Friday, September 1, 2023

Halaman 333 : Al-Hajj, 22:6-15

PERKATAAN HARI INI 

قَبَرَ Menguburkan. 8 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Kebenaran tentang Ba'ts (22: 6-7)
  2. Gambaran tentang pelbagai keadaan manusia; perbalahan secara batil, keimanan yang tidak konsisten dan ganjaran bagi orang mukmin yang soleh (22:8-14)
  3. Orang yang meragui kemenangan Nabi Muhammad SAW (22:15)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada Surah al-Hajj, halaman 333. Al-Quran sepatutnya membangkitkan semangat kita. 

Pada halaman lepas, kita telah melihat hubung kait tentang penciptaan manusia dan tumbuh-tumbuhan. Allah SWT yang menciptakan segalanya dan berkuasa pada tiap-tiap sesuatu.  Kiamat pasti akan datang juga.

Ayat 22:6

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّهُۥ يُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَأَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Pengajaran

  1. Ayat-ayat sebelum ini membuktikan bahawa sesungguhnya Allah SWT jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya yang berhak disembah.
  2. Allah SWT lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Ayat 22:7

وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِيَةٌ لَّا رَيْبَ فِيهَا وَأَنَّ ٱللَّهَ يَبْعَثُ مَن فِى ٱلْقُبُورِ

Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.

Pengajaran

  1. Ada manusia yang masih ragu-ragu tentang hari kiamat. Allah SWT akan membangkitkan manusia dari kubur. 
  2. Dulu kita dikandung oleh ibu, nanti kita akan dikandung oleh tanah di dalam kubur. Selepas di perut ibu, kita lahir di dunia. Selepas kubur, kita lahir di akhirat untuk diperhitungkan.
  3. Kita kena betul-betul buat persediaan untuk menguatkan ketauhidan dan keimanan kita. 

Ayat 22:8

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَٰدِلُ فِى ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَٰبٍ مُّنِيرٍ

Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran;

Pengajaran

  1. Allah SWT mengulang tentang orang yang berdebat tanpa ilmu, tanpa hidayah, tanpa kitab yang bersifat menerangi. 
  2. Al-Quran bukan sekadar terang tetapi ia menerangi orang yang bersama kitab ini. Hati akan jadi terang, bercahaya, bahagia dan bersemangat dalam hidup. Bila kita mendengar bacaan al-Quran, ia menerangi, mencerahkan dan kita tidak akan kecewa. 
  3. Semoga hati-hati kita sentiasa dibajai dengan roh al-Quran. 

Ayat 22:9

ثَانِىَ عِطْفِهِۦ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌ وَنُذِيقُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ

Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan ugama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak;

Pengajaran

  1. Ini mesej kepada seluruh manusia yang diberi ilmu tetapi masih berdebat tentang hari kiamat tanpa ilmu. Mereka berpaling kerana tidak mahu mendengar kebenaran daripada al-Quran. 
  2. Kesannya, mereka menyesatkan pengikut-pengikut mereka daripada jalan Allah SWT.
  3. Kepada pemimpin atau influencer, jangan sewenang-wenangnya kutuk perkara kebaikan kerana ia memberi kesan kepada pengikut. Itu adalah lambang kesombongan, di dunia akan dihina dan di akhirat akan dirasakan azab yang amat membakar kerana mereka sendiri yang merancang perbuatan demikian. 

Ayat 22:10

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ يَدَاكَ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

(Dengan dikatakan kepadanya): "Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya".

Pengajaran

  1. Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya, tetapi hamba yang menzalimi diri sendiri dengan tidak kembali kepada mesej daripada Allah SWT.
  2. Ini adalah psikologi manusia yang suka berdebat dan suka berpaling daripada kebenaran. 

Ayat 22:11

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعْبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍ فَإِنْ أَصَابَهُۥ خَيْرٌ ٱطْمَأَنَّ بِهِۦ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةَ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

Pengajaran

  1. Ada manusia yang beribadah sipi-sipi sahaja. Bersama agama ini kita jangan ambil daripada tepi-tepi. Bila mereka mendapat kebaikan, mereka rasa tenang. Bila mendapat ujian, mereka berpaling, tidak mahu solat, atau tidak mahu baca al-Quran lagi. Mereka tidak merasa yang ujian itu adalah untuk membawa mereka kembali kepada Allah SWT.
  2. Kalau kita fokus kepada al-Quran, kita akan lari daripada memikirkan sakit atau masalah. Bawakan pemikiran kita kepada apa yang Allah SWT anjurkan di dalam al-Quran. 
  3. Mereka yang beragama sipi-sipi ini, terhibur dengan apa yang mereka mahukan tetapi bukan terhibur dengan apa yang Allah SWT mahukan. 

Ayat 22:12

يَدْعُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُۥ وَمَا لَا يَنفَعُهُۥ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلضَّلَٰلُ ٱلْبَعِيدُ

Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan yang jauh terpesong.

Pengajaran

  1. Mereka menyeru kepada selain Allah SWT yang tidak boleh memberi mudharat dan manfaat. Mereka ini sesat jauh. Kadang-kadang belajar tinggi, tetapi masih berfikiran khurafat. Contoh: Tidak mahu duduk di tingkat 13.
  2. Bila sudah beragama sipi-sipi, mereka mengambil idea-idea tertentu sahaja, yang lain diketepikan.

Ayat 22:13

يَدْعُوا۟ لَمَن ضَرُّهُۥٓ أَقْرَبُ مِن نَّفْعِهِۦ لَبِئْسَ ٱلْمَوْلَىٰ وَلَبِئْسَ ٱلْعَشِيرُ

Ia menyeru dan menyembah makhluk yang - dengan perbuatan demikian - mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan disembahnya itu.

Pengajaran

  1. Jika kita menyeru selain daripada Allah SWT, tidak merujuk kepada al-Quran 100%, kesan mudharatnya lebih dekat daripada manfaatnya. Ini adalah seburuk-buruk sahabat kerana semua ini tidak boleh membantu, malah memberikan mudharat. 
  2. Tahyul, khurafat, horoscope tidak ada kaitan dengan memberi mudharat atau manfaat. Elemen itu masuk apabila seseorang itu menyeru selain daripada Allah SWT. 

Ayat 22:14

إِنَّ ٱللَّهَ يُدْخِلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ إِنَّ ٱللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa yang ditentukanNya.

Pengajaran

  1. Allah SWT akan memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Inilah ganjaran bagi orang yang bersama Allah SWT, tidak beragama sipi-sipi. Mereka diberi keindahan di syurga.
  2. Bagi orang yang sudah diberikan peluang untuk hidup ini dengan pelbagai perkara tetapi dia ambil agama sipi-sipi dan tidak buat persediaan untuk hari kiamat yang merupakan cuti buat selama-lamanya, mereka dalam kerugian yang besar.
  3. Maka kita kena buat persediaan yang baik dan bertanggungjawab kepada keluarga. 

Ayat 22:15

مَن كَانَ يَظُنُّ أَن لَّن يَنصُرَهُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ فَلْيَمْدُدْ بِسَبَبٍ إِلَى ٱلسَّمَآءِ ثُمَّ لْيَقْطَعْ فَلْيَنظُرْ هَلْ يُذْهِبَنَّ كَيْدُهُۥ مَا يَغِيظُ

Sesiapa yang menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan menolong Nabi Muhammad dalam dunia ini dan di akhirat kelak, maka hendaklah ia menghulurkan tali (serta mengikatnya) di bumbung rumahnya, kemudian hendaklah ia menjerut lehernya (supaya ia mati tercekik); dalam pada itu hendaklah ia memikirkan lebih dahulu, adakah tipu dayanya itu dapat menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan kemarahannya?

Pengajaran

  1. Ini adalah satu peringatan kepada kita. Kadang-kadang ada orang yang sudah mengikut Nabi SAW tetapi kecewa apabila tidak nampak ada perubahan. Mereka berputus asa.
  2. Ini adalah ayat pengurusan mental bila kita bersama dalam perjuangan agama Islam ini. Perjuangan menuju ke syurga penuh dengan mehnah tribulasi. 
  3. Teruskan istiqamah bersama al-Quran kerana ia adalah tali Allah SWT. Jangan potong.
  4. Kesan kepada kemarahan itu rupa-rupanya orang itu sendiri yang mengecewakan. Keep it up, jangan berputus asa bila kita bersama dengan tali Allah SWT dalam usaha kita menuju syurga Allah SWT.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Berusaha mencari ilmu, hidayah dan fahami kitab al-Quran (22:8)
  2. Bersungguh-sungguh beribadat kepada Allah SWT, bukan sambil lewa (22:11)
  3. Yakin dengan pertolongan Allah SWT dalam segenap perkara dan jangan ragu (22:15)

Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan pertolongan dalam segenap perkara.

Saya jelas untuk berusaha mencari ilmu, hidayah dan fahami kitab al-Quran. Saya jelas untuk bersungguh-sungguh beribadat kepada Allah SWT, bukan sambil lewa. Saya jelas saya mesti yakin dengan pertolongan Allah SWT dalam segenap perkara dan jangan ragu.

Ya Allah, pimpin kami untuk mencari ilmu, hidayah dan fahami kitab al-Quran. Ya Allah, bantu kami untuk bersungguh-sungguh beribadat kepada Mu, bukan sambil lewa. Ya Allah, kurniakan kami keyakinan dengan pertolongan Mu dalam segenap perkara dan tidak ragu.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...