Friday, September 1, 2023

Halaman 341 : Al-Hajj, 22:73-78

PERKATAAN HARI INI  

 سَلَبَ  Merampas. 1 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Cabaran kepada kaum musyrik untuk menciptakan seekor lalat (22:73-76)
  2. Sejumlah perintah syariat dan hukum (22:77-78)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman akhir surah al-Hajj dan Juz 17.
 
Surah al-Hajj berkaitan haji dan panduan untuk membina jiwa masyarakat yang lembut menuju kepada Allah SWT.

Pada ayat 72, ada orang apabila dibacakan al-Quran, pada muka mereka nampak tidak puas hati, marah kerana merasakan mengacau kepada apa yang sedang mereka laksanakan atau nilai yang sedang dibawa.

Ayat 22:73

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَٱسْتَمِعُوا۟ لَهُۥٓ إِنَّ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَن يَخْلُقُوا۟ ذُبَابًا وَلَوِ ٱجْتَمَعُوا۟ لَهُۥ وَإِن يَسْلُبْهُمُ ٱلذُّبَابُ شَيْـًٔا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ ٱلطَّالِبُ وَٱلْمَطْلُوبُ

Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

Pengajaran

  1. Allah SWT memanggil seluruh manusia kerana ini adalah mesej untuk semua, bukan hanya orang Islam. 
  2. Allah SWT memberi contoh perbandingan tentang cara berfikir, cara beriman. Fungsi mithal (perumpamaan) adalah sesuatu perkara yang amat perlu diberi perhatian dan sepatutnya hati manusia yang betul-betul manusia, akan rasa terpukul. 
  3. Allah SWT membawa perumpamaan tentang seekor lalat. Berhala tidak mampu mencipta seekor lalat pun. Begitu juga Firaun dan orang lain yang diagung-agungkan. Jika lalat itu hinggap dan mengambil sedikit makanan yang mereka letak di hadapan berhala, berhala itu tidak boleh buat apa pun. Firaun pun tidak dapat membuang pencemaran yang lalat tinggalkan di makanannya. 
  4. Amat lemah yang meminta (yang menyembah). Orang yang meminta dengan berhala dan manusia yang memang lemah, maka jadi bertambah lemah. Makin kita memerlukan sesuatu, makin kita rasa lemah. 
  5. Janganlah kita menyembah dan meminta daripada makhluk.

Ayat 22:74

مَا قَدَرُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ

Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Pengajaran

  1. Manusia tidak menghargai Allah SWT sebenar-benarnya. Allah SWT yang memberi rezeki. Allah SWT yang menyayangi kita. Allah bagi macam-macam. 
  2. Dalam surah ini banyak nama-nama Allah SWT yang disebutkan. Allah Amat Kuat, Amat Berkuasa. Tapi manusia tidak menghargai Allah dengan sebenar-benanrnya. 
  3. Kita semua diberi akal untuk berfikir tetapi mestilah berbuat sesuatu berpandukan wahyu.

Ayat 22:75

ٱللَّهُ يَصْطَفِى مِنَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ ٱلنَّاسِ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌۢ بَصِيرٌ

Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Pengajaran

  1. Allah SWT hendak menceritakan siapakah makhluk yang benar-benar menghargaiNya, iaitu:
    • para malaikat - Jibril sebagai ketuanya dan sebagai utusan
    • para rasul dalam kalangan manusia.
  2. Allah SWT Maha Mendengar segala masalah dan cabaran yang kita ada.
  3. Allah SWT Maha Melihat. Allah SWT hendak kita kuat dalam hidup kita, dengan kita menghargai kepada Allah SWT. Sumber kebenaran bukanlah demokrasi atau humanitarian. Sumber kebenaran paling tinggi datang daripada al-Quran.
  4. Janganlah kita mengambil berhala dalam ideologi.

Ayat 22:76

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ

Ia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka; dan kepada Allah jualah kembalinya segala urusan.

Pengajaran

  1. Allah SWT tahu sejarah kita dan Allah SWT beri utusan untuk memandu kita iaitu nabi-nabi yang ada. Al-Quran dan rasul adalah untuk mengeluarkan kita daripada masalah.
  2. Segala urusan kita akan kembali kepada Allah SWT (ٱلْأُمُورُ تُرْجَعُ ٱللَّهِ وَإِلَى). Allah SWT tahu apa yang kita buat. Sepatutnya kita kena sentiasa rasa takut kalau kita tidak menghargai Allah SWT dengan sebenar-benarnya.

Ayat 22:77

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱرْكَعُوا۟ وَٱسْجُدُوا۟ وَٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمْ وَٱفْعَلُوا۟ ٱلْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ۩

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan tentang mindset dan praktikal yang betul untuk kita yang lemah menjadi kuat.
  2. Di awal surah al-Hajj, Allah SWT mengingatkan manusia supaya bersedia menghadapi hari kiamat yang menakutkan. Dalam ayat ini, Allah SWT menujukan kepada orang-orang yang beriman yang menghargai Allah SWT.
  3. Untuk kita yang lemah hendak menjadi kuat, Allah SWT suruh buat:
    • Rukuk - Tanda kita mengadu keletihan kepada Allah SWT. 
    • Sujud - Merendahkan diri kepada Allah SWT. Janganlah kita mengadu kepada manusia yang lemah. Mengadulah kepada Allah SWT untuk mendapat kekuatan.
    • Rendahkan diri kita - Jadilah seorang yang sentiasa beribadah kepada Tuhan, sebagai seorang hamba pada setiap perbuatan. "Ya Allah, terimalah doa kami".
    • Buat kebaikan.
  4. Untuk berjaya dunia akhirat, berusahalah seperti petani, sampai dapat hasil. Semoga kita terus bekerja keras untuk mendapat kejayaan di dunia sampai ke akhirat. 

Ayat 22:78

وَجَٰهِدُوا۟ فِى ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦ هُوَ ٱجْتَبَىٰكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ مِّلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَٰهِيمَ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ وَفِى هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعْتَصِمُوا۟ بِٱللَّهِ هُوَ مَوْلَىٰكُمْ فَنِعْمَ ٱلْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ ٱلنَّصِيرُ

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

Pengajaran

  1. Berjihadlah dengan sebenar-benarnya (جِهَادِهِۦ حَقَّ). Jihad itu bukan hanya di medan perang sahaja. Baca al-Quran dengan bersungguh-sungguh, mencari nafkah, membina keluarga. Semuanya kita buat bersungguh-sungguh dan sebaik-baiknya.
  2. Soalannya, tanya diri kita sendiri, adakah kita ini sudah bersungguh-sungguh dengan agama Allah, dengan segala apa yang Allah telah berikan kepada kita? Sudah bersungguh-sungguh ke kita membaca al-Quran, beramal dengannya dan berbuat baik dengan makhluk lain? Kita buat sambil lewa sahaja atau ikut mood? 
  3. Allah SWT telah memilih Jibril dan Nabi Muhammad SAW. Jangan kita persoalkan. Allah SWT memilih kita sebagai orang beriman, ada sebabnya. Bila Allah SWT sudah memilih kita sebagai orang beriman, kita kenalah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghargai pilihan Allah SWT.
  4. Sebenarnya apa yang ada dalam agama ini tidak susah. Kita meneruskan legasi Nabi Ibrahim AS.
  5. Sebelum ini ada orang Islam, sekarang juga ada orang Islam. Nama Islam adalah amat tinggi. Rasul SAW  telah menjadi saksi kepada manusia dengan menyampaikan mesej kebenaran kepada kita. Kita juga sebagai saksi untuk menyampaikan mesej kebenaran ini kepada orang lain. 
  6. Kita tidak mahu dipersoalkan di akhirat nanti. Maka, janganlah kita baca al-Quran sendirian sahaja tanpa menyampaikan mesej al-Quran kepada seluruh dunia. Di akhirat nanti kita akan gementar kalau ditanya oleh mereka yang bukan Islam kenapa kita tidak sampaikan mesej ini seperti rasul-rasul sampaikan.
  7. Tugas ini berat dan besar. Dapatkan kekuatan dengan selalu bercakap dengan Allah, mengadu kepadaNya, selalu yakin Allah Pelindung dan Allah akan beri pertolongan.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Yakin kuasa Allah SWT berbanding makhluk yang amat lemah (22:73)
  2. Selalu merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah setiap masa kerana ini yang berharga di hadapan Allah SWT (22:76)
  3. Bersungguh-sungguh dalam solat, zakat dan amalan agama untuk meneruskan legasi Nabi Ibrahim AS (22:78)

Saya berasa lega, Allah SWT akan kurniakan kejayaan di dunia sampai akhirat sekiranya saya  solat, zakat dan melakukan amalan agama untuk meneruskan legasi Nabi Ibrahim AS.  

Saya jelas saya mesti yakin kuasa Allah SWT berbanding makhluk yang amat lemah. Saya jelas untuk selalu merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah setiap masa kerana ini yang berharga di hadapan Allah SWT. Saya jelas saya mesti bersungguh-sungguh dalam solat, zakat dan amalan agama untuk meneruskan legasi Nabi Ibrahim AS.

Ya Allah, kurniakan kami keyakinan bahawa Engkau yang Maha Berkuasa berbanding makhluk yang amat lemah. Ya Allah, bimbing kami untuk selalu merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah setiap masa kerana ini yang berharga di hadapan Mu. Ya Allah, jadikan kami orang yang bersungguh-sungguh dalam solat, zakat dan amalan agama untuk meneruskan legasi Nabi Ibrahim AS.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...