Wednesday, August 2, 2023

Halaman 269 : Al-Nahl, 15-26

 

PERKATAAN HARI INI

 مَادَ / مَيَدَ   =   Menggoncang. 

5 kali disebut di dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Bukti Uluhiyyah dan keesaan Allah SWT(16:15-16)
  2. Sifat khusus ketuhanan adalah menciptakan, mengetahui segala yang tersembunyi dan yang zahir, serta kekal (16:17-23)
  3. Sifat-sifat orang yang sombong, sikap orang musyrik yang mengingkari wahyu, kenabian, dan balasan ke atas mereka (16:24-26)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 269. Allah SWT menciptakan dan memberi kepada kita banyak nikmat. Al-Quran adalah nikmat yang besar untuk kita, sebagai petunjuk. Kita ambil nikmat dan hendaklah kita kenal siapa pemberi nikmat, iaitu Allah SWT.

Pada halaman lepas Allah SWT menjinakkan makanan dari lautan dan mengeluarkan perhiasan-perhiasan dari dalamnya agar kita bersyukur.


Ayat 16: 15

وَأَلْقَىٰ فِى ٱلْأَرْضِ رَوَٰسِىَ أَن تَمِيدَ بِكُمْ وَأَنْهَٰرًا وَسُبُلًا لَّعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.

Pengajaran

  1. Allah SWT jadikan gunung-gunung sebagai pasak agar bumi ini stabil (بِكُمْ تَمِيدَ أَن). Bila gunung ditarah, ia menyebabkan bumi tidak stabil. 
  2. Allah SWT menciptakan sungai-sungai dan jalan-jalan sebagai petunjuk untuk kita menuju ke sesuatu tempat. 
  3. Dalam hidup ini, kita mesti mencari tanda-tanda untuk menuju kepada Allah SWT. Semua tanda-tanda yang kita lihat adalah sebagai petunjuk dalam perjalanan menuju kepada Allah SWT. 


Ayat 16: 16

وَعَلَٰمَٰتٍ وَبِٱلنَّجْمِ هُمْ يَهْتَدُونَ

Dan (Ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.

Pengajaran

  1. Bintang-bintang juga adalah petunjuk (يَهْتَدُونَ) bagi mereka yang bermusafir di padang pasir pada zaman dahulu kerana waktu itu tidak ada GPS.


Ayat 16: 17

أَفَمَن يَخْلُقُ كَمَن لَّا يَخْلُقُ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Kalau sudah demikian, adakah Allah yang menciptakan semuanya itu sama seperti makhluk-makhluk yang tidak menciptakan sesuatu? Maka patutkah kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?

Pengajaran

  1. Allah SWT menemplak kepada orang-orang musyrik yang tidak mahu berfikir. Allah SWT tidak menjadikan semuanya sia-sia. 
  2. Allah SWT ingatkan kita supaya tidak lalai sehingga kita tidak mahu memikirnya. 


Ayat 16: 18

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran

  1. Ayat ini lebih kurang sama dengan ayat 34 Surah Ibrahim tentang nikmat Allah SWT yang tidak terhitung.  Dalam ayat ini, 'ta' nya tertutup ('Ta' marbutah), menunjukkan nikmat yang panjang sampai ke akhirat. Orang yang merasakan nikmat dari Allah SWT, mereka memohon ampun. 
  2. 'Ta' terbuka seperti ayat 14:34 (surah Ibrahim) menunjukkan nikmat sementara bagi orang kafir, nikmat mereka hanyalah di dunia sahaja. 
  3. Bila kita dapat rasakan nikmat yang banyak, kita bersyukur, minta ampun dan lakukan kebaikan sebagai tanda bersyukur.


Ayat 16: 19

وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُسِرُّونَ وَمَا تُعْلِنُونَ

Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengetahui apa yang kita sembunyikan dan apa yang kita zahirkan.
  2. Jangan mudah percaya kepada orang di media sosial kerana kebanyakan mereka menunjukkan hanya yang baik-baik  sahaja. 
  3. Kita hanya perlu mengadu kepada Allah SWT, tidak perlu perantaraan. 


Ayat 16: 20

وَٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَا يَخْلُقُونَ شَيْـًٔا وَهُمْ يُخْلَقُونَ

Dan makhluk-makhluk yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatupun, bahkah merekalah yang diciptakan.

Pengajaran

  1. Ayat ini menceritakan orang yang berdoa kepada selain daripada Allah SWT.  
  2. Makhluk-makhluk yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menciptakan sesuatupun, bahkah merekalah yang diciptakan.
  3. Allah SWT bawakan kehebatanNya di angkasaraya, daratan dan lautan untuk menemplak orang kafir yang menyembah makhluk yang tidak ada kuasa.


Ayat 16: 21

أَمْوَٰتٌ غَيْرُ أَحْيَآءٍ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup; dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan).

Pengajaran

  1. Allah SWT menyatakan perbezaan tentang berhala yang disembah oleh orang kafir.
  2. Berhala itu tidak hidup. Ini hujjah untuk kita berfikir. Bila tengok gunung, sungai, laut dan alam hendaklah kita rasakan kehebatan Allah SWT  'how great Allah is'. 
  3. Semua sistem dalam alam ini Allah yang jaga. Itu tajuk-tajuk yang kita boleh bincang agar kita tahu kebenaran sehingga kita boleh katakan "Tuhan yang sebenar-benarnya adalah Tuhan yang Esa". Psikologi tuhan yang banyak ini merosakkan manusia. 


Ayat 16: 22

إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ فَٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ قُلُوبُهُم مُّنكِرَةٌ وَهُم مُّسْتَكْبِرُونَ

Tuhan kamu (yang berhak disembah) ialah Tuhan yang satu (Maha Esa); oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat: hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takbur (menentang kebenaran).

Pengajaran

  1. Dengan mengesakan Allah SWT, kita akan nampak tanda-tanda untuk menuju ke akhirat. Orang  yang tidak mahu pergi ke akhirat adalah orang yang sombong. 
  2. Tanpa hidayah, kita tidak nampak tanda-tanda tersebut. Semakin banyak kita membaca al-Quran, semakin kita rasa kerdil.


Ayat 16: 23

لَا جَرَمَ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْتَكْبِرِينَ

Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan. 
  2. Allah SWT tidak suka kepada orang-orang yang sombong. 
  3. Orang yang tidak bertauhid kepada Allah, dia tidak beriman kepada hari akhirat. Orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, dia akan jadi orang yang sombong.


Ayat 16: 24

وَإِذَا قِيلَ لَهُم مَّاذَآ أَنزَلَ رَبُّكُمْ قَالُوٓا۟ أَسَٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Apakah yang diturunkan oleh Tuhan kamu (kepada nabi Muhammad)?" Mereka menjawab: "Cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala".

Pengajaran

  1. Tanda seseorang itu sombong ialah mereka menyatakan orang yang baca al-Quran itu membaca kisah-kisah dongeng orang terdahulu (ٱلْأَوَّلِينَ أَسَٰطِيرُ).
  2. Orang sombong tidak mendapat hidayah kerana mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada gunung, sungai, laut dan alam yang Allah SWT ciptakan untuk kita sama-sama mengesakan Allah SWT.


Ayat 16: 25

لِيَحْمِلُوٓا۟ أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ وَمِنْ أَوْزَارِ ٱلَّذِينَ يُضِلُّونَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ أَلَا سَآءَ مَا يَزِرُونَ

(Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.

Pengajaran

  1. Bukan mereka sahaja yang buat dosa. Mereka membuat kempen untuk mengajak orang lain turut bersama. Mereka tidak berpaksikan hari akhirat. Mereka membuat kempen tanpa ilmu dan pengikut mereka juga tidak berilmu sehingga sanggup mengikut pemimpin-pemimpin yang tidak ada ilmu.
  2. Janganlah kita jadi follower tidak berilmu dan mengikut pemimpin yang tidak ada masa hendak membaca al-Quran. 


Ayat 16: 26

قَدْ مَكَرَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَأَتَى ٱللَّهُ بُنْيَٰنَهُم مِّنَ ٱلْقَوَاعِدِ فَخَرَّ عَلَيْهِمُ ٱلسَّقْفُ مِن فَوْقِهِمْ وَأَتَىٰهُمُ ٱلْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ

Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat (terhadap ugama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan (rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya, lalu bumbung (bangunan itu) jatuh menimpa ke atas mereka, dan mereka pula didatangi azab kebinasaan dari arah yang mereka tidak menyedarinya.

Pengajaran

  1. Orang-orang terdahulu telah menjalankan tipu daya, maka Allah SWT hancurkan rumah-rumah mereka. Mereka didatangi azab kebinasaan dari arah yang mereka tidak sedari. 
  2. Bila kita perhatikan bintang, kita rasa kerdil, sayu, rasa ingin kembali kepada Allah SWT membawa kita untuk minta ampun daripada Allah kerana sikap sombong yang ada dalam diri.
  3. Apabila baca al-Quran, hendaklah kita fikirkan semula agar semua petanda-petanda dalam awal surah al-Nahl ini kita perhatikan untuk membawa kita kembali kepada Allah yang Maha Esa. Inilah ubat penyakit sombong.
  4. Jika sombong, Allah SWT akan menghancurkan sesuatu tamadun. Hidayah penting untuk kita menghargai Allah SWT yang Esa. 


RESOLUSI

Ingat!

  1. Dalami ilmu sains untuk merasai keagungan Allah SWT (16:17)
  2. Muhasabah dan syukuri nikmat daripada Allah SWT untuk mendapatkan keampunan (16:18)
  3. Bina ketauhidan untuk mengekang rasa sombong dalam diri (16:22)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan saya untuk berfikir tentang alam untuk buang sifat sombong dalam diri.

Saya jelas untuk dalami ilmu sains untuk merasai keagungan Allah SWT. Saya jelas saya mesti muhasabah dan syukuri nikmat daripada Allah SWT untuk mendapatkan keampunan Saya jelas saya mesti bina ketauhidan untuk mengekang rasa sombong dalam diri.

Ya Allah, pimpin kami untuk dalami ilmu sains agar kami dapat merasai keagungan Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk muhasabah dan syukuri nikmat daripada Mu, kurniakan kami keampunan. Ya Allah, bimbing kami untuk bina ketauhidan agar kami dapat mengekang rasa sombong dalam diri.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...