PERKATAAN HARI INI
ثَوَى : Menetap, tinggal.
14 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Kehinaan pada yang mensyirikkan Allah SWT (16:27-29)
- Sifat orang yang bertakwa keimanan mereka kepada wahyu dan balasan mereka (16:30-32)
- Ancaman bagi orang musyrik atas sikap mereka yang tenggelam dalam kebatilan (16:33-34)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 270. Semoga Allah SWT memberi keberkatan kepada kita.
Ayat 16: 27
ثُمَّ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ يُخْزِيهِمْ وَيَقُولُ أَيْنَ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ كُنتُمْ تُشَٰٓقُّونَ فِيهِمْ قَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ إِنَّ ٱلْخِزْىَ ٱلْيَوْمَ وَٱلسُّوٓءَ عَلَى ٱلْكَٰفِرِينَ
Kemudian pada hari kiamat, Allah menghinakan mereka (dengan azab seksa) sambil bertanya: "Mana dia sekutu-sekutuKu yang kamu berperi-peri memusuhi (Nabi-nabi dan orang-orang yang beriman) untuk membela mereka?" (Pada ketika itu) berkatalah orang-orang yang beroleh ilmu pengetahuan: "Sesungguhnya kehinaan hari ini dan azab seksa, adalah tertimpa kepada orang-orang yang kafir;
Pengajaran
- Pada hari kiamat Allah akan hina dengan azab seksa kepada orang yang mensyirikkan-Nya.
- Kerana syirik, manusia sanggup membuat kerosakkan, kesusahan dan kesengsaraan kepada orang lain. Kesan seseorang jauh daripada hidayah ialah dia akan menjadi sombong.
- Allah SWT menekankan tentang ilmu. Semua sesi ilmu amat diangkat di dalam al-Quran kerana orang berilmu tahu sebenarnya kehinaanlah bagi orang-orang yang mempersektukan Allah dalam kehidupan.
- Mungkin kita sudah beragama Islam, jangan sampai jumpa bomoh, percaya lagi bahawa ada hal-hal mistik berkaitan COVID19 adalah agenda manusia. Padahal segala mudarat di dunia ini tidak mungkin berlaku tanpa izin Allah SWT. Jangan sampai ketauhidan kita tercalar disebabkan tidak ada ilmu.
Ayat 16: 28
ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ فَأَلْقَوُا۟ ٱلسَّلَمَ مَا كُنَّا نَعْمَلُ مِن سُوٓءٍۭ بَلَىٰٓ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya)." Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): "Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan". (Malaikat menjawab): "Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan".
Pengajaran
- Orang yang mati dalam kekufuran tidak mengaku mereka membuat kezaliman.
- Segala keburukan dalam kehidupan ini semua orang tidak suka, termasuklah syirik.
- Allah SWT tahu segalanya, yang jelas dan juga yang tersembunyi.
Ayat 16: 29
فَٱدْخُلُوٓا۟ أَبْوَٰبَ جَهَنَّمَ خَٰلِدِينَ فِيهَا فَلَبِئْسَ مَثْوَى ٱلْمُتَكَبِّرِينَ
"Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur".
Pengajaran
- Orang-orang yang mati dalam kekufuran, Allah SWT menyuruh mereka masuk ke pintu-pintu neraka yang sesuai dengan dosa-dosa mereka. Mereka kekal di dalamnya.
- Hendaklah kita semak apa sahaja ruang dosa yang ada dalam hidup kita. Jika kita ada melakukan dosa-dosa, muhasabah dan perbaiki diri.
- Semoga kita dijauhkan daripada sifat sombong, sifat yang menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia.
Ayat 16: 30
وَقِيلَ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ مَاذَآ أَنزَلَ رَبُّكُمْ قَالُوا۟ خَيْرًا لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَلَدَارُ ٱلْءَاخِرَةِ خَيْرٌ وَلَنِعْمَ دَارُ ٱلْمُتَّقِينَ
Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan". Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa
Pengajaran
- Apabila ditanya kepada orang-orang yang bertaqwa, mereka menjawab Allah SWT membawakan kebaikan. Allah turunkan nikmat-nikmat dan hujjah-hujjah yang tidak boleh dipermain-mainkan.
- Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan, di dunia ini mereka akan beroleh balasan yang baik.
- Sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.
- Orang-orang yang kufur, mereka mengatakan al-Quran ini kisah dongeng orang-orang terdahulu. Mereka tidak kaitkan segala nikmat yang didapati dengan Tuhan sumber pemberi nikmat.
- Orang-orang yang bertaqwa, mereka bersyukur apabila dapat membaca al-Quran berulang kali kerana mereka dapat kaitkan hujjah-hujjah daripada al-Quran dengan segala nikmat dan kebaikan yang diperolehi. Walaupun ada ujian di musim pandemik ini, orang bertaqwa masih lagi tenang dengan al-Quran. Itulah kebaikan daripada al-Quran yang dijelmakan dalam kehidupan kita.
Ayat 16: 31
جَنَّٰتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَآءُونَ كَذَٰلِكَ يَجْزِى ٱللَّهُ ٱلْمُتَّقِينَ
(Untuk mereka) Syurga-syurga " Adn ", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa.
Pengajaran
- Allah SWT akan memberikan balasan syurga-syurga ‘Adn untuk orang-orang yang bertaqwa. Mereka masuk ke dalam syurga beramai-ramai. Mereka akan dapat apa sahaja yang mereka inginkan.
- Allah SWT menceritakan tentang syurga ‘Adn yang amat indah. Di dalamnya mengalir sungai-sungai.
- Allah SWT beri gambaran sungai-sungai kerana ia adalah sumber barakah.
- Inilah balasan kepada orang yang sentiasa menjaga diri daripada masalah di dunia dan akhirat.
- Hendaklah kita berusaha untuk ke syurga.
Ayat 16: 32
ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَٰمٌ عَلَيْكُمُ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan".
Pengajaran
- Orang yang mati dalam keadaan bertaqwa, malaikat akan mengucapkan selamat sejahtera kepada mereka dan menjemput mereka masuk ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah mereka lakukan.
- Semoga kita mati sebagai orang yang bertaqwa.
Ayat 16: 33
هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ أَوْ يَأْتِىَ أَمْرُ رَبِّكَ كَذَٰلِكَ فَعَلَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَمَا ظَلَمَهُمُ ٱللَّهُ وَلَٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
(Apakah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) Mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang akan mencabut nyawa mereka), atau kedatangan azab Tuhanmu (yang akan membinasakan mereka). Demikianlah juga yang dilakukan oleh orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka (lalu dibinasakan); dan (sebenarnya) Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Pengajaran
- Allah SWT menemplak orang yang menzalimi diri bahawa malaikat akan mencabut nyawa mereka dalam keadaan azab.
- Allah SWT membinasakan orang-orang kafir yang terdahulu dan Allah akan mendatangkan azab kepada orang-orang yang zalim.
- Allah SWT tidak menzalimi mereka tetapi mereka menzalimi diri mereka sendiri. Hidayah daripada Allah akan melenyapkan kezaliman atau dosa-dosa yang dilaksanakan.
Ayat 16: 34
فَأَصَابَهُمْ سَيِّـَٔاتُ مَا عَمِلُوا۟ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ
Oleh itu, mereka ditimpa azab sebagai balasan perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan azab Allah itu meliputi mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka telah ejek-ejek dahulu.
Pengajaran
- Orang-orang kafir akan ditimpa azab sebagai balasan perbuatan jahat yang mereka lakukan.
- Apa yang mereka perolokkan itu, akan menyerang mereka balik.
- Janganlah kita suka memperolok-olokkan orang yang berbuat kebaikan. Mungkin cara mereka berbeza, tetapi mesej kebaikan yang dibawa jangan diperolok-olokkan.
RESOLUSI
Ingat!
- Bela kebenaran kerana ia lambang ilmu seseorang (16:27)
- Yakin Allah SWT setiap masa menurunkan kebaikan, bukan keburukan (16:30)
- Hargai setiap masa kehidupan dengan meningkatkan takwa (16:31)
Saya berasa lega, Allah SWT akan beri ganjaran syurga sekiranya saya mati sebagai orang yang bertaqwa.
Saya jelas untuk bela kebenaran kerana ia lambang ilmu seseorang. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT setiap masa menurunkan kebaikan, bukan keburukan. Saya jelas untuk hargai setiap masa kehidupan dengan meningkatkan takwa.
Ya Allah, jadikan kami orang yang berilmu, beriman dan bertaqwa. Bimbing kami untuk bela kebenaran kerana ia lambang ilmu seseorang. Ya Allah, pimpin kami untuk hargai setiap masa kehidupan, hidupkan kami dalam iman dan matikan kami dalam iman.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.