PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Kuasa Allah SWT dan semua makhluk lain sujud pada-Nya (13:14-15)
- Keesaan Allah SWT serta perumpamaan posisi orang mukmin dan orang Musyrik terhadap keesaan tuhan (13:16)
- Perumpamaan yang benar dan yang batil, serta nasib akhir orang yang beruntung & celaka (13:17-18)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 251.
Ayat 13:14
Kuasa menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah; dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.
Pengajaran
- Pada ayat 13 Allah SWT telah sebutkan tentang guruh dan halilintar. Di padang pasir, bila ada guruh dan halilintar, ia amat menakutkan. Seluruh alam ini sebenarnya takut kepada Allah SWT. Nabi-nabi, rasul-rasul juga takut kepada Allah SWT.
- Terdapat dua maksud ٱلْحَقِّ دَعْوَةُ لَهُۥ:
- Dakwah adalah seruan kearah kebenaran. Nabi-nabi membawa dakwah kepada kebenaran. Mereka juga takut kalau tidak mengikut peraturan daripada Allah SWT. Mereka semua tertakluk kepada peraturan daripada Allah SWT sebagaimana alam dan malaikat tertakluk kepada peraturan Allah SWT.
- Doa yang benar hanya untuk Allah SWT.
- Sesiapa yang berdoa kepada selain dari Allah SWT, tidak akan dijawab walaupun sedikit. Bila ada cabaran, kita perlu mulakan dengan memohon kepada Allah SWT, kemudian barulah meminta bantuan manusia. Kalau minta daripada manusia dengan harapan yang tinggi, kita mungkin kecewa.
- Allah SWT suka kalau kita banyak berdoa. Perumpamaannya seperti seorang yang meletakkan tapak tangannya ke dalam air dan mengharap air itu masuk ke dalam mulut. Mustahil air itu akan sampai ke mulut jika tangan tidak diangkat ke mulut. Sama seperti mustahilnya kalau minta selain daripada Allah SWT. Doa kepada selain daripada Allah SWT adalah sia-sia (ضَلَٰلٍ فِى إِلَّا). Ini menunjukkan betapa pentingnya kita mentauhidkan Allah SWT.
Ayat 13:15
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
Pengajaran
- Simbol kubah di dalam ayat ini bermakna sunat untuk kita sujud tilawah. Imam sujud, kita kena ikut sujud.
- Semua makhluk yang ada di langit dan di bumi sujud kepada Allah SWT sama ada secara sukarela atau terpaksa. Bayang-bayang pun sujud kepada Allah SWT pagi dan petang.
- Malulah kita hidup di bumi jika kita tidak sujud pada masa yang ditetapkan kerana semua makhluk Allah SWT yang lain sujud ikut masa yang telah ditetapkan oleh Allah.
Ayat 13:16
Bertanyalah (wahai Muhammad): "Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?" Jawablah: "Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah lagi: "Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?" Katakanlah: "Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa".
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kita yang Dia adalah pentadbir langit dan bumi. Ayat ini membawa kita kepada ketauhidan kepada Allah SWT. Orang Islam yang jumlahnya 1.6 billion dari total 3-4 billion. Ramai yang tidak betul-betul mentauhidkan Allah SWT.
- Perjuangan Nabi SAW adalah untuk membawa manusia mentauhidkan Allah SWT.
- Tidak sama orang yang celik dengan orang yang buta. Orang buta tidak nampak cahaya. Orang yang tidak mendapat cahaya, dia dalam keadaan gelap yang berlapis-lapis. Kesan kegelapan itu dia selalu stres, bermasalah dengan keluarga dan di tempat kerja. Bila bertauhid, Allah SWT akan mengeluarkan orang-orang beriman kepada cahaya.
- Kita mendalami al-Quran adalah untuk mendapatkan cahaya. Makin kita mendalami al-Quran, makin kita mencahayakan emosi, perasaan dan pemikiran kita sehingga keluar daripada pelbagai kegelapan.
Ayat 13:17
Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.
Pengajaran
- Ini adalah perumpamaan kepada wahyu. Hujan dikaitkan dengan wahyu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada musyrik Mekah. Apabila hujan turun, airnya mengalir di lembah-lembah membawa buih yang terapung. Bila wahyu sampai kepada orang musyrik Mekah, mereka umpama buih yang dibersihkan daripada perkara-perkara yang tidak baik.
- Mengikut perbincangan ulamak, ada dua jenis buih:
- Buih daripada kaedah yang sejuk iaitu daripada air hujan
- Buih kedua ialah buih daripada logam. Ini adalah fasa semasa Nabi SAW di Madinah apabila bertemu orang-orang Munafik. Mereka hendak keluarkan kotoran-kotoran mereka melalui fasa yang panas kerana mereka berpura-pura menjadi orang-orang beriman. Orang yang munafik akan dibuang. Orang beriman yang menghargai wahyu akan menjadi perhiasan (حِلْيَةٍ) yang cantik atau alat perkakas (مَتَٰعٍ).
Ayat 13:18
Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik-baiknya; dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah neraka jahanam; dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.
Pengajaran
- Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan, mereka disediakan balasan yang baik
- Bagi orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya.
- Mereka itu mendapat hitungan yang buruk. Tempat kembali mereka ialah neraka jahanam. Itulah seburuk-buruk tempat kediaman.
RESOLUSI
Ingat!
- Bina keikhlasan dalam doa (13:14)
- Sering bersujud untuk dekatkan diri kepada Allah SWT (13:15)
- Dalami al-Quran untuk mengeluarkan kotoran dalam diri (13:17)
Saya berasa lega saya akan jadi orang yang bersih dengan mendalami al-Quran.
Saya jelas untuk bina keikhlasan dalam doa. Saya jelas untuk sering bersujud untuk dekatkan diri kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti dalami al-Quran untuk mengeluarkan kotoran dalam diri.
Ya Allah, bimbing kami untuk bina keikhlasan dalam doa. Ya Allah, jadikan kami orang yang sering bersujud untuk dekatkan diri kepada Mu. Ya Allah, ajarkan kami untuk dalami al-Quran untuk mengeluarkan kotoran dalam diri.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: #MyQuranTime Episod 339