Tuesday, August 1, 2023

Halaman 250 : Al-Ra'd, 13:6-13

PERKATAAN HARI INI


عَجِلَ Segera, tergesa-gesa. 
47 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Meminta disegerakannya azab dan bukti utuh kepada Nabi Muhammad SAW (13:6-7)
  2. Beberapa manifestasi ilmu Allah SWT yang meliputi segala sesuatu (13:8-11)
  3. Beberapa bentuk manifestasi Uluhiyyah Allah SWT, Rububiyyah-Nya dan kuasanya (13:12-13)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat baca, faham, amal pada 9 Zulhijjah yang amat istimewa. Seperti hujjaj di Arafah, kita juga sepatutnya duduk diam, melihat ke dalam diri, bertaubat dan berazam untuk perbaiki diri.


Ayat 13:6


وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلسَّيِّئَةِ قَبْلَ ٱلْحَسَنَةِ وَقَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِمُ ٱلْمَثُلَـٰتُ ۗ وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍۢ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلْمِهِمْ ۖ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٦

Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan) sebelum mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir seperti mereka. dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).


Pengajaran

  1. Surah Al-Ra'd berbeza caranya berbanding Surah Yusuf. Allah SWT membuktikan berbagai perkara yang dipersoalkan oleh orang-orang yang ragu kepada Allah SWT. Mereka membuat kemungkaran dan degil kepada Allah SWT yang memberi kesan kepada manusia. 
  2. Tanda degil ialah apabila mereka meminta azab dipercepatkan, mencabar Allah SWT dan Rasul. 
  3. Allah SWT memperingatkan kita agar ambil pelajaran daripada orang-orang yang degil ini. Hendaklah kita ingat bahawa Allah SWT sentiasa perhatikan kita. Kalau degil, kita sendiri yang akan stres seperti contoh abang-abang Nabi Yusuf AS.
  4. Allah SWT menawarkan keampunan kepada seluruh manusia atas kezaliman yang telah berlaku walaupun manusia ini degil, minta diberi azab dan mencabar Allah SWT. Jangan kita ambil enteng, balasan daripada Allah SWT adalah amat berat (شَدِيدُ).
  5. Apa yang terjadi di dunia ini tidak cukup berat dengan apa yang akan berlaku di akhirat. Janganlah meminta azab disegerakan. 


Ayat 13:7


وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌۭ مِّن رَّبِّهِۦٓ ۗ إِنَّمَآ أَنتَ مُنذِرٌۭ ۖ وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ ٧

Dan berkatalah orang-orang yang kafir: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya?" Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.


Pengajaran

  1. Allah SWT sudah turunkan kitab sebagai mukjizat tetapi orang-orang kafir terus meminta mukjizat. 
  2. Allah SWT ingatkan Nabi SAW baginda adalah pemberi peringatan sahaja, begitu juga dengan kita. Kalau ada orang yang cabar kita, jangan layan. 
  3. Jangan biarkan kita dipimpin oleh orang-orang yang mencabar Allah SWT. Hendaklah kita terus mengajak mereka kepada kebaikan.


Ayat 13:8


ٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنثَىٰ وَمَا تَغِيضُ ٱلْأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ ۖ وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ ٨

Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.


Pengajaran

  1. Allah SWT lebih mengetahui apa yang diminta-minta oleh orang-orang kafir. 
  2. Allah SWT menunjukkan kehebatannya. Allah SWT mengetahui apa yang dikandung oleh setiap wanita,  dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Ini menceritakan bahawa setiap masa ibu mengandung itu Allah SWT tahu. 
  3. Bagi ibu yang mengandung, ia amat sensitif tentang masa. Mengira-ngira berapa bulan kandungan untuk bersedia melahirkan kandungannya.
  4. Allah SWT lebih mengetahui berbanding dengan orang yang mencabarNya. Yang penting, dalam keadaan pandemik ini kita dapat melihat kebesaran Allah SWT, kita berhenti sebentar melihat ke dalam diri, adakah kita betul-betul menghargai al-Quran.
  5. Janganlah kita meminta disegerakan sesuatu. Allah SWT memberi pada kadarnya dan kita kena berusaha mendekatkan diri kepadaNya.


Ayat 13:9


عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ٱلْكَبِيرُ ٱلْمُتَعَالِ ٩

Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya).


Pengajaran

  1. Allah SWT mengetahui  perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata. 
  2. Allah SWT Maha Besar lagi Maha Tinggi.


Ayat 13:10


سَوَآءٌۭ مِّنكُم مَّنْ أَسَرَّ ٱلْقَوْلَ وَمَن جَهَرَ بِهِۦ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفٍۭ بِٱلَّيْلِ وَسَارِبٌۢ بِٱلنَّهَارِ ١٠

Sama sahaja kepadaNya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.


Pengajaran

  1. Allah SWT tahu semuanya, walaupun kita simpan di dalam hati atau menyatakannya.
  2. Allah SWT juga tahu  yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.
  3. Semoga Allah SWT terus memandu dan menjaga kita.


Ayat 13:11


لَهُۥ مُعَقِّبَـٰتٌۭ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوْمٍۢ سُوٓءًۭا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. 


Pengajaran

  1. Allah SWT memberitahu bahawa setiap manusia ada malaikat yang menjaganya secara dekat mengikut perintahNya. 
  2. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah kebaikan yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubahnya dengan melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan kehendak Allah SWT. 
  3. Allah SWT Maha Berkuasa. Apabila Allah SWT menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana yang disebabkan kesalahan mereka sendiri, maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada Allah. 
  4. Hendaklah kita berjaga-jaga dengan amalan Law of Attraction kerana sebenarnya kita ini tidak ada apa-apa pun. Kalau kita hendakkan kebaikan dalam dunia ini kita kena kekal mengikut perintah Allah SWT dan jangan ubah. 
  5. Kalau kita faham al-Quran, kita ikut betul-betul, malaikat akan menjaga kita dengan perintah daripada Allah SWT. 
  6. Semoga kita terhindar daripada keburukan-keburukan yang pada tahun akan datang dengan kita beramal dan berpuasa pada hari Arafah.


Ayat 13:12


هُوَ ٱلَّذِى يُرِيكُمُ ٱلْبَرْقَ خَوْفًۭا وَطَمَعًۭا وَيُنشِئُ ٱلسَّحَابَ ٱلثِّقَالَ ١٢

Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air).


Pengajaran

  1. Allah SWT memperlihatkan kilat kepada kita untuk menakutkan dari panahan petir.
  2. Allah SWT memberi harapan dengan turunnya hujan.
  3. Allah SWT yang menjadikan awan tebal yang berat dengan air.
  4. Kilat menakutkan tetapi memberi harapan kepada petani yang mengharapkan hujan.
  5. Janganlah kita bimbang tentang pandemik COVID19 ini akan menghancurkan kita atau tidak, kerana ketakutan ini memberi harapan untuk kita bangkit dan terus berjuang mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Ayat 13:13


وَيُسَبِّحُ ٱلرَّعْدُ بِحَمْدِهِۦ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِۦ وَيُرْسِلُ ٱلصَّوَٰعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَن يَشَآءُ وَهُمْ يُجَـٰدِلُونَ فِى ٱللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ ٱلْمِحَالِ ١٣

Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya


Pengajaran

  1. Guruh bertasbih dan memuji Allah SWT.
  2. Malaikat juga bertasbih kerana takut kepada Allah SWT. 
  3. Allah SWT juga yang menghantarkan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya.
  4. Mereka yang ingkar itu membantah serta mendustakan Rasul mengenai perkara yang berhubung dengan Allah dan kuat kuasaNya.
  5. Allah SWT amat keras azab seksanya.
  6. Semua benda bertasbih, maka jika kita tidak bertasbih, segan kita. 
  7. Allah SWT menghantar COVID19 sebagai 'guruh' untuk mengejutkan kita. Maka hendaklah kita ambil peringatan ini untuk bertasbih memuji Allah SWT agar terhindar daripada azab Allah SWT melalui kesan pandemik ini. 
  8. Semoga Allah SWT jaga kita daripada kesan buruk pandemik COVID19.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Terus mengajak atau berdakwah dan jangan fikir untuk beri hidayah (13:7)
  2. Jauhi dosa dan maksiat untuk baiki diri dan menambah nikmat dari Allah SWT (13:11)
  3. Zikir pagi dan petang untuk mendapat penjagaan dari Allah SWT (13:13)

Saya berasa lega daripada ketakutan kerana mengetahui bahawa malaikat jaga saya atas perintah Allah SWT sekiranya saya zikir pagi dan petang.

Saya jelas untuk terus mengajak atau berdakwah dan jangan fikir untuk beri hidayah. Saya jelas saya mesti jauhi dosa dan maksiat untuk baiki diri dan menambah nikmat dari Allah SWT. Saya jelas untuk zikir pagi dan petang untuk mendapat penjagaan dari Allah SWT.

Ya Allah, pimpin kami untuk terus berdakwah dan jangan fikir untuk beri hidayah. Ya Allah, jauhkan kami daripada dosa dan maksiat. Ya Allah, bimbing kami untuk baiki diri. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan. Ya Allah, jadikan kami orang yang zikir pagi dan petang. Ya Allah, lindungi kami daripada keburukan yang Engkau ciptakan.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 337

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...