Saturday, October 14, 2023

Halaman 444 Yasin (36:55-70)

 

PERKATAAN HARI INI


شَغَلَ Sibuk, mengerjakan sesuatu. 

2 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

   

  1. Ganjaran untuk orang Muhsin (36:55-58)
  2. Balasan untuk pendosa (36:59-68)
  3. Penegasan kewujudan Allah SWT dan keesaan-Nya serta penjelasan pengkhususan isi kandungan al-Quran (36:69-70)














Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 444 Surah Yasin.

 

Semoga al-Quran datang memberi syafaat kepada kita di akhirat nanti.

 

Ayat 36:55

 

إِنَّ أَصْحَٰبَ ٱلْجَنَّةِ ٱلْيَوْمَ فِى شُغُلٍ فَٰكِهُونَ

 

Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang berada di syurga akan sibuk. Bukan seperti sibuk di dunia, mereka sibuk dengan anugerah yang diberikan oleh Allah SWT.

 

Ayat 36:56

 

هُمْ وَأَزْوَٰجُهُمْ فِى ظِلَٰلٍ عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ مُتَّكِـُٔونَ

 

Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

 

Pengajaran

 

  1. Mereka sibuk bersenang-senang dengan pasangan. Semoga kita dapat masuk ke syurga dengan pasangan dan keluarga.
  2. Jadi kita mestilah ajak anak-anak kita untuk mengerjakan amal soleh seperti yang dibuat oleh Rasulullah SAW. Contoh: Rasulullah SAW mengetuk bilik Fatimah untuk mengajaknya mendirikan solat.
  3. مُتَّكِـُٔونَ menunjukkan ahli syurga dalam keadaan sangat bersantai. Pada satu masa, Rasulullah SAW berada dalam keadaan bersantai, tiba-tiba Saidina Abu Bakar, Saidina Umar datang, baginda SAW terus duduk begitu, tetapi apabila Saidina Uthman datang, baginda SAW memperbetulkan duduknya. Saidina Uthman sangat pemalu dan tidak akan masuk jika melihat baginda SAW dalam keadaan santai.

 

Ayat 36:57

 

لَهُمْ فِيهَا فَٰكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ

 

Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

 

Pengajaran

 

  1. Di dalam syurga mereka beroleh pelbagai jenis buah-buahan. Kenapa Allah SWT selalu menyebut tentang buah-buahan dalam syurga?
    • Menunjukkan bahawa ahli syurga tidak lapar. Makan sekadar untuk seronok-seronok sahaja.
    • Buah-buahan itu adalah lambang kemewahan di syurga. 

 

Ayat 36:58

 

سَلَٰمٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ

 

(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

 

Pengajaran

 

  1. Kemuncak nikmat ahli syurga ialah ucapan salam daripada Allah SWT. Mereka mendapat kasih dan rahmat Allah SWT.
  2. Semoga kita juga menjadi ahli syurga yang akan menerima salam daripada Allah SWT.

 

Ayat 36:59

 

وَٱمْتَٰزُوا۟ ٱلْيَوْمَ أَيُّهَا ٱلْمُجْرِمُونَ

 

Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): "Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang yang berdosa akan berpisah daripada orang-orang beriman.

 

Ayat 36:60

 

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَٰبَنِىٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا۟ ٱلشَّيْطَٰنَ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

 

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT melarang menyembah syaitan kerana ia musuh yang nyata.
  2. Ada orang yang betul-betul sembah syaitan. Ada juga yang mengabdikan diri kepada selain Allah SWT. Ada yang menjadikan nafsunya lebih tinggi daripada Allah SWT. Mereka ikut bisikan syaitan.
  3. Ikuti nafsunya menyebabkan dia mengenepikan al-Quran.

 

Ayat 36:61

 

وَأَنِ ٱعْبُدُونِى هَٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ

 

"Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memerintahkan untuk mengabdikan diri kepadaNya.
  2. Inilah jalan yang lurus.

 

Ayat 36:62

 

وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا أَفَلَمْ تَكُونُوا۟ تَعْقِلُونَ

 

"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan bahawa kelompok yang ramai tidak semestinya betul.
  2. Hendaklah kita sentiasa berfikir untuk pastikan golongan yang kita ikut adalah golongan yang diberi nikmat oleh Allah SWT, bukan jalan orang yang disesatkan oleh syaitan.

 

Ayat 36:63

 

هَٰذِهِۦ جَهَنَّمُ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ

 

"Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menunjukkan neraka Jahannam kepada orang yang mengikut syaitan. Neraka Jahannam itu terlalu panas, terlalu luas dan terlalu dalam. Kedalamannya, jika dicampak seketul batu ke dalamnya, selama 70 tahun perjalanan masa, tidak sampai lagi batu itu. Yang paling bawah adalah orang munafik yang memperolok-olokkan Islam.
  2. Kalau kita ulang-ulang baca Surah Yasin ini, tentu hati kita bergetar. Ada berita gembira dan ada ancaman yang menggerunkan.
  3. Semoga kita menjadi ahli syurga dan tidak termasuk dalam golongan ahli neraka.

 

Ayat 36:64

 

ٱصْلَوْهَا ٱلْيَوْمَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

 

"Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!"

 

Pengajaran

 

  1. Balasan neraka kepada mereka disebabkan perbuatan kufur yang telah dilakukan semasa di dunia.

 

Ayat 36:65

 

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

 

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini menceritakan keadaan semasa penghakiman Allah SWT pada hari akhirat nanti. Pada hari kiamat, mulut sudah tidak boleh cakap, tetapi tangan-tangan dan kaki-kaki mereka akan bercakap.
  2. Pada hari ini kita boleh melihat apa yang ditulis di media sosial lebih menakutkan daripada apa yang boleh diungkapkan bila bercakap bersemuka. Jari jemari manusia boleh mengungkapkan apa yang ada dalam hatinya tanpa segan. Inilah sebahagian gambaran bagaimana tangan-tangan bercakap.
  3. Dengan membaca ayat ini kita sepatutnya insaf. Bila berdoa, renungkan tangan kita yang akan menjadi saksi, yang akan bertutur dengan Allah SWT pada hari akhirat.

 

Ayat 36:66

 

وَلَوْ نَشَآءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰٓ أَعْيُنِهِمْ فَٱسْتَبَقُوا۟ ٱلصِّرَٰطَ فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ

 

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

 

Pengajaran

 

  1. Ini adalah ayat ancaman, perlian kepada orang-orang yang kufur. Allah SWT mengingatkan bahawa Allah SWT boleh menghapuskan penglihatan mereka sehingga mereka meraba-raba mencari jalan.

 

Ayat 36:67

 

وَلَوْ نَشَآءُ لَمَسَخْنَٰهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ فَمَا ٱسْتَطَٰعُوا۟ مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ

 

(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT juga boleh mengubah keadaan fizikal mereka menjadi kaku sehingga mereka tidak dapat bergerak ke hadapan atau ke belakang.

 

Ayat 36:68

 

وَمَن نُّعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِى ٱلْخَلْقِ أَفَلَا يَعْقِلُونَ

 

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

 

Pengajaran

 

  1. Sesiapa yang Allah SWT panjangkan umurnya, Allah SWT balikkan kembali kejadiannya kepada keadaan serba lemah.
  2. Allah SWT ingatkan kita supaya memikirkan hal ini.

 

Ayat 36:69

 

وَمَا عَلَّمْنَٰهُ ٱلشِّعْرَ وَمَا يَنۢبَغِى لَهُۥٓ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْءَانٌ مُّبِينٌ

 

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT tidak mengajarkan syair kepada Nabi SAW, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai bagi Nabi SAW.
  2. Allah SWT wahyukan al-Quran yang jelas nyata kepada Nabi SAW sebagai peringatan.

 

Ayat 36:70

 

لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ ٱلْقَوْلُ عَلَى ٱلْكَٰفِرِينَ

 

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran menjadi peringatan kepada orang yang hidup hatinya.
  2. Al-Quran juga memberi ancaman kepada orang-orang kafir tentang azab yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada mereka.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Berusaha walaupun sukar di dunia ini kerana ganjarannya besar (36:57)
  2. Abdikan diri kepada Allah SWT sebenar-benarnya dan berhati-hati dengan tipu daya syaitan (36:60-61)
  3. Jaga mulut, kaki dan tangan agar ia tidak menghinakan kita di akhirat (36:65)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan berikan ganjaran yang besar sekiranya saya berusaha walaupun sukar.

 

Saya jelas saya mesti berusaha walaupun sukar di dunia ini kerana ganjarannya besar. Saya jelas saya mesti abdikan diri kepada Allah SWT sebenar-benarnya dan berhati-hati dengan tipu daya syaitan. Saya jelas saya mesti jaga mulut, kaki dan tangan agar ia tidak menghinakan saya di akhirat.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk berusaha di dunia, kurniakan kami ganjaran yang besar di dunia dan akhirat. Ya Allah, pimpin kami untuk abdikan diri kepada-Mu sebenar-benarnya dan jauhkan kami daripada tipu daya syaitan. Ya Allah, bimbing kami untuk jaga mulut, kaki dan tangan agar ia tidak menghinakan kami di akhirat.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.




































































Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...