PERKATAAN HARI INI
مَسَكَ Memegang, bertahan. 27 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Bukti kuasa Allah SWT adalah penciptaan laut, menghidupkan dan mematikan manusia (22:65)
- Tiap-tiap umat memiliki syariat dan manhaj yang sesuai (22: 67-70)
- Beberapa kebatilan orang musyrik (22:71-72)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 340 surah al-Hajj.
Pada ayat 64, Allah SWT mengingatkan kita bahawa segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah SWT yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
Surah al-Hajj adalah berkaitan hajj dan perjuangan untuk menaikkan nama Allah SWT dan mengatakan bahawa "Tuhan kami adalah Allah" dan kita teguh di atas perkara ini.
Ayat 22:65
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ وَٱلْفُلْكَ تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ وَيُمْسِكُ ٱلسَّمَآءَ أَن تَقَعَ عَلَى ٱلْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.
Pengajaran
- Sebagai tanda kekuasaanNya, Allah SWT membawakan bukti yang dapat dilihat di sekeliling kita. Allah SWT menundukkan segala peraturan alam. Kapal yang berat tidak tenggelam di lautan. Allah SWT yang mengurusnya.
- Bintang-bintang dan segala yang di langit tidak jatuh kerana Allah SWT sentiasa menjaganya.
- Allah SWT mengingatkan yang Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah SWT jaga kita sejak dari alam rahim sampailah ke alam barzakh.
Ayat 22:66
وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَكَفُورٌ
Dan Dia lah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.
Pengajaran
- Allah SWT menghidupkan kita, kemudian Ia mematikan, kemudian Ia menghidupkan kita semula.
- Insan ini amatlah tidak bersyukur.
Ayat 22:67
لِّكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ فَلَا يُنَٰزِعُنَّكَ فِى ٱلْأَمْرِ وَٱدْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَىٰ هُدًى مُّسْتَقِيمٍ
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
Pengajaran
- Bagi tiap-tiap umat, Allah SWT adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan.
- Allah SWT larang kita membantah syariat yang dibawa oleh Nabi SAW.
- Nabi SAW diperintahkan untuk seru umat manusia kepada ugama Tuhan. Sesungguhnya Nabi SAW berada di atas jalan yang lurus.
- Ayat ini muncul selepas Allah SWT menceritakan tentang kebesaranNya. Allah SWT berkuasa. Kapal yang berat pun tidak tenggelam, kecuali atas izinNya. Kapal terbang pun Allah SWT tahan daripada jatuh.
- Manusia suka berhujjah, berdebat tentang hari kiamat. Allah yang sama memberi syariat kepada nabi-nabi terdahulu. Tauhid yang sama hanya syariatnya yang berbeza.
- Sebagaimana kita tenteram berada dalam alam yang dijaga oleh Allah SWT, maka kita ikut sahaja syariatNya supaya sistem hidup kita juga tenteram. Allah SWT sayang kepada kita maka kita ikutlah syariat yang ditentukanNya.
Ayat 22:68
وَإِن جَٰدَلُوكَ فَقُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ
Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
Pengajaran
- Bila ada orang berdebat, seru mereka kepada Tuhan. Jangan buang masa berdebat hanya untuk berdebat.
- Katakan, Allah SWT Maha Mengetahui. Allah SWT akan tentukan segalanya. Jangan berdebat kecuali untuk ajak kepada Allah SWT.
Ayat 22:69
ٱللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ فِيمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
"Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya".
Pengajaran
- Allah akan menghukum di antara kita semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kita berselisihan padanya.
- Kita mungkin keliru dengan kesan orang agama lain beribadah. Mereka tidak beramal seperti orang Islam, tetapi mereka dapat juga segalanya. Bila kita sudah mendapat hidayah daripada al-Quran, kita kena tetap di atasnya. Jangan lagi kita melayan lagi idea atau hujah yang bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam al-Quran.
Ayat 22:70
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ إِنَّ ذَٰلِكَ فِى كِتَٰبٍ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ
Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.
Pengajaran
- Allah SWT sentiasa mengetahui segala apa yang ada di langit dan di bumi. Semuanya sudah tertulis di Lauh Mahfuz.
- Semuanya mudah bagi Allah SWT. Kita mungkin susah untuk faham hukum-hukum yang Allah SWT tetapkan kerana kita manusia. Kita kenalah belajar untuk faham dan melaksanakan hukum-hukum yang Allah SWT sudah tetapkan untuk kita turuti.
Ayat 22:71
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِۦ سُلْطَٰنًا وَمَا لَيْسَ لَهُم بِهِۦ عِلْمٌ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِن نَّصِيرٍ
Dan mereka menyembah yang lain dari Allah iaitu benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan membenarkannya, dan yang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya dan (ingatlah) tiadalah bagi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syirik) itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan (di dunia dan di akhirat).
Pengajaran
- Ada manusia sentiasa mengabdikan diri kepada selain Allah SWT tanpa hujjah, keterangan dan ilmu. Hujjah dan ilmu ini penting dalam kehidupan beragama.
- Bagi orang yang zalim itu tidak ada pertolongan. Orang yang mensyirikkan Allah SWT tanpa bukti akan diazab.
- Al-Quran adalah bukti yang kuat (سُلْطَٰنًا). Bila kita ada ilmu, kita tahu ada yang mencipta segalanya. Orang-orang yang zalim, cara berfikir mereka rosak.
Ayat 22:72
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُنَا بَيِّنَٰتٍ تَعْرِفُ فِى وُجُوهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلْمُنكَرَ يَكَادُونَ يَسْطُونَ بِٱلَّذِينَ يَتْلُونَ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتِنَا قُلْ أَفَأُنَبِّئُكُم بِشَرٍّ مِّن ذَٰلِكُمُ ٱلنَّارُ وَعَدَهَا ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan dapat melihat pada muka orang-orang yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir-hampir mereka hendak menerkam dan menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian, mahukah, aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali! "
Pengajaran
- Orang-orang yang kufur tidak selesa bila ayat al-Quran dibacakan. Hujjah al-Quran terlampau kuat dan mereka tidak boleh membalas. Mereka geram dan menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat al-Quran.
- Allah SWT ajarkan supaya beritahu mereka agar jangan takut dengan orang yang membacakan al-Quran. Khabarkan kepada mereka tentang perkara yang lebih bahaya iaitu neraka yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang kafir.
RESOLUSI
Ingat!
- Buat kajian tentang angkasaraya dan lautan (22:65)
- Jika ada orang membantah, katakan kepada mereka Allah SWT lebih mengetahui (22:69)
- Terus membacakan ayat al-Quran kepada orang yang belum beriman (22:72)
Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan supaya jangan takut kepada orang-orang yang kufur, terus membacakan al-Quran agar mereka mendapat hidayah.
Saya jelas untuk buat kajian tentang angkasaraya dan lautan. Saya jelas, jika ada orang membantah, katakan kepada mereka Allah SWT lebih mengetahui. Saya jelas untuk terus membacakan ayat al-Quran kepada orang yang belum beriman.
Ya Allah, bimbing kami untuk buat kajian tentang angkasaraya dan lautan. Ya Allah, bimbing kami untuk katakan Allah SWT lebih mengetahui jika ada orang membantah. Ya Allah, bimbing kami untuk terus membacakan ayat al-Quran kepada orang yang belum beriman.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib