|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 513 Surah Al-Fath.
Surah ini penting untuk kita mengetahui tentang disiplin dalam perjuangan dan
bagaimana berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pemimpin.
Disiplin ini perlu kita ambil untuk
menuju kejayaan di dunia ini dengan kita menghormati kepada kepimpinan dan
mengikut panduan al-Quran. Surah ini lambang ikut pada rasul, hormat pada
rasul dan jangan mementingkan diri sendiri.
Orang-orang
munafik pada zaman Rasulullah SAW adalah mereka yang tidak mahu bersama Nabi
SAW untuk balik ke Mekah menunaikan haji. Mereka merasakan bahawa mereka
sibuk dengan harta dan keluarga sehingga tidak mahu ikut Nabi SAW dan
sahabat-sahabat yang beriman ke Mekah untuk menunaikan haji. Mereka merasakan
Nabi SAW dan sahabat-sahabat tidak akan balik semula ke Madinah. Mereka akan
dibunuh oleh musyrik Mekah. Rupa-rupanya Nabi SAW dan sahabat-sahabat kembali
semula kerana haji tidak berlaku, perjanjian Hudaibiyah termetrai dan mereka
kembali ke Madinah dengan selamat.
Kemudian
orang-orang munafik hendak ikut ke Khaibar kerana mereka berhasrat untuk
mendapatkan harta rampasan. Nabi SAW melarang mereka ikut dan mereka menuduh
Nabi SAW dengki kepada mereka. Untuk menyaring mereka ini betul-betul
bertaubat, Allah SWT turunkan ayat ini.
Ayat
48:16
قُل لِّلْمُخَلَّفِينَ مِنَ ٱلْأَعْرَابِ سَتُدْعَوْنَ إِلَىٰ قَوْمٍ
أُو۟لِى بَأْسٍ شَدِيدٍ تُقَـٰتِلُونَهُمْ أَوْ يُسْلِمُونَ ۖ فَإِن تُطِيعُوا۟
يُؤْتِكُمُ ٱللَّهُ أَجْرًا حَسَنًا ۖ وَإِن تَتَوَلَّوْا۟ كَمَا تَوَلَّيْتُم
مِّن قَبْلُ يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada
orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan
kaum-kaum Arab Badwi: "Kamu akan diajak menentang satu kaum (penceroboh)
yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau mereka menurut perintah
Islam (secara damai). Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah
akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik (di dunia dan akhirat), dan
kalau kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan
menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya".
Pengajaran
- Mereka diajak
untuk melawan Rom yang sangat kuat. Mereka tidak mahu ikut.
- Ini adalah
saringan yang diajar kepada Nabi SAW untuk mengetahui bagaimana seseorang itu
benar-benar mukmin atau ada penyakit di dalam hati.
- Pelajaran:
Jangan sampai kita diuji begitu. Ada orang yang hanya mahu terlibat dengan
kerja yang mendapat hasil untuk diri sendiri. Kalau mencabar dia tidak mahu
pergi. Itu adalah penilaian yang perlu kita berjaga-jaga jangan sampai
disaring sebagai orang yang ada penyakit dalam hati.
- Jika mereka
taat menjalankan perintah Allah ini, Allah akan mengurniakan mereka dengan
balasan yang baik di dunia dan akhirat, dan kalau mereka berpaling ingkar
seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan azab
yang tidak terperi sakitnya
- Pelajaran:
Mentaati Allah SWT walaupun sukar dalam berbuat sesuatu akan mendapat
ganjaran yang banyak. Kalau berpaling, itu adalah tanda ada penyakit hati
dalam perjuangan untuk agama ini.
Ayat
48:17
لَّيْسَ عَلَى
ٱلْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْأَعْرَجِ حَرَجٌ
وَلَا عَلَى ٱلْمَرِيضِ حَرَجٌ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ
جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبْهُ عَذَابًا أَلِيمًا
Tidaklah menjadi salah kepada orang
buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi
salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada
uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya
ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang
berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
Pengajaran
- Tidaklah menjadi salah kepada orang
buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi
salah kepada orang sakit tidak turut berperang, kerana masing-masing ada
uzurnya.
- Allah SWT ingatkan bahawa sesiapa
yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai.
- Sesiapa yang
berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
- Ini adalah peringatan untuk kita,
betapa perlunya kita berkorban benar-benar ikut kepada Rasul SAW.
Ayat
48:18
لَّقَدْ رَضِىَ ٱللَّهُ عَنِ ٱلْمُؤْمِنِينَ
إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ ٱلشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِى قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ
ٱلسَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَـٰبَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Demi sesungguhnya! Allah reda akan
orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu
(wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka
(dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan
taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang
tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa
datangnya;
Pengajaran
- Allah SWT reda kepada orang-orang
yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepada Nabi
Muhammad SAW di bawah pohon di Hudaibiyah.
- Di bawah pohon itu Nabi SAW mengajak
para sahabat berbaiah untuk perjuangkan Saidina Uthman yang diberitakan sudah
terbunuh. Inilah Baiatul Ridhwan atau Baiatul Maut.
- Allah SWT tahu apa yang ada dalam
hati mereka lalu Allah SWT menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka,
dan membalas mereka dengan kemenangan yang sangat dekat.
- Kerana pengurusan konflik yang
mereka mengutamakan ketaatan kepada Allah dan Rasul, maka Allah SWT
memberikan kemenangan yang dekat kepada mereka.
Ayat
48:19
وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً
يَأْخُذُونَهَا ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا
Dan juga dengan banyak harta rampasan
perang, yang mereka akan dapat mengambilnya. Dan (ingatlah), Allah adalah
Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Pengajaran
- Ghanimah adalah harta rampasan yang
didapati tanpa berperang. Semasa Khaibar, pihak musuh tidak mahu meneruskan
peperangan dan mereka melarikan diri daripada medan perang dan meninggalkan
harta mereka untuk diambil oleh orang Islam.
- Orang yang dapat menguruskan konflik
dan taat kepada rasul akan mendapat banyak harta rampasan perang.
- Allah adalah Maha kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
- Allah SWT boleh menghancurkan
sesuatu kaum tanpa perlu berperang seperti Nabi Lut dan umatnya. Bagi Nabi
Muhammad SAW dan umatnya, Allah memperkasakan umat Islam. Ini dalam konteks
umat Islam sudah ada negara berbanding semasa di Mekah yang masih dalam
kumpulan yang kecil, tiada kuasa dan kekuatan.
- Kita jangan salah konteks. Bila
sudah ada kerajaan, barulah boleh berperang bila perlu melindungi diri dan
menjaga kedaulatan negara.
- Kalau kita hendak mendapat banyak
ganjaran daripada Allah SWT, kita utamakan Allah dan rasul berbanding pilihan
kita. Allah SWT akan menyusun yang lebih baik.
Ayat
48:20
وَعَدَكُمُ ٱللَّهُ مَغَانِمَ
كَثِيرَةً تَأْخُذُونَهَا فَعَجَّلَ لَكُمْ هَـٰذِهِۦ وَكَفَّ أَيْدِىَ ٱلنَّاسِ
عَنكُمْ وَلِتَكُونَ ءَايَةً لِّلْمُؤْمِنِينَ وَيَهْدِيَكُمْ صِرَٰطًا
مُّسْتَقِيمًا
(Sebagai memuliakan orang-orang yang
memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmannya
kepada mereka): Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang
kamu akan mengambilnya, lalu Ia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang
ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada
menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat)
dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi
orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke
jalan yang lurus.
Pengajaran
- Sebagai
memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah,
Allah menjanjikan kepada mereka harta rampasan yang banyak.
- Allah SWT menyegerakan
untuk mereka harta rampasan perang ini, serta Allah SWT telah menahan pihak
musuh daripada menyerang mereka.
- Pelajaran:
Kalau kita segerakan urusan Allah SWT, Allah akan segerakan urusan kita untuk
kita berjaya.
- Allah melakukan
yang demikian supaya mereka beroleh manfaat dan supaya menjadi tanda yang
membuktikan kebenaran janjiNya bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya
Allah SWT menambahkan mereka hidayah ke jalan yang lurus.
- Kita boleh
merancang tetapi perancangan Allah itu lebih berkesan. Apatah lagi ketika
kita ini mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Allah SWT
memberi keyakinan bahawa kemenangan ini adalah salah satu kebesaran Allah SWT
kerana kita bersama al-Quran, bersama Allah dan rasul.
Ayat
48:21
وَأُخْرَىٰ لَمْ تَقْدِرُوا۟
عَلَيْهَا قَدْ أَحَاطَ ٱللَّهُ بِهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ
قَدِيرًا
Dan ada lagi harta rampasan lain yang
kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah memelihara harta itu
dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan (ingatlah), Allah adalah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Pengajaran
- Ada lagi harta
rampasan lain yang mereka belum dapat menguasainya, tetapi Allah telah
memelihara harta itu dengan kekuasaanNya untuk mereka mendapatnya.
- Ingatlah, Allah
adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Selepas
Khaibar, setahun kemudian, pada tahun 8 Hijrah Mekah dikuasai tanpa
pertumpahan darah. Inilah bukti pertolongan Allah kepada umat Islam di dunia.
Syaratnya kita selalu berjuang kerana Allah dan agamanya.
Ayat
48:22
وَلَوْ قَـٰتَلَكُمُ ٱلَّذِينَ
كَفَرُوا۟ لَوَلَّوُا۟ ٱلْأَدْبَـٰرَ ثُمَّ لَا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا
نَصِيرًا
Dan sekiranya orang-orang kafir (dari
penduduk Makkah) itu memerangi kamu (di Hudaibiyah), tentulah mereka akan
berpaling melarikan diri dengan kekalahan; kemudian mereka tidak akan beroleh
sesiapa pun yang menjadi pelindung atau memberikan pertolongan.
Pengajaran
- Allah memberi semangat kepada orang
Islam:
- Orang kafir akan patah balik kalau
mereka menyerang orang Islam.
- Orang kafir tidak akan mendapat
pelindung dan pertolongan daripada sesiapa.
- Pelajaran: Dalam kehidupan kita,
ketika kita berjuang, kita memerlukan semangat yang kuat. Allah akan memberi
pertolongan melalui para malaikat. Allah lah wali yang akan memberi
pertolongan. Ketika susah kita doa banyak-banyak, Allah akan memberi pertolongan.
3.
Ayat
48:23
سُنَّةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلُ ۖ
وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبْدِيلًا
(Kekalahan orang-orang yang menentang
Rasul Allah sudah tetap menurut) "Sunnatullah" (peraturan Allah)
yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati
sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.
Pengajaran
- Peraturan Allah telah berlaku
semenjak dahulu lagi. Orang terdahulu hancur dengan puting beliung, terbelah
laut secara langsung daripada Allah SWT.
- Bagi kita umat Nabi Muhammad SAW,
orang yang kufur tetap hancur tetapi agennya itu bukan daripada alam tetapi
daripada umat Islam itu sendiri yang kuat untuk menghancurkan mereka yang
menentang agama Allah SWT.
- Allah SWT tetap akan memberi
kemenangan kepada orang-orang yang beriman.
RESOLUSI
Ingat!
- Fahami makna jihad di medan perang dan
mempersiapkan diri saat seruan tiba (16)
- Setia dalam kumpulan yang baik dan terus
memperjuangkan Islam (18)
- Berstrategi dalam mengatur setiap tindakan
agar tidak tertindas oleh golongan zalim (21)
Saya berasa lega,
Allah SWT akan tolong dan memberi ganjaranNya kalau saya setia dalam kumpulan
yang baik dan terus memperjuangkan Islam.
Saya jelas
saya mesti fahami makna jihad di medan perang dan mempersiapkan diri saat
seruan tiba. Saya jelas saya mesti setia dalam kumpulan yang baik dan terus
memperjuangkan Islam. Saya jelas saya mesti berstrategi dalam mengatur setiap
tindakan agar tidak tertindas oleh golongan zalim.
Ya Allah,
bimbing kami untuk fahami makna jihad di medan perang
dan mempersiapkan diri saat seruan tiba. Ya Allah, pimpin kami untuk setia
dalam kumpulan yang baik dan terus memperjuangkan Islam. Ya Allah, bimbing
kami membina strategi dalam mengatur setiap tindakan agar tidak tertindas
oleh golongan zalim.
Ya Allah,
janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada
kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya
Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, ampunkan
dosa kami. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
dan jauhkan kami daripada azab neraka. Ya Allah, kurniakan kami ganjaran
Syurga Firdaus. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|