Sunday, October 1, 2023

Halaman 419 : Al-Ahzab, 33:7-15

PERKATAAN HARI  

 أَلِمَ  Perit. 75 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Pensyariatan hak waris berdasarkan kekerabatan nasab atau ikatan darah (33:7-8)
  2. Peperangan Al-Ahzab atau Khandaq dan Bani Quraizhah (33:9-15)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada surah al-Ahzab di halaman 419. 

Ayat 33:7

وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِنَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ مِیثَـٰقَهُمۡ وَمِنكَ وَمِن نُّوحࣲ وَإِبۡرَ ٰ⁠هِیمَ وَمُوسَىٰ وَعِیسَى ٱبۡنِ مَرۡیَمَۖ وَأَخَذۡنَا مِنۡهُم مِّیثَـٰقًا غَلِیظࣰا

(Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka);

Pengajaran

  1. Pada ayat 6 Allah SWT ingatkan kepada orang-orang beriman bahawa kedudukan Nabi SAW lebih utama daripada orang-orang mukmin.
  2. Dalam ayat 7 pula, Allah SWT mengingatkan Nabi SAW dan kepada kita untuk terus bertakwa kepada Allah SWT. Allah SWT mengambil perjanjian setia dengan Nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi terdahulu perjanjian bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka. 
  3. Allah SWT mendahulukan Nabi SAW dengan panggilan   ٱلنَّبِیِّـۧنَ berbanding nabi-nabi Ulul Azmi yang lain. Ini menceritakan tingginya kedudukan Nabi SAW. Ini mengangkat nabi SAW sebagai yang paling utama dalam kalangan para nabi.

Ayat 33:8

لِّيَسْـَٔلَ ٱلصَّٰدِقِينَ عَن صِدْقِهِمْ وَأَعَدَّ لِلْكَٰفِرِينَ عَذَابًا أَلِيمًا

(Tuhan berbuat demikian) supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan (sebaliknya) Ia telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Pengajaran

  1. Allah SWT bertanya kepada orang-orang yang benar beriman untuk menyempurnakan balasan baik mereka. Orang-orang yang menyampaikan kebenaran mendapat kemuliaan. Kedudukan mereka diangkat disisi Allah SWT walaupun mereka dibenci oleh orang kafir. 
  2. Sebaliknya Allah SWT telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ayat 33:9

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَآءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.

Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh orang-orang yang beriman mengingatkan nikmat-nikmatNya semasa mereka diserang oleh tentera Al-Ahzab. Allah SWT hantarkan kepada musuh angin ribut yang kencang dan angkatan tentera malaikat yang tidak dapat dilihat dengan mata. 
  2. Tentera Al-Ahzab terdiri daripada pakatan musuh yang menyerang orang-orang beriman.
  3. Allah SWT sentiasa melihat apa yang kita lakukan.
  4. Hendaklah kita sentiasa sebutkan nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita supaya kita rasa lebih bersyukur dan rendah diri kepada Alah SWT. 
  5. Adakala kita boleh sebut nikmat kita kepada orang, adakala tidak elok disebut kepada orang. Contoh: Dalam cerita Nabi Yusuf AS, Allah SWT larang baginda cerita tentang mimpi baginda kepada adik beradiknya. Kita boleh cerita sekiranya kita kenal rapat dengan orang itu. Kalau tidak, mungkin orang akan anggap yang negatif kepada kita dan boleh mendatangkan mudarat kepada kita.

Ayat 33:10

إِذْ جَآءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ ٱلْأَبْصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلْقُلُوبُ ٱلْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠

Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengingatkan orang beriman semasa mereka diserang oleh musuh daripada atas dan bawah, mereka tidak tentu arah serta hati mereka resah gelisah kerana cemas dan takut. 
  2. Pada masa itu tentera Islam hanya 3 ribu orang dan tentera musuh 10 ribu orang. Keadaan sangat kritikal. Bani Quraizah khianat kepada Rasulullah SAW. Perang Ahzab pula  berlaku pada musim sejuk. 
  3. Pada masa itu orang-orang beriman berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah SWT.

Ayat 33:11

هُنَالِكَ ٱبْتُلِىَ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا۟ زِلْزَالًا شَدِيدًا

Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.

Pengajaran

  1. Pada ketika itu orang-orang yang beriman diuji dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.

Ayat 33:12

وَإِذْ يَقُولُ ٱلْمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورًا

Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja".

Pengajaran

  1. Ayat-ayat seterusnya menceritakan tentang sifat-sifat orang munafik yang menjadi ancaman dalam perang Ahzab. Mereka mengkucar-kacirkan keadaan orang Islam dan menggoncangkan kestabilan umat Islam di Madinah. Semoga kejadian ini tidak berulang di zaman kita.
  2. Kata-kata orang munafik itu menyakiti Rasulullah SAW. Mereka menganggap apa yang dibentangkan oleh Allah SWT dalam wahyu sebagai tipu daya. Ini menunjukkan kerosakan hati mereka.
  3. Hati yang berpenyakit ialah hati yang rosak yang menyebabkan lari dari kebenaran/hidayah. Amalkan doa "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau larikan jiwa kami setelah Engkau berikan hidayah." 
  4. Hati kita, Allah SWT yang pegang. Antara doa yang paling banyak Rasulullah SAW baca untuk kekalkan hati atas agama. Doa mohon agar jangan ada dalam hati kita kebencian terhadap orang-orang yang beriman.
  5. Semoga kita dapat bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.

Ayat 33:13

وَإِذْ قَالَت طَّآئِفَةٌ مِّنْهُمْ يَٰٓأَهْلَ يَثْرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمْ فَٱرْجِعُوا۟ وَيَسْتَـْٔذِنُ فَرِيقٌ مِّنْهُمُ ٱلنَّبِىَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِىَ بِعَوْرَةٍ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارًا

Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).

Pengajaran

  1. Sifat orang Munafik yang disebut dalam ayat ini: 
    • Menimbulkan keraguan terhadap Islam.
    • Menakutkan-nakutkan orang Islam.
    • Mereka memberi alasan untuk tidak pergi berperang. 

Ayat 33:14

وَلَوۡ دُخِلَتۡ عَلَیۡهِم مِّنۡ أَقۡطَارِهَا ثُمَّ سُىِٕلُوا۟ ٱلۡفِتۡنَةَ لَـَٔاتَوۡهَا وَمَا تَلَبَّثُوا۟ بِهَاۤ إِلَّا یَسِیرࣰا

Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja.

Pengajaran

  1. Sifat lain orang munafik ialah mereka suka berpaling tadah.

Ayat 33:15

وَلَقَدْ كَانُوا۟ عَٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ مِن قَبْلُ لَا يُوَلُّونَ ٱلْأَدْبَٰرَ وَكَانَ عَهْدُ ٱللَّهِ مَسْـُٔولًا

Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya).

Pengajaran

  1. Allah SWT ingatkan janji setia dengan Allah iaitu mereka tidak akan berundur dari medan perang. Allah akan tanya janji setia ini di akhirat kelak.
  2. Kemenangan dalam perang Ahzab adalah satu nikmat yang besar kepada orang-orang beriman. Selepas itu mereka sudah cukup kuat untuk keluar dari Madinah menyebarkan Islam ke merata tempat.
  3. Jauhi sifat orang munafik yang menandakan hati yang berpenyakit. 

RESOLUSI

Ingat!
  1. Sentiasa ingat nikmat Allah SWT ketika menghadapi saat kritikal dalam hidup (33:9)
  2. Jaga perkataan daripada menuding atau negatif kepada Allah SWT (33:12)
  3. Elakkan memberi alasan untuk berpatah balik daripada perjuangan kebaikan (33:13)

Saya berasa lega, Allah SWT ajarkan supaya ingat nikmatNya ketika menghadapi saat kritikal dalam hidup.

Saya jelas saya mesti  sentiasa ingat nikmat Allah SWT ketika menghadapi saat kritikal dalam hidup. Saya jelas saya mesti jaga perkataan daripada menuding atau negatif kepada Allah SWT. Saya jelas untuk elakkan memberi alasan untuk berpatah balik daripada perjuangan kebaikan.

Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa ingat nikmat-Mu ketika menghadapi saat kritikal dalam hidup. Ya Allah, bantu kami untuk jaga perkataan daripada menuding atau negatif kepada Mu. Ya Allah, elakkan kami daripada memberi alasan untuk berpatah balik daripada perjuangan kebaikan.

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami menyimpang kepada kesesatan, setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, karena sesungguhnya Engkau Maha Pemberi (Karunia).”

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluq-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...