Thursday, June 1, 2023

Halaman 96 Al-Nisa', 4:106-113

 Perkataan hari ini          

غَفَرَ   Ampun, menutup kesilapan

234 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Istighfar, jangan khianat dan jaga amanah biarpun makan diri sendiri [4:106-113]


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan kisah semalam, jangan menyokong orang yang khianat. Kisah yang berlaku adalah untuk kita ambil pelajaran pada tahun ini dan pada tahun-tahun yang akan datang. Kalau kita bergantung kepada percakapan kita semata-mata, kita tidak ada kekuatan. Tetapi kalau kita  bergantung kepada tali Allah, maka inilah yang akan menjemput bantuan daripada Allah, 'nasrullah' untuk kita hadapi cabaran demi cabaran yang melanda pada tahun ini.


Hendaklah kita menyemak bacaan al-Fatihah supaya dapat membaca dengan cara terbaik. Kita perlu pastikan yang kita bukan hanya 'outsource' sahaja kepada imam untuk membacanya. Kita belajar agar dapat membaca dengan betul dan faham dengan baik agar dapat membina hubungan yang rapat dengan Allah SWT.


Pada hari ini kita akan melihat bagaimana pendirian Nabi SAW yang diajar oleh Allah apabila ada orang Islam yang melakukan kesilapan dan cuba berlindung di sebalik Islam. Iaitu kisah tentang Tu'mah, seorang lelaki Islam, yang mencuri perisai dan menyembunyikan di rumah seorang Yahudi seperti yang kita belajar semalam. Saudara mara dan kerabatnya melindunginya. Mereka menggunakan sentimen Yahudi memang musuh untuk mempengaruhi Nabi SAW. Dengan izin Allah, Nabi SAW terpelihara.


Semoga ini menjadi panduan dalam kehidupan kita.


Ayat [4:106]


وَٱسْتَغْفِرِ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا


"Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Dalam hadis yang disebut dalam tafsir Hamka, ada kisah dua orang Ansar berjumpa Nabi SAW tentang warisan. Nabi SAW bersabda: "Kamu datang kepadaku membawa perkara minta diselesaikan sedangkan aku hanyalah seorang manusia. Mungkin sekali salah seorang daripada kamu yang kelu lidahnya mengemukakan hujjah sedangkan aku menghukum menurut apa yang aku dengar. Jikalau kamu merasa ada hukumku yang merugikan saudaranya, jangan diambil kerana itu adalah sepotong dari api akan membakarnya tergolong di hari kiamat." Dua orang Ansar itu menangis mendengar sabda Baginda SAW. Kedua-duanya terus halal menghalalkan dan berbaik-baik. Itulah cara seorang hakim yang membuat keputusan berasaskan kitab Allah yang sempurna. Sebagai manusia kita mungkin tersilap dalam membuat keputusan kerana ada pihak yang pandai berdalih dan menjadi saksi yang menipu.


Mesej:


  1. Allah memulakan dengan وَٱسْتَغْفِرِ ٱللَّهَ (mohonlah keampunan daripada Allah). Ini adalah seruan Allah kepada kita semua terutama para hakim, peguam juga ibu ayah di rumah yang membuat keputusan di mahkamah, tentang anak-anak yang bergaduh atau di pejabat. Selepas membuat keputusan, kita kena istighfar kepada Allah SWT. 

  2. Ayat ini memberi harapan kepada hakim agar jangan takut asalkan kita berazam untuk kembali kepada kitab Allah.  Kitab Allah sempurna cuma manusia yang kadang-kadang silap.

  3. Hendaklah kita berhukum mengikut al-Quran dan menegakkan sunnah Nabi, bukan untuk menganiaya orang lain atau untuk mengaut keuntungan peribadi/keluarga/organisasi.  

  4. Sebagai ketua dalam rumah, pejabat, organisasi dan negeri, hendaklah kita selalu beristighfar. Jangan over confident kerana kesilapan kita boleh menyebabkan disambar oleh api neraka kerana menyokong kepada orang-orang yang zalim.

  5. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. 


Ayat [4:107]


وَلَا تُجَٰدِلْ عَنِ ٱلَّذِينَ يَخْتَانُونَ أَنفُسَهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيمًا


"Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa."


Mesej:


  1. Allah mengingatkan kita supaya jangan berdebat untuk mempertahan orang yang khianat. 

  2. Orang yang khianat atau sesiapa yang melindunginya, akan selalu bergelumang dengan dosa kerana menyebabkan kesusahan kepada orang yang dikhianati. Contoh: 'Scammer' sekarang ini banyak menyusahkan hidup orang lain dengan penipuan-penipuan yang dibuat. 

  3. Allah tidak suka kepada orang yang menyusahkan hidup orang lain dan dosanya akan berterusan.


Ayat [4:108]


يَسْتَخْفُونَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَلَا يَسْتَخْفُونَ مِنَ ٱللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ يُبَيِّتُونَ مَا لَا يَرْضَىٰ مِنَ ٱلْقَوْلِ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطًا


"Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan."


Mesej:


  1. Allah mengingatkan kita bahawa orang yang khianat tidak akan dapat melepaskan diri daripada Allah.

  2. Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat kerana Allah sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan walaupun dibuat secara bersembunyi. 

  3. Allah tidak redha dengan perbuatan khianat. 


Ayat lain tentang hal ini: Surah al-Mujadilah, (58:7)

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ مَا يَكُونُ مِن نَّجْوَىٰ ثَلَٰثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلَآ أَدْنَىٰ مِن ذَٰلِكَ وَلَآ أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا۟ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ


"Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."


Ayat [4:109]


هَٰٓأَنتُمْ هَٰٓؤُلَآءِ جَٰدَلْتُمْ عَنْهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فَمَن يُجَٰدِلُ ٱللَّهَ عَنْهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ أَم مَّن يَكُونُ عَلَيْهِمْ وَكِيلًا


"Sedarlah! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)?"


Mesej:


  1. Allah ingatkan bahawa orang yang membuat khianat mungkin boleh terlepas di dunia tapi di akhirat mereka tidak akan terlepas daripada siksaan Allah.

  2. Janganlah kita menyembunyikan kebenaran dan membela orang yang jelas bersalah walaupun yang bersalah itu adalah kaum kerabat kita.

  3. Berhukumlah dengan peraturan Allah supaya kita tidak mengkhianati sesiapa dan supaya kita terlepas daripada hukuman Allah.

  4. Hendaklah kita jaga keamanan dan menyokong keadilan. Jangan sokong orang yang khianat atau tidak amanah walaupun mereka adalah kaum atau agama yang sama dengan kita.

  5. Al-Quran mengajar keadilan tidak mengenal ras bangsa dan agama.


Ayat [4:110]


وَمَن يَعْمَلْ سُوٓءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُۥ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ ٱللَّهَ يَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا


"Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Mesej:


  1. Allah menggunakan perkataan  يَعْمَل  yang bermaksud buat sesuatu dengan niat. Beza dengan perkataan  فعل  iaitu buat tanpa merancang. 

  2. Cepat-cepatlah bertaubat bila sedar kita buat kesilapan. 

  3. Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani akan memberi keampunan kepada sesiapa yang minta ampun atas sesuatu kejahatan (سُوٓءًا ).


Ayat [4:111]


وَمَن يَكْسِبْ إِثْمًا فَإِنَّمَا يَكْسِبُهُۥ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا


"Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."


Mesej:


  1. Kesan berbuat dosa itu merosakkan kehormatan diri dan kaum itu sendiri. 

  2. Allah Maha Mengetahui, Allah boleh bongkar bila-bila masa. 

  3. Allah ialah hakim terbaik. Allah akan mengadili di dunia dan kalau terlepas di dunia, sampai akhirat akan terbongkar juga. 

  4. Teruslah menjaga amanah. Jangan 'asobiah' untuk melindungi kumpulan kita apabila jelas membuat kesalahan.


Ayat [4:112]


وَمَن يَكْسِبْ خَطِيٓـَٔةً أَوْ إِثْمًا ثُمَّ يَرْمِ بِهِۦ بَرِيٓـًٔا فَقَدِ ٱحْتَمَلَ بُهْتَٰنًا وَإِثْمًا مُّبِينًا


"Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata."


Mesej:


  1. Allah mengingatkan sesiapa yang membuat kesalahan atau dosa dan menuduh orang lain bersalah, dia memikul dosa yang nyata.

  2. Allah akan membersihkan orang yang tidak bersalah.

  3. Jangan menyokong orang yang tidak betul. Jangan pula orang yang bersalah dilindungi, yang tidak bersalah dihukum.


Ayat [4:113]


وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكَ وَرَحْمَتُهُۥ لَهَمَّت طَّآئِفَةٌ مِّنْهُمْ أَن يُضِلُّوكَ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَضُرُّونَكَ مِن شَىْءٍ وَأَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُن تَعْلَمُ وَكَانَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا


"Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar."


Mesej:


  1. Ada golongan yang cuba mengelirukan orang tetapi sebenarnya mereka mengelirukan diri mereka sendiri. Mereka menyesatkan, menyebabkan diri mereka bahaya.

  2. Allah akan menjaga kita daripada dikelirukan sekiranya kita ikut panduan al-Quran. 

  3. Bila kita berpegang pada al-Quran, Allah akan memberi rahmat-Nya, kita tidak akan terburu-buru membuat penilaian dan keputusan. 

  4. Allah akan mengajar apa yang tidak kita ketahui. Allah beri pengalaman yang mematangkan kita dan kita tidak akan mudah dikelirukan oleh orang lain. 

  5. Kurniaan Allah amat besar. Nabi SAW tidak diberi harta tetapi diberikan cahaya jiwa, cahaya iman, cahaya risalah dan cahaya nubuwwah. 

  6. Sebagai orang beriman kita mendapat ganjaran yang besar iaitu sunnah Nabi dan keimanan daripada al-Quran.

  7. Kita hendak nama kita bersih di sisi Allah. Kalau tersilap cepat-cepat bertaubat.

  8. Dosa akan mejauhkan kita daripada rahmat Allah.


RESOLUSI MTQ134


Ingat !!

  1. Banyakkan istighfar agar jangan khianat [4:106]

  2. Jangan membela orang yang khianat atau tidak amanah [4:109]

  3. Elakkan dosa kerana ia akan merosakkan diri sendiri [4:111]


Lega kerana Allah SWT akan kuatkan harapan saya sekiranya saya jaga solat.


Saya jelas untuk utamakan solat dalam semua keadaan agar Allah kuatkan semangat dan motivasi saya untuk berjuang membuat kebaikan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.


Ya Allah, bantulah kami untuk terus berjuang fi sabilillah dan berhijrah kepada kebaikan. Terimalah amal kebaikan kami. Ampun dan maaf segala kelemahan dan kekurangan kami dalam membuat keputusan yang mungkin tidak selari dengan panduan al-Quran. Jadikan kami dan keturunan kami orang yang taat mengerjakan solat di awal waktu.


Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...