Friday, September 1, 2023

Halaman 331 : Al-Anbiya', 21:102-112

PERKATAAN HARI INI 

  طَوَى Menggulung. 5 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Keadaan di syurga dan akhirat (102-105)
  2. Al-Quran panduan hamba (106)
  3. Nabi Muhammad SAW adalah rahmat yang dihadiahkan kepada kita (107-112)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman terakhir  Surah al-Anbiya'. 
Perjuangan nabi-nabi penuh dengan cabaran mehnah, tetapi dengan doa, Allah SWT kabulkan dan Allah SWT pelihara mereka daripada cabaran-cabaran yang menimpa.

Pada halaman lepas, Allah SWT menceritakan orang-orang yang berada di neraka. Mereka mengalami azab yang amat perit di tempat masing-masing.

Orang-orang yang beramal soleh bersungguh-sungguh, mereka itu adalah orang yang dijauhkan daripada azab. Sekiranya diberi ujian sakit, jangan padam semangat. Kita doakan agar saudara mara , kawan-kawan yang sakit dikuatkan oleh Allah SWT.

Ayat 21:102

لَا يَسْمَعُونَ حَسِيسَهَا ۖ وَهُمْ فِى مَا ٱشْتَهَتْ أَنفُسُهُمْ خَـٰلِدُونَ

Mereka tidak mendengar suara (julangan) api neraka itu, dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Pengajaran

  1. Di syurga, orang-orang yang beriman tidak mendengar desis api neraka. Semasa menyeberang siratul mustaqim Allah SWT akan percepatkan kerana di dunia mereka bersegera membuat kebaikan.
  2. Ini adalah perlindungan anugerah Allah SWT kepada orang-orang yang bersegera membuat kebaikan. Apa sahaja yang mereka hendak, akan dapat dan kekal. 
  3. Perbanyakkan berzikir kerana Allah SWT Maha Penyayang dalam kehidupan. Teruskan buat kebaikan ketika sakit.

Ayat 21:103

لَا يَحْزُنُهُمُ ٱلْفَزَعُ ٱلْأَكْبَرُ وَتَتَلَقَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ هَـٰذَا يَوْمُكُمُ ٱلَّذِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak merunsingkan mereka, dan (sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata: "Inilah hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di dunia) dahulu".

Pengajaran

  1. Orang-orang yang membuat kebaikan tidak akan terkejut pada hari kiamat kerana mereka sudah dijanjikan sambutan para malaikat dengan ucapan tahniah. Ini kerana dulu mereka sudah bekerja keras seperti nabi-nabi.

Ayat 21:104

يَوْمَ نَطْوِى ٱلسَّمَآءَ كَطَىِّ ٱلسِّجِلِّ لِلْكُتُبِ ۚ كَمَا بَدَأْنَآ أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُۥ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَآ ۚ إِنَّا كُنَّا فَـٰعِلِينَ

(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catitan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.

Pengajaran

  1. Allah SWT beri peringatan tentang keadaan pada hari kiamat. Langit digulung seperti menggulung kertas, maksudnya sudah dipenghujung kehidupan. 
  2. Ini mengingatkan kita apakah amalan kita sudah cukup untuk menghadapi hari kiamat?

Ayat 21:105

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِى ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعْدِ ٱلذِّكْرِ أَنَّ ٱلْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِىَ ٱلصَّـٰلِحُونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".

Pengajaran

  1. Allah SWT memang sudah rancang kejadian hari kiamat. 
  2. Kita diingatkan untuk membuat persediaan dengan menambahkan amal soleh.

Ayat 21:106

إِنَّ فِى هَـٰذَا لَبَلَـٰغًا لِّقَوْمٍ عَـٰبِدِينَ

Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan berilmu).

Pengajaran

  1. Dalam surah ini banyak  perkataan  عَـٰبِدِينَ kerana nabi-nabi hendak mengingatkan manusia supaya jadilah hamba dalam semua keadaan, kaya, miskin, sakit atau sihat.
  2. Sedarlah kehambaan kita adalah kepada Allah SWT bukan kepada manusia.

Ayat 21:107

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَـٰلَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Pengajaran

  1. Para nabi dilatih oleh Allah SWT meneruskan perjuangan dengan penuh kehambaan. Kehambaan itulah yang membolehkan mereka terus istiqamah, terus bangkit dan bangkit untuk mengingatkan masyarakat agar jangan lena (ghaflah) dalam kehidupan mereka dengan bantuan Allah SWT.
  2. Nabi SAW diutuskan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.

Ayat 21:108

قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَٰحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّسْلِمُونَ

Katakanlah: "Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?"

Pengajaran

  1. Nabi SAW dan nabi-nabi sebelumnya diutuskan untuk membawa mesej tauhid. 
  2. Apabila kita beriman, kita cinta kepada Nabi SAW kerana baginda membawa mesej jalan hidup bertuhan. Tuhan itu hanyalah Tuhan yang Maha Esa. Maka hendaklah kita turut apa yang diwahyukan kepada Nabi SAW.
  3. Kalau kita ada amalan-amalan yang tidak menyerah kepada Allah SWT, itu belum lagi  muslimun.

Ayat 21:109

فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُلْ ءَاذَنتُكُمْ عَلَىٰ سَوَآءٍ ۖ وَإِنْ أَدْرِىٓ أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٌ مَّا تُوعَدُونَ

Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: "Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama; dan aku tidak mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.

Pengajaran

  1. Cabaran Nabi SAW; ramai yang tidak suka walaupun Nabi SAW sampaikan dengan penuh kasih sayang. Mereka kata Nabi SAW penipu, sihir dan sebagainya.
  2. Allah SWT beritahu bahawa Tuhan itu Esa, serahlah kepada Allah SWT dalam segala urusan kehidupan. 
  3. Saat ditanya perkara yang ghaib, Nabi SAW diajar supaya memberitahu orang kafir bahawa baginda tidak tahu sama ada balasan buruk yang dijanjikan kerana keingkaran mereka sudah dekat atau jauh. 
  4. Inilah jawapan kepada orang yang sombong tidak menjadi hamba. Kalau hamba, bila Allah SWT beri nikmat, seperti nikmat sihat, dia akan bersyukur bahawa Allah SWT hendak bagi peluang untuk tambah kebaikan. Sampai di akhirat nanti, malaikat akan beri ucapan tahniah. Ini amat berbaloi.

Ayat 21:110

إِنَّهُۥ يَعْلَمُ ٱلْجَهْرَ مِنَ ٱلْقَوْلِ وَيَعْلَمُ مَا تَكْتُمُونَ

Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia mengetahui apa yang kamu sembunyikan (di dalam hati).

Pengajaran

  1. Hendaklah kita sedar bahawa hakikat kehidupan kita ini Allah mengetahui akan perkataan yang kita sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia mengetahui apa yang kita sembunyikan di dalam hati.
  2. Apa sahaja persoalan dalam hidup kita ini Allah SWT tahu. Allah SWT pasti mendengar, dan Allah SWT akan menjawab dengan lebih baik. 
  3. Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk kita. Hendaklah kita rasakan kehambaan betul-betul kepada Allah SWT.

Ayat 21:111

وَإِنْ أَدْرِى لَعَلَّهُۥ فِتْنَةٌ لَّكُمْ وَمَتَـٰعٌ إِلَىٰ حِينٍ

"Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan di samping itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu".

Pengajaran

  1. Apabila seseorang itu diberi peluang, itu adalah satu ujian (fitnah) samada ujian buruk (syar) atau baik (khair). Ketika sakit atau sihat semuanya adalah ujian. Semoga kita lulus ujian dengan selalu kembali kepada kebenaran.

Ayat 21:112

قَـٰلَ رَبِّ ٱحْكُم بِٱلْحَقِّ ۗ وَرَبُّنَا ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ

(Nabi Muhammad merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di antara kami dengan mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah Yang Melimpah-limpah rahmatNya yang dipohonkan pertolonganNya terhadap apa yang kamu sifatkan itu".

Pengajaran

  1. Nabi SAW tidak pernah ucapkan perkataan menghukum kepada kaumnya.
  2. Nabi SAW merintih memohon Allah SWT berikan hukuman dengan yang benar (بِٱلْحَقِّ) selepas bertahun-tahun berusaha menyampaikan kalimah tauhid.
  3. Allah SWT adalah Tuhan yang melimpah-limpah rahmatNya. Kita boleh minta macam-macam daripada Allah ar-Rahman, syaratnya jangan kita degil, jangan melawan kepada Allah SWT iaitu tempat yang sepatutnya kita serah diri dalam kehidupan.
  4. Jadilah orang yang menyerah diri kepada Allah SWT. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa kembali kepada Allah SWT dan sentiasa melakukan amal soleh.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Biarpun dunia ini bercampur dosa dan pahala, kuatkan semangat beribadah agar kita diganjari syurga yang penuh kesejahteraan (21:102)
  2. Jadilah orang yang soleh, kerana dunia ini akan diserahkan pengurusannya kepada golongan tersebut (21:105)
  3. Jadilah umat Nabi Muhammad SAW yang menjadi rahmat kepada seluruh alam (21:107)

Saya berasa lega, Allah SWT akan ganjari syurga sekiranya saya kuatkan semangat beribadah.

Saya jelas untuk kuatkan semangat beribadah agar diganjari syurga yang penuh kesejahteraan biarpun dunia ini bercampur dosa dan pahala. Saya jelas untuk jadi orang yang soleh, kerana dunia ini akan diserahkan pengurusannya kepada golongan tersebut. Saya jelas untuk jadi umat Nabi Muhammad SAW yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Ya Allah, kuatkan semangat beribadah kami. Ya Allah, kurniakan kami syurga yang penuh kesejahteraan biarpun dunia ini bercampur dosa dan pahala. Ya Allah, jadikan kami orang yang soleh. Ya Allah, bimbing kami untuk melaksanakan urusan hidup ini sebagai hambaMu yang soleh. Ya Allah, jadikan kami umat Nabi Muhammad SAW yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...