Thursday, June 1, 2023

Halaman 95 Al-Nisa', 4:102-105

 Perkataan hari ini          

سَجَدَ  Bersujud

92 kali disebut di dalam a-Quran



SINOPSIS   


  1. Solat khauf - takut di medan perang (102-103)

  2. Perintah berperang dengan tanpa memikirkan rasa sakit, dan menantikan salah satu daripada dua kebaikan (104)

  3. Memberikan keputusan hukum dan menjalankan pengadilan dengan berlandaskan kebenaran dan keadilan mutlak (105)


Mukaddimah


Alhamdulillah kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah al-Nisa', surah Madaniyyah yang penuh dengan peraturan dan memperjuangkan hak orang-orang yang lemah. Al-Fatihah yang dibaca berulang kali mengingatkan bahawa kita memerlukan hidayah untuk berjuang.


Dalam ayat 101, walaupun ketakutan dalam medan perang, Allah memerintahkan supaya menjaga solat dan boleh dipendekkan bagi solat 4 rakaat.


Ayat [4:102]


وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَلْتَقُمْ طَآئِفَةٌۭ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوٓا۟ أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا۟ فَلْيَكُونُوا۟ مِن وَرَآئِكُمْ وَلْتَأْتِ طَآئِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا۟ فَلْيُصَلُّوا۟ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا۟ حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ ۗ وَدَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةًۭ وَٰحِدَةًۭ ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن كَانَ بِكُمْ أَذًۭى مِّن مَّطَرٍ أَوْ كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَن تَضَعُوٓا۟ أَسْلِحَتَكُمْ ۖ وَخُذُوا۟ حِذْرَكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابًۭا مُّهِينًۭا

" Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina."


Mesej:


  1. Allah mengajar cara solat dalam medan perang. Walaupun tengah berjihad atau berhijrah, tetapi sesorang itu mesti jaga solat.

  2. Berjihad dan berhijrah adalah untuk menuju kepada Allah. Salah satu tanda iman ialah solat. Kita berjuang untuk solat, dalam berjuang juga kena solat.

  3. Cara solat di medan perang (solat khauf):

    1. Solat berjemaah.

    2. Satu puak berjemaah bersama iman sambil memegang senjata ( أَسْلِحَتَهُمْ ) sehingga sujud, kemudian berundur ke belakang untuk berjaga-jaga dan selesaikan satu rakaat lagi sendiri.

    3. Lepas puak puak kedua pula masuk saf untuk berjemaah bersama imam dengan terus memegang senjata, solat berjemaah rakaat pertama dan selesaikan rakaat kedua sendiri.

  4. Orang kufur tidak sembahyang dan mereka tidak suka orang yang sembahyang. 

  5. Ketika solat pun, disuruh membawa senjata kerana jika apa-apa berlaku, mereka sudah bersedia. 'Impression' kepada musuh perlu diuruskan. Yang uzur  bolehlah meletak senjata dan tidak berdosa bagi mereka. 

  6. Allah sediakan untuk orang kafir azab yang menghinakan.

  7. Untuk kejayaan, ada 2 perkara yang mesti dijaga:

    1. Usaha di peringkat tentera Islam - Pegang senjata dan berjaga-jaga.

    2. Jaga solat, dalam apa keadaan sekali pun. 

  8. Menurut Hamka dalam tafsirnya, walau dalam berusaha macam manapun, kalau tidak jaga solat, amalan kita tidak diterima. Contoh: Dalam keadaan kita bekerja seperti frontliners, jangan tinggalkan solat atau lewatkan solat. Kita perlu pertolongan Allah dan mahu Allah redha kepada kita, maka dengan solatlah kita memohon bantuan-Nya.

  9. Sujud tetap wajib dibuat walaupun kita rasa kita sudah hero. Hero terbaik, bila sampai masanya, ia tunduk sujud kepada Allah kerana mahu menjadi hero yang diterima Allah, bukan hero yang dimurkai Allah.


Ayat [4:103]


فَإِذَا قَضَيْتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا ٱطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًۭا مَّوْقُوتًۭا


"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."


Mesej:


  1. Allah ingatkan kepada kita bahawa solat adalah kewajipan dan hendaklah solat di awal waktu. 

  2. Setelah selesai solat, ingat Allah banyak-banyak ketika berdiri, duduk, baring. 

  3. Solat adalah ubat bagi orang yang beriman. Bila di dalam hidup rasa tidak tenang dan diisi dengan tengok movie, berborak atau minum arak ia umpama meminum air laut. Makin banyak diminum, semakin haus.

  4. Dalam keadaan perang dibolehkan solat khauf. Bila sudah aman hendaklah solat dengan sempurna seperti biasa.


Ayat [4:104]


وَلَا تَهِنُوا۟ فِى ٱبْتِغَآءِ ٱلْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا۟ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا


"Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."


Mesej:


  1. Allah mengingatkan kita supaya jangan lemah ( تَهِنُوا۟ ) dalam berjuang menghadapi cabaran. 

  2. Kadang-kadang kita ada rasa sedih, sakit, disakiti dan tersakiti. Itu adalah biasa. Musuh yang tidak beriman juga ada cabaran ini. Bezanya, kita ada harapan, kita ada Allah. Allah tidak akan tinggalkan kita.

  3. Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah punya ilmu yang luas. Kalau kita selalu dekat dengan Allah, Allah boleh beri kita kebijaksanaan untuk merancang strategi walaupun kita rasa sudah tidak keruan. Allah boleh beri ilham kepada orang tertentu dan akhirnya semua kembali kepada hikmah daripada Allah SWT. Allah sebut dalam Surah Yasin, "Demi Quran yang penuh hikmah".

  4. Jika kita menjaga solat pada awal waktu, walau apa berita buruk yang datang, kita tidak akan risau. Jika kita fokus kepada solat, insya Allah semangat positif kita itu akan dibantu oleh Allah.


Surah al-Baqarah, Surah ali-'Imran dan surah al-Nisa' sarat dengan peraturan-peraturan berat yang mesti kita fahami betul-betul supaya dapat membina iman yang mantap. 


Ayat [4:105]


إِنَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيمًۭا


"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat."


Asbabun Nuzul ayat ini:  Seorang lelaki bernama Tu'mah mencuri barangan/perisai dan disembunyikan di rumah seorang Yahudi. Tu'mah tidak mengaku perbuatannya dan menuduh Yahudi itu yang mencuri. Hal ini diberitahu oleh kerabat Tu'mah kepada Nabi SAW yang mahu Baginda SAW  membela Tu'mah dan menghukum orang Yahudi itu. Nabi SAW hampir percaya lalu turun ayat ini untuk menegur Baginda SAW.


Mesej:


  1. Al-Quran adalah perlembagaan yang menjadi sumber hukum kepada seluruh manusia, bukan untuk orang Islam sahaja. 

  2. Nabi SAW berhukum dengan ijtihad yang diajar oleh Allah. Inilah juga tugas hakim di mahkamah atau di pejabat kadi untuk menggunakan al-Quran sebagai perlembagaan kerana ia datang daripada Allah SWT yang penuh dengan kebenaran.

  3. Jangan kita membela orang yang khianat dan penentang kepada orang yang benar. 

  4. Sebagai manusia, walaupun merujuk al-Quran, penilaian kita mungkin merugikan orang tertentu, jadi hendaklah kita beristighfar setiap kali memutuskan sesuatu perkara.


RESOLUSI MTQ133


Ingat !!

  1. Utamakan solat walaupun ketika perang atau sakit (102)

  2. Dirikan solat pada waktunya, jangan bertangguh (103)

  3. Selalu kuatkan harapan kepada Allah SWT biarpun terluka pada jalan Allah SWT (104)


Lega kerana Allah SWT akan kuatkan harapan saya sekiranya saya jaga solat.


Saya jelas untuk utamakan solat dalam semua keadaan agar Allah kuatkan semangat dan motivasi saya untuk berjuang membuat kebaikan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.


Ya Allah, bantulah kami untuk terus berjuang fi sabilillah dan berhijrah kepada kebaikan. Terimalah amal kebaikan kami. Ampun dan maaf segala kelemahan dan kekurangan kami dalam membuat keputusan yang mungkin tidak selari dengan panduan al-Quran. Jadikan kami dan keturunan kami orang yang taat mengerjakan solat di awal waktu.


Ya Allah, Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.





Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...