PERKATAAN HARI INI
جَبَى = Memilih.
12 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Allah SWT Maha Pengampun (16:119)
- Nabi Ibrahim AS, pengikut Millahnya dan pengagungan kaum Yahudi kepada hari Sabtu (16:120-124)
- Asas dakwah kepada agama, menghukum haruslah sepadan dan sabar dalam menghadapi pelbagai musibah (16:125-128)
Mukadimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita diberi peluang memohon hidayah daripada Allah SWT dalam kesulitan dalam kesenangan kerana kita yakin banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Itulah yang kita ikuti sepanjang Surah al-Ni'am nama lain bagi surah al-Nahl.
Teruslah berdoa kerana kesan doa amat kuat. Kita bukan sekadar bercakap sesama kita tetapi kita bercakap dengan Maha Pencipta Maha Mendengar. Allah SWT tidak pernah salah mendengar apa yang kita inginkan.
Ayat 16: 119
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ عَمِلُوا۟ ٱلسُّوٓءَ بِجَهَٰلَةٍ ثُمَّ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوٓا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Pada halaman lepas kita telah belajar tentang kesilapan-kesilapan yang dibuat oleh orang musyrik dan Yahudi. Allah memberikan tawaran kepada mereka yang membuat kesilapan kerana kebodohan, kemudian mereka bertaubat dan memperbaiki, Tuhan sebenarnya Maha Pengampun Maha Penyayang.
- Bila kita lihat ayat ini, kalau orang musyrik dan orang Yahudi buat kesilapan dalam keadaan berilmu (بِجَهَٰلَةٍ), mereka orang yang tahu akhirat itu memang berharga, tetapi mereka tidak dapat mengawal emosi.
- Tanda ilmu ini dapat pada kita ialah kita tidak jahil, tidak mudah ikut emosi. Allah SWT tetap mengampunkan orang yang berbuat silap, bertaubat dan memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Selepas itu Allah SWT tetap mengampunkan dan tetap sayang seperti kita tidak pernah berbuat silap selama ini.
Ayat 16: 120
إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِّلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan "satu umat" (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik.
Pengajaran
- Tokoh yang Allah SWT angkat dalam ayat ini kerana menghargai nikmat ialah Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim A.S walaupun seorang, tetap dianggap sebagai umat. Berkelana dari Palestin ke Mekah. Nabi Ibrahim AS adalah ketua umat Islam. Nabi Muhammad meneruskan dan kita juga adalah legasi daripada Nabi Ibrahim AS.
- Sifatnya merendah diri (قَانِتًا), bersedia untuk mengikut Allah SWT tanpa rasa terpaksa. Nabi Ibrahim AS melalui banyak ujian-ujian hebat. Bila ada anak, kena tinggalkan di Mekah, kena sembelih pula. Nabi Ibrahim melalui semua ujian, tetapi tetap dalam keadaan قَانِتًا. Allah Amat Menyayangi dan Maha Mengampunkan.
- Allah SWT jelmakan sifat-sifat yang baik itu dalam diri Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim AS tidak pernah melakukan perkara syirik.
Ayat 16: 121
شَاكِرًا لِّأَنْعُمِهِ ٱجْتَبَىٰهُ وَهَدَىٰهُ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS amat bersyukur walaupun dengan sedikit nikmat.
- Dipilih Nabi Ibrahim AS untuk diberi hidayah ke jalan yang lurus kerana baginda bersyukur dan قَانِتًا.
- Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW juga dipilih kalau kita buat, bersedia dengan sukarela dan sentiasa bersyukur. Banyak nikmat yang Allah SWT beri kepada kita.
Ayat 16: 122
وَءَاتَيْنَٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْءَاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ
Dan Kami telah memberikan kepadanya kebaikan di dunia; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat adalah dari orang-orang yang soleh.
Pengajaran
- Allah SWT memberikan kepada Nabi Ibrahim AS kebaikan di dunia dan di akhirat. Di akhirat nanti, baginda akan bersama dengan orang-orang soleh. Baginda mahu berada bersama zuriatnya yang soleh.
Ayat 16: 123
ثُمَّ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ أَنِ ٱتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ
Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.
Pengajaran
- Nabi Ibrahim AS tidak pernah musyrik. Nabi Muhammad SAW diseru untuk mengikut kepada jalan hidup Nabi Ibrahim AS yang berjaya (hasanah) di dunia dan di akhirat bersama orang soleh. Hasanah yang yang dimaksudkan di sini bukan rumah dan lain-lain, tetapi ialah Nabi Ibrahim AS lulus ujian. Meninggalkan anak, masuk api dan sebagainya dan itu tanda baginda lulus.
- Allah SWT memilih baginda dengan merit. Dapat sedikit pun amat bersyukur. Kita, jika mahu mendapat merit untuk bersama Nabi Ibrahim AS kita mestilah لِّلَّهِ. قَانِتًاBila berbuat salah, cepat-cepat bertaubat (بِجَهَٰلَةٍ تَابُوا۟ ثُمَّ) dan kita perbaiki diri.
- Semoga kita dapat harungi ujian dengan sabar dan tawakkal kepada Allah SWT seperti Nabi Ibrahim AS.
Ayat 16: 124
إِنَّمَا جُعِلَ ٱلسَّبْتُ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Sesungguhnya hari Sabtu itu dijadikan (Hari kelepasan yang wajib dihormati) atas orang-orang (Yahudi) yang telah berselisihan padanya; dan sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat, tentang apa yang mereka telah berselisihan padanya.
Pengajaran
- Hari Sabtu adalah hari yang diberi untuk orang Yahudi yang suka bertelingkah. Asalnya Jumaat, menurut sesetengah pendapat.
- Hidup ini, kalau bertelingkah, Allah SWT akan menarik nikmat. Bab nak sembelih lembu pun orang Yahudi bergaduh. Kita janganlah begitu. Berbeza pendapat tidak apa tetapi jangan sampai menyusahkan diri.
- Jadilah seperti Nabi Ibrahim AS yang menghargai nikmat.
- Nikmat dari lebah, menghasilkan madu bukan tebu. Nikmat dari manusia, menghasilkan amal berteraskan wahyu bukan nafsu.
Ayat 16: 125
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ وَجَٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Pengajaran
- Serulah manusia dengan hikmah, nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.
- Kepada mereka yang sibuk dengan kerja, tidak sempat baca al-Quran, kena ada program untuk mereka yang disampaikan dengan hikmah supaya mereka faham agar mereka mendapat hikmah bagi membuat segala tugas yang ada.
- Ada orang yang tidak mahu ubah cara pandang mereka samada Islam atau bukan Islam. Perlu ada kajian daripada al-Quran untuk menyatakan inovasi daripada al-Quran ini adalah lebih baik. Ini perlukan kajian yang lebih mendalam.
- Tiga perkara ini memerlukan persediaan. Kita mengharapkan akhirnya akan ada Universiti al-Quran untuk orang awam benar-benar faham ٱلْحَسَنَةِ ٱلْمَوْعِظَةِ.
- Untuk ahli akademik, pemimpin, mereka ini perlu mengkaji al-Quran secara lebih mendalam hingga dapat melahirkan inovasi-inovasi yang akhirnya membuat perubahan di dalam masyarakat.
- Allah SWT lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalanNya dan siapa yang diberi hidayah.
Ayat 16: 126
وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا۟ بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِۦ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّٰبِرِينَ
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
Pengajaran
- Semakin kita bersama dengan al-Quran, mesti suatu masa ada orang tidak puas hati. Kalau ada orang yang yang menentang, kita diajar untuk membalas dengan yang sesuai sahaja. Jangan lebih-lebih tetapi bersabar itu lebih baik.
- Ini ayat di Mekah, mereka tahu mereka kena membuat perubahan tetapi tidak boleh berperang waktu itu. Maka pilihan mereka ialah kena bersabar. Perjuangan Nabi SAW di Mekah itu perit, tetapi Allah SWT memberi pujukan pada ayat 127.
Ayat 16: 127
وَٱصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِى ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ
Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.
Pengajaran
- Allah SWT memujuk Nabi SAW supaya bersabar terhadap perbuatan golongan yang ingkar.
- Sabar kita ada had. Tetapi jika ada Allah SWT, kita akan bersabar sampai syahid atau berjaya.
- Nabi SAW diingatkan supaya sabar, jangan sedih dan jangan rasa sempit.
Ayat 16: 128
إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوا۟ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya
Pengajaran
- Allah SWT bersama orang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
RESOLUSI
Ingat!
- Terus bertaubat apabila berbuat keburukan (16:119)
- Ajak manusia kepada jalan Allah SWT dengan hikmah dan nasihat baik (16:125)
- Kawal emosi dengan bantuan Allah SWT (127)
Saya berasa lega, kerana Allah SWT sentiasa menerima taubat dan tetap sayang kalau saya tersilap.
Saya jelas saya mesti terus bertaubat apabila berbuat keburukan. Saya jelas untuk ajak manusia kepada jalan Allah SWT dengan hikmah dan nasihat baik. Saya jelas untuk kawal emosi dengan bantuan Allah SWT.
Ya Allah, bimbing kami untuk bertaubat apabila berbuat keburukan. Ya Allah, pimpin kami untuk ajak manusia kepada jalan Allah SWT dengan hikmah dan nasihat baik. Ya Allah bantu kami untuk kawal emosi.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.