PERKATAAN HARI INI
حَمَلَ = Membawa, mengandung.
64 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Bukti keesaan Allah SWT (16:7-9)
- Bukti-bukti lain tentang Uluhiyyah dan keesaan Allah SWT (10-14)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita sudah pun menjejak kepada satu lagi hari baru untuk sama-sama melihat dunia dengan pandangan yang lebih indah dan lebih luas berpandukan kepada wahyu. Kita sedang belajar mengenai Surah Lebah. Lebah ini tidak ramai tahu kisah tentangnya dalam Al Quran walaupun kita dapat manfaat yang banyak daripada lebah itu sendiri.
Surah Makiyyah ini menceritakan tentang berbagai nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia. Sepatutnya kita mempunyai cara pandang lebah. Bila bercakap tentang al-Nahl, kita akan lihat apa yang berlaku kepada lebah, apakah yang diterokainya dan memberi manfaat kepada manusia walaupun manusia tidak bersyukur kepada lebah. Kita menghargai orang yang menanam pokok buah-buahan tetapi kita tidak pula menghargai lebah dan angin yang membantu pendebungaan seperti yang dijelaskan dalam al-Quran.
Pada halaman lepas kita telah melihat bahawa pada haiwan ternakan itu ada pandangan yang indah. Nilai estetika yang dibawa dalam ayat 6 itu akan dapat dirasakan apabila kita berinteraksi dengan alam. Walaupun kita hidup dalam zaman teknologi, tetapi kita masih perlu kembali berinteraksi dengan alam kerana di sana terdapat banyak nilai-nilai seni yang dapat membawa kita mengenal Allah SWT.
Ayat 16: 7
وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَىٰ بَلَدٍ لَّمْ تَكُونُوا۟ بَٰلِغِيهِ إِلَّا بِشِقِّ ٱلْأَنفُسِ إِنَّ رَبَّكُمْ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.
Pengajaran
- Allah SWT menjadikan binatang ternakan bagi memudahkan manusia membawa barang-barang yang berat. Begitulah Allah SWT yang Maha penyantun lagi Maha Penyayang membantu manusia.
- Walaupun kita sudah ada kenderaan besar tetapi binatang-binatang seperti kerbau, lembu dan unta tetap diperlukan di tempat-tempat yang kenderaan tidak boleh masuk.
- Segala yang Allah jadikan adalah untuk kita syukuri, untuk kita jaga elok-elok dalam sekitar kita.
Ayat 16: 8
وَٱلْخَيْلَ وَٱلْبِغَالَ وَٱلْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
Pengajaran
- Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan tentang binatang-binatang lain. Allah SWT menciptakan kuda, baghal (kacukan kuda dan keldai) dan keldai. Binatang-binatang ini adalah untuk ditunggang dan sebagai perhiasan. Zaman dahulu kuda adalah lambang kekayaan dan perhiasan.
- Dengan segala ilmu yang Allah pinjamkan, manusia dapat mencipta berbagai jenis kenderaan seperti kereta, kapal terbang dan lain-lain yang ada sekarang. Ini adalah ayat inovasi kepada umat Islam dan umat manusia.
Ayat 16: 9
وَعَلَى ٱللَّهِ قَصْدُ ٱلسَّبِيلِ وَمِنْهَا جَآئِرٌ وَلَوْ شَآءَ لَهَدَىٰكُمْ أَجْمَعِينَ
Dan kepada Allah jualah tertentunya urusan memberi panduan yang menerangkan jalan yang lurus; dan di antara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari kebenaran; dan jika Ia kehendaki, tentulah Ia memberi petunjuk kepada kamu semua (yang menyampaikan ke jalan yang lurus itu).
Pengajaran
- Binatang dan kenderaan tersebut dapat membawa kita berjalan lancar di dunia ini. Dalam ayat ini Allah SWT membawa pula kepada perkara yang abstrak. Iaitu tentang jalan yang lurus untuk kita sampai ke destinasi syurga.
- Allah SWT memberi panduan jalan yang lurus untuk ke akhirat. Tetapi ada juga yang memilih jalan yang tidak betul.
- Allah SWT boleh sahaja memberi hidayah kepada semua manusia tetapi Allah SWT memberi pilihan untuk kita berfikir. Surah al-Nahl ini menyebabkan kita berfikir.
Ayat 16: 10
هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً لَّكُم مِّنْهُ شَرَابٌ وَمِنْهُ شَجَرٌ فِيهِ تُسِيمُونَ
Dia lah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya
Pengajaran
- Air datangnya daripada atas, seperti juga wahyu turun daripada atas. Air menjadi minuman dan menghidupkan tumbuhan untuk kita dan untuk binatang ternakan.
- Hendaklah kita banyak bersyukur dengan pemberian Allah SWT. Dengan kenderaan yang ada, kita boleh bergerak ke sana ke mari dan membawa barang-barang kita. Kaitkan kenderaan kita dengan Allah SWT. Kadang-kadang, kita naik kereta pun tidak membaca doa. Bismillah pun tidak.
- Air turun daripada langit untuk kita minum dan menghidupkan tumbuhan. Abstraknya kita lihat wahyu turun daripada langit sebagai hidayah untuk kita berjalan di jalan lurus menuju ke akhirat. Inilah cara pandang fizikal dan spiritual yang dibawa di dalam al-Quran.
- Kesan daripada air kita dapat kecantikan fizikal, kesan daripada wahyu kita dapat kecantikan spiritual.
Ayat 16: 11
يُنۢبِتُ لَكُم بِهِ ٱلزَّرْعَ وَٱلزَّيْتُونَ وَٱلنَّخِيلَ وَٱلْأَعْنَٰبَ وَمِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.
Pengajaran
- Daripada air hujan yang sama Allah SWT tumbuhkan berbagai tanam-tanaman dan pokok buah-buahan seperti zaitun, tamar, anggur, cempedak, nangka, manggis, durian dan lain-lain.
- Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir. Allah SWT jadikan semua ini untuk kita berfikir secara mendalam (يَتَفَكَّرُونَ) tentang kekuasaanNya.
Ayat 16: 12
وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ وَٱلنُّجُومُ مُسَخَّرَٰتٌۢ بِأَمْرِهِۦٓ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.
Pengajaran
- Allah SWT memudahkan bagi kita malam dan siang, matahari serta bulan. Bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kita. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kebijaksanaan Allah bagi kaum yang mahu memahaminya.
- Allah SWT jadikan semuanya untuk kita berfikir secara mendalam dan ramai-ramai.
- Malam siang, matahari dan bulan kita boleh nampak kesannya tetapi bintang-bintang yang banyak, kita tidak nampak semua kecuali menggunakan teknologi.
- Setiap objek perlu dikaji satu persatu kesannya kepada manusia.
Ayat 16: 13
وَمَا ذَرَأَ لَكُمْ فِى ٱلْأَرْضِ مُخْتَلِفًا أَلْوَٰنُهُۥٓ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ
Dan apa-apa jua yang dijadikan untuk kamu di bumi yang berlainan jenisnya (dimudahkan juga untuk kegunaan kamu). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.
Pengajaran
- Allah SWT juga mengatur apa yang Dia ciptakan untuk kita di bumi dengan berbagai jenis warnanya. Semua itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah SWT bagi kaum yang mahu mengingati nikmat Allah itu.
- Perkataan berkaitan berfikir dan penggunaan akal:
- يَتَفَكَّرُونَ = Proses yang memerlukan banyak berfikir.
- يَعْقِلُونَ = Tidak fikir lebih-lebih. Guna akal sahaja, tidak payah mengkaji. Lihat matahari pun kita sudah rasa hebatnya Allah SWT.
- يَذَّكَّرُونَ = Ambil peringatan dari apa yang kita sudah tahu. Memberi keyakinan tentang kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT. Contoh: Tengok buah yang berbeza-beza menggunakan air yang sama. Adik beradik dari satu emak dan ayah, contohnya tetapi lahir lain-lain rupa dan warna kulit.
Ayat 16: 14
وَهُوَ ٱلَّذِى سَخَّرَ ٱلْبَحْرَ لِتَأْكُلُوا۟ مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا وَتَسْتَخْرِجُوا۟ مِنْهُ حِلْيَةً تَلْبَسُونَهَا وَتَرَى ٱلْفُلْكَ مَوَاخِرَ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.
Pengajaran
- Ayat ini tentang nikmat yang ada di lautan. Antaranya dapat makanan dan perhiasan dari laut.
- Allah SWT permudahkan laut untuk kapal berlayar dan supaya manusia dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya.
- Semuanya Allah SWT jadikan supaya manusia bersyukur.
RESOLUSI
Ingat!
- Hargai kenderaan dan nikmat yang ada (16:7-8)
- Fikir dan lihat kehebatan Allah SWT melalui tumbuhan dan tanaman di sekitar kita (16:11)
- Syukur dengan nikmat laut ditundukkan untuk kegunaan manusia (16:14)
Saya berasa lega, Allah berikan nikmat yang banyak untuk jadikan saya orang yang bersyukur.
Saya jelas untuk hargai kenderaan dan nikmat yang ada. Saya jelas saya mesti fikir dan lihat kehebatan Allah SWT melalui tumbuhan dan tanaman di sekitar kita. Saya jelas untuk syukur dengan nikmat laut ditundukkan untuk kegunaan manusia.
Ya Allah, jadikan kami orang yang hargai kenderaan dan nikmat yang ada. Ya Allah, bimbing kami untuk fikir dan lihat kehebatan Mu melalui tumbuhan dan tanaman di sekitar kita. Ya Allah, jadikan kami orang yang bersyukur dengan nikmat laut yang Engkau tundukkan untuk kegunaan kami.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.