Saturday, October 14, 2023

Halaman 468 Ghafir (40:8-16)

 

PERKATAAN HARI INI


  خَفِيَ Tersembunyi. 

 34 kali disebut di dalam al-Quran






SINOPSIS 

   

1.     Doa dan pertolongan malaikat pembawa 'Arasy kepada orang mukmin (40: 8-9)

2.     Pengakuan orang kafir atas dosa mereka (40:10-12)

3. Peringatan tentang kekuasaan Allah SWT dan kurniaan-Nya (40:13-16)







Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 468 Surah Ghafir. Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan kepada untuk meneruskan kehidupan berpandukan wahyu daripada Allah SWT.

 

Perang Badar berlaku pada bulan Ramadan tahun 2 Hijrah. Kita ambil semangat ini bahawa Ramadan bukan bulan kelemahan tetapi ia adalah bulan perjuangan. Semoga kita menjadi seperti pelumba lari, semakin hendak sampai ke garisan penamat, semakin pecut. Jangan sudah khatam Quran awal, lepas tu relax sahaja di akhir-akhir Ramadan.

 

Pada ayat 7 kita telah lihat bahawa malaikat sentiasa meminta keampunan untuk orang-orang yang beriman. Ini adalah satu khabar gembira untuk kita di bulan Ramadan. Bila kita terlibat dengan program-program membina iman seperti program My #QuranTime ini, ada malaikat yang sentiasa berdoa memohon keampunan untuk kita.

 

Ayat 40:8

 

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّٰتِ عَدْنٍ ٱلَّتِى وَعَدتَّهُمْ وَمَن صَلَحَ مِنْ ءَابَآئِهِمْ وَأَزْوَٰجِهِمْ وَذُرِّيَّٰتِهِمْ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

 

"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Pengajaran

 

  1. Malaikat juga berdoa memohon supaya orang-orang beriman dimasukkan ke dalam Syurga 'Adn bersama ibu-bapa, pasangan serta zuriat keturunan mereka.
  2. Dalam hidup ini, kita kena perjuangkan amal soleh. Ajak keluarga kita. Zuriat maksudnya anak cucu cicit kita.
  3. Menjadi soleh ini perlu kita perjuangkan. Mungkin sekarang mereka tidak respon tetapi satu hari nanti, mereka pasti ingat. Kita akan ditemukan di syurga 'Adn (syurga yang tinggi) di akhirat nanti kerana beramal soleh walaupun mungkin kita tidak pernah jumpa mereka. Allah tidak akan mengurangkan balasan kepada orang-orang yang beriman. Menambah balasan itu mudah bagi Allah SWT. Ini adalah motivasi kepada kita bahawa kita perlu usahakan untuk lakukan amal soleh pada setiap masa.
  4. Kita sangat memerlukan doa daripada malaikat supaya kita selamat di dunia sampai ke akhirat.
  5. Menurut ulama tafsir, As-Sa'di, Allah SWT yang berkuasa mengampuni dan menyingkirkan perkara yang perlu kita waspadai dan membawa kita kepada kebaikan. Allah SWT lah yang berkuasa bawa kita buat amal soleh. Hendak puasa, solat terawikh pun kita perlukan Allah Al-Aziz membantu kita.
  6. Allah SWT Yang Bijaksana memberi tangguh kepada kita walaupun kita ada banyak kelemahan dan tidak terus menghukum kita. Allah SWT memberi peluang kepada kita menambah amal soleh.

 

Ayat 40:9

 

وَقِهِمُ ٱلسَّيِّـَٔاتِ وَمَن تَقِ ٱلسَّيِّـَٔاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُۥ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

 

"Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)".

 

Pengajaran

 

  1. Sambungan doa malaikat yang memohon agar orang beriman dipelihara daripada kejahatan-kejahatan. Sesiapa yang dipelihara oleh Allah SWT daripada kejahatan maka sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan rahmat kepadanya. Itulah kemenangan yang besar.
  2. Bukan mudah untuk jaga diri kita sahaja. Kita perlukan bantuan daripada Allah SWT dengan doa daripada malaikat. Kita hendak Allah SWT jaga kita dan jaga keturunan kita setelah kita pergi menghadap Allah SWT.
  3. Semoga kita menjadi orang yang beriman dan mendapat doa daripada malaikat supaya mendapat rahmat daripada Alah SWT hingga berjaya ditempatkan di syurga 'Adn bersama ibu-bapa dan zuriat keturunan kita.

 

Ayat 40:10

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُنَادَوْنَ لَمَقْتُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ مِن مَّقْتِكُمْ أَنفُسَكُمْ إِذْ تُدْعَوْنَ إِلَى ٱلْإِيمَٰنِ فَتَكْفُرُونَ

 

Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat): "Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak), lalu kamu terus berkeadaan kufur".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memberitahu hakikat di akhirat nanti bahawa orang-orang kufur benci kepada diri mereka sendiri. Namun Allah SWT meningatkan bahawa kebencian Allah SWT lebih besar daripada kemurkaan mereka pada diri sendiri atau kemurkaan mereka kepada orang yang mengajak kepada kekufuran.
  2. Orang-orang beriman akan mengajak anaknya, ibu-bapanya dan keluarga untuk beramal soleh. Orang beriman memberi respon yang baik berbanding dengan orang yang kufur dengan nikmat dipanggil kepada iman.
  3. Jangan sampai kita jadi orang yang kufur. Orang yang bersyukur akan menghargai ajakan ahli keluarga kepada amal soleh. Jika keluarga tidak mahu mengikut, doakan keampunan dan kita teruskan amal soleh agar diberikan ganjaran yang setimpal bila sampai di akhirat nanti.

 

Ayat 40:11

 

قَالُوا۟ رَبَّنَآ أَمَتَّنَا ٱثْنَتَيْنِ وَأَحْيَيْتَنَا ٱثْنَتَيْنِ فَٱعْتَرَفْنَا بِذُنُوبِنَا فَهَلْ إِلَىٰ خُرُوجٍ مِّن سَبِيلٍ

 

Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?"

 

Pengajaran

 

  1. Kita hidup dua kali dan mati dua kali. Mati pertama waktu hidup di alam roh. Di alam dunia, kita hidup dan akan mati yang kedua. Hidup pertama di dunia, hidup kedua di akhirat.
  2. Bila sampai kepada kehidupan kedua, yang ada hanyalah kehidupan, tidak ada kematian.  Orang kufur mahu kehidupan yang ketiga.
  3. Hendaklah kita ambil peluang mohon keampunan daripada Allah SWT dan terus lakukan amal soleh semasa di dunia.
  4. Kufur merujuk orang yang kafir kepada Allah SWT dalam kalangan orang bukan Islam. Bila tadabbur, kita ingin faham psikologi/cara mereka berfikir. Kita doakan agar cara mereka berfikir/bertindak itu tidak masuk dalam diri kita.
  5. Mereka bertangguh untuk berbuat amal soleh dan cuba memberi alasan.

 

Ayat 40:12

 

ذَٰلِكُم بِأَنَّهُۥٓ إِذَا دُعِىَ ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ كَفَرْتُمْ وَإِن يُشْرَكْ بِهِۦ تُؤْمِنُوا۟ فَٱلْحُكْمُ لِلَّهِ ٱلْعَلِىِّ ٱلْكَبِيرِ

 

(Lalu dikatakan kepada mereka): "Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi (dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar (pemerintahanNya)".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT terus membongkar psikologi orang-orang yang kufur. Semoga Allah SWT jauhkan kita berbuat seperti mereka.
  2. Mereka jadi begitu, sehingga minta diberi peluang ketiga, untuk keluar daripada azab yang ada kerana mereka itu apabila diajak kepada mengesakan Allah SWT, mereka kufurkannya. Mereka tidak bersyukur pada rasul yang membawa risalah daripada Allah SWT.
  3. Bila kita baca dan cuba memahami al-Quran, ini tandanya kita bersyukur kepada Allah SWT.
  4. Segala keputusan adalah daripada Allah SWT yang Amat Tinggi, Yang Amat Besar. Kita adalah makhluk yang rendah dan serba hina, maka kita perlu bersujud merendah diri kepada Allah SWT.

 

Ayat 40:13

 

هُوَ ٱلَّذِى يُرِيكُمْ ءَايَٰتِهِۦ وَيُنَزِّلُ لَكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ رِزْقًا وَمَا يَتَذَكَّرُ إِلَّا مَن يُنِيبُ

 

Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah).

 

Pengajaran

 

  1. Rezeki datang daripada atas, iaitu daripada Allah SWT. Allah boleh luaskan atau sempitkan rezeki kita.
  2. Semua kebesaran Allah SWT, matahari, bulan, selain dari unsur rezeki, semuanya daripada Allah SWT. Contohnya, kerja tidaklah rajin sangat tetapi dapat gaji konsisten. Itu dari Allah SWT. Tidak kerja pun kaya kerana mendapat harta pusaka. Semua itu dari Allah SWT.
  3. Orang yang  يُنِيبُ, hati yang ada 'inabah', lembut untuk ambil pelajaran daripada ayat-ayat Allah SWT. Orang yang tidak ada 'inabah', suka merengus, banyak komen, marah sana-sini. Mereka terlupa bahawa sumber rezeki itu bukanlah datang daripada manusia tetapi datang daripada Allah SWT.
  4. Orang  يُنِيبُ  tidak putus asa daripada rahmat Allah SWT. Orang yang kufur mudah putus asa daripada rahmat Allah SWT.

 

Ayat 40:14

 

فَٱدْعُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَٰفِرُونَ

 

Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan kita supaya beribadah kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan.
  2. Agama ini bukan sekadar perkara fizikal. Contoh: solat, puasa perlu dijiwai daripada dalam. Bila solat, kesan mukhlisin akan menukar akhlak kita menjadi akhlak yang mulia. Kita selalu merendah diri dengan solat kepada Allah SWT, merendah diri di luar solat dengan ikut peraturan yang Allah SWT berikan. Itulah cara orang yang  مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ. Dengan berpuasa kita merasai keperitan orang-orang yang miskin. Bangkit rasa kita hendak bantu ahli keluarga dan orang sekitar yang miskin.  Kalau kita berpuasa tetapi sibuk sediakan makanan bermacam-macam dan kita abaikan orang-orang yang memerlukan di sekitar kita, itu tidak mukhlis.
  3. Agama ini bukan untuk melambangkan kita ini hebat, tetapi beragama adalah untuk kita makin ikhlas, makin tunduk kepada Allah SWT. Kalau tidak  مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ, orang-orang kafir pun beragama, mereka puasa untuk jadi kurus contohnya tetapi mereka tidak peduli orang-orang miskin. Orang-orang kafir amat benci kepada orang Islam yang mengikhlaskan agamanya.
  4. Dengan berpuasa kita menahan diri daripada makan dan minum yang halal, kita juga mestilah menahan diri daripada perkara yang haram seperti rasuah atau menipu, barulah itu  مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ sehingga kita bangkit menegur kepada unsur-unsur tidak baik di dalam masyarakat.
  5. Orang kafir tidak suka apabila kita beragama dengan agama yang sebenar-benarnya. Mereka tidak suka kalau orang beragama tegur sistem kartel, monopoli contohnya. Orang mukhlisin tidak duduk diam, dia akan bangkit dan menegur agar seluruh kehidupan kita ini mukhlis hanya kepada Allah SWT.
  6. Beribadahlah hanya kerana Allah SWT, bukan kerana Ramadan dan menjadi hamba Ramadan. Jadilah hamba Allah SWT yang  مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ.

 

Ayat 40:15

 

رَفِيعُ ٱلدَّرَجَٰتِ ذُو ٱلْعَرْشِ يُلْقِى ٱلرُّوحَ مِنْ أَمْرِهِۦ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ لِيُنذِرَ يَوْمَ ٱلتَّلَاقِ

 

Dia lah Yang Maha tinggi darjat kebesaranNya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan kekuasaanNya); Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih menjadi RasulNya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan,

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menurunkan wahyu daripada perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakkiNya dari kalangan hambaNya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan.
  2. Pada hari akhirat nanti, kita akan bertemu keturunan kita tetapi yang lebih berharga, kita bertemu Allah SWT.

 

Ayat 40:16

 

يَوْمَ هُم بَٰرِزُونَ لَا يَخْفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِنْهُمْ شَىْءٌ لِّمَنِ ٱلْمُلْكُ ٱلْيَوْمَ لِلَّهِ ٱلْوَٰحِدِ ٱلْقَهَّارِ

 

Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): "Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!

 

Pengajaran

 

  1. Di hari akhirat, kita akan dibangkitkan untuk bertemu Allah SWT. Segala amal yang kita buat tidak akan disembunyikan.
  2. Semoga Allah SWT kembalikan semula nilai-nilai yang hilang iaitu integriti dan amanah yang perlu sama-sama kita doakan agar terbina dalam keluarga kita.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Memelihara keturunan tergolong dalam kalangan soleh (40:8-9)
  2. Pasakkan tauhid dan tidak menandingi Allah SWT dengan sesuatu yang lain (40:12)
  3. Ikhlas berdoa dan ibadah hanya kepada Allah SWT meski tidak disukai orang lain (40:14)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jadi orang yang  مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ.

 

Saya jelas saya mesti memelihara keturunan agar tergolong dalam kalangan soleh. Saya jelas saya mesti pasakkan tauhid dan tidak menandingi Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Saya jelas saya mesti ikhlas berdoa dan ibadah hanya kepada Allah SWT meski tidak disukai orang lain.

 

Ya Allah, bimbing kami pelihara keturunan agar kami tergolong dalam kalangan soleh. Ya Allah, bantu kami pasakkan tauhid dan tidak menandingi Mu dengan sesuatu yang lain. Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan berdoa dan ibadah hanya kepada Mu meski tidak disukai orang lain.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 










Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...