PERKATAAN HARI INI
غَبَرَ Ditinggalkan. 8 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
1. Lanjutan kisah Nabi Lut A.S (27:56-58)
2. Dalil keesaan dan kekuasaan Ilahi (27:59-63)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 382 Surah al-Naml. Kita bersyukur Allah SWT meminjamkan lagi nafas untuk kita bersama dengan al-Quran.
Kita doakan Allah SWT berikan istiqamah, hidayah dan pimpin kita setiap masa kerana ini adalah satu amal yang amat mulia. Kita harap Allah SWT menerima segala usaha kita bersama al-Quran. Semoga usaha ini menjadi asbab untuk kita mendapat rahmat Allah SWT untuk ke syurga bersama keluarga dan sahabat-sahabat al-Quran.
Pada halaman lepas, Nabi Lut AS bertanya kepada kaumnya mengapa mereka mendatangi lelaki untuk memenuhi syahwat? Mereka ada ilmu tetapi ilmu mereka tidak memandu kehidupan. Mereka mengikut emosi negatif yang ada kerana ikut nafsu, ikut keinginan secara peribadi yang mementingkan diri sendiri.
Ayat 27:56
فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَخْرِجُوٓا۟ ءَالَ لُوطٍ مِّن قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ
Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci ".
Pengajaran
- Ini adalah kempen yang dibuat oleh orang-orang LGBTQ. Mereka bukan sekadar buat dosa sendirian tetapi mereka ini mempromosikan kepada orang ramai. Mereka membuat propaganda untuk halau keluarga Nabi Lut AS.
- Mereka halau kerana merasakan Nabi Lut AS dan pengikutnya adalah amat sedikit. Mereka tahu apa yang mereka buat itu tidak benar tetapi kerana ada impak sosial, mereka rasakan itulah identiti mereka.
- Inilah bahayanya apabila perbuatan negatif diviralkan, dibuat lawak, akhirnya perkara keji menjadi sebati dalam masyarakat. Ini kita kena elakkan. Jangan diviralkan perkara yang tidak baik. Gunakan saluran yang betul. Kita sebagai pembaca jangan pula menambah keburukan dengan memberi komentar yang tidak berasas.
Ayat 27:57
فَأَنجَيْنَٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ قَدَّرْنَٰهَا مِنَ ٱلْغَٰبِرِينَ
Lalu Kami selamatkan Nabi Lut dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab.
Pengajaran
- Allah SWT selamatkan Nabi Lut AS dan keluarganya kecuali isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal dalam azab. Walaupun dia isteri seorang nabi, yang menyaksikan Nabi Lut sentiasa berdakwah tetapi dia tertinggal kerana dia menyokong kekejian.
- Kita kena beri peringatan kepada ahli keluarga. Surah al-Syu'ara' memberikan perhatian tentang perkara ini. Nabi Lut AS sudah memberikan peringatan tetapi isterinya menyokong kepada kempen yang dilaksanakan. Kita sekarang, pastikan kita ‘follow page’ yang bagus-bagus sahaja. Jangan biarkan keluarga kita duduk dalam grup yang membawang/mengutuk atau membuat kemungkaran.
- Semoga ahli keluarga kita tidak menjadi orang yang tertinggal. Pastikan mereka itu benar-benar beriman. Iman bukan milik kita. Kita hanya menyeru yang terbaik tetapi serahkan segala-galanya kepada Allah SWT.
- Semoga kita sentiasa memilih Allah SWT berbanding dengan perkara syirik dalam menghadapi ujian dalam kehidupan.
Ayat 27:58
وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا فَسَآءَ مَطَرُ ٱلْمُنذَرِينَ
Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran.
Pengajaran
- Allah SWT timpakan hujan batu (مَطَرُ) yang sangat buruk kepada mereka yang tidak mengikut Nabi Lut AS.
- Biasanya Allah SWT menggunakan perkataan مَطَرُ untuk sesuatu yang negatif.
- Itulah akibatnya orang yang tidak mengendahkan peringatan daripada Allah SWT yang disampaikan oleh Nabi Lut AS.
Ayat 27:59
قُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ وَسَلَٰمٌ عَلَىٰ عِبَادِهِ ٱلَّذِينَ ٱصْطَفَىٰٓ ءَآللَّهُ خَيْرٌ أَمَّا يُشْرِكُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Segala puji tertentu bagi Allah dan selamat sejahtera kepada hamba-hambaNya (Nabi-nabi) yang dipilihNya. Manakah yang lebih baik? - Allah (yang demikian kekuasaanNya) atau benda-benda yang mereka jadikan sekutu-sekutu bagiNya?
Pengajaran
- Allah SWT ajarkan supaya ucapkan Alhamdulillah dan salam sejahtera kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih.
- Allah SWT tanya adakah Dia lebih baik atau apa yang mereka syirikkan? Tanda syirik adalah apabila seseorang itu merasakan ujian yang ada ini tidak patut Allah SWT berikan kepadanya.
- Dengan Alhamdulillah, ini maknanya Allah SWT sedang memberikan salam, Allah SWT akan berikan yang lebih baik kepada mereka yang kena ujian.
- Bagi mereka yang tidak kena ujian, ini adalah peluang untuk memuji Allah SWT dengan membawa kesejahteraan kepada mereka yang diuji dengan memberi bantuan, bagi derma atau susunkan agar mereka juga kembali kepada Allah SWT dan tidak trauma. Trauma boleh menyebabkan seseorang itu ‘give up’, jadi bantulah mereka supaya tenang.
- Semoga ujian yang dilalui menyebabkan kita semakin hampir dengan Allah SWT.
Ayat 27:60
أَمَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَنۢبَتْنَا بِهِۦ حَدَآئِقَ ذَاتَ بَهْجَةٍ مَّا كَانَ لَكُمْ أَن تُنۢبِتُوا۟ شَجَرَهَآ أَءِلَٰهٌ مَّعَ ٱللَّهِ بَلْ هُمْ قَوْمٌ يَعْدِلُونَ
Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid).
Pengajaran
- Allah SWT ingatkan kita tentang betapa pentingnya memilih Allah SWT kerana Dialah yang paling berkuasa.
- Allah SWT didik kita agar jangan mensyirikkan-Nya. Dialah yang menciptakan langit dan bumi. Perlu beri penghormatan yang sepatutnya.
- Kita tidak mampu menumbuhkan pohon-pohon. Jangan samakan Allah dengan makhluk.
- Langit, air, bumi, pokok, ini semua adalah satu ekosistem. Orang yang syirikkan Allah SWT, dia rasa boleh buat apa sahaja terhadap pokok-pokok yang ada. Tebang balak dengan rakus sehingga mengganggu ekosistem.
- Tidak ada Tuhan kecuali Allah SWT. Jurutera dan pemimpin yang ada Ilah, akan memastikan ekosistem dijaga. Jangan biarkan pokok-pokok ditebang sehingga mengganggu kestabilan bumi.
Ayat 27:61
أَمَّن جَعَلَ ٱلْأَرْضَ قَرَارًا وَجَعَلَ خِلَٰلَهَآ أَنْهَٰرًا وَجَعَلَ لَهَا رَوَٰسِىَ وَجَعَلَ بَيْنَ ٱلْبَحْرَيْنِ حَاجِزًا أَءِلَٰهٌ مَّعَ ٱللَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui.
Pengajaran
- Allah SWT menjadikan bumi ini ada sungai-sungai yang mengalir bengkang bengkok supaya alirannya tidak terlalu laju. Manusia telah mengubah sungai jadi lurus untuk buat pembangunan. Keadaan ini akan jadi masalah bila hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir berlaku.
- Allah SWT menjadikan gunung sebagai pasak untuk menjaga kestabilan bumi.
- Sungai dan laut ada pemisah. Airnya tidak bercampur. Pembangunan yang tidak dirancang dengan baik menyebabkan sungai tidak boleh mengalir ke laut sehingga menyebabkan berbagai malapetaka boleh berlaku.
- Ramai yang tidak sedar bahawa dengan merancang, meluluskan projek sehingga mengabaikan kestabilan alam adalah juga perbuatan syirik. Perlu ada ilmu yang betul untuk memastikan alam sekitar dijaga.
Ayat 27:62
أَمَّن يُجِيبُ ٱلْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ ٱلسُّوٓءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَآءَ ٱلْأَرْضِ أَءِلَٰهٌ مَّعَ ٱللَّهِ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ
Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan kita untuk berdoa kepada-Nya.
- Allah SWT yang memperkenankan doa orang yang menderita. Allah menghapuskan kesusahan serta menjadikan kita pengganti umat-umat yang terdahulu untuk mendiami dan menguasai bumi.
- Allah SWT hendak memperkenalkan diri-Nya kepada kita semua. Tidak ada siapa pun yang dapat menyelamatkan kita dalam kesusahan kecuali Allah SWT.
- Allah SWT ingatkan kita bahawa sedikit yang ambil peringatan. Ramai yang merasakan mereka selamat daripada sesuatu kesusahan kerana usaha sendiri, bukannya daripada Allah SWT.
Ayat 27:63
أَمَّن يَهْدِيكُمْ فِى ظُلُمَٰتِ ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَمَن يُرْسِلُ ٱلرِّيَٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦٓ أَءِلَٰهٌ مَّعَ ٱللَّهِ تَعَٰلَى ٱللَّهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatNya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan denganNya.
Pengajaran
- Allah SWT yang menunjukkan jalan kepada kita dalam kegelapan di darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya.
- Allah SWT menceritakan bahawa Dia berkuasa. Kita perlu menghasilkan jurutera, anak-anak generasi pemimpin yang tidak mensyirikkan Allah SWT.
- Tanda syirik adalah apabila dia mementingkan diri sendiri. Tidak ikut cakap Allah, tidak mahu menjadi orang yang menstabilkan bumi ini.
- Allah SWT yang paling tinggi dan akan meninggikan kita. Jika syirik, ia sedang meruntuhkan negara dan negara ini.
- Semoga Allah SWT jadikan kita orang yang terjaga ketauhidan.
RESOLUSI
Ingat!
1. Sedar bahaya orang yang berleluasa buat maksiat (27:56)
2. Menyedarkan masyarakat betapa murkanya Allah SWT pada LGBTQ (27:58)
3. Mengkaji sains untuk makin menghargai tauhid kehebatan Allah SWT (27:60)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan saya bahaya orang yang berleluasa buat maksiat.
Saya jelas saya mesti sedar bahaya orang yang berleluasa buat maksiat. Saya jelas untuk menyedarkan masyarakat betapa murkanya Allah SWT pada LGBTQ. Saya jelas saya mesti mengkaji sains untuk makin menghargai tauhid kehebatan Allah SWT.
Ya Allah, bimbing kami supaya sedar bahaya orang yang berleluasa buat maksiat. Ya Allah, bantu kami untuk menyedarkan masyarakat betapa murkanya Engkau pada LGBTQ. Ya Allah, bimbing kami mengkaji sains untuk makin menghargai tauhid kehebatan Mu, Ya Allah.
Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.