PERKATAAN HARI INI
صَلَا / صَلَوَ Berhubung, solat. 99 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Karakteristik al-Quran, sifat dan ciri orang yang beriman kepada Allah SWT (31:1-5)
- Orang kafir yang berpaling daripada al-Quran dan sikap orang Mukmin yang bersegera menyambut al-Quran (31:6-9)
- Penciptaan langit dan bumi adalah sebagai bukti petunjuk akan keesaan Allah SWT dan kebatilan syirik (31:10-11)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada surah 31, surah Luqman. Kita akan melihat panduan untuk membina diri dan keluarga yang berhikmah.
Ini adalah surah Makkiyyah yang memberi keimanan untuk meningkatkan motivasi kita. Dua pertiga daripada al-Quran adalah surah Makkiyyah yang turun sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Ia adalah panduan yang perlu kita ambil tentang keimanan, akhlak dan kisah untuk kita mempunyai jati diri yang teguh seperti mana yang dikurniakan kepada orang-orang yang diberi nikmat, bukan orang-orang yang dimurkai dan bukan orang-orang yang disesatkan.
Ayat 31:1
الٓمٓ
Alif, Laam, Miim.
Pengajaran
- Ini adalah huruf muqato'ah. Kita tidak tahu apa maksudnya, yang tahu hanyalah Allah SWT.
- Tema surah ini berkaitan dengan keibubapaan, tentang bagaimana hendak menjaga diri kita daripada tidak berhikmah.
- Kita hendak supaya ayah, ibu dan anak menjadi orang-orang yang berhikmah.
- Puncak kepada hikmah ialah apabila seseorang itu takut kepada Allah SWT atau tidak mensyirikkan Allah SWT. Bukannya kerana dia jadi profesor atau ilmuan yang tidak takut Allah SWT.
Ayat 31:2
تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ
Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
Pengajaran
- Panduan untuk menjadi orang-orang yang berhikmah ada dalam al-Quran.
- Al-Quran mengandungi ayat-ayat yang penuh dengan kebijaksanaan. Makin kita belajar al-Quran, ia akan membina hikmah dalam diri kita.
- Ia mengandungi sumber peraturan untuk menjadikan setiap orang berhikmah dalam membuat keputusan.
- Allah SWT menggunakan perkataan ٱلْكِتَـٰبِ dalam ayat ini. Al-Kitab bermaksud sesuatu yang termaktub, ada sumber peraturan yang lengkap di Luh Mahfuz. Bila kita ikut al-Kitab, bermakna kita ikut standard langit. Bila kita ikut standard langit maka itulah puncak kepada kebijaksanaan dan kita boleh buat keputusan dengan bijaksana.
Ayat 31:3
هُدًى وَرَحْمَةً لِّلْمُحْسِنِينَ
Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik
Pengajaran
- Kitab al-Quran menjadi hidayah dan rahmat bagi orang-orang yang muhsin (orang-orang yang berbuat baik).
- Muhsin lebih tinggi daripada takwa. Kitab ini memberi hikmah dan kasih sayang kepada orang yang berbuat baik.
- Puncak kepada nikmat ar-Rahman ialah apabila kita dapat beragama dengan panduan daripada al-Quran. Puncak hikmah ialah apabila dapat mentauhidkan Allah SWT.
Ayat 31:4
ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat.
Pengajaran
- Ciri-ciri orang yang muhsin ada dua sudut, berbuat baik dengan Allah SWT, berbuat baik dengan manusia:
- Mendirikan solat - Orang yang tidak mendirikan solat bermakna dia sedang meruntuhkan agamanya. Solat mesti dilakukan dengan penuh sedar. Ini adalah hubungan dengan Allah SWT.
- Menunaikan zakat - Ini adalah untuk menjaga hubungan dengan manusia.
- Yakin tentang adanya hari akhirat - Orang yang percaya tentang hari akhirat akan maafkan orang lain dan akan berhati-hati dengan setiap perkara yang hendak dilakukan. Kerana akhirat kita belajar, dan berjuang melakukan kebaikan.
Ayat 31:5
أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
Pengajaran
- Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah dari Tuhan.
- Merekalah orang-orang yang berjaya.
- Apabila kita memperjuangkan ketauhidan, itulah caranya untuk kita mencapai tahap muhsinin.
Ayat 31:6
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشْتَرِى لَهْوَ ٱلْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيْرِعِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
Pengajaran
- Salah satu cabaran untuk berjaya ialah buat perkara tidak baik (لَهْوَ) iaitu perkara yang sia-sia dan melalaikan. Contoh: Pada zaman Nabi SAW, ada orang musyrik yang bawa penyanyi wanita daripada Syria untuk menarik orang ramai menjauhkan diri daripada mendengar al-Quran yang disampaikan oleh Nabi SAW.
- Orang-orang yang lalai dan menjadikan agama Allah sebagai ejekan akan mendapat azab yang menghinakan.
Ayat 31:7
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ ءَايَـٰتُنَا وَلَّىٰ مُسْتَكْبِرًا كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِىٓ أُذُنَيْهِ وَقْرًا ۖ فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seolah-olah ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.
Pengajaran
- Apabila Nabi SAW tilawahkan al-Quran, kaum musyrik berpaling dengan sombong, seolah-olah ada penyumbat pada kedua-dua telinganya.
- Pada zaman ini mungkin ada yang menyumbat telinga dengan ‘earphone’ untuk mendengar sesuatu dari gajet. Kita kena berjaga-jaga dengan apa yang kita dengar. Kalau mendengar hiburan yang melalaikan, itu akan menghalang daripada mentauhidkan Allah SWT yang akan menjauhkan daripada kejayaan.
Ayat 31:8
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُمْ جَنَّـٰتُ ٱلنَّعِيمِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat,
Pengajaran
- Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat.
Ayat 31:9
خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۖ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقًّا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Berkekalan mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah - janji yang tetap benar; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Mereka kekal di dalam syurga.
- Janji Allah SWT tetap benar.
- Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
- Ayat-ayat ini memberi motivasi kepada sahabat-sahabat Nabi SAW yang diseksa kerana memilih iman.
- Kalau kita ini berjuang, percaya kepada Allah SWT, percaya kepada rasul, perjuangkan al-Quran, walaupun tidak popular, itu adalah satu kesungguhan untuk bersama-sama para sahabat yang berjuang di zaman Nabi SAW.
Ayat 31:10
خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ وَأَلْقَىٰ فِى ٱلْأَرْضِ رَوَٰسِىَ أَن تَمِيدَ بِكُمْ وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ
Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.
Pengajaran
- Ayat ini menceritakan bahawa Allah SWT amat perkasa. Surah ini turun ketika umat Islam dipandang hina. Ini menguatkan semangat kepada orang beriman bahawa Allah berkuasa, Allah SWT boleh buat pada bila-bila masa sahaja untuk menghentam orang-orang musyrik tetapi Allah al-Hakim, Allah Maha Bijaksana beri peluang. Dengan peluang itu kita tengok ramai kembali kepada Islam seperti Hamzah Abdul Mutalib.
- Allah SWT suruh kita tengok alam. Ayat ini sebagai pembuktian ketauhidan agar kalau kita ada sesuatu yang tidak yakin dalam hidup kita untuk menjadi muhsinin/berbuat baik, ayat ini sebagai panduan.
- Allah SWT menciptakan langit yang kita tidak nampak tiangnya. Ini adalah senibina daripada Allah SWT yang menunjukkan kehebatan Allah SWT. Allah SWT yang Maha Bijaksana beri peluang untuk kita mendekatkan diri kepadaNya.
- Allah SWT mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menggoncangkan kita.
- Allah SWT membiakkan di bumi berbagai jenis binatang berpasangan.
- Allah SWT menurunkan hujan dari langit, lalu Allah SWT menumbuhkan di bumi berbagai jenis pasangan tumbuhan yang memberi banyak manfaat.
Ayat 31:11
هَـٰذَا خَلْقُ ٱللَّهِ فَأَرُونِى مَاذَا خَلَقَ ٱلَّذِينَ مِن دُونِهِۦ ۚ بَلِ ٱلظَّـٰلِمُونَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.
Pengajaran
- Ini semua ciptaan Allah SWT. Tengok betul-betul, kita akan nampak bahawa rugi kalau kita ini mensyirikkan Allah SWT.
- Ini perkara yang perlu kita hidupkan dalam keluarga kita. Jangan bagi banyak sangat hiburan di depan skrin sehinggakan anak kita tidak tengok kepada alam sehingga mereka mengambil enteng tentang solat, tolong orang, zakat, dan akhirat dirasa tidak penting. Yang penting mereka hendak berhibur sahaja.
RESOLUSI
Ingat!
- Jadikan al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat (31:3)
- Lindungi diri dan keluarga daripada hiburan yang melampau (31:6)
- Jangan sombong apabila mendengar ayat atau kebesaran Allah SWT (31:7)
Saya berasa lega, Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat.
Saya jelas untuk menjadikan al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat. Saya jelas untuk melindungi diri dan keluarga daripada hiburan yang melampau. Saya jelas untuk jangan sombong apabila mendengar ayat atau kebesaran Allah SWT.
Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai sumber hidayah dan rahmat untuk kami. Ya Allah, lindungi diri dan keluarga kami daripada hiburan yang melampau. Ya Allah, pimpin kami agar tidak sombong apabila mendengar ayat atau kebesaranMu.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.