Sunday, October 1, 2023

Halaman 405 : Al-Rum, 30:6-15

 PERKATAAN HARI INI 

عَقَبَ Akibat, kesan, balas. 80 disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Janji Allah SWT sangat tepat (30:6)
  2. Motivasi untuk memerhatikan pelbagai bentuk ciptaan Allah SWT yang menjelaskan kewujudan Allah SWT dan keesaan-Nya (30:8-10)
  3. Pengukuhan Hari Kebangkitan dan Hari Mahsyar serta penjelasan tentang apa yang terjadi pada saat kembali kepada Allah SWT (30:11-15)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 405 surah al-Rum. Semoga kita ceria gembira bersama al-Quran. Kita doakan agar kita dan keluarga kita terus diberi hidayah hingga ke syurga. 

Ayat 30:6

وَعْدَ ٱللَّهِ لَا يُخْلِفُ ٱللَّهُ وَعْدَهُۥ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Pengajaran

  1. Saidina Abu Bakar bertaruh 100 ekor unta yang Rom akan menang. Waktu itu, bertaruh belum lagi diharam. Tahun keenam dapat berita Rom dapat mengalahkan Parsi.
  2. Kisah ini bukan fokus kepada 100 ekor unta tetapi kepada kebenaran daripada janji Allah SWT. Allah tidak memungkiri janji, tetapi banyak manusia yang tidak mengetahui.
  3. Jangan kita pandang kekuatan atau kelemahan sebagai satu lambang kemenangan. Contoh: Parsi kuat akan terus menang. Orang kaya akan terus berjaya. 
  4. Berjaya adalah satu janji daripada Allah SWT. Bila tiba masanya, seseorang yang layak mendapat kejayaan akan diberi bantuan oleh Allah SWT. Ini adalah ilmu yang tidak nampak, benda ke depan. Buat sahaja apa yang perlu kita buat, Allah SWT boleh beri apa yang perlu kita dapat. 

Ayat 30:7

يَعْلَمُونَ ظَٰهِرًا مِّنَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ ٱلْءَاخِرَةِ هُمْ غَٰفِلُونَ

Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.

Pengajaran

  1. Perkara tentang hari akhirat, ketetapan Allah SWT, ramai manusia yang tidak belajar. Masih ramai orang yang lalai. Kesannya mereka tidak tahu dan tidak yakin dengan janji Allah SWT. Ini menyebabkan mereka tidak buat apa yang patut untuk mendapatkan kemenangan daripada Allah SWT. 
  2. Para sahabat, sebelum beriman itu mereka banyak ilmu dunia. Bila dapat al-Quran, mereka kaji, akhirnya al-Quran ini mengembangkan hati mereka. Semangat mereka lain macam. Al-Quran ini amat ‘amazing’.
  3. Ada orang ‘skeptik’, ragu-ragu. Boleh ke bergantung kepada al-Quran sahaja? Hakikatnya, al-Quran akan memandu kita untuk buat apa yang kita patut buat. Cahaya al-Quran akan membuka hati kita yang berkarat. 

Ayat 30:8

أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِم مَّا خَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلنَّاسِ بِلِقَآئِ رَبِّهِمْ لَكَٰفِرُونَ

Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh kita perhatikan apa yang ada di dalam tubuh kita dan juga di alam mayapada. Tengok pada cakerawala yang ada. Di sana ada al-Haq (kebenaran), iaitu ada tujuan. 
  2. Tujuannya adalah untuk kembali digunakan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Matahari dan bulan diciptakan untuk menunjukkan kehebatan Allah SWT dan agar kita menjadi hamba yang memanfaat matahari, bulan untuk cahaya, Vitamin D dan memberi panduan untuk solat agar kita tetap menjadi hamba yang benar-benar tunduk kepada Allah SWT.  
  3. Diri kita dan alam ini ada ‘dateline’ (مُّسَمًّى أَجَلٍ). Kaki kita dulu kuat, kemudian sakit, sekarang sihat balik. Kalau itu ada naik turun dalam hidup, kita juga akhirnya akan kembali. Apakah kita akan naik kembali ke syurga atau jatuh ke neraka di akhirat kelak? Semoga kita berjaya kembali ke syurga.
  4. Ramai manusia abaikan pertemuan dengan Tuhan. Mereka tidak nampak bahawa semua perkara ini ada fungsi untuk kita beri yang terbaik agar bila kembali bertemu Allah SWT nanti, kita dapat yang terbaik. Ada orang yang guna matahari, signal internet untuk hiburan semata-mata, bukan untuk bertemu Allah yang Esa. 

Ayat 30:9

أَوَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ كَانُوٓا۟ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا۟ ٱلْأَرْضَ وَعَمَرُوهَآ أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَٰتِ فَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِن كَانُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Pengajaran

  1. Untuk mendapakan impak daripada al-Quran, Allah SWT suruh kita berjalan dan mengembara. 
  2. Perhatikan kesan orang terdahulu. Ada tinggalan yang menunjukkan mereka itu lebih kuat, lebih pandai. Bila kita perhatikan perkara itu, kita akan dapati mereka itu buat lebih baik daripada musyrik Mekah pada masa Nabi SAW. 
  3. Mereka dahulu hancur kerana mereka menghancurkan diri mereka sendiri kerana melakukan kezaliman. Kezalimanlah yang menghancurkan sesebuah tamadun, sesebuah negara. 
  4. Semoga kita tidak dihancurkan seperti kaum-kaum terdahulu kerana melakukan kezaliman.

Ayat 30:10

ثُمَّ كَانَ عَٰقِبَةَ ٱلَّذِينَ أَسَٰٓـُٔوا۟ ٱلسُّوٓأَىٰٓ أَن كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَكَانُوا۟ بِهَا يَسْتَهْزِءُونَ

Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.

Pengajaran

  1. Azab yang lebih teruk ialah di akhirat nanti. Ini kerana mereka mendustakan ayat Allah SWT dan mempersendakannya. Inilah kezaliman yang paling teruk sekali. 
  2. Mendustakan ayat Allah bermaksud, bila ada mesej yang baik daripada rasul mereka nafikan. Lebih daripada itu, ayat-ayat Allah adalah untuk mengubah kepada amalan-amalan yang zalim dalam masyarakat. 
  3. Sebahagian besar manusia tidak mahu layan, tidak mahu dengar mesej yang dibawa oleh rasul, malah mereka mengejek orang yang hendak membawa kepada kebaikan. 
  4. Memperolok-olok atau merendah-rendahkan orang lain adalah tabiat yang kita kena jaga-jaga kerana ini akan menjemput kepada kezaliman, yang mengakibatkan kehancuran daripada Allah SWT.
  5. Orang yang suka mengejek-ejek orang lain adalah kerana dia tidak sedar kehebatan Allah SWT.

Ayat 30:11

ٱللَّهُ يَبْدَؤُا۟ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).

Pengajaran

  1. Allah SWT yang memulakan segalanya dan kemudian kita akan dikembalikan. Kita bukan mati dan terus jadi debu begitu sahaja. Kita akan dibangkitkan untuk disoal apa yang kita telah buat semasa hidup di dunia.
  2. Kalau kita tidak tadabbur ayat-ayat Allah SWT, kita tidak akan dapat melihat akhirat itu. Kita tidak rasa macam mana hendak jawab di depan Allah SWT di akhirat nanti. Kita akan disoal di khalayak ramai dengan disaksikan oleh Nabi SAW. Lepas ke kita bila berhadapan dengan Allah SWT nanti?

Ayat 30:12

وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يُبْلِسُ ٱلْمُجْرِمُونَ

Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan diam membisu serta berputus asa.

Pengajaran

  1. Semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan diam membisu serta berputus asa (يُبْلِسُ).
  2. Selama di dunia, mereka merasa berkuasa, mereka membuat segala kerosakan, di akhirat mereka berputus asa bila mendapati betul apa yang dikatakan oleh para rasul. 

Ayat 30:13

وَلَمْ يَكُن لَّهُم مِّن شُرَكَآئِهِمْ شُفَعَٰٓؤُا۟ وَكَانُوا۟ بِشُرَكَآئِهِمْ كَٰفِرِينَ

Dan makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah itu tidak ada satupun daripadanya pemberi syafaat melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal mereka berlaku kufur di dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka sekutukan (dengan Allah) itu.

Pengajaran

  1. شُرَكَآئِهِمْ adalah sekutu, iaitu berhala-berhala yang mereka sembah atau manusia lain yang mereka puja. Di sana nanti tidak ada ‘back-up’, malah apa yang mereka sekutukan pun berlepas diri. 

Ayat 30:14

وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ يَوْمَئِذٍ يَتَفَرَّقُونَ

Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan).

Pengajaran

  1. Pada hari kiamat, semuanya akan berpecah-pecah. Suami, isteri, anak-anak, ayah, ibu akan berpecah-pecah kerana yang penting adalah iman dan amal soleh.


Ayat 30:15

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ فَهُمْ فِى رَوْضَةٍ يُحْبَرُونَ

Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman Syurga dalam keadaan bersuka ria.

Pengajaran

  1. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, di akhirat nanti mereka akan ditempatkan di taman syurga dalam keadaan bersuka ria. Di sana hidup mereka penuh warna-warni.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Sentiasa belajar dan menyahut seruan daripada janji Allah SWT (30:6)
  2. Beri perhatian kepada hal akhirat selain hal dunia (30:7)
  3. Kaji alam sekitar untuk menghargai alam akhirat (30:8)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya beri perhatian kepada hal akhirat selain hal dunia.

Saya jelas saya mesti sentiasa belajar dan menyahut seruan daripada janji Allah SWT. Saya jelas untuk beri perhatian kepada hal akhirat selain hal dunia. Saya jelas untuk kaji alam sekitar untuk menghargai alam akhirat.

Ya Allah, pimpin kami untuk belajar dan menyahut seruan daripada Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk beri perhatian kepada hal akhirat selain hal dunia. Ya Allah, bimbing kami untuk kaji alam sekitar untuk menghargai alam akhirat.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...