya pun, tetap puji Allah. Bila kita sering dipuji, takut kita lupa menisbahkannya kepada Allah yang sepatutnya dipuji.
- Allah ingatkan bahawa Dia Maha Berkuasa atas setiap makhluk-Nya.
- Rajin-rajinlah melihat ke langit supaya kita dapat merasakan diri kita adalah hamba yang amat kerdil.
Ayat [3:190]
إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;"
Ayat [3:191]
ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَـٰطِلًۭا سُبْحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
Pengajaran Ayat 190-191
- Ayat 190-191 ialah tentang ciri-ciri ulul-albab. Mereka yang ulul-albab adalah orang yang bersih hatinya. Terdapat 16 ayat di dalam al-Quran yang menyebut tentang ulul-albab. Ayat yang sudah kita pelajari ialah al-Baqarah [2:164].
- Latih hati supaya bersih agar dalam perjuangan kalau ada ujian kita tetap tenang dan berdoa yang baik-baik untuk orang yang menentang kita. Contoh: Baginda SAW memaafkan dan berdoa yang baik-baik untuk orang Taif yang menzalimi baginda.
- Gabungkan aktiviti zikir dan fikir supaya keimanan kepada Allah menjadi mantap. Ingat pada Allah ialah aktiviti iman. Tafakkur (fikir) tentang alam akan nampak kebesaran Allah. Nampak matahari dan rumput, kita fikirkan bahawa matahari memberi cahaya untuk mencantikkan rumput. Rumput mencantikkan alam dan menghasilkan oksigen umtuk manusia bernafas.
- Orang yang mendapat cahaya daripada al-Quran akan menjadi orang yang cantik budi pekertinya dan berguna kepada manusia lain.
- Orang ulul-albab sentiasa ingat kepada Allah dan memikir kejadian langit dan bumi. Contoh: Lihat air di dalam gelas, dia akan ingat bahawa dengan kuasa Allah, air tidak pernah 'mogok' dan tidak mengikut arahan untuk mengalir ke tekak semasa kita minum. Doakan semoga dapat minum air dari telaga Kautsar dan minta dijauhkan daripada terpaksa minum air neraka yang panas mendidih.
- Dengan ayat ini, Allah berikan rahsia penting untuk umat Islam membersihkan hati iaitu zikir, fikir dan doa.
- Sekarang terdapat Institusi Ulul-Albab dan ingat bahawa ia bukan institusi semata-mata. Cara berfikir semua mesti dialurkan kepada Allah. Apa yang dipelajari, dikaitkan dengan al-Quran. Nampak apa pun, seseorang akan ingat Allah dan mengambil pelajaran dari apa yang dilihat.
Ayat [3:192]
رَبَّنَآ إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ ٱلنَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُۥ ۖ وَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِنْ أَنصَارٍۢ
"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;"
Pengajaran
- Orang ulul-albab sedar bahawa masuk neraka itu sesuatu yang menggetarkan.
- Mereka tidak suka melihat pergaduhan/pembunuhan dan keburukan kerana keadaan itu boleh menyebabkan hilang deria dan perasaan kerana sudah terbiasa melihat yang buruk.
- Mereka yang biasa melihat kezaliman, merasakan sudah biasa dan tidak terkesan dengan kezaliman.
- Ingatlah! Orang-orang zalim, tidak dapat lari daripada azab Allah.
- Pengajaran untuk kita, elakkan diri daripada melihat perkara-perkara buruk (lihat aurat, movie/game yang ganas) agar hati kita bersih dan sentiasa ingat Allah.
- Hati boleh rosak dengan input tidak baik yang dimasukkan sehingga merasakan pertolongan Allah tidak penting.
Ayat [3:193]
رَّبَّنَآ إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًۭا يُنَادِى لِلْإِيمَـٰنِ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِرَبِّكُمْ فَـَٔامَنَّا ۚ رَبَّنَا فَٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّـَٔاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ ٱلْأَبْرَارِ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;"
Pengajaran
- Untuk membersihkan hati, kita mestilah sensitif kepada seruan Nabi SAW. Apa yang Nabi buat kita ikut. Yang Nabi tak suka kita elak. Ikutlah sunnah Nabi SAW.
- يُنَادِى bermakna memanggil dari jauh. Nabi SAW sudah jauh daripada kita tetapi bila hati bersih dan dijaga betul-betul, kita akan mudah dapat mengikut suruhan Allah dan rasul.
- Orang ulul-albab sentiasa berdoa mohon kepada Allah untuk:
- beriman kepada-Nya
- diampunkan dosa-dosa
- ditutup aib
- dimatikan bersama orang-orang yang berbakti
Ayat [3:194]
رَبَّنَا وَءَاتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ
"Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."
Pengajaran
1. Allah ajarkan supaya orang ulul-alab berdoa memohon:
a. kebaikan seperti yang Allah janjikan kepada rasul-rasul dan untuk orang-orang yang mengikuti mereka,
b. agar tidak dihina pada hari kiamat
2. Allah tidak pernah mungkir janji. Allah bukan sekadar memberi apa yang dijanjikan, malah memberi lebih dari itu.
RESOLUSI
Ingat !!
1. Sebarkan al Quran dan jangan sembunyikan isi kandungannya serta kebenaran al-Quran [3:187]
2. Buat kerja dengan sebaiknya dan jangan mengambil pujian atas kerja yang tidak dilakukan [3:188]
3. Berfikir dan berzikir untuk terus merasai kehebatan Allah [3:191]
Lega kerana Allah SWT ajar cara menjadi ulul-albab.
Saya jelas untuk sebarkan al-Quran, buat kerja dengan baik dan tidak plagiat. Saya mesti jadi orang yang sentiasa berfikir dan berzikir agar dapat merasakan kehebatan Allah SWT.
Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan ulul-albab. Ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti. Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.
Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami, permudahkan segala urusan dalam hidup kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.