Saturday, September 2, 2023

Halaman 354 : Al-Nur, 24:32-36

PERKATAAN HARI INI   


نَكَحَ  Mengahwini. 
23 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS 

  

  1. Hukum kelapan hingga kesepuluh: Menikahkan orang yang berstatus single, mengadakan akad kitaabah dengan para hamba dan larangan pemaksaan untuk melakukan perzinaan (24:32-34)
  2. Allah SWT penyinar langit dan bumi dengan berbagai bentuk dalil dan bukti keimanan (24:35)
  3. Orang mukmin yang mendapat petunjuk dengan cahaya Allah SWT (24:36)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 354. Semoga rumah kita bercahaya dengan nur al-Quran.

Pada halaman lepas kita diminta menundukkan pandangan untuk menjaga maruah diri. Bagi wanita, ada tambahan iaitu untuk menjaga aurat dengan melabuhkan tudung atau menutup perhiasan pada tubuh seorang wanita. Inilah cara Islam menghormati wanita yang merupakan permata keluarga. Hanya orang tertentu , 12 kumpulan yang boleh melihat melihat perhiasan wanita seperti yang disebut dalam ayat 31.


Ayat 24:32


وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.


Pengajaran

  1. Ini adalah satu seruan daripada Allah SWT untuk membantu mereka yang belum bernikah. Allah SWT suruh kahwinkan mereka yang masih bujang. Bujang ialah samada yang belum pernah berkahwin, yang sudah bercerai dan yang kematian pasangan. 
  2. Seruan daripada Allah SWT ini bukan hanya tugas orang itu mencari jodoh masing-masing. Ia juga tugas para wali dan masyarakat untuk membina sistem bagi memudahkan pernikahkan. Ia bukan sekadar diserahkan kepada anak lelaki atau perempuan untuk mencari jodoh sendiri sahaja. Ini tanggungjawab ayah, ibu, jiran, dan masyarakat. 
  3. Kalau orang yang belum kahwin itu rasa dia fakir, Allah SWT akan mengkayakan dia dengan kurnia daripada Allah SWT kerana Allah SWT Maha Luas rahmat dan limpah kurnia-Nya.
  4. Salah satu isu bila hendak kahwin ialah isu ekonomi. Jangan bimbang. Selepas bernikah, Allah SWT akan mencukupkan rezeki. Tidaklah kaya kayangan tetapi cukuplah untuk tidak makan kayu dan batu. Allah SWT Amat Mengetahui peluang dan sumber-sumber untuk membina sebuah rumah tangga yang cukup dalam kehidupan seharian.  


Ayat 24:33


وَلْيَسْتَعْفِفِ ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَٱلَّذِينَ يَبْتَغُونَ ٱلْكِتَٰبَ مِمَّا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ فَكَاتِبُوهُمْ إِنْ عَلِمْتُمْ فِيهِمْ خَيْرًا وَءَاتُوهُم مِّن مَّالِ ٱللَّهِ ٱلَّذِىٓ ءَاتَىٰكُمْ وَلَا تُكْرِهُوا۟ فَتَيَٰتِكُمْ عَلَى ٱلْبِغَآءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا لِّتَبْتَغُوا۟ عَرَضَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَمَن يُكْرِههُّنَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ مِنۢ بَعْدِ إِكْرَٰهِهِنَّ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Pengajaran

  1. Kalau sudah diusahakan tetapi tidak juga bertemu soul mate, Allah SWT berikan solusinya dalam ayat ini. 
  2. Orang yang tidak mampu menikah, hendaklah menjaga kesucian dirinya. Ini adalah  formula penting. Imam Ibnu Asyur mengatakan, suruhan kepada mereka yang belum bernikah, atau belum jumpa pasangan yang sesuai, hendaklah mereka jaga kehormatan.
  3. Ini adalah satu usaha sungguh-sungguh dalam menjaga maruah daripada perkara yang haram. Allah SWT akan bantu untuk mencukupkannya dan akhirnya akan dijumpakan dengan pasangan. Kalau bukan di sini, dia akan jumpa pasangan di akhirat. 
  4. Ini adalah antara formula bagaimana hendak majukan ekonomi sesebuah negara. Dengan membantu orang bujang untuk kahwin, Allah SWT akan kayakan. Proses ekonomi akan lebih maju ke hadapan. Ini satu sudut yang pakar ekonomi biasa tidak dapat lihat tapi dinyatakan dalam al-Quran. 
  5. Hendaklah kita tolong juga pekerja, anak buah, jiran-jiran untuk mencari pasangan. Sekarang ini, kita boleh buat projek khas untuk memudahkan mereka yang hendak bernikah dengan memberi mereka bantuan dari segi kewangan untuk bernikah kerana ini adalah seruan daripada Allah SWT. 
  6. Jangan dipaksa hamba/pekerja melacur kerana mencari duit. Ini adalah perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Siapa yang dipaksa, sesungguhnya dia akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Orang-orang beriman mesti membanteras perkara ini dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan cahaya daripada Allah SWT menyebar ke dalam masyarakat.


Ayat 24:34


وَلَقَدْ أَنزَلْنَآ إِلَيْكُمْ ءَايَٰتٍ مُّبَيِّنَٰتٍ وَمَثَلًا مِّنَ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُمْ وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.


Pengajaran

  1. Ayat ini adalah kesimpulan 33 ayat yang telah dibaca. Masalah sosial yang berlaku seperti fitnah dalam kisah Aisyah, perzinaan, pelacuran dan paksaan ke atas wanita kerana kewangan (pelacuran, pornografi) akan berulang dan berulang dalam masyarakat.
  2. Allah SWT bawa ayat-ayat ini sebagai penjelasan. Kalau ikut peraturan-peraturan Allah SWT betul-betul, isu sosial akan diselesaikan. Ini adalah ubat yang Allah SWT turunkan dengan jelas. 
  3. Bila tidak ada wahyu, tidak ada nur, masyarakat akan rosak. Allah SWT bekalkan nasihat-nasihat kepada orang-orang yang hendak bertakwa. Dengan panduan al-Quran, diri dan masyarakat akan terjaga daripada masalah sosial yang melanda. 
  4. Orang yang tidak kisah akan rasa tidak perlu perjuangkan surah al-Nur ini. Tetapi sebagai orang beriman, kita mesti sedar bahawa dalam dan luar rumah ada adab. Tengok tv, youtube pun ada adab. Sudah tentu dengan adab ini akan menjaga kita daripada masalah yang ada dalam kehidupan kita.
  5. Orang yang sudah bernikah perlu bantu orang lain bernikah. Itu adalah tanda keseriusan kita menjaga sosial, ekonomi negara, dan juga keluarga. Masjid dan pihak korporat hendaklah membantu orang yang tidak bernikah agar masalah sosial terjaga. Masalah ekonomi juga akan diangkat bila kita mengamalkan ayat 32-34. 
  6. Nikah bukan sekadar dua orang bertemu, tetapi disebaliknya ia adalah jaringan orang yang ingin mengikut panduan nur Allah SWT.
  7. Ada banyak masalah dalam masyarakat seperti masalah sosial, seksual, keluarga, dan penderaan. Itu adalah projek yang penting kita tangani. Makin kita dekat dengan al-Quran, makin lagi kita melimpahkan nur daripada hati kita ini untuk bantu masyarakat. Kalau ada yang kena dera, jenayah sosial, seksual dsbnya kita kena bantu. Nikahkan dengan orang yang betul, bukan sekadar nikah sahaja. Kita kena bina sistem pernikahan yang beriman agar pasangan terus kekal bahagia sampai ke syurga.  
  8. Ayat ini hadir selepas Allah SWT bercerita bahawa wahyu diturunkan untuk memberi penjelasan yang tepat bagaimana menguruskan masalah sosial dan masalah keluarga.
  9. Sebenarnya dalam Islam ini, berkahwin itu insya Allah kekal di sini atau kekal sampai ke syurga. 
  10. Bercerai itu bukanlah stigma negatif. Ada orang yang tidak sekufu, ada cabaran yang ada tetapi ideanya al-Quran turun untuk memberi penyelesaian untuk menuju kepada Allah SWT.
  11. Dengan keluarga kita bertemu Allah, tanpa keluarga pun kita tetap akan bertemu dengan Allah SWT. Itulah nasihat untuk orang-orang bertakwa.


Ayat 24:35


ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشْكَوٰةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ٱلْمِصْبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَٰرَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِىٓءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ يَهْدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ وَيَضْرِبُ ٱللَّهُ ٱلْأَمْثَٰلَ لِلنَّاسِ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


Pengajaran

  1. Allah SWT adalah cahaya kepada langit dan bumi. 
  2. Perumpamaan ini seperti satu lubang dalam dinding yang ada pelita. Pelita itu di dalam kaca. Kalau kaca itu bersih, ia umpama bintang yang berkelipan. Pelita itu dinyalakan oleh minyak zaitun. Minyak zaitun yang asli kelihatan bercahaya. Cahaya atas cahaya. 
  3. Perumpamaan ini, Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa dalam diri kita ada satu kawasan secara fizikal (lubang مِشْكَوٰةٍ), iaitu hati yang ada lapisan-lapisan; Sadr, qalb, fuad dan lubb. 
  4. Kalau lapisan pertama jelas, ia akan terang. Bila ada fitrah/roh manusia yang bercahaya, ia akan menerangi alam sehinggakan ia membuat kebaikan, bercakap perkara yang baik. Itu adalah nur daripada hati kita.
  5. Pada masa sama, ada nur daripada luar iaitu wahyu daripada Allah SWT. Hati kita yang sudah ada cahaya, bila kena nur daripada wahyu ia akan merebak seperti lampu yang amat indah. 
  6. Yang membezakan antara nur daripada Allah dan daripada manusia ialah kacanya. Kalau kacanya jelaga atau tidak bersih, cahaya daripada luar akan terpantul keluar. Hati akan jadi hitam kita bila buat dosa (menipu, mengumpat, lambat solat dsbnya). Ia perlu dibersihkan kerana hati kita kena attack setiap masa daripada apa yang kita tengok di tv, youtube dan macam-macam. Kalau apa yang kita tengok tidak baik, hati jadi hitam. Kena gilap.


Ayat 24:36


فِى بُيُوتٍ أَذِنَ ٱللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلْغُدُوِّ وَٱلْءَاصَالِ

(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. 


Pengajaran

  1. Perut iaitu fizikal kita lapar daripada hasil tanah. Nasi, sayur, daging semua daripada tanah. Spiritual kita lapar cahaya al-Quran. Bila dengar Quran, dia rasa semakin digilap, dia tidak lapar, dia tidak akan meronta-ronta. 
  2. Bila ada cabaran-cabaran dalam kehidupan, cahaya daripada Allah kena pada cahaya dirinya, dia tetap menerangi ketika masyarakat mungkin terlibat dengan gejala sosial, gejala seksual dsbnya, dia masih lagi mendapat hidayah daripada nur Allah SWT.
  3. Allah SWT buat perumpamaan ini kepada seluruh manusia dan Allah amat mengetahui.
  4. Dalam tubuh kita ada software. Tetapi tidak boleh guna sebab tidak ada password. Bila dapat al-Quran, password akan terbongkar, macam-macam software yang hebat Allah letakkan dalam tubuh kita. 
  5. Untuk memastikan software hebat yang ada dalam diri kita itu berfungsi, fitrah kita ini mesti digilap dan diisi dengan zikir pagi dan petang. Al-Quran akan menjadikan diri kita bercahaya menerangi alam ini.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Usahakan untuk bernikah bagi mereka yang layak dan Allah SWT akan mencukupkan (24:32)
  2. Jaga kehormatan diri bagi orang yang belum bernikah (24:33)
  3. Banyakkan zikir dan tasbih pagi dan petang untuk menerangi hidup kita (24:35-36)

Saya berasa lega, Allah SWT akan menerangi hidup saya sekiranya saya banyakkan zikir dan tasbih pagi petang.

Saya jelas untuk bantu mereka yang layak menikah. Saya jelas untuk menasihatkan mereka yang belum nikah untuk jaga kehormatan diri. Saya jelas saya mesti banyakkan zikir dan tasbih pagi dan petang untuk menerangi hidup saya.

Ya Allah, pertemukan jodoh yang soleh dan musleh untuk anak-anak kami yang belum bernikah. Ya Allah, bimbing anak-anak kami untuk menjaga kehormatan diri. Ya Allah, ingatkan kami untuk berzikir dan tasbih pagi dan petang. Ya Allah, Ya Nur, terangi hidup kami dengan cahaya al-Quran.

"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Rujukan: My #QuranTime Episod 460

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...