Saturday, September 2, 2023

Halaman 356 : Al-Nur, 24:44-53


PERKATAAN HARI INI   


مَشَى / مَشَيَ   Berjalan. 
23 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS   


  1. Bukti kebesaran Allah SWT di cakerawala (24:44-46)
  2. Sikap konsisten pada kesesatan dan kemunafikan walau telah ada keterangan yang sangat jelas, meyakinkan dan tidak mampu dibantah (24:47-50)
  3. Ketaatan dan kepatuhan bagi kaum mukminin (24:51-53)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 356. Semoga Allah SWT memberikan cahaya ke hati-hati kita dan Allah SWT pimpin kita ke jannatul firdaus. Kegelapan yang berlapis-lapis di dalam hati, akan terang dengar nur dari Allah SWT. Semoga hati suci kita sampai ke syurga.

Hati kita ini seperti pelita yang ada kaca di luarnya. Ia boleh memberi cahaya. Tetapi kalau kaca itu berdebu atau berjelaga, ia tidak mampu memberi cahaya kepada dunia. Malah cahaya daripada luar juga tidak memberi kesan. Bila kita bersama al-Quran, Allah SWT memberikan wahyu dan ia adalah amalan yang menggilap kepada kaca tersebut. Cahaya daripada dalam akan bertemu dengan cahaya daripada wahyu, nur atas nur. 


Ayat 24:44


يُقَلِّبُ ٱللَّهُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّأُو۟لِى ٱلْأَبْصَٰرِ

Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.


Pengajaran

  1. Allah SWT menggantikan malam ke siang, siang ke malam. Orang yang celik mata hatinya akan mendapat pelajaran daripada kejadian siang dan  malam. Dia melihat berulang-berulang dan berfikir. 
  2. Hati kita sentiasa berbolak-balik. Kadang-kadang siangnya amat bersemangat, malamnya jadi redup dan kurang semangat. Di negara yang ada 4 musim ramai yang berasa murung bila musim sejuk. 
  3. Orang ٱلْأَبْصَٰرِ akan dapat mengambil pelajaran. Siang dan malam saling berganti tetapi tetap memberi banyak manfaatnya. Bila tengok diri kita, up dan down itu adakah kita memberi manfaat kepada masyarakat? Tengok hati kita yang berbolak-balik, tinggal berapa lama lagi? 
  4. Bagi orang yang hatinya bercahaya, mereka tahu siang dan malam itu bukan sia-sia. Siang ditatang wahyu, panduan al-Quran. Malam juga mengikut peraturan Allah SWT.


Ayat 24:45


وَٱللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَآبَّةٍ مِّن مَّآءٍ فَمِنْهُم مَّن يَمْشِى عَلَىٰ بَطْنِهِۦ وَمِنْهُم مَّن يَمْشِى عَلَىٰ رِجْلَيْنِ وَمِنْهُم مَّن يَمْشِى عَلَىٰٓ أَرْبَعٍ يَخْلُقُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Pengajaran

  1. دَآبَّةٍ  adalah makhluk yang melata. Semuanya dicipta daripada air. Bukan binatang sahaja, manusia pun دَآبَّةٍ  dan 70% tubuh kita adalah dari air. Ada binatang yang berjalan dengan perut, ada yang berjalan dengan dua  kaki, ada yang berjalan dengan empat kaki. Allah SWT yang menciptakan semuanya dan Dia berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. 
  2. Ada orang yang menyatakan semua terjadi atas hukum alam yang terbina secara automatik. Bila manusia tidak ada cahaya, kepala kera pun dijadikan makanan. Orang yang ada cahaya tahu mana yang betul mana yang salah.


Ayat 24:46


لَّقَدْ أَنزَلْنَآ ءَايَٰتٍ مُّبَيِّنَٰتٍ وَٱللَّهُ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.


Pengajaran

  1. Ayat ini menunjukkan Allah SWT  memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah SWT memberi kepada sesiapa yang bersungguh untuk mencarinya. 
  2. Kita sendiri kena memilih untuk dapat hidayah. Kalau hendak tunggu sampai seru tanpa usaha, sampai bila pun tidak akan dapat. 
  3. Allah SWT yang berkuasa membawa kita ke jalan yang lurus.
  4. Cahaya al-Quran adalah untuk memimpin semua manusia ke jalan yang lurus. 


Ayat 24:47


وَيَقُولُونَ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلرَّسُولِ وَأَطَعْنَا ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِّنْهُم مِّنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَمَآ أُو۟لَٰٓئِكَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: "Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat"; kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman.


Pengajaran

  1. Orang-orang yang hati mereka berjelaga berkata bahawa mereka beriman kepada Allah dan RasulNya serta taat, kemudian mereka berpaling sesudah itu. Semoga kita tidak jadi begitu. 
  2. Mereka sekadar cakap sahaja mereka mahu mengikut. Mereka tidak mencapai standard orang beriman yang kedudukan mereka tinggi di sisi Allah SWT. 


Ayat 24:48


وَإِذَا دُعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُم مُّعْرِضُونَ

Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).


Pengajaran

  1. Apabila diajak berjuang bersama rasul, berinfaq, memberi hukum di antara mereka, ada di kalangan mereka yang berpaling kerana tidak menguntungkan mereka. 
  2. Sebab turun ayat ini: Ada orang Yahudi yang hendak buat satu penghukuman. Tetapi bila berjumpa dengan satu seorang daripada kumpulan munafik pada waktu itu, orang itu tidak mahu ikut hukuman yang telah ditetapkan. 


Ayat 24:49


وَإِن يَكُن لَّهُمُ ٱلْحَقُّ يَأْتُوٓا۟ إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ

Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya).


Pengajaran

  1. Kalau berpihak kepada mereka, mereka akan bersegera datang. 
  2. Itu adalah tanda hati yang sakit. Cahaya tidak masuk ke dalam, cahaya di dalam pun tidak keluar dan khuatir kalau cahaya itu padam, mereka akan berada paling bawah di neraka Allah SWT.


Ayat 24:50


أَفِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ أَمِ ٱرْتَابُوٓا۟ أَمْ يَخَافُونَ أَن يَحِيفَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُۥ بَلْ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).


Pengajaran

  1. Ayat ini adalah untuk merawat hati kita kalau kita pernah ada sikap seperti ayat di atas.
  2. Hati mereka sakit. Hati mesti digilap dengan al-Quran dan zikir. Itu adalah syifa' yang akan menggilap hati kita. Hati yang terang akan bersedia untuk masuk lagi cahaya wahyu daripada Allah yang dibekalkan untuk semua manusia.
  3. Ada keraguan di hati mereka tentang kebangkitan kelak. Ubatnya ialah dengan hidayah daripada Allah SWT iaitu al-Quran. Hidayah menghilangkan keraguan.
  4. Mereka menyatakan Allah SWT dan Rasul berat sebelah, tidak adil. Mereka persoalkan Allah SWT. Bagi mereka, al-Quran bukan solusi sedangkan Allah turunkan al-Quran untuk memberi panduan kepada manusia ke jalan cahaya.
  5. Hati mereka gelap. Mereka sebenarnya yang menjemput kegelapan. Mereka menzalimi diri mereka sendiri.


Ayat 24:51


إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.


Pengajaran

  1. Orang beriman hati mereka bercahaya. Bila diseru kepada Allah dan Rasul, mereka akan kata: "Kami dengar, kami taat". Tidak seperti orang munafik. 
  2. Sangat penting untuk kita mendengar perkara yang baik kerana apa yang kita dengar akan masuk ke dalam hati. Pilihannya adalah samada baik atau tidak baik. Tidak ada yang nuetral. 
  3. Orang beriman akan berjaya dunia akhirat kerana mereka menyatakan: "Kami dengar, kami taat".


Ayat 24:52


وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَخْشَ ٱللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.


Pengajaran

  1. Menurut Ibnu Assyur ada 4 formula orang-orang yang berjaya (ٱلْفَآئِزُونَ):
    • Taat kepada Allah
    • Taat kepada Rasul
    • Orang yang takut kepada Allah. Selalu audit diri.
    • Orang yang takut akan masa depannya. Takut sampai berdetak di hati. 


Ayat 24:53


وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَٰنِهِمْ لَئِنْ أَمَرْتَهُمْ لَيَخْرُجُنَّ قُل لَّا تُقْسِمُوا۟ طَاعَةٌ مَّعْرُوفَةٌ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan mereka (yang munafik) bersumpah dengan nama Allah, dengan sebebar-benar sumpahnya: bahawa jika engkau (wahai Muhammad) perintahkan mereka (keluar berjihad), tentulah mereka akan keluar. Katakanlah: " Janganlah kamu bersumpah, (taat kamu itu) taat yang terkenal (dustanya). Sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan".


Pengajaran

Kita tidak mahu menjadi seperti orang munafik. Cakap berdegar tetapi tidak serupa bikin.


Lihat kuda berlari-larian
Sang kangaroo lompat di Australia
Celik mata hati dengan al-Quran
Terus bersemi sampai ke syurga


RESOLUSI

Ingat!

  1. Yakin kekuasaan Allah SWT dengan melihat pelbagai jenis binatang (24:45)
  2. Jangan berpaling daripada menerima peraturan Allah SWT dan rasul (24:48)
  3. Jangan cakap berdegar dan tak serupa bikin (24:53)

Saya berasa lega, Allah SWT berikan formula untuk menjadi orang yang berjaya dunia akhirat.

Saya jelas saya mesti yakin kekuasaan Allah SWT dengan melihat pelbagai jenis binatang. Saya jelas jangan berpaling daripada menerima peraturan Allah SWT dan rasul. Saya jelas jangan cakap berdegar dan tak serupa bikin.

Ya Allah, jadikan kami orang yang yakin dengan kekuasaan Mu dengan melihat pelbagai jenis binatang. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami berpaling daripada menerima peraturan Mu dan Rasul. Ya Allah, jauhkan kami daripada menjadi orang yang cakap berdegar tetapi tak serupa bikin.


Rujukan: My #QuranTime Episod 462 


Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...