Sunday, October 1, 2023

Halaman 418 : Al-Ahzab, 33:1-6

PERKATAAN HARI 

 خَبَرَ  Khabar. 52 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Perintah untuk bertakwa kepada Allah SWT, mengikut wahyu dan bertawakal kepada-Nya (33:1-3)
  2. Berbilang hati, zihar dan anak angkat (33:4-5)
  3. Kedudukan serta tugas Nabi Muhammad SAW (33:6)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada surah al-Ahzab di halaman 418. Surah ini mencabar seperti surah al-Nur: 
Ia surah Madaniyyah.
Ada banyak etika di luar rumah: bagaimana berinteraksi dengan jantina yang berbeza
Hukum berkaitan anak angkat
Surah ini memberi panduan kepada kita bagaimana menunggu kemenangan di dunia dan di akhirat. 
Al-Ahzab maknanya kumpulan-kumpulan bersekutu yang menyerang kepada umat Islam.

Perang berlaku setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Sebelum hijrah Nabi SAW tidak dibenarkan berperang. Lebih daripada itu, jihad pada waktu sebelum hijrah ialah untuk tidak berperang, tidak membalas kepada keganasan yang dibuat oleh orang-orang musyrik di Mekah.

Ayat 33:1

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ ٱتَّقِ ٱللَّهَ وَلَا تُطِعِ ٱلْكَٰفِرِينَ وَٱلْمُنَٰفِقِينَ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Pengajaran

  1. Surah ini bermula dengan seruan kepada Nabi SAW (ٱلنَّبِىُّ يَٰٓأَيُّهَا) sebagai puncak kepada kepimpinan agama. Maka ini juga adalah seruan kepada pemimpin di kalangan orang beriman.
  2. Nabi SAW diseru untuk bertakwa kepada Allah SWT, jangan mengikut orang kafir dan orang munafik. Orang kafir yang tidak menyembah Allah SWT dalam masa sama menentang kepada Islam. Orang munafik ini agamanya  ialah Islam tetapi hakikatnya, punyai penyakit hati dan mencuba melawan Nabi Muhammad SAW. 
  3. Allah Amat Mengetahui. Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati orang munafik dan orang kafir. Allah Amat Bijaksana menyusun segala-galanya. 
  4. Kalau seseorang pemimpn ingin mendapat bantuan daripada Allah yang Maha Mengetahui dan Bijaksana, seseorang itu perlulah bertakwa, dekat dengan Allah, ikut ilmu yang Allah ajarkan dan baca al-Quran untuk dapat kebijaksanaan bagi membuat keputusan serta tidak mudah terganggu oleh orang yang tidak bijaksana.

Ayat 33:2

وَٱتَّبِعْ مَا يُوحَىٰٓ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Pengajaran

  1. Ikutlah wahyu rapat-rapat. Jangan ikut ideologi kufur, munafik, kapitalism, ataupun mengambil ideologi-ideologi yang songsang. 
  2. Allah SWT amat mengetahui secara mendalam apa yang kita lakukan. Ini ada kaitan dengan seorang pemimpin. Kalau pemimpin merancang projek yang ke hadapan, dia memerlukan ilmu 'khabbar' (yang benar). Yang paling tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan hanyalah Allah SWT.
  3. Bagi seorang pemimpin, rapat dengan Allah yang Maha Mengetahui ilmu-ilmu ke depan itu amat penting agar dapat merancang dengan cara yang terbaik. 
  4. Dengan wahyu kita mampu mengurus ke depan ke belakang. Tanpa wahyu kita akan gagal menguruskan kepimpinan dalam kehidupan kita.

Ayat 33:3

وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا

Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.

Pengajaran

  1. Amat penting untuk tawakal kepada Allah SWT. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. 
  2. Bila kita bergantung kepada Allah SWT, kesannya hati kita ini tetap berusaha, tetapi kita tidak bergantung kepada usaha kita, atau bergantung kepada orang yang ada di sekeliling kita. Kita tidak takut kepada makhluk, hanya takut kepada Allah SWT.  
  3. Ada projek apa-apa bagi seorang pemimpin, cukuplah Allah sebagai tempat yang akan memelihara projek kita, menjaga negara dan negeri kita.
  4. Tiga ayat ini sebagai pendedahan kepada Nabi SAW sebagai pemimpin di zaman itu.

Ayat 33:4

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِۦ وَمَا جَعَلَ أَزْوَٰجَكُمُ ٱلَّٰٓـِٔى تُظَٰهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَٰتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَآءَكُمْ أَبْنَآءَكُمْ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَٰهِكُمْ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِى ٱلسَّبِيلَ

(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.

Pengajaran

  1. Bagi seorang lelaki, tidak ada dua jantung.  Dalam diri seorang perempuan, boleh ada dua jantung waktu ibu mengandungkan bayi. Satu jantungnya, satu jantung bayinya. 
  2. Maksud yang kedua: Jika bergantung dan tenang dengan Allah SWT, seseorang tidak akan lagi bergantung dengan manusia. Kalau dia bergantung dengan manusia dia tidak akan tenang dengan Allah. Kalau tenang dengan Allah, dia akan tenang juga dengan manusia.
  3. Dalam surah ini ada kontroversi tentang kehidupan Nabi SAW. Dalam Surah Al-Nur, ada kontroversi tentang isteri Rasulullah SAW, Saiditina Aishah. Allah jadikan kontroversi itu kerana Allah Maha Bijaksana untuk mengajar kepada kita bahawa hidup kita ini kalau ada kontroversi itu adalah juga berlaku kepada Nabi SAW. Bergantung samada kita hendak kembalikan kepada Allah atau kita rasa stres dan kita berputus asa daripada rahmat Allah SWT.
  4. Berkaitan hukum zihar, seorang lelaki yang tidak suka isterinya akan menyamakan isterinya  dengan ibunya. Itu adalah tradisi orang Arab yang dicela oleh Allah SWT. Tidak mungkin isteri itu disamakan dengan ibu. Islam amat tegas dalam hubungan suami isteri.

Ayat 33:5

ٱدْعُوهُمْ لِءَابَآئِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ ٱللَّهِ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوٓا۟ ءَابَآءَهُمْ فَإِخْوَٰنُكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَمَوَٰلِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَآ أَخْطَأْتُم بِهِۦ وَلَٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pengajaran

  1. Zaid b Harithah adalah anak angkat Nabi SAW yang sebelumnya dibinkan Muhammad. Allah SWT tegur perkara ini supaya ditukar semula kepada nama asalnya. 
  2. Nama memberi kesan kepada ayah dan anak itu sendiri. Di sebalik nama itu ada hak. Anak angkat tetap anak angkat dan tidak sama haknya dengan anak kandung.
  3. Allah SWT menyatakan kebenaran. Kebenaran dengan apa yang kita cakap tidak sama. Contoh: Anak angkat panggil emak angkat dengan panggilan emak. Ia tetap bukan emak dia yang sebenarnya. Banyak implikasi dalam agama tentang anak angkat.
  4. Bila disebut ٱلنَّبِىُّ  يَٰٓأَيُّهَا, bermakna Nabi SAW ditegur tentang kontrovesi berkait dengan anak angkatnya Zaid. Teguran ini secara umum, bermakna pentingnya teguran itu. 
  5. Anak angkat mesti dibinkan dengan nama bapa asalnya kerana itu adalah lebih adil. Allah SWT sangat berhikmah kerana nama membabitkan berbagai perkara seperti harta, kedudukan dalam masyarakat, aurat, dan hak-hak dalam kehidupan. 
  6. Anak angkat tetap anak angkat walaupun dijaga daripada kecil. Jangan menukar nama ayahnya kepada nama ayah angkat kerana takutkan ia kecewa di kemudian hari. Jangan sampai kita kecewa dihadapan Allah kerana tidak ikut perintah Allah dalam ayat ini. Kalau tersilap, mohon ampun dari Allah SWT. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Ayat 33:6

ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَٰتُهُمْ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِى كِتَٰبِ ٱللَّهِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ إِلَّآ أَن تَفْعَلُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِكُم مَّعْرُوفًا كَانَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْكِتَٰبِ مَسْطُورًا

Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah.

Pengajaran

  1. Ini adalah penjelasan kepada orang munafik. Kalau tidak terima ayat ini bermakna dia ada isu tentang keimanan kepada Allah SWT.
  2. Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri.
  3. Isteri-isteri Nabi SAW adalah menjadi ibu kepada orang-orang beriman. 
  4. Dalam kehidupan kita, Nabi SAW lah yang paling utama. Dari Nabi SAW risalah disampaikan dan dari Nabi SAW lah kita bahagia di dunia dan di akhirat. Muliakan Nabi SAW dengan kita perjuangkan sunnahnya dan muliakan isteri-isteri baginda.
  5. Para isteri baginda SAW yang tidak boleh lagi berkahwin dengan orang lain selepas kewafatan baginda SAW.
  6. Keutamaan dalam kehidupan amat penting diberi perhatian agar umat Islam menjadi umat yang benar-benar tahu keutamaan berdasarkan keimanan.
 

RESOLUSI

Ingat!
  1. Bina identiti iman dan jangan terikut-ikut budaya musyrik dan munafik (33:1)
  2. Ikut dekat-dekat wahyu yang diturunkan Allah SWT (33:2)
  3. Sentiasa bina jiwa yang bertawakal kepada Allah SWT (33:3)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya sentiasa bina jiwa yang bertawakal kepada Allah SWT.

Saya jelas saya mesti bina identiti iman dan jangan terikut-ikut budaya musyrik dan munafik. Saya jelas saya mesti ikut dekat-dekat wahyu yang diturunkan Allah SWT. Saya jelas saya mesti sentiasa bina jiwa yang bertawakal kepada Allah SWT.

Ya Allah, bimbing kami untuk bina identiti iman agar tidak terikut-ikut budaya musyrik dan munafik. Ya Allah, pimpin kami untuk ikut dekat-dekat wahyu yang Engkau turunkan. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa bina jiwa yang bertawakal kepada-Mu.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...