Tuesday, August 1, 2023

Halaman 249 : Al-Ra'd, 13:1-5

PERKATAAN HARI INI


سَخِرَ  Menundukkan, merendahkan. 
42 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   


  1. Al-Quran adalah "Haq" (13:1)
  2. Beberapa fenomena dan manifestasi kuasa Allah SWT di langit dan bumi (13:2-4)
  3. Keingkaran kaum musyrikin terhadap hari kebangkitan (13:5)


Mukadimah

Alhamdulillah, hari ini pembelajaran kita diteruskan ke surah yang ke-13, Surah al-Ra'd. Semoga kita menjadi golongan yang beriman mengambil ibrah daripada al-Quran yang bukan diada-adakan. Malah ia adalah satu kebenaran yang dinyatakan dalam surah al-Ra'd.


Ayat 13:1


الٓمٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ۗ وَٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ ١

Alif, Laam, Miim, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.


Pengajaran

  1. Al-Ra'd bermaksud guruh yang berdentum. Ini adalah Surah Makiyyah, mengandungi 43 ayat yang memberi motivasi iman kepada Nabi Muhammad SAW dan kita juga. 
  2. Surah ini bermula dengan huruf mukhoto'ah الٓمٓر. Allah SWT sahaja yang tahu maksudnya. Ia sebagai tanda jika kita hadir membaca al-Quran dengan sikap tidak tahu, rendah diri,  Allah SWT akan memberi kita hidayah, demi hidayah.
  3. Al-Quran diturunkan (أُنزِلَ) sebagai anugerah daripada Allah SWT yang penuh dengan kebenaran dan tujuan yang jelas untuk kita semakin dekat dengan Allah SWT. 
  4. Al-Quran mengajak kita untuk kenal diri, berhenti sebentar samada kita berada di jalan yang benar atau melencong. 
  5. Ayat-ayat dalam surah ini banyak amaran-amaran. 


Ayat 13:2


ٱللَّهُ ٱلَّذِى رَفَعَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍۢ تَرَوْنَهَا ۖ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ ۖ كُلٌّۭ يَجْرِى لِأَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى ۚ يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ يُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ ٢

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).


Pengajaran

  1. Allah SWT membawa kita untuk melihat ke atas, bagaimana Allah meninggikan langit tanpa tiang. 
  2. Dengan melihat langit, matahari dan bulan, Allah SWT ingatkan kita supaya berfikir melihat ke dalam diri.  
  3. Allah SWT jinakkan matahari dan bulan. Adakah kita jinak seperti matahari dan bulan yang sentiasa tunduk kepada perintah Allah SWT? Matahari dan bulan terbit dan terbenam mengikut masa yang ditetapkan Allah SWT, adakah kita yang kerdil ini solat on-time tunduk kepada Allah SWT?
  4. Setiap satunya beredar dalam suatu masa yang telah ditetapkan. Kita yang kecil ini juga sama, bergerak hingga sampai masa tertentu akan mati kembali bertemu Allah SWT. Itu adalah satu yang benar-benar akan berlaku. Orang musyrik tidak yakin akan kembali bertemu Allah SWT. 


Ayat 13:3


وَهُوَ ٱلَّذِى مَدَّ ٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنْهَـٰرًۭا ۖ وَمِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ جَعَلَ فِيهَا زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ ۖ يُغْشِى ٱلَّيْلَ ٱلنَّهَارَ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ ٣

Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.


Pengajaran

  1. Allah SWT membentangkan bumi, menjadikan gunung-ganang terdiri kukuh dan sungai-sungai yang mengalir.
  2. Allah SWT mejadikan berbagai-bagai jenis buah-buahan yang berpasang. Allah menukarkan malam dan siang. 
  3. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi kaum yang mahu berfikir. 
  4. Apabila kita sentiasa berinteraksi dengan al-Quran, kita dapat melihat tanda-tanda kekuasaan Allah SWT apabila kita berinteraksi dengan alam.


Ayat 13:4


 وَفِى ٱلْأَرْضِ قِطَعٌۭ مُّتَجَـٰوِرَٰتٌۭ وَجَنَّـٰتٌۭ مِّنْ أَعْنَـٰبٍۢ وَزَرْعٌۭ وَنَخِيلٌۭ صِنْوَانٌۭ وَغَيْرُ صِنْوَانٍۢ يُسْقَىٰ بِمَآءٍۢ وَٰحِدٍۢ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَىٰ بَعْضٍۢ فِى ٱلْأُكُلِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَعْقِلُونَ ٤

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.


Pengajaran

  1. Dalam ayat ini Allah SWT membawa kita melihat di bumi. 
  2. Al-Quran mengajar kita berfikir aras tinggi. Bila kita lihat kepada alam, belajar Sains, kita lihat pada buah-buahan, kita akan nampak sesuatu berkaitan Allah SWT
  3. Semua tumbuhan ini seperti pohon kurma, kebun yang cantik, meneduhkan, yang diidamkan ramai, adalah pengalaman indah. Itulah preview kepada syurga. 
  4. Semuanya adalah daripada air yang sama turun daripada langit tetapi hasilnya berbeza, buah-buahan yang berbeza. Ini adalah kebesaran Allah SWT bagi kaum yang ingin menggunakan akal.
  5. يَعْقِلُونَ adalah orang yang dapat menghindarkan diri daripada terjatuh. 
  6. Buah-buahan yang sedap itu memberi khasiat manfaat kepada manusia. Semuanya hidup subur dengan air yang turun dari langit. Wahyu juga turun daripada langit. Bila wahyu al-Quran masuk ke dalam diri manusia, ia juga sepatutnya dapat memberi manfaat kepada orang lain.  Masing-masing ada kelebihan masing-masing. Yang pentingnya, adakah kita memberi manfaat orang lain?


Ayat 13:5


۞ وَإِن تَعْجَبْ فَعَجَبٌۭ قَوْلُهُمْ أَءِذَا كُنَّا تُرَٰبًا أَءِنَّا لَفِى خَلْقٍۢ جَدِيدٍ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلْأَغْلَـٰلُ فِىٓ أَعْنَاقِهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ٥

Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang mengatakan): "Adalah apabila kami telah menjadi tanah betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?" Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.


Pengajaran

  1. Orang-orang kufur tidak percaya manusia akan dihidupkan semula setelah mati menjadi tanah. 
  2. Allah SWT membawa kita melihat tanah dengan kebun buah-buahan supaya kita melihat tanda-tanda kebesaranNya. 
  3. Hendaklah kita ingat supaya menjadi orang yang bermanfaat sepertimana buah-buahan itu memberi manfat kepada manusia.  
  4. Janganlah kita lupa, Allah jadikan kita daripada tiada kepada ada. Selepas kita mati, Allah boleh bangkitkan kita semula walaupun telah mati menjadi sebahagian daripada tanah. 
  5. Orang-orang kufur akan menjadi penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Dekati al-Quran untuk makin dekat dengan kebenaran (13:1)
  2. Banyakkan ingat ayat-ayat Allah SWT untuk melonjakkan akal (13:4)
  3. Analisis kepelbagaian tumbuhan dan buah untuk meyakinkan kita pada akhirat (13:5)

Saya berasa lega saya akan dekat dengan kebenaran dan menjadi manusia berguna sekiranya saya ambil panduan al-Quran.

Saya jelas saya mesti dekati al-Quran untuk makin dekat dengan kebenaran. Saya jelas untuk banyakkan ingat ayat-ayat Allah SWT untuk melonjakkan akal. Saya jelas untuk analisis kepelbagaian tumbuhan dan buah untuk meyakinkan diri pada akhirat.

Ya Allah, ajarkan kami al-Quran agar kami makin dekat dengan kebenaran. Ya Allah, bimbing kami untuk banyakkan ingat ayat-ayat al-Quran untuk melonjakkan akal. Ya Allah, ajarkan kami analisis kepelbagaian tumbuhan dan buah untuk meyakinkan kami pada akhirat.

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: #MyQuranTime Episod 336

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...