Friday, September 1, 2023

Halaman 339 : Al-Hajj, 22:56-64

PERKATAAN HARI INI 

 هَجَرَ Berhijrah. 31kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Ganjaran bagi orang beriman dan kufur (22:56-57)
  2. Janji Allah SWT untuk memberikan pertolongan, kemenangan dan syurga bagi orang Muhajirin yang berperang demi membela diri mereka (22:58-60)
  3. Antara tanda bukti kuasa Allah SWT (22:61-64)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 339 surah al-Hajj. 

Pada halaman lepas, kita telah belajar bahawa apabila Nabi SAW menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada tauhid, syaitan akan mengganggu. Syaitan memang cuba untuk jauhkan kita daripada berbuat persediaan menuju kepada as-Sa'ah. Kita mohon perlindungan daripada Allah SWT dengan taawuz dan membaca al-Quran.

Ayat 55 menyebut tentang mereka yang diazab kerana ada keraguan kepada al-Quran. Mereka akan diazab secara tiba-tiba pada hari yang penuh kesengsaraan dan siksa yang kekal. 

Ayat 22:56

ٱلْمُلْكُ يَوْمَئِذٍ لِّلَّهِ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ فِى جَنَّٰتِ ٱلنَّعِيمِ

Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu tertentu bagi Allah. Ia akan menghukum di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan;

Pengajaran

  1. Orang beriman berada di dalam kenikmatan. Mereka berada dalam ٱلنَّعِيمِ جَنَّٰتِ, iaitu syurga-syurga yang penuh nikmat yang mewah dan kekal. 
  2. Ini adalah penerangan kepada kita tentang hari akhirat. Kekuasaan pada hari itu hanyalah pada Allah SWT yang akan menghakim. Keputusan hakim di kalangan manusia mungkin tidak berapa tepat penilaiannya. Tetapi pada hari itu, tidak ada siapa mempertikaikan hukuman Allah SWT kerana semuanya sudah ada bukti-bukti.

Ayat 22:57

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا فَأُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh azab seksa yang menghina.

Pengajaran

  1. Orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Allah SWT, maka mereka beroleh azab seksa yang menghina.
  2. Allah SWT beri harapan kepada orang yang kufur. Allah SWT tidak terus memberi azab yang menghinakan. Contoh yang guna peluang itu adalah Abu Suffian yang menentang Rasullah SAW selama 13 tahun di Mekah, di Badar dan Uhud, akhirnya  ketika Fathul Mekah, beliau bertaubat dan masuk Islam.
  3. Perkataan 'fa' (فَأُو۟لَٰٓئِكَ) menunjukkan Allah SWT beri peluang kepada orang-orang yang kafir.

Ayat 22:58

وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوٓا۟ أَوْ مَاتُوا۟ لَيَرْزُقَنَّهُمُ ٱللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ

Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.

Pengajaran

  1. Allah SWT memberi pujian khusus kepada orang-orang yang berhijrah ke jalan Allah SWT. Mereka mati syahid dalam perang atau mati di atas katil, Allah SWT tetap beri ganjaran, seperti Khalid Al-Walid. Mereka diberi ganjaran kerana pengorbanan mereka berhijrah, meninggalkan segalanya.
  2. Ayat ini memberi semangat kepada para sahabat dan kepada kita. Allah SWT memberi penekanan kepada mereka yang berhijrah kerana fisabilillah, berjuang menyelamatkan akidah, iman untuk mendapatkan keadaan hidup untuk beribadah yang lebih baik. Mereka terpaksa meninggalkan keluarga, harta seperti orang Muhajirin Mekah yang ada macam-macam di Mekah tetapi mereka sanggup untuk berhijrah kerana hendak menjaga iman.
  3. Kalau mereka meninggal di medan perang atau di atas katil, Allah SWT akan beri rezeki yang luas dan terbaik di akhirat. 
  4. Rezeki mesti difikirkan sampai ke akhirat nanti. Kalau kita bekerja di tempat yang ada unsur-unsur haram, maka berhijrahlah. Jangan hanya memikirkan rezeki di dunia sahaja. Pastikan ianya sampai ke akhirat.
  5. Allah SWT sebaik-baik pemberi rezeki. Allah SWT tidak pernah putus untuk menghargai dan akan terus beri rezeki sampai ke akhirat nanti.

Ayat 22:59

لَيُدْخِلَنَّهُم مُّدْخَلًا يَرْضَوْنَهُۥ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَعَلِيمٌ حَلِيمٌ

Sudah tentu Allah akan memasukkan mereka (yang tersebut itu) ke tempat yang mereka sukai (Syurga), dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

Pengajaran

  1. Sudah tentu Allah SWT akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyantun.

Ayat 22:60

ذَٰلِكَ وَمَنْ عَاقَبَ بِمِثْلِ مَا عُوقِبَ بِهِۦ ثُمَّ بُغِىَ عَلَيْهِ لَيَنصُرَنَّهُ ٱللَّهُ إِنَّ ٱللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ

Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Pengajaran

  1. Dalam surah ini banyak disebut ذَٰلِكَ. Ini adalah satu penekanan daripada Allah SWT. Hati manusia ini perlu diulang-ulang supaya ingat. 
  2. Orang Quraish menyerang Nabi SAW tetapi Allah SWT izinkan untuk membalas setimpal sahaja. Jika mereka serang lagi dengan menzalimi, menganiaya orang Islam, Allah SWT pasti berikan pertolongan.
  3. Allah SWT Maha Pemaaf dan Pengampun. Kalau boleh memaafkan lagi bagus, tidak perlu berperang. Ini yang berlaku semasa peristiwa Fathul Mekah. Nabi SAW tidak menumpahkan setitis darah pun. Nabi SAW memaafkan. 
  4. Islam bukan agama  teroris. Memaafkan melangkau daripada membalas dendam kepada orang yang pernah menyakitkan hati, perasaan kita. 

Ayat 22:61

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ يُولِجُ ٱلَّيْلَ فِى ٱلنَّهَارِ وَيُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِى ٱلَّيْلِ وَأَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌۢ بَصِيرٌ

(Pertolongan yang dijanjikan Allah tetap berlaku) kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan sebagaimana kuasaNya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti); dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Pengajaran

  1. Allah SWT berkuasa menukar malam ke siang, siang ke malam. 
  2. Orang Islam yang berada di dalam keadaan gelap dan ditindas, Allah SWT boleh menjadikan mereka seperti siang, terang cahayanya, menang. Ada orang Islam yang sudah menang, Allah SWT boleh kalahkan kerana ada di kalangan orang Islam yang tidak mendapat pertolongan Allah SWT. 
  3. Syarat mendapat pertolongan daripada Allah SWT ialah kita kena berjuang di jalan Allah SWT, hijrah, naikkan ketauhidan kepada Allah SWT. Ada perjuangan, baru Allah SWT bantu. Sekiranya orang Islam berjuang, Allah SWT tidak akan tinggalkan. Allah SWT akan bawa daripada gelap kepada cahaya, daripada mundur kepada maju. 
  4. Orang Islam perlu mencari cahaya al-Quran untuk kembali berjaya.

Ayat 22:62

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلْبَٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْكَبِيرُ

Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

Pengajaran

  1. Perjuangan selain daripada perjuangan kerana Allah SWT adalah batil. Allah SWT tidak akan membantu. 
  2. Allah SWT Maha Tinggi Maha Besar. Salah satu tanda perjuangan umat Islam dalam segala bidang ialah solat tidak ditinggalkan. Di dalam solat, ada takbir. 
  3. Kita berjuang untuk menaikkan nama Allah SWT, bukan hendak naikkan nama kita atau nama kumpulan kita.

Ayat 22:63

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَتُصْبِحُ ٱلْأَرْضُ مُخْضَرَّةً إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian makhlukNya).

Pengajaran

  1. Allah SWT suruh kita tengok hujan yang menumbuhkan pokok-pokok melalui proses fotosintesis. Allah menghidupkan tumbuh-tumbuhan, Allah yang sama boleh menghidupkan kita kembali di akhirat nanti. 
  2. Kalau tumbuh-tumbuhan itu memberikan manfaat, seorang yang berjuang walaupun mati syahid, tetapi dia memberikan manfaat. Allah SWT hargainya sepanjang hidup sampai ke akhirat.
  3. Allah SWT amat halus dan Maha Mengetahui apa yang kita sudah ambil pelajaran daripada fotosintesis, pokok-pokok yang ada. 
  4. Dalam perjuangan, kita juga kena terperinci untuk memberi manfaat kepada dunia hasil daripada wahyu yang akan menjadikan diri kita hijau, seperti pokok yang mengeluarkan buah-buahan yang berguna pada setiap masa (sajaratin toyyibah).
  5. Semoga kita ada minda pejuang.

Ayat 22:64

لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ

Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Pengajaran

  1. Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah SWT. 
  2. Allah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. 
  3. Allah SWT tidak perlu kita memujiNya kerana Dia memang terpuji tetapi jika kita berjuang, kita dekat dengan Allah SWT  ٱلْحَمِيدُ ٱلْغَنِىُّ, kita akan menjadi orang yang kaya, nama kita akan dipuji. 
  4. Teruskanlah berjuang dalam hidup kita.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Didik diri agar tidak kufur dan mendustakan kebenaran yang membawa kepada kehinaan (22:57)
  2. Yakin dengan pertolongan Allah SWT apabila kita beriman dan beramal soleh (22:60)
  3. Belajar kehebatan Allah SWT dalam proses fotosintesis (22:63)
Saya berasa lega, Allah SWT akan naikkan darjat saya sekiranya saya didik diri agar tidak kufur dan mendustakan kebenaran.

Saya jelas untuk didik diri agar tidak kufur dan mendustakan kebenaran yang membawa kepada kehinaan. Saya jelas untuk yakin dengan pertolongan Allah SWT apabila kita beriman dan beramal soleh. Saya jelas untuk belajar kehebatan Allah SWT dalam proses fotosintesis.

Ya Allah, bimbing kami agar tidak kufur dan mendustakan kebenaran yang membawa kepada kehinaan. Ya Allah, jadikan kami orang yang beriman dan beramal soleh. Ya Allah, kurniakan kami pertolongan dalam usaha kami untuk membuat kebaikan. Ya Allah, bimbing kami untuk memahami kehebatan Mu dalam proses kehidupan ini. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...