Thursday, June 1, 2023

Halaman 97 Al-Nisa', 4:114-121

 Perkataan hari ini          

فَعَلَ  Melaksanakan, membuat

108 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Bentuk-bentuk pembicaraan rahsia dan tertutup yang baik [114]

  2. Hukuman atas perbuatan memusuhi Rasulullah SAW serta mengikut selain jalan orang-orang Mukmin (Ijma') [115]

  3. Syirik dan kesannya, syaitan dan keburukan- keburukannya, pahala iman dan amal soleh [116-121]


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dapat meneruskan pembelajaran pada surah keempat iaitu Surah Al-Nisa'. Surah ini memberi gambaran besar (big picture), panduan, peraturan dan mengajar bagaimana kita menguruskan keluarga, rumahtangga dan manusia dalam kehidupan kita dalam kalangan orang beriman, juga orang yang ada penyakit di dalam hatinya. 


Surah al-Fatihah adalah induk dan sinopsis kepada al-Quran. Allah menekankan tentang hubungan dengan Allah (akidah) tentang fitrah kita yang meng-Esakan Allah SWT, dan memuji kepada Allah. Yang yang keduanya kita sebagai hamba kepada Allah dan yang ketiga tentang sirath, jalan kehidupan yang kita mohon kepada Allah ditunjukkan jalan yang lurus untuk kita mengemudi kehidupan pada zaman ini dengan hidayah dan panduan cahaya daripada Allah SWT.


Pada halaman 97 ini kita ingin baca, faham dan berusaha beramal dengan ayat-ayat Allah. Bagaimana perbicaraan-perbicaraan yang dibenarkan, sifat-sifat yang baik untuk sama-sama kita contohi yang sudah pasti memberi bimbingan dan panduan kepada kita. Tinggal lagi, sama ada kita mahu atau tidak untuk menggali al-Quran dan melihat bagaimana rahmatnya Allah SWT yang memberi penyelesaian dalam kehidupan kita di dunia ini. 


Ayat [4:114]


لَّا خَيْرَ فِى كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَىٰهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَٰحٍۭ بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا


"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”


Asbabun nuzul: Ini kesinambungan kisah Tu'mah yang mencuri perisai dan menuduh seorang Yahudi itu (Zaid bin Sumayr) mencuri perisai tersebut. Kaumnya berbisik-bisik dan cuba mempengaruhi Nabi SAW supaya Yahudi itu dihukum. 


Mesej:


  1. Allah memberi panduan bahawa  tidak ada kebaikan pada berbisik-bisik (نَّجْوَىٰ) , kecuali untuk tiga perkara:

    1. Bebisik-bisik untuk bersedekah atau berzakat (أَمَرَ بِصَدَقَةٍ). Ini supaya orang yang menerima tidak merasa malu dengan keadaannya. Orang yang memberi pula mungkin tidak mahu merasa riak dengan pemberiannya.

    2. Berbisik-bisik untuk membuat kebaikan (مَعْرُوفٍ). Contohnya berbisik kepada pemimpin atau sesiapa sahaja dengan tujuan untuk melakukan kebaikan.

    3. Berbisik-bisik untuk mendamaikan dua belah pihak yang bergaduh (إِصْلَٰحٍۭ بَيْنَ ٱلنَّاسِ). 

  2. Sesiapa yang melakukan  نَّجْوَىٰ untuk tiga perkara di atas semata-mata untuk mendapat redha Allah akan diberi ganjaran yang besar (أَجْرًا عَظِيمًا) oleh Allah SWT.


Ayat [4:115]


وَمَن يُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ ٱلْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ ٱلْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِۦ جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيرًا


"Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."


Mesej:


  1. Allah murka kepada sesiapa yang menyusahkan Nabi SAW dan orang beriman.

  2. Perbuatan  نَّجْوَىٰ yang tidak dibenarkan boleh menyebabkan fitnah kepada agama kita.

  3. Janganlah kita mementingkan diri atau kaum sendiri sehingga membelakangkan petunjuk daripada al-Quran. 

  4. Kita hendaklah taat kepada Allah dan Rasul 100%. 

  5. Orang yang menentang Rasul SAW akan mendapat balasan neraka jahanam.


Ayat [4:116]


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَٰلًۢا بَعِيدًا


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."


Di halaman 86, pada ayat [4: 48] telah disebutkan bahawa Allah tidak mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya. Iaitu ahli kitab yang memutarbelitkan kitab Taurat dan mereka tidak mahu menerima al-Quran dan Rasul. Perbuatan mereka itu mengundang murka Allah.


Mesej:


  1. Allah tidak mengampunkan orang yang syirik.

  2. Allah mengampunkan dosa-dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.

  3. Orang yang syirik itu tersesat jauh walaupun setelah memperoleh ilmu dan hidayah. 

  4. Hendaklah kita berwaspada agar tidak melakukan perbuatan syirik dan perbuatan yang mengingkari Rasul SAW. 

  5. Orang Munafik ada virus dalam hati mereka  kerana melakukan syirik dengan bertuhankan nafsu, harta atau orang di sekeliling mereka. 


Ayat [4:117]


إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦٓ إِلَّآ إِنَٰثًا وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطَٰنًا مَّرِيدًا


"Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;"


Ayat [4:118]


لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا


"Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: "Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku);"


Mesej ayat 117-118


  1. Orang yang syirik sebenarnya menyembah syaitan yang derhaka. 

  2. Syaitan telah dilaknat oleh Allah SWT dan mereka sentiasa menggoda kita untuk buat perkara yang tidak betul supaya menjadi teman mereka di neraka. Contoh: Syaitan goda Nabi Adam untuk makan buah yang dilarang oleh Allah SWT dan menggoda Nabi Yunus sehingga merajuk meninggalkan kaumnya yang tidak mahu ikut ajaranya. Nabi-nabi terselamat kerana mereka dilindungi oleh hidayah Allah.

  3. Hendaklah kita sentiasa memohon perlindungan Allah SWT daripada godaan syaitan yang derhaka.


Ayat [4:119]


وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَءَامُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلْأَنْعَٰمِ وَلَءَامُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ ٱللَّهِ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيْطَٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا


"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata."


Ayat [4:120]


يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيْطَٰنُ إِلَّا غُرُورًا


"Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata."


Ayat [4:121]


أُو۟لَٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا


"Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya."


Mesej ayat 119-121


  1. Syaitan menyesatkan manusia  dengan berbagai cara:

    1. membiarkan manusia dengan angan-angan yang tidak dapat dicapai (وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ). Contoh: Godaan syaitan disuruhnya mendapat ketenangan dengan minum arak atau merokok. 

    2. menyuruh melakukan perkara-perkara yang tidak patut. Contoh: Di zaman jahiliah, jika binatang ternakannya mendapat anak kelima, akan digunting sedikit telinga sebagai tanda 'tuah' atau suci.

    3. menyuruh manusia menukar ciptaan Allah (فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ ٱللَّهِ). Ibnu Abbas mengatakan ia adalah menukar agama Allah. Zaman sekarang ada yang buat tatoo atau cukur bulu kening tanpa sebab.

  2. Sesiapa yang ikut syaitan, mereka berada dalam kerugian yang nyata. 

  3. Apabila membaca al-Quran, baca ‘basmallah’ (بسم الله الرحمن الرحيم) di awal surah. Jika membaca ayat-ayat tentang syaitan, mohon perlindungan dengan berta’awuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم). Antara adab membaca basmalah jika di tengah-tengah surah, disarankan untuk melihat dahulu makna ayat yang ingin dibaca. Lihat kesesuaian samada perlu membaca basmalah ataupun ta’awuz.

  4. Syaitan menjanjikan (يَعِدُهُمْ) yang sia-sia dan angan-angan kosong (وَيُمَنِّيهِمْ). 

  5. Syaitan itu sifatnya memperdayakan. Syaitan bukan hanya ajak berbuat keburukan dan maksiat sahaja, syaitan juga menggoda orang baik untuk tertipu dengan kebaikan yang dilakukannya. Contohnya orang yang selfie untuk menunjukkan dirinya sudah solat, riak dan bukan untuk mengajak orang melakukan kebaikan. 

  6. Janganlah kita tertipu oleh syaitan sehingga hanya berangan-angan kosong. Kita rasa sudah buat kebaikan, sedangkan perbuatan itu tidak diterima Allah kerana riak, ujub atau sum'ah.

  7. Hendaklah kita selamatkan diri daripada syaitan durjana sementara masih di dunia dengan mengambil peringatan daripada al-Quran. Bila sampai ke akhirat, sudah terlambat ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur'.

  8. Bersihkan diri daripada perbuatan syirik agar kita tidak termasuk dalam golongan orang yang dilaknat oleh Allah SWT. Contoh syirik yang ramai buat sekarang: Letak dream catcher dalam kereta



RESOLUSI MTQ135

Ingat !!

  1. Elakkan mesyuarat lain kecuali untuk sedekah dan kebaikan atau pembaikan [114]

  2. Semak dan elakkan diri daripada terlibat dengan amalan syirik [116]

  3. Berhati-hati dan elakkan ikut syaitan dalam hidup [119]


Lega kerana Allah SWT peringatkan lagi tentang perangai syaitan yang memang sentiasa menggoda kita untuk jadi temannya di neraka.


Saya jelas untuk elakkan berbisik-bisik kecuali untuk sedekah, kebaikan atau pembaikan. Saya mesti semak dan elakkan diri daripada terlibat denga amalan syirik. Saya juga mesti berhati-hati untuk elakkan ikut syaitan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami. Ya Allah, jauhi kami daripada berbisik-bisik kepada kejahatan. Bantu kami untuk sedekah, buat kebaikan dan pembaikan. Jauhi kami daripada perbuatan syirik. Lindungi kami daripada godaan syaitan yang menyesatkan. Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami, terima taubat kami dan kurniakan rahmat kepada kami. Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...