PERKATAAN HARI INI
عَصَمَ Melindungi.13 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Kisah Perang Khandak (33:16-22)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada surah al-Ahzab di halaman 420.
Ayat 33:16
قُل لَّن يَنفَعَكُمُ ٱلْفِرَارُ إِن فَرَرْتُم مِّنَ ٱلْمَوْتِ أَوِ ٱلْقَتْلِ وَإِذًا لَّا تُمَتَّعُونَ إِلَّا قَلِيلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja".
Pengajaran
- Ayat ini berkaitan juga dengan ayat 12, 13, 14 dan 15 yang menceritakan tentang sifat orang munafik.
- Allah SWT ajar Nabi SAW untuk mengingatkan orang-orang munafik bahawa lari macam mana pun dari perang, mereka tidak akan selamat. Hanya selamat seketika.
- Sifat orang munafik, dalam Perang Uhud, mereka mempengaruhi orang Islam untuk tidak ikut pergi berperang. Begitu juga keadaannya dalam Perang Khandak.
Ayat 33:17
قُلْ مَن ذَا ٱلَّذِى يَعْصِمُكُم مِّنَ ٱللَّهِ إِنْ أَرَادَ بِكُمْ سُوٓءًا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً وَلَا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka.
Pengajaran
- Ayat ini penting untuk muhasabah diri kita. Yang memelihara, yang memberi kita keselamatan dan rahmat ialah Allah SWT. Kadang-kadang kita bawa kereta, tiba-tiba 'accident' tapi selamat. Dalam 'accident', bayi tercampak keluar, kita ingat tidak selamat dah tetapi selamat kerana Allah SWT yang menyelamatkan. Allah SWT yang menentukan semuanya. Kadang-kadang kita rasa macam tidak logik tetapi Allah SWT memberi cahaya rahmatNya pada waktu itu.
- Dalam sirah Nabi SAW, selepas hijrah ke Madinah, baginda SAW berada dalam keadaan bimbang kerana orang musyrik menjanjikan ganjaran besar bagi sesiapa yang dapat menangkap baginda SAW. Baginda SAW berharap supaya ada seorang lelaki mukmin yang melindunginya. Tiba-tiba, malam itu baginda SAW mendengar orang menyeret pedang di luar. Bila ditanya, rupanya Saad b Abi Waqas, sahabat yang ingin menjaga baginda SAW. Sehingga turun ayat yang menyatakan Allah SWT telah memberi perlindungan kepadanya, baru baginda SAW menyuruh sahabat-sahabat pulang.
- Mohon perlindungan dari Allah SWT. Bacalah بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ( Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) tiga kali setiap pagi dan petang.
- Jika Allah SWT mahu kejahatan berlaku kepada orang munafik, mereka tidak akan dapat lari darinya.
Ayat 33:18
قَدْ يَعْلَمُ ٱللَّهُ ٱلْمُعَوِّقِينَ مِنكُمْ وَٱلْقَآئِلِينَ لِإِخْوَٰنِهِمْ هَلُمَّ إِلَيْنَا وَلَا يَأْتُونَ ٱلْبَأْسَ إِلَّا قَلِيلًا
Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah bersatu dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja.
Pengajaran
- Ini satu lagi sifat orang munafik. Mereka menghalang orang pergi kepada Islam.
- Mereka adalah golongan ٱلْمُعَوِّقِينَ. Semoga kita tidak menjadi orang yang menghalang kepada kebaikan. Kalau ada orang hendak lakukan kebaikan, jangan kita perli atau buruk-burukkan dia.
Ayat 33:19
أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ فَإِذَا جَآءَ ٱلْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَٱلَّذِى يُغْشَىٰ عَلَيْهِ مِنَ ٱلْمَوْتِ فَإِذَا ذَهَبَ ٱلْخَوْفُ سَلَقُوكُم بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى ٱلْخَيْرِ أُو۟لَٰٓئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا۟ فَأَحْبَطَ ٱللَّهُ أَعْمَٰلَهُمْ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا
Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
Pengajaran
- Orang munafik sangat kedekut. Hindun pernah mengadu kepada Rasulullah SAW yang suaminya, Abu Suffian, sangat kedekut. Tidak memberi hak yang sepatutnya kepadanya. Rasulullah SAW membenarkan isterinya mengambil nafkah yang berpatutan buat dirinya.
- Komuniti Islam di Madinah selamat kerana ramai umat Islam yang sedia menyumbang dan berwakaf. Contohnya, Saidina Uthman wakafkan telaga untuk umat Islam di Madinah kerana waktu itu, sumber air di monopoli oleh orang Yahudi.
Ayat 33:20
يَحْسَبُونَ ٱلْأَحْزَابَ لَمْ يَذْهَبُوا۟ وَإِن يَأْتِ ٱلْأَحْزَابُ يَوَدُّوا۟ لَوْ أَنَّهُم بَادُونَ فِى ٱلْأَعْرَابِ يَسْـَٔلُونَ عَنْ أَنۢبَآئِكُمْ وَلَوْ كَانُوا۟ فِيكُم مَّا قَٰتَلُوٓا۟ إِلَّا قَلِيلًا
Mereka menyangka bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.
Pengajaran
- Sambungan tentang sifat orang munafik. Mereka memburukkan Islam dan mereka berharap tentera Ahzab tidak lari. Mereka suka melihat orang Islam susah.
- Kita janganlah jadi seperti mereka. Contoh: melihat orang baru hendak mula bisnes, harapkan mereka gagal, burukkan bisnes mereka di facebook.
- Dalam halaman ini, kita dapat pelajari 4 sifat orang munafik:
- Lari dari medan perang
- Jadi penghalang kepada orang yang mahu buat kebaikan
- Mereka sangat kedekut
- Mereka berharap kesukaran menimpa umat Islam
Ayat 33:21
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
Pengajaran
- Kenapa tiba-tiba disebut tentang Rasulullah sebagai حَسَنَةٌ أُسْوَةٌ. Ini menunjukkan Allah SWT mahu kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai tauladan dalam komunikasi harian kita dengan semua orang. Rasulullah SAW memang benar-benar 'uswah' dalam kehidupan kita.
- Baginda SAW sememangnya seorang yang sentiasa berbuat baik dengan semua, walaupun yang bukan Islam.
- Betapa tingginya akhlak baginda SAW. Baginda SAW tetap ber buat baik dengan mereka yang menyakitnya. "Yang terbaik di antara kamu ialah yang baik dengan ahli keluarganya dan akulah orang yang terbaik dengan keluargaku".
- Ibnu Al Utbiah, pegawai yang ditugaskan mengutip jizyah, mengambil sebahagian dari jizyah itu. Dia ditegur oleh Rasulullah SAW kerana yang diambilnya adalah bukan haknya yang sebenar. Ini menunjukkan baginda SAW melarang pengambilan yang bukan hak, seperti rasuah.
Ayat 33:22
وَلَمَّا رَءَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلْأَحْزَابَ قَالُوا۟ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّآ إِيمَٰنًا وَتَسْلِيمًا
Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
Pengajaran
- Tentera Ahzab ramai,10 ribu orang jumlahnya. Bila melihat mereka datang, orang beriman berkata "Inilah yang dijanjikan oleh Allah SWT dan Rasul".
- Mereka sanggup susah kerana janji-janji Allah SWT. Mereka seronok menghadapi kesukaran asalkan dapat keredaan daripada Allah SWT. Mereka sangat yakin dengan janji-janji Allah SWT.
RESOLUSI
Ingat!
- Bukan lari daripada kematian tetapi membuat persediaan menghadapi hari selepas mati (33:16)
- Yakin Allah SWT sahaja yang dapat melindungi kita daripada bahaya atau memberi rahmat (33:17)
- Tidak menjadi golongan talam dua muka yang kedekut dan penakut untuk berjuang (33:19)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jangan takut mati tetapi membuat persediaan menghadapi hari selepas mati.
Saya jelas untuk tidak lari daripada kematian tetapi membuat persediaan menghadapi hari selepas mati. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT sahaja yang dapat melindungi kita daripada bahaya atau memberi rahmat. Saya jelas untuk tidak menjadi golongan talam dua muka yang kedekut dan penakut untuk berjuang.
Ya Allah, pimpin kami agar tidak lari daripada kematian tetapi membuat persediaan menghadapi hari selepas mati. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau sahaja yang dapat melindungi kami daripada bahaya atau memberi rahmat. Ya Allah, jauhkan kami daripada menjadi golongan talam dua muka yang kedekut dan penakut untuk berjuang.
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
"Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kepada semua makhluq-Nya." ( al-Hasyr ayat 10)
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.