Saturday, October 14, 2023

Halaman 445 Yasin (36:71-83)

 

PERKATAAN HARI INI


ذَلَّ / ذَلَلَ  Hina, rendah.

 24 kali disebut di dalam al-Quran






SINOPSIS 

   

  1. Perhatikan binatang ternakan dan manfaatnya serta bahaya perbuatan syirik (36:71-76)  
  2. Penegasan tentang Ba'ts (36:77-83)

    






Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 445 Surah Yasin. Syukur, Allah SWT berikan peluang kepada kita untuk tadabbur dan peluang untuk menerima syafaat.

 

Ayat 36:71

 

أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا خَلَقْنَا لَهُم مِّمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَآ أَنْعَٰمًا فَهُمْ لَهَا مَٰلِكُونَ

 

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan tentang hari kiamat, syurga dan neraka, dan kelebihan orang yang bertakwa kepada Allah SWT, untuk menghidupkan hati orang-orang beriman.
  2. Allah SWT hendak supaya hati kita subur dengan mengingati Allah SWT. Allah SWT bawa kita untuk lihat apa yang ada di sekeliling kita. Kadang-kadang kita tidak sedar Allah SWT beri kepada kita nikmat yang tidak diberikan kepada orang lain.
  3. Nabi SAW mengingatkan kita apabila kita telah berada di atas, ingatlah kepada orang yang di bawah, bukan lihat orang di atas, agar kita bersyukur.
  4. Lihatlah sekeliling kita, betapa banyaknya nikmat yang Allah SWT berikan, maka hendaklah kita bersyukur.
  5. Dalam ayat ini Allah SWT ingatkan tentang binatang ternakan yang diberikan kepada kita. Allah SWT ciptakan dengan kekuasaanNya.

 

Ayat 36:72

 

وَذَلَّلْنَٰهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ

 

Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT jinakkan binatang ternakan untuk dijadikan kenderaan dan untuk kita makan.

 

Ayat 36:73

 

وَلَهُمْ فِيهَا مَنَٰفِعُ وَمَشَارِبُ أَفَلَا يَشْكُرُونَ

 

Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

 

Pengajaran

 

  1. Kenapa mesti bersyukur?
    • Sifat syukur menjemput redha Allah SWT. Surah Al-Zumar (sekiranya mereka bersyukur, maka Allah akan mengurniakan keredhaan-Nya)
    • Berpeluang untuk dijauhkan dari azab. Surah Al-Nisa' (Kalau kamu bersyukur, dan beriman, maka Allah SWT tidak akan memberikan azab kepada kamu). Imam Hassan Al-Basri menyebut bahawa nikmat ini adalah liar, maka ikatlah ia dengan syukur. Syukur ialah dengan perlakuan, mesti dilaksanakan dengan fizikal, seperti solat dan berdoa. ‘Alhamdu’ ialah syukur secara verbal dari mulut.
    • Sifat syukur menjemput keberkatan rezeki. Surah Ibrahim (Kalau kamu bersyukur, kami akan tambah lagi nikmat)
    • Akan mendapat nikmat yang banyak dari Allah SWT (kami akan memberikan balasan yang cukup kepada orang yang bersyukur)
  2. Jangan jadi seperti orang kafir yang mengkufuri nikmat Allah SWT. Hendaklah kita gunakan nikmat ini di atas jalan kebaikan.

 

Ayat 36:74

 

وَٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ ءَالِهَةً لَّعَلَّهُمْ يُنصَرُونَ

 

Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).

 

Pengajaran

 

  1. Mereka menyembah selain Allah SWT dan mengkufuri hari kebangkitan.

 

Ayat 36:75

 

لَا يَسْتَطِيعُونَ نَصْرَهُمْ وَهُمْ لَهُمْ جُندٌ مُّحْضَرُونَ

 

Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Mereka tidak akan mendapat bantuan dari benda-benda yang mereka sembah. 

Ayat 36:76

 

فَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ إِنَّا نَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ

 

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan Nabi SAW supaya jangan sedih dengan kata-kata orang kafir. Kata-kata menghiris lebih tajam daripada pisau.
  2. Kalimah kesedihan dalam al-Quran didatangkan dalam bentuk larangan seperti "Jangan bersedih, jangan bimbang". Rasulullah  SAW selalu berdoa agar dijauhkan dari kesedihan.
  3. Kalau kita layan sangat rasa sedih, ia akan merosakkan jiwa, melemahkan motivasi dan menjatuhkan semangat.
  4. Hendaklah kita rasa diri kita kuat dan hebat untuk sentiasa melakukan kebaikan. Bisikan kesedihan ini datangnya dari syaitan untuk melemahkan jiwa orang yang beriman.
  5. Jangan bersedih, sentiasa bermotivasi untuk melakukan kebaikan. Bangkit kembali dengan al-Quran.
  6. Syukur melahirkan tidak bersedih hati.

 

Ayat 36:77

 

أَوَلَمْ يَرَ ٱلْإِنسَٰنُ أَنَّا خَلَقْنَٰهُ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ

 

Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT ingatkan tentang kejadian manusia dari air mani.

2.     Kemudian manusia menjadi musuh yang nyata.

 

Ayat 36:78

 

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِىَ خَلْقَهُۥ قَالَ مَن يُحْىِ ٱلْعِظَٰمَ وَهِىَ رَمِيمٌ

 

Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?"

 

Pengajaran

 

  1. Orang kafir Quraisy tidak menerima hakikat bahawa manusia akan dibangkitkan semula selepas mati.
  2. Ubai b Khalaf dan Al-As b Wail adalah diantara pembesar-pembesar yang mempersoalkan tentang kebangkitan semula. Al-As memang jahat dan banyak menzalimi manusia. Mereka berdua pernah datang kepada Rasulullah SAW dengan tulang yang sudah hancur dan mencabar Rasulullah SAW dengan pertanyaan "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?". Ini adalah bentuk perdebatan fizikal dan visual yang boleh menggugat iman orang yang hadir.

 

Ayat 36:79

 

قُلْ يُحْيِيهَا ٱلَّذِىٓ أَنشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ

 

Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengajar baginda SAW untuk memberitahu mereka bahawa Tuhan yang Menghidupkan semula itu ialah yang Menciptakan manusia pertama kali.
  2. Allah SWT boleh transform apa-apa pun untuk menjadi makhluk.

 

Ayat 36:80

 

ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُم مِّنَ ٱلشَّجَرِ ٱلْأَخْضَرِ نَارًا فَإِذَآ أَنتُم مِّنْهُ تُوقِدُونَ

 

"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT suruh tengok pokok yang hijau, sejuk mata memandang dan ia boleh mengeluarkan api yang panas.
  2. Allah SWT meninggalkan kesan-kesan, tulang belulang, maka tidak mustahil Allah SWT boleh menghidupkan semula. Allah SWT Maha Berkuasa untuk melakukannya.
  3. Ayat-ayat di dalam surah ini menyentuh hati dengan peringatan-peringatan bahawa kita akan dibangkitkan.

 

Ayat 36:81

 

أَوَلَيْسَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِقَٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يَخْلُقَ مِثْلَهُم بَلَىٰ وَهُوَ ٱلْخَلَّٰقُ ٱلْعَلِيمُ

 

Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi tanpa ada apa-apa, jadi amat mudah bagi Allah SWT untuk menghidupkan semula yang sudah mati.
  2. Allah SWT adalah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, dan Yang Maha Mengetahui.

 

Ayat 36:82

 

إِنَّمَآ أَمْرُهُۥٓ إِذَآ أَرَادَ شَيْـًٔا أَن يَقُولَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ

 

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT boleh menjadikan sesuatu yang dikehendakiNya bila-bila masa sahaja.
  2. Tanam titik keyakinan bahawa Allah mampu lakukan apa yang dikehendaki-Nya.

 

Ayat 36:83

 

فَسُبْحَٰنَ ٱلَّذِى بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

 

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

 

Pengajaran

 

  1. Penutup surah ini mengingatkan kita bahawa Allah SWT Maha Berkuasa dan manusia akan dibangkitkan semula untuk kembali padaNya.
  2. Pembukaan surah ini mengingatkan kita tentang al-Quran yang penuh hikmah.
  3. Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rasul untuk memberikan peringatan kepada kaum kafir Quraisy.
  4. Hendaklah sentiasa ucapkan Subhanallah sebagai perakuan bahawa Allah yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu.
  5. Kita juga mesti persiapkan diri untuk kembali bertemu Allah SWT yang akan meng-audit apa yang telah kita lakukan semasa hidup di dunia.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Allah SWT beri kita 'kuasa' pada haiwan agar kita semakin tunduk kepada Allah SWT dengan syukur (36:72-73)
  2. Jangan mudah terkesan dengan perkataan kufur orang lain kerana Allah SWT tahu dan akan uruskan (36:76)
  3. Jangan jadi orang yang menyalakan api neraka untuk diri sendiri (36:80)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan agar tidak mudah terkesan dengan perkataan kufur orang lain kerana Allah SWT tahu dan akan uruskan.

 

Saya jelas saya mesti semakin tunduk dengan syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikan. Saya jelas untuk tidak mudah terkesan dengan perkataan kufur orang lain kerana Allah SWT tahu dan akan uruskan. Saya jelas untuk tidak jadi orang yang menyalakan api neraka untuk diri sendiri.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk semakin tunduk dengan syukur kepada-Mu atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kami. Ya Allah, bimbing kami agar tidak mudah terkesan dengan perkataan kufur orang lain. Ya Allah, jauhkan kami daripada jadi orang yang menyalakan api neraka untuk diri sendiri.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...