PERKATAAN HARI INI
71 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Pemenuhan janji, hidayah dan penyesatan (16:94-96)
- Ayat yang paling komprehensif bagi lelaki dan wanita untuk beramal soleh (16:97)
- Beberapa hal yang berkaitan dengan al-Quran: membaca Ta'awwudz, penasakhan dan al-Quran adalah dalam Bahasa Arab (16:98-102)
Mukadimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pembelajaran pada halaman 278. Kita berada di hujung-hujung surah al-Nahl untuk melihat lebih lanjut nikmat-nikmat yang Allah SWT berikan untuk kita bersyukur, mengimani, bertauhid, dan bertawakal kepada Allah SWT. Kita menyerah diri kepada Allah SWT, bukan menyerah diri kepada seteru-seteruNya di kalangan hamba.
Ayat 16: 94
وَلَا تَتَّخِذُوٓا۟ أَيْمَٰنَكُمْ دَخَلًۢا بَيْنَكُمْ فَتَزِلَّ قَدَمٌۢ بَعْدَ ثُبُوتِهَا وَتَذُوقُوا۟ ٱلسُّوٓءَ بِمَا صَدَدتُّمْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَكُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).
Pengajaran
- Pada halaman lepas kita melihat tentang kesesatan dan hidayah. Apabila kita sudah mengucapkan dua kalimah syahadah, jangan jadikan ia sebagai tipu daya. Di zaman Nabi SAW, ada orang yang menggunakannya untuk mendapatkan harta, pengaruh atau keinginan dunia dengan menggunakan sumpah.
- Apabila sudah ada perjanjian dengan Allah SWT, buat tipu daya, tidak mahu taat, maka Allah SWT akan menggelincirkannya dan dia akan ditimpa keburukan. Mereka tidak beriman dan menghalang orang lain dari berada di jalan Allah.
- Ada orang yang:
- Membaca al-Quran dan memperjuangkannya. Ini bagus.
- Tidak membaca al-Quran dan menghalang orang dari menuju sabilillah, jalan Allah SWT. Azabnya amat besar.
Ayat 16: 95
وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِعَهْدِ ٱللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا إِنَّمَا عِندَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit; sesugguhnya apa yang ada di sisi Allah (dari balasan yang baik), itulah sahaja yang lebih baik bagi kamu, kalaulah kamu mengetahui.
Pengajaran
- Jangan tukarkan janji-janji kepada Allah SWT dengan harga yang murah, dengan pangkat, populariti, duit.
- Apa yang ada di sisi Allah SWT adalah lebih baik. Di sisi Allah SWT ada segala-galanya. Yang ada di sisi manusia, tidak kekal. Selebriti contohnya, popular, kena kutuk sahaja dan betul pula apa yang dikutuk, dia boleh hilang segalanya kerana mencari dari sisi manusia memang tidak kekal. Kekal hanya bila bersama Allah SWT.
- Allah SWT membalas orang yang sabar dengan ganjaran yang terbaik. Ingat masa kita exam. Keputusan yang pertama, kita dapat A, yang kedua B, yang ketiga, C. Solat pun ada tahap A, tahap B dan tahap C. Allah balas yang terbaik di antaranya bila kita perbaiki diri. Yang penting ialah kita kena sabar dalam amalan hidup kita.
- Baca al-Quran juga ada tahap baik dan terbaik. Itulah tawaran dari Allah SWT. Selalulah bersabar. Biarlah membaca tersekat-sekat, tidak mengapa kerana yang penting kita terus istiqomah belajar dan baca.
Ayat 16: 96
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍ وَلَنَجْزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓا۟ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Pengajaran
- Bila ada ilmu kita akan dapat memahami. Pangkat, kekayaan akan lenyap. Apa yang ada di sisi kita akan hilang. Hanya apa yang di sisi Allah SWT yang kekal.
- Teruskan membaca al-Quran, buat amal kebaikan, kita berdoa akan ada ganjaran yang kekal. Dengan ilmu yang kita ada, kita kena bijak menukar amalan untuk menjadi amal yang kekal ganjarannya.
Ayat 16: 97
مَنْ عَمِلَ صَٰلِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.
Pengajaran
- Allah SWT memberitahu kepada lelaki atau perempuan, mereka akan mendapat ganjaran dengan membuat amal soleh. Syaratnya mereka mukmin. Lelaki dengan cara lelaki, perempuan dengan cara perempuan. Kedua-duanya ada peluang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
- Pasti akan diberi kepada mereka kehidupan yang baik ( طَيِّبَةً). Terus baiki amalan dan Allah SWT kira yang terbaik. Kalau kita tidak perbaiki, statik sahaja, itu bukan amal soleh. Itu sekadar amal yang baik sahaja. Amal soleh ada kaitannya dengan islah. Teruslah beramal dan perbaiki amal.
- Jangan ambil ringan sumpah kita kepada Allah. Ia adalah janji setia kita kepada Allah SWT yang setiap hari perlu dikotakan dan disempurnakan.
Ayat 16: 98
فَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْءَانَ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيْطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ
Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.
Pengajaran
- Ini adalah panduan untuk mula membaca al-Quran. Salah satu amalan paling tinggi ialah minta perlindungan Allah SWT daripada hasutan syaitan. Apabila kita hendak buat aktiviti terbaik, syaitan pasti akan datang mengganggu fokus kita.
- Hendaklah kita baca al-Quran dengan kefahaman. Syaitan memang tidak mahu kita mengambil pelajaran daripada al-Quran (قَرَأْتَ).
- Ada dua pendapat tentang taawudz. Ada yang menyatakan ia wajib dan ada yang menyatakan ia sunat muakad.
Ayat 16: 99
إِنَّهُۥ لَيْسَ لَهُۥ سُلْطَٰنٌ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.
Pengajaran
- Syaitan tidak mempunyai kuasa ke atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Allah.
- Kita mohon berlindung daripada syaitan dan bertawakal kepada Allah SWT. Kita tidak perlu takut bila baca dan tadabbur al-Quran. Bila kita baca taawudz dengan asas iman dan tawakal, Allah SWT tidak akan benarkan syaitan mengganggu kita.
Ayat 16: 100
إِنَّمَا سُلْطَٰنُهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُۥ وَٱلَّذِينَ هُم بِهِۦ مُشْرِكُونَ
Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.
Pengajaran
- Pengaruh syaitan hanya terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka.
- Janganlah kita jadikan syaitan sebagai pemimpin dan terlibat dengan aktiviti-aktiviti syirik seperti mengasap keris dan sebagainya.
Ayat 16: 101
وَإِذَا بَدَّلْنَآ ءَايَةً مَّكَانَ ءَايَةٍ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يُنَزِّلُ قَالُوٓا۟ إِنَّمَآ أَنتَ مُفْتَرٍۭ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansuhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, - berkatilah mereka (yang kafir): "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta"; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.
Pengajaran
- Ayat ini adalah berkaitan dengan ilmu-ilmu al-Quran. Al-Quran adalah nikmat yang paling tinggi.
- Ada ayat dalam al-Quran yang memansukhkan ayat-ayat lain. Contoh: Ada ayat yang menyebut arak diharamkan ketika hendak solat. Ada ayat lain yang diharamkannya terus menerus. Ada orang musyrik yang mempersoalkan tentang pertukaran hukum ini. Allah SWT beritahu sedikit demi sedikit tentang pengharaman arak supaya mereka dapat memahaminya.
Ayat 16: 102
قُلْ نَزَّلَهُۥ رُوحُ ٱلْقُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِٱلْحَقِّ لِيُثَبِّتَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.
Pengajaran
- Allah SWT turunkan Al-Quran melalui Jibril dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah.
- Al-Quran diturunkan untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam.
- Orang yang makin bersama al-Quran sentiasa positif. Mereka sentiasa gembira dan berserah diri kepada Allah.
RESOLUSI
Ingat!
- Jadikan sumpah atau syahadah sebagai perisai untuk menghalang keburukan, bukan makin membuat kerosakan (16:94)
- Terus sabar kerana Allah SWT akan balas segalanya nanti (16:96)
- Selalu mohon perlindungan kepada Allah SWT apabila berinteraksi dengan al-Quran (16:98)
Saya berasa lega, Allah akan balas segalanya nanti kalau saya beriman dan terus sabar buat kebaikan.
Saya jelas untuk jadikan sumpah atau syahadah sebagai perisai untuk menghalang keburukan, bukan makin membuat kerosakan. Saya jelas untuk terus sabar kerana Allah SWT akan balas segalanya nanti. Saya jelas untuk selalu mohon perlindungan kepada Allah SWT apabila berinteraksi dengan al-Quran.
Ya Allah, pimpin kami untuk jadikan sumpah atau syahadah sebagai perisai untuk menghalang keburukan, bukan makin membuat kerosakan. Ya Allah, jadikan kami orang yang terus sabar, kurniakan kami balasan yang baik di dunia dan di akhirat. Ya Allah, kurniakan kami perlindungan daripada syaitan apabila berinteraksi dengan al-Quran.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.