Saturday, October 14, 2023

Halaman 460 : Al-Zumar (39:11-21)

PERKATAAN HARI  

 خَسِرَ  Merugi. 
65 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS    


  1. Pelbagai nasihat bagi orang Mukmin dalam ibadah, pahala bagi mereka dan ancaman bagi para Musyrik (39:11-20)
  2. Keadaan dunia (39:21)


Mukadimah


Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 460 untuk meneruskan Surah Al-Zumar. Syukur kita diberi peluang untuk menghayati kalamullah.


Ayat 39:11


قُلْ إِنِّىٓ أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ ٱللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ ٱلدِّينَ


Katakanlah lagi (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya;


Pengajaran


  1. Allah SWT perintahkan Nabi Muhammad SAW untuk katakan bahawa sesungguhnya Baginda SAW diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada Allah SWT.
  2. Allah SWT mendidik Rasulullah SAW supaya mengikhlaskan jiwa kepada Allah SWT. 
  3. Perkataan ikhlas diulang beberapa kali dalam surah ini. Kepentingan ikhlas:
    • Sifat ikhlas akan menyelamatkan manusia dalam kesukaran yang menimpa mereka. Contoh: i) Nabi Yusuf AS digoda oleh isteri al-Aziz. Sifat ikhlas baginda menyebabkan baginda mendapat jalan keluar, ii) Kisah tiga pemuda yang terperangkap dalam gua. Mereka bertawasul dengan perbuatan ikhlas yang mereka pernah buat. Allah SWT memberikan mereka jalan keluar.
    • Sifat ikhlas akan memberi kemenangan kepada orang-orang yang bertelagah. Contoh: Orang Islam menang dalam perang kerana orang kafir keluar berperang dengan perasaan riak dan membangga diri.
    • Sifat ikhlas akan menjemput syafaat Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak. Ada seorang lelaki tanya Rasulullah SAW: "Siapakah orang yang paling bahagia dengan syafaat mu pada hari kiamat kelak?" Rasulullah SAW menjawab: "Orang paling bahagia dengan syafaat aku adalah orang yang mengucapkan kalimah lailahaillallah dengan penuh ikhlas daripada dalam jiwanya, maka dia akan beroleh syafaat daripada Allah SWT pada hari kiamat kelak."


Ayat 39:12


وَأُمِرْتُ لِأَنْ أَكُونَ أَوَّلَ ٱلْمُسْلِمِينَ


"Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang awal pertama berserah diri bulat-bulat (kepada Allah)".


Pengajaran


  1. Rasulullah SAW diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama berserah diri kepada Allah SWT.
  2. Imam Ibnu Asyur menjelaskan bahawa  أَوَّلَ ٱلْمُسْلِمِينَ  bukanlah maksudnya cara hakiki sebagai orang yang pertama kerana nabi-nabi yang lain lebih awal menyerah diri kepada Allah SWT. Ia bermaksud Nabi SAW adalah orang yang paling ke hadapan bertakwa kepada Allah SWT.
  3. Nabi SAW dan para sahabat berjuang dan berkorban untuk mempertahankan Islam. Mereka dipukul dan disiksa apabila memeluk Islam. Mereka benteng pertama mempertahankan Islam.


Ayat 39:13 


قُلْ إِنِّىٓ أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّى عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ


Katakanlah lagi: "Sesungguhnya aku takut - jika aku menderhaka kepada Tuhanku - akan azab hari yang besar (soal jawabnya)".


Pengajaran


Bukan sekadar ikhlas tetapi mereka menjauhkan  diri daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT.


Ayat 39:14


قُلِ ٱللَّهَ أَعْبُدُ مُخْلِصًا لَّهُۥ دِينِى


Katakanlah lagi: "Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan ugamaku kepadaNya.


Pengajaran


Allah SWT perintahkan Nabi SAW supaya ikhlas kepada Allah SAW ketika mengabdikan diri kepada Allah SWT.


Ayat 39:15


فَٱعْبُدُوا۟ مَا شِئْتُم مِّن دُونِهِۦ ۗ قُلْ إِنَّ ٱلْخَـٰسِرِينَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ أَلَا ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ


"(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik, dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)". Katakanlah lagi: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata."


Pengajaran


  1. Allah SWT menemplak orang-orang kafir: "maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah." 
  2. Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang menyembah selain daripada Allah SWT. 
  3. Perkataan rugi banyak kali disebut dalam Quran menunjukkan orang-orang yang rugi ini adalah orang-orang yang mempunyai ciri-ciri tertentu: 
    • tidak ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT
    • leka dengan kehidupan dunia
    • tidak jaga masa
    • tidak jaga solat. Hadis: "Perkara pertama yang akan dihitung pada hari kiamat ialah solat. Sekiranya solatnya baik, ia akan lepas. Kalau solatnya tidak baik dia akan berada dalam hina dan rugi pada hari akhirat kelak." 


Ayat 39:16


لَهُم مِّن فَوْقِهِمْ ظُلَلٌ مِّنَ ٱلنَّارِ وَمِن تَحْتِهِمْ ظُلَلٌ ۚ ذَٰلِكَ يُخَوِّفُ ٱللَّهُ بِهِۦ عِبَادَهُۥ ۚ يَـٰعِبَادِ فَٱتَّقُونِ


Bagi mereka (yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: "Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!"


Pengajaran


  1. Bagi mereka yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan dari api di bawah mereka. 
  2. Dengan azab yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya.
  3. Oleh itu, hendaklah kita bertaqwa kepada Allah SWT.


Ayat 39:17


وَٱلَّذِينَ ٱجْتَنَبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَ أَن يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ


Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu


Pengajaran


Orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan.


Ayat 39:18


ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ


Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.


Pengajaran


  1. Orang-orang yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya, mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
  2. Perkataan-perkataan yang paling baik adalah ayat-ayat Quran.


Ayat 39:19


أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ ٱلْعَذَابِ أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِى ٱلنَّارِ


Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak)! Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka?


Pengajaran


  1. Orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab disebabkan kekufurannya, tidak sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya. 
  2. Tiada siapa yang berkuasa menyelamatkan orang yang ditetapkan kekal dalam neraka.


Ayat 39:20


لَـٰكِنِ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ لَهُمْ غُرَفٌ مِّن فَوْقِهَا غُرَفٌ مَّبْنِيَّةٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ وَعْدَ ٱللَّهِ ۖ لَا يُخْلِفُ ٱللَّهُ ٱلْمِيعَادَ


Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.


Pengajaran


  1. Orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya, dibina untuk mereka di dalam Syurga mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. 
  2. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.
  3. Surah ini juga dinamakan sebagai Ghuraf seperti yang terdapat dalam ayat ini.


Ayat 39:21


أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَسَلَكَهُۥ يَنَـٰبِيعَ فِى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِۦ زَرْعًا مُّخْتَلِفًا أَلْوَٰنُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَجْعَلُهُۥ حُطَـٰمًا ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ


Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.


Pengajaran


  1. Allah SWT ingatkan kita supaya memerhatikan alam: 
    • Allah menurunkan hujan dari langit,
    • Lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi, 
    • Kemudian Allah SWT menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya,
    • Kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar hingga ke suatu masa yang tertentu, selepas itu ia menjadi kuning; kemudian ia menjadi hancur bersepai.
  2. Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.


RESOLUSI


Ingat!

  1. Sampaikan nasihat yang baik dan teguh penyerahan diri kepada Allah SWT (39:11-14)
  2. Segera kembali kepada Allah SWT dan jauhi keburukan (39:17)
  3. Manfaatkan akal fikiran dalam menghayati penciptaan alam yang sempurna (39:21)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya segera kembali kepadaNya agar mendapat ganjaran syurga.

Saya jelas saya mesti sampaikan nasihat yang baik dan teguh penyerahan diri kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti segera kembali kepada Allah SWT dan jauhi keburukan. Saya jelas untuk manfaatkan akal fikiran dalam menghayati penciptaan alam yang sempurna.

Ya Allah,  pimpin kami untuk sampaikan nasihat yang baik dan teguh penyerahan diri kepada Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk segera kembali kepada Mu dan jauhkan kami dari keburukan. Ya Allah, bimbing kami untuk manfaatkan akal fikiran dalam menghayati penciptaan alam yang sempurna.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...