Friday, September 1, 2023

Halaman 332 : Al-Hajj, 22:1-5

PERKATAAN HARI INI

 زَلْزَلَ Menggoncangkan. 6 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Perintah bertakwa kepada Allah SWT (22:1-4)
  2. Dalil tentang penciptaan manusia dan tumbuh-tumbuhan (22:5)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada Surah al-Hajj, halaman 332. Semoga kita istiqamah beramal. Hidup di sini sekali sahaja penuh ujian. Semoga Allah SWT terima amal kita.

Surah al-Hajj adalah surah Madaniyyah yang mempunyai 78 ayat. Topik utama ialah berkaitan rukun haji. 

Ayat 22:1

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىْءٌ عَظِيمٌ

Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.

Pengajaran

  1. Allah SWT menyeru manusia supaya bertakwa kepada Tuhan.
  2. Allah SWT ingatkan bahawa goncangan hari kiamat itu adalah suatu perkara yang amat besar.
  3. Perkataan  عَظِيمٌ  شَىْءٌ bermakna suatu perkara yang amat besar. Pada awal surah al-Anbiya' orang-orang yang kufur main-main tentang hari kiamat.
  4. Perkataan Tuhan digunakan secara umum untuk semua manusia. Perkataan Allah SWT adalah spesifik untuk orang Islam. Yang penting kita kena pastikan manusia itu bertuhan. Kemudian diterangkan mana tuhan yang betul. Kalau seseorang itu tidak bertuhan, dia tidak ada tempat bergantung. 

Ayat 22:2

يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّآ أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى ٱلنَّاسَ سُكَٰرَىٰ وَمَا هُم بِسُكَٰرَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ ٱللَّهِ شَدِيدٌ

Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Pengajaran

  1. Pada hari kiamat, kegoncangan yang besar akan belaku di mana-mana tanpa putus-putus. 
  2. Ibu yang sedang menyusukan anak pun akan terlupa apa yang disusukan. Selalunya ibu amat kasih pada anaknya tetapi pada waktu itu kasih sayang itu tidak lagi berkesan. 
  3. Ibu yang mengandung juga akan gugurkan anaknya. Manusia merasa mabuk, berpusing-pusing berlarutan kerana azab Allah SWT amat sengsara. 
  4. Ini mengingatkan kita untuk buat persediaan bagi menghadapi hari kiamat.

Ayat 22:3

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَٰدِلُ فِى ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيْطَٰنٍ مَّرِيدٍ

Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan kita supaya jangan berdebat tentang Allah SWT tanpa ilmu. Kita perlu cari ilmu yang benar agar ketika kita hidup ini jangan berhujah tanpa ilmu.
  2. Syaitan hendak kita lupa pasal akhirat dan suka kalau manusia jadi pembangkang. Syaitan suka kita enjoy tanpa limit.

Ayat 22:4

كُتِبَ عَلَيْهِ أَنَّهُۥ مَن تَوَلَّاهُ فَأَنَّهُۥ يُضِلُّهُۥ وَيَهْدِيهِ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ

Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.

Pengajaran

  1. Syaitan akan menyesatkan sesiapa yang mengikutnya. Syaitan akan membuat manusia putus harapan. Syaitan akan isikan hati kita dengan perasaan marah dan tidak puas hati. 

Ayat 22:5

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّنَ ٱلْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ وَنُقِرُّ فِى ٱلْأَرْحَامِ مَا نَشَآءُ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنۢ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْـًٔا وَتَرَى ٱلْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَآ أَنزَلْنَا عَلَيْهَا ٱلْمَآءَ ٱهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنۢبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍۭ بَهِيجٍ

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

Pengajaran

Allah SWT menjadikan kehidupan kita bertahap-tahap. Allah SWT tidak hidupkan kita begitu sahaja. Allah SWT mahu kita berfikir bahawa hidup kita ini ada tujuan. 
Surah al-Hajj ini ada dua kanta antara kehidupan di dunia dan hari akhirat. Lihat padi, lihat bayi, kita nampak kaitan kejadian kita dengan hari akhirat. 
  1. Allah SWT menyuruh kita bertakwa. Salah satu cara bertakwa ialah kita melihat penciptaan manusia. Proses penciptaan manusia daripada tanah, kemudian jadi sperma, bercantum dengan ovum, akhirnya menjadi segumpal darah yang bergantung dan berbentuk.
  2. Tanah ini ada kaitan dengan tanah yang kita tanam pokok. Kemudian Allah SWT menetapkan manusia menjadi bayi yang lahir, besar dan akhirnya tua. Ada yang mati awal, ada yang sampai tua hingga nyanyuk. 
  3. Ini mengingatkan kita supaya semasa kita masih boleh berfungsi, buatlah persiapan betul-betul kepada hari akhirat. 
  4. Tiba-tiba di hujung ayat ini Allah SWT cerita tentang pokok. Cara pandang al-Quran ini bukan satu hala. Sambil fikir tentang manusia, fikir tentang tumbuhan. Sambil berfikir tentang dunia, fikir juga pasal akhirat. Inilah kanta al-Quran. 
  5. Dengan kanta al-Quran, kita dapat lihat bahawa bila tanah yang kosong, bila turun air, ia akan bergerak, berlaku fotosintesis, tumbuh subur, ada daun, buah yang akhirnya jadi cantik. Prosesnya lama dan ada pusingan dari semasa ke semasa di atas muka bumi. Kita dapat keindahan kita rasa gembira. 
  6. Ini menunjukkan mudah bagi Allah SWT untuk bangkitkan kita di akhirat nanti seperti mana tidak mustahilnya daripada biji benih menjadi pokok yang akhirnya menjadi taman yang amat indah.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Bina takwa dengan sentiasa peka terhadap hari pembalasan (22:1)
  2. Cari ilmu dan elakkan daripada banyak berdebat kecuali pada tempatnya (22:3)
  3. Sentiasa yakin dan buat persediaan menghadapi hari akhirat (22:5)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya buat persediaan menghadapi hari akhirat agar tidak mendapat azab yang dahsyat pada hari itu.

Saya jelas untuk bina takwa dengan sentiasa peka terhadap hari pembalasan. Saya jelas untuk cari ilmu dan elakkan daripada banyak berdebat kecuali pada tempatnya. Saya jelas untuk sentiasa yakin dan buat persediaan menghadapi hari akhirat.

Ya Allah, bimbing kami untuk bina takwa dengan sentiasa peka terhadap hari pembalasan. Ya Allah, bimbing kami untuk cari ilmu dan elakkan daripada banyak berdebat kecuali pada tempatnya. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa yakin dan buat persediaan menghadapi hari akhirat.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...