Sunday, September 3, 2023

Halaman 381 Al-Naml, 45-55

PERKATAAN HARI INI

 خَصَمَ Bermusuh, bertelagah. 18  kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

1. Kisah Nabi Saleh AS bersama kaumnya (27: 45-53)

2. Kisah Nabi Lut AS bersama kaumnya (27: 54-55)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 381 Surah al-Naml. Kita mohon Allah SWT terus membantu kita. Dengan ujian yang ada ini kita menghadapinya dengan keimanan dan lebih ramai lagi yang makin tunduk, makin bersujud kepada Allah SWT. 

Surah semut ini amat penting untuk kita ambil pelajaran bahawa pengurusan amat penting dalam mengurus sesebuah negeri, negara. Lebih daripada itu puncak kepada pengurusan itu adalah membawa semua mendekatkan diri kepada Allah SWT. 


Ayat 27:45


وَلَقَدْ أَرْسَلْنَآ إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَٰلِحًا أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ


Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan berkata): "Sembahlah kamu akan Allah!" Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah.


Pengajaran

  1. Nabi Soleh AS diutuskan kepada kaum Thamud untuk menyeru mereka supaya beribadah kepada Allah SWT. Mengabdikan diri, mengikut panduan daripada Allah SWT, merendahkan diri, jangan sombong walaupun mereka itu mempunyai satu tamadun yang hebat.
  2. Mereka terbahagi kepada dua golongan yang bermusuhan. Ini adalah peringatan kepada kaum Quraisy dan kepada kita juga. Kisah ini bukan sekadar ulangan tetapi ia adalah peringatan kepada kita bahawa apabila mereka diseru untuk merendah diri mereka bergaduh. Mereka bermusuhan dengan Nabi Soleh AS kerana mengganggu cara kehidupan mereka. 


Ayat 27:46


قَالَ يَٰقَوْمِ لِمَ تَسْتَعْجِلُونَ بِٱلسَّيِّئَةِ قَبْلَ ٱلْحَسَنَةِ لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


Nabi Soleh berkata (kepada puak kafir): "Wahai kaumku, mengapa kamu segerakan kufur ingkar yang mendatangkan keburukan kepada kamu, (tidak) mendahulukan iman yang mendatangkan kebaikan kepada kamu? Alangkah baiknya kalau kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat."


Pengajaran

  1. Nabi Soleh AS memberitahu mereka sepatutnya tidak meminta disegerakan azab tetapi memohon keampunan Allah SWT. 
  2. Jika minta ampun cepat-cepat dan baiki kesilapan, Allah SWT akan memberi rahmatNya.
  3. Meminta disegerakan azab menunjukkan tanda kesombongan mereka. Contoh: Suami isteri yang cabar mencabar masing-masing di media sosial ketika hadapi masalah. Keburukan akan tersebar di dalam sesuatu masyarakat. Sepatutnya mereka istighfar dan baiki, mengikut saluran yang betul. Kalau perlu, rujuk kepada mahkamah, atau kepimpinan dan bukannya makin menyebar keburukan tersebut.
  4. Dengan istighfar, ia menyebabkan kita mendapat kasih sayang daripada Allah SWT. Itulah kaedah kita mendepani cabaran. Dalam keadaan banjir sekarang, bila kita membantu mangsa banjir, kena banyak istighfar. Sukarelawan jangan bangga/sombong dengan dana banyak yang dikumpul. Yang dibantu juga kena istighfar. Jaga solat. Jangan ambil bantuan sahaja, masuk waktu solat tidak solat. 
  5. Ingatlah bahawa kita memerlukan rahmat daripada Allah SWT. Dengan istighfar kita mengaku kita silap, inilah yang berlaku kepada Nabi Adam AS yang mengaku silap. 
  6. Kita amat memerlukan rahmat daripada Allah SWT. Bila-bila sahaja air boleh naik, atau Allah boleh surutkan.
  7. Janganlah kita merasa seperti tidak ada apa-apa dengan ujian ini, tiada langsung terkesan dengan ujian ini.


Ayat 27:47


قَالُوا۟ ٱطَّيَّرْنَا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ قَالَ طَٰٓئِرُكُمْ عِندَ ٱللَّهِ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تُفْتَنُونَ


Mereka menjawab: "Kami merasa nahas dan malang dengan sebabmu, dan juga dengan sebab pengikut-pengikutmu!" Nabi Soleh berkata: Perkara yang menyebabkan baik dan malang kamu adalah di sisi Allah (dan Dia lah yang menentukannya, bukannya aku), sebenarnya kamu adalah kaum yang disesatkan (oleh hawa nafsu)".


Pengajaran

  1. Kaum Nabi Soleh AS menyalahkan baginda kerana nasib malang yang mereka terima.
  2. Sebenarnya nasib malang itu adalah ketentuan daripada Allah SWT. Inilah ujian kepada mereka untuk lulus dalam kehidupan. 


Ayat 27:48


وَكَانَ فِى ٱلْمَدِينَةِ تِسْعَةُ رَهْطٍ يُفْسِدُونَ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا يُصْلِحُونَ


Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun.


Pengajaran

  1. Mereka terdiri daripada sembilan kumpulan yang bermusuhan dan saling bersumpah untuk melakukan kerosakan.


Ayat 27:49


قَالُوا۟ تَقَاسَمُوا۟ بِٱللَّهِ لَنُبَيِّتَنَّهُۥ وَأَهْلَهُۥ ثُمَّ لَنَقُولَنَّ لِوَلِيِّهِۦ مَا شَهِدْنَا مَهْلِكَ أَهْلِهِۦ وَإِنَّا لَصَٰدِقُونَ


Mereka berkata (sesama sendiri): "Hendaklah kamu masing-masing bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya kita akan membunuh Soleh dan pengikut-pengikutnya secara mengejut pada waktu malam, kemudian kita akan berkata kepada warisnya: ` Kami tidak hadir (di tempat) pembunuhan (Soleh apalagi membunuhnya atau membunuh) pengikut-pengikutnya, dan sesungguhnya kami adalah berkata benar '. "


Pengajaran

  1. Mereka berkomplot untuk membunuh Nabi Soleh AS, jadi tidak akan diketahui siapa yang sebenarnya bunuh baginda.
  2. Ini adalah pengajaran bagi Nabi Muhammad SAW di Mekah untuk menghadapi komplot kaum Quraisy. Semasa peristiwa hijrah, Nabi SAW diselamatkan oleh Allah SWT. Ia juga adalah pengajaran kepada kita.


Ayat 27:50


وَمَكَرُوا۟ مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ


Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya.


Pengajaran

  1. Mereka merancang, Allah SWT juga merancang. Mereka tidak perasan yang Allah SWT adalah yang paling berkuasa. Sekarang pun, ada orang yang membantu mangsa banjir untuk mendapat nama. Allah SWT tahu dan Allah SWT juga tahu ada orang yang membantu dengan ikhlas. 
  2. Jangan main-main dengan Tuhan. Buatlah sesuatu dengan ikhlas. Pemimpin mesti memimpin dengan tanggungjawab, bukan sekadar kerana nama. Yang dibantu terus dekatkan diri dengan Allah SWT agar Allah SWT pelihara dan selamatkan kita dan negara ini.


Ayat 27:51


فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ مَكْرِهِمْ أَنَّا دَمَّرْنَٰهُمْ وَقَوْمَهُمْ أَجْمَعِينَ


Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya.


Pengajaran

  1. Memahami kisah ini ada kaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW kerana Nabi SAW menerima wahyu ini sebagai pujukan perjuangan baginda. Ia juga ada kaitan dengan kita yang juga perlu berjuang atas dasar kebenaran.
  2. Kisah Nabi Soleh AS ini telah diceritakan dalam Surah al-Syu'ara' yang menyebut tentang unta. Di sini tidak ada kisah unta. Dalam surah al-Syu'ara' mereka tidak puas hati tentang mukjizat Nabi Soleh AS. Rupa-rupanya kesan tidak percaya kepada mukjizat itu mereka mempunyai kedegilan kepada perintah Allah SWT. 
  3. Pointnya: kalau tidak ambil manfaat daripada mukjizat malah menentangnya, seseorang itu akan jadi orang yang menentang kepada kebaikan dan kebenaran.
  4. Kesan daripada tipu daya mereka, Allah SWT membinasakan mereka secara keseluruhannya. Saki baki tinggalan mereka masih ada di Madain Soleh. 
  5. Mereka saling membantu untuk menghancurkan kebenaran Nabi Soleh AS. Contoh: Zaman sekarang ada komplot yang menjual kawasan tanah yang asalnya kawasan tadahan banjir. Sepatutnya untuk membuat perumahan mestilah ditambun lebih tinggi untuk mengelakkan banjir tetapi tidak dibuat. Mereka yang terlibat tidak mementingkan keselamatan orang kerana mereka lebih mementingkan diri mereka. Mungkin terdapat unsur rasuah.  
  6. Pada zaman Nabi Soleh AS, sembilan kumpulan ini merancang untuk memastikan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Soleh AS itu akan dihancurkan. Sekarang kita perjuangkan hak manusia dan keadilan yang merupakan mesej penting sepanjang sejarah manusia ini.


Ayat 27:52


فَتِلْكَ بُيُوتُهُمْ خَاوِيَةًۢ بِمَا ظَلَمُوٓا۟ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً لِّقَوْمٍ يَعْلَمُونَ


Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim; sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya)


Pengajaran

  1. Akhirnya, rumah mereka dihancurkan kerana kezaliman yang berlaku. Ini adalah tanda-tanda kebenaran kepada orang yang hendak mengetahui. Orang yang ada ilmu, pasti akan tahu dan terasa bila lalu di tempat tersebut.
  2. Sesuatu negeri/negara makin lama makin hancur kerana kezaliman. Contoh: Rasuah, korupsi, salah guna kuasa kita perlu tegur. Kalau tidak, apa yang berlaku kepada negeri/negara ini, makin lama makin hancur. Orang yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin. Ekonomi hancur, politik hancur, sosial pun hancur kerana kezaliman.


Ayat 27:53


وَأَنجَيْنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ يَتَّقُونَ


Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, serta yang selalu bertaqwa.


Pengajaran

  1. Kalau kita tegur, Allah SWT selamatkan orang-orang yang beriman. Mereka ini selalu berusaha melindungi diri daripada masalah politik, ekonomi, sosial dalam hidup seharian dengan bertakwa kepada Allah SWT.
  2. Takwa bukan sekadar solat, bayar zakat/derma kemudian kita tidak kisah pun korupsi, penyalahgunaan kuasa. Kesan solat, betul-betul buat kerana Allah, bila keluar solat, kita kena bantu manusia. Contoh: Pemimpin-pemimpin mesti bersama-sama turun padang memberi bantuan. Jangan pula orang di sini tengah susah, mereka pergi umrah atau bercuti lama-lama. 


Ayat 27:54


وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَٰحِشَةَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ


Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?


Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan kita tentang jenayah sosial yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut AS. 
  2. Dari satu dosa yang mereka mulakan, terjadilah kewujudan berbagai jantina dan mereka tidak langsung malu untuk menyatakannya. Inilah kesan dosa yang dinampakkan kepada orang lain yang menyebabkan perbuatan keji menular, orang yang tidak berkaitan berbincang tentang itu.


Ayat 27:55


أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ


"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)".


Pengajaran

  1. Jangan ikut perasaan negatif yang tidak berasaskan ilmu seperti orang homoseksual ini. Mereka berkomplot untuk membenarkan apa yang mereka buat. 
  2. Untuk mencegah perbuatan keji seperti ini, hendaklah kita kawal emosi, kawal hubungan lelaki perempuan dan disiplin solat. 
  3. Latih sifat ‘rijal’ anak lelaki melalui institusi masjid. Rijal adalah lelaki yang boleh berdiri atas dua kaki sendiri. Ini dapat mengelakkan daripada perbuatan homoseksual.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Menggalakkan orang ramai beristighfar dan bukan mencabar atau mempersoal Allah SWT (27:46)
  2. Bertanggungjawab dan jangan salahkan orang lain atas kekurangan (27:47)
  3. Jadi influencer kebaikan dan bukan mengajak kepada keburukan (27:48)


Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya istighfar dan tidak mencabar Allah SWT.


Saya jelas untuk menggalakkan orang ramai beristighfar dan bukan mencabar atau mempersoal Allah SWT. Saya jelas saya mesti bertanggungjawab dan jangan salahkan orang lain atas kekurangan. Saya jelas saya mesti jadi influencer kebaikan dan bukan mengajak kepada keburukan.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk menggalakkan orang ramai beristighfar dan bukan mencabar atau mempersoal-Mu. Ya Allah, bimbing kami supaya menjadi orang yang bertanggungjawab dan tidak salahkan orang lain atas kekurangan. Ya Allah, pimpin kami untuk jadi influencer kebaikan dan bukan mengajak kepada keburukan.


Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...