Saturday, September 2, 2023

Halaman 355 : Al-Nur, 24:37-43

PERKATAAN HARI INI 


لَهَا / لَهَوَ Bermain, berhibur, mengganggu. 
16  kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   


  1. Ciri orang mukmin yang mendapat cahaya Allah SWT (24:37-38)
  2. Keadaan orang kafir di dunia dan kerugian mereka di akhirat (24:39-40)
  3. Ayat al-Quran tentang alam semesta yang menjadi bukti tentang kewujudan dan keesaan Allah SWT (24:41-43)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 355 untuk mencari permata-permata hidayah daripada Allah SWT.

Dalam dinding ada pelita
Dalam masyarakat ada masjid
Jangan abaikan hati bercahaya
Siram iman agar terus bangkit

Cahaya di dalam sesuatu masyarakat itu berada di dalam satu kawasan, iaitu masjid. Masjid dan rumah kita sendiri adalah mihrab iaitu tempat kita angkatnya dengan zikir kepada Allah SWT. Itulah pelita dalam masyarakat dan rumah kita. 


Ayat 24:37


رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَٰرَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلْقُلُوبُ وَٱلْأَبْصَٰرُ

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.


Pengajaran

  1. Peniaga yang tidak dilalaikan dengan jual beli akan mendapat balasan yang baik. 
  2. Jiwa mereka ada cahaya, mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.  
  3. Orang yang ada cahaya dalam dirinya tidak lalai daripada mengingati Allah, solat dan zakat.
  4. Janganlah kita dilalaikan dengan urusan bisnes, sibuk jual beli daripada mengingati Allah SWT. 


Ayat 24:38


لِيَجْزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا۟ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِۦ وَٱللَّهُ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.


Pengajaran

  1. Dalam amalan kita ada yang baik, ada yang kurang baik, tetapi Allah SWT balas yang terbaik (أَحْسَن). Itu tanda Allah SWT amat sayang kepada kita. Ada masa kita baca al-Quran mengantuk, ada masa khusyuk hingga mengalir air mata, Allah SWT mengambil yang terbaik dari apa yang kita lakukan.
  2. Allah SWT memberi rezeki tanpa hisab. Kalau kita sentiasa menjaga nur dalam kehidupan, jaga zikir kepada Allah, sebenarnya kita sedang berinteraksi dengan Allah walaupun kita sibuk berjual beli.
  3. Allah SWT beri yang terbaik, beri rezeki tanpa hisab, kesannya Allah SWT ampunkan kerana kita mencari nur, balasannya ialah syurga.


Ayat 24:39


وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَعْمَٰلُهُمْ كَسَرَابٍۭ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ ٱلظَّمْـَٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمْ يَجِدْهُ شَيْـًٔا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُۥ فَوَفَّىٰهُ حِسَابَهُۥ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.


Pengajaran

  1. Bagi orang-orang kafir pula, banyak amalan mereka, tetapi ia umpama fatamorgana    di padang pasir. Sampai di akhirat, tidak nampak hasil amalan mereka. 
  2. Allah SWT akan sempurnakan perhitungan-Nya. 
  3. Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.


Ayat 24:40


أَوْ كَظُلُمَٰتٍ فِى بَحْرٍ لُّجِّىٍّ يَغْشَىٰهُ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِۦ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِۦ سَحَابٌ ظُلُمَٰتٌۢ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَآ أَخْرَجَ يَدَهُۥ لَمْ يَكَدْ يَرَىٰهَا وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ ٱللَّهُ لَهُۥ نُورًا فَمَا لَهُۥ مِن نُّورٍ

Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar


Pengajaran

  1. Orang yang berbuat zalim, umpama berada di dasar laut yang dalam, gelap yang diliputi ombak bertindih ombak, di atasnya pula awan tebal gelap gelita berlapis-lapis. Apabila keluarkan tangan pun tidak nampak. 
  2. Begitulah keadaan mereka yang menzalimi diri sendiri. Walaupun tangan mereka berbuat baik, tetapi Allah SWT tidak terima amalan mereka kerana mereka tidak beriman.
  3. Sesiapa yang tidak mendapat cahaya petunjuk oleh Allah SWT maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya yang akan memandunya ke jalan yang benar.
  4. Ilmu tentang lautan bukan datang daripada Nabi Muhammad SAW. Ia datang daripada Tuhan yang Maha Mengetahui. 


Ayat 24:41


أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلطَّيْرُ صَٰٓفَّٰتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُۥ وَتَسْبِيحَهُۥ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِمَا يَفْعَلُونَ

Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.


Pengajaran

  1. Kita dibawa pula menerobos ke angkasa lepas. Semua yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah SWT. Matahari, bulan, bintang, bumi dan segala makhluk yang ada, mereka menyerah diri kepada Allah SWT tanpa pilihan. Itulah tasbih mereka. Mereka muncul pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. 
  2. Allah SWT highlight makhluk yang berada di antara langit dan bumi iaitu burung. Burung melebarkan sayap mereka dengan tenang di angkasa atas rahmat Allah SWT. 
  3. Allah SWT suruh kita lihat burung kerana setiap burung bertasbih/bersolat dalam saf/susunan mereka. Allah SWT mengetahui apa yang mereka buat tanpa sedar, kerana Allah SWT telah  programkan mereka.
  4. Janganlah kita jadi seperti burung yang tidak ada akal, solat tanpa sedar. Kita kena gabungkan cahaya dari hati dan cahaya dari al-Quran untuk membuat amalan secara sedar. 


Ayat 24:42


وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلْمَصِيرُ

Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).


Pengajaran

  1. Milik Allah SWT segala yang ada  di langit dan bumi dan semua akan kembali kepada Allah SWT. 
  2. Di akhirat nanti, manusia dan jin akan ditanya apa yang telah mereka buat semasa di dunia. 
  3. Adakah kita bersedia untuk masuk ke syurga?


Ayat 24:43


أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُزْجِى سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُۥ ثُمَّ يَجْعَلُهُۥ رُكَامًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَٰلِهِۦ وَيُنَزِّلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن جِبَالٍ فِيهَا مِنۢ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ وَيَصْرِفُهُۥ عَن مَّن يَشَآءُ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِۦ يَذْهَبُ بِٱلْأَبْصَٰرِ

Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.


Pengajaran

  1. Ayat ini tentang awan. Ilmu ini juga adalah daripada Allah SWT. 
  2. Daripada awan keluar air. Selain hujan biasa, ada hujan batu dari awan. Allah boleh timpakan hujan batu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menjauhkannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 
  3. Kita selamat hanya dengan bantuan daripada Allah SWT. 
  4. Semoga Allah SWT pandang kita dan terus beri kita kehidupan yang dipandu cahaya daripada wahyu. 


RESOLUSI

Ingat!

  1. Sentiasa ingat Allah SWT dan tidak dilalaikan oleh jual beli (24:37)
  2. Sentiasa memilih ganjaran dan kurnia Allah SWT dalam kehidupan harian (24:38)
  3. Belajar daripada awan dan hujan untuk menghargai keesaan dan kehebatan Allah SWT (24:43)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan agar tidak lalai oleh jual beli.

Saya jelas saya mesti sentiasa ingat Allah SWT dan tidak dilalaikan oleh jual beli. Saya jelas untuk sentiasa memilih ganjaran dan kurnia Allah SWT dalam kehidupan harian. Saya jelas untuk belajar daripada awan dan hujan untuk menghargai keesaan dan kehebatan Allah SWT.

Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa ingat kepada Mu dan tidak dilalaikan oleh jual beli.  Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa memilih ganjaran dan kurnia Mu dalam kehidupan harian. Ya Allah, kurniakan kami kebijaksanaan untuk belajar daripada awan dan hujan agar kami dapat menghargai keesaan dan kehebatan Mu.

"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Rujukan: My #QuranTime Episod 461


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...