Saturday, October 14, 2023

Halaman 467 Ghafir (40:1-7)

 

PERKATAAN HARI  INI   


 هَمَّ / هَمَمَ Berniat, menuju. 

9 kali disebut di dalam al-Quran







SINOPSIS   

 

  1. Sumber turunnya al-Quran dan penentang ayat-ayat-Nya (40:1-6)
  2. Kecintaan para malaikat kepada orang beriman (40:7)



Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 467 Surah Ghafir.

 

Ghafir maksudnya Pengampun. Surah ini juga dinamakan Surah Mukmin yang merujuk kepada seorang pemimpin mukmin pada zaman Firaun.

 

Ayat 40:1

 

حمٓ

 

Haa, Miim.

 

Pengajaran

 

1.     Dimulakan dengan huruf mukhotoah. Ini adalah salah satu surah hawamim.

2.     Kita tidak tahu maksud huruf-huruf ini. Hanya Allah SWT yang tahu maksudnya.

3.     Dengan sikap kita merendahkan diri bahawa kita tidak tahu, itu akan membuka pintu hikmah daripada Allah SWT.

 

Ayat 40:2

 

تَنزِيلُ ٱلْكِتَٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ

 

Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT menurunkan kitab ini sedikit demi sedikit sebagai sumber peraturan yang termaktub untuk kita baca dan kita jadikan ia sebagai sumber peraturan SOP dalam kehidupan kita.

2.     Menurut Ibnu Asyur, ini sebenarnya adalah sindiran kepada pemerintah di Mekah yang memperkotak-katikkan Nabi Muhammad SAW dan merendah-rendahkan al-Quran. Sebenarnya mereka tidak berkuasa langsung pun.

3.     Ini adalah peraturan daripada Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui yang tahu sampai ke dalam hati manusia.

 

Ayat 40:3

 

غَافِرِ ٱلذَّنۢبِ وَقَابِلِ ٱلتَّوْبِ شَدِيدِ ٱلْعِقَابِ ذِى ٱلطَّوْلِ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ إِلَيْهِ ٱلْمَصِيرُ

 

Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT mengingatkan tentang peluang yang diberikan kepada semua manusia. Allah SWT Maha Pengampun dosa dan Penerima taubat.

2.     Anugerah kepada kita dalam bulan Ramadan ini, sebagai Bulan Keampunan. Semak setiap hari amalan kita. Minta ampun atas dosa-dosa kita. Nabi SAW telah bersabda: “Man shama Ramadana imanan wahtisaban ghufira lahu ma taqaddama min dzanbihi." "Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan iman dan mengharap keridhaan Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu”.

3.     Dosa adalah sesuatu yang memalukan. Allah SWT boleh tutup dosa-dosa kita dengan kita memohon ampun. Ghafir berasal daripada perkataan  غَفَرَ. Topeng di medan perang (mighfar) juga daripada perkataan yang sama. Ia membuat  orang tidak kenal kita. Bila kita ada dosa, orang tidak tahu realiti kita yang berdosa kerana Allah SWT menutupnya dengan memberi keampunan.

4.     Menurut Imam Ibnu Kathir, Allah SWT menerima taubat tetapi pada masa yang sama ada amaran yang diberi (شَدِيدِ ٱلْعِقَابِ).  Di dalam al-Quran, memang konsisten Allah SWT memberi berita gembira dan amaran. Kita mestilah ada rasa takut dan pada masa yang sama, ada rasa pengharapan.

5.     Di bulan Ramadhan, kita kena mengambil peluang untuk bertaubat. Jangan confident sangat sehingga kita merasa diri kita sudah terlalu  baik dan jangan pesimis dengan rasa dosa yang banyak.

6.     Allah SWT berikan kedua-dua sifatNya ini untuk kita tahu bahawa Allah SWT mempunyai kurniaan yang luas. Tidak ada Tuhan selain Dia dan kita akan kembali kepadaNya.

 

Ayat 40:4

 

مَا يُجَٰدِلُ فِىٓ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَلَا يَغْرُرْكَ تَقَلُّبُهُمْ فِى ٱلْبِلَٰدِ

 

Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.

 

Pengajaran

 

1.     Orang-orang yang kufur suka berdebat tentang ayat-ayat Allah SWT. Orang Islam juga ada yang suka berdebat begini. Sesiapa yang suka berdebat tentang ayat-ayat Allah SWT tanpa ilmu, sebenarnya dia menuju kekufuran.

2.     Jangan terpedaya dengan sikap bolak balik mereka. Mereka merancang untuk menjatuhkan Nabi SAW.  Walaupun mereka nampak berjaya tetapi jangan sampai kita tertipu kerana yang lebih berharga bukanlah harta yang ada tetapi keimanan kepada 'Lailahaillallah'.

3.     Semoga Allah SWT bimbing kita menjauhi sikap orang-orang yang kufur ini.

4.     Kita kena kuat semangat untuk baca Quran, buat ibadat dan ajak orang beriman untuk ke arah kebaikan. Jangan lembik!

 

Ayat 40:5

 

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَٱلْأَحْزَابُ مِنۢ بَعْدِهِمْ وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍۭ بِرَسُولِهِمْ لِيَأْخُذُوهُ وَجَٰدَلُوا۟ بِٱلْبَٰطِلِ لِيُدْحِضُوا۟ بِهِ ٱلْحَقَّ فَأَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ

 

Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung - sesudah kaum Nabi Nuh itu - telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azabKu!

 

Pengajaran

 

1.     Kaum-kaum terdahulu juga mendustakan rasul-rasul. Mereka mahu memperdaya orang beriman dan suka melihat orang beriman jatuh. Mereka suka berdebat untuk menghancurkan kebenaran dengan kebatilan. Mereka hendak menyiksa orang beriman tetapi sebenarnya Allah SWT berkuasa menyiksa mereka.

2.     Hendaklah kita fokus kepada kebenaran dan tidak payah menyibukkan diri dengan teori-teori konspirasi. Biar Allah SWT yang uruskan perkara itu. Kita perlu uruskan amal kita. Pastikan buat amal yang terbaik dalam kehidupan kita.

 

Ayat 40:6

 

وَكَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّهُمْ أَصْحَٰبُ ٱلنَّارِ

 

Dan demikianlah juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya mereka ialah ahli neraka.

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT menyatakan balasan kepada orang yang merancang menghancurkan kebenaran dengan kebatilan.

2.     Orang yang benar akan diberi kebaikan dan yang zalim akan diazab. Inilah yang akan benar-benar berlaku. Tidak ada siapa pun di dunia ini hendak menjadi ahli neraka, apatah lagi di akhirat.  أَصْحَٰبُ ٱلنَّارِ  adalah satu amaran penghinaan.

3.     Allah SWT bersifat Ghafir, Ghafur dan Ghaffar:

a.     Ghafir bermakna pemaaf. Allah akan ampunkan sekarang. Hendaklah kita ambil kesempatan sekarang minta Allah SWT ampunkan dosa kita.

b.     Ghafur maksudnya Allah ampunkan dosa yang banyak.

c.     Ghaffar maksudnya Allah ampunkan dosa yang melampau-lampau. Seperti kaum Nabi Nuh AS yang dosa mereka melampau-lampau.

4.     Hendaklah kita ambil kesempatan untuk minta ampun bertaubat terutamanya di bulan Ramadan ini.

5.     Dalam al-Quran ada 'taub', 'taubah' dan 'matab':

a.     Taub - taubat kecil.

b.     Taubah - perasaan taubat yang besar.

c.     Matab - sentiasa bertaubat.

6.     Semoga kita menjadi orang yang sentiasa bertaubat.

 

Ayat 40:7

 

ٱلَّذِينَ يَحْمِلُونَ ٱلْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُۥ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِۦ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَىْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَٱغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا۟ وَٱتَّبَعُوا۟ سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ ٱلْجَحِيمِ

 

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

 

Pengajaran

 

1.     Di atas muka bumi ini, malaikat memikul arash, bertasbih dan bertahmid. Menurut Ibnu Jauzi, malaikat beriman kepada Allah SWT. Ini menunjukkan bahawa iman itu amat berharga. Semoga kita sentiasa membaiki rukun iman kita.

2.     Satu lagi tugas malaikat ialah sentiasa memohon keampunan untuk manusia yang beriman.

3.     Bersyukur kerana kita ada Allah SWT yang memberi kita bantuan malaikat. Perkataan-perkataan negatif yang keluar daripada kita itu bukan daripada malaikat. Ia adalah dari diri kita. Semoga kita terhindar daripada perbuatan negatif dan diminta keampunan oleh para malaikat.

4.     Doa malaikat: "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka."

5.     Rahmat dan ilmu itu sangat penting dalam hidup kita. Semoga kita dapat ilmu yang boleh menambahkan lagi rahmat daripada Alah SWT.

6.     Semoga malaikat mendoakan diri kita dan keluarga.

 

Pergi ke Maran mencari pegaga

Ketika pulang singgah di Mempaga

Kini Ramadan hari ketiga

Moga amalan terus berganda

 

Berbuka puasa di Mempaga

Ulam timun, daun pegaga

Jangan alpa siap siaga

Kuat beribadah agar kita dijauhkan daripada siksa

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Bina kejayaan bukan atas dasar sombong dan persendakan al-Quran (40:4)

2.     Kasih dan cinta sesama mukmin serta doakan keampunan untuk diri dan orang lain (40:7)

 

Saya berasa lega, Allah SWT Maha Penerima Taubat. Saya berpeluang untuk taubat apabila buat kesalahan, dan Allah SWT akan ampunkan.

 

Saya jelas saya mesti bina kejayaan bukan atas dasar sombong dan persendakan al-Quran. Saya jelas saya mesti kasih dan cinta sesama mukmin serta doakan keampunan untuk diri dan orang lain.

 

Ya Allah, bimbing kami bina kejayaan bukan atas dasar sombong dan persendakan al-Quran. Ya Allah, jadikan kami orang yang kasih dan cinta sesama mukmin, bimbing kami doakan keampunan untuk diri dan orang lain.Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. 


Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 































































































































































































































Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...