Perkataan hari ini:
أَوَى Melindungi, memberi perlindungan
36 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
Nikmat bantuan Allah SWT (26)
Khianat terhadap Allah SWT dan rasul serta khianat terhadap amanah (27-28)
Takwa kepada Allah SWT dan keutamaannya (29)
Berbagai bentuk tipu daya dan konspirasi orang musyrik terhadap Nabi Muhammad SAW (30-31)
Permintaan orang musyrik untuk didatangkan azab tapi mereka tidak diazab untuk memuliakan Nabi SAW dan tentang kondisi solat mereka di BaitulHaram (32-33)
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 180 surah al-Anfal. Mesej dalam halaman ini amat istimewa. Kita akan diberikan banyak kejutan. Ini adalah surah mengenai perang tetapi Allah berikan pendidikan sebelum menjawab pertanyaan sahabat-sahabat mengenai harta rampasan perang. Allah berikan analisis perang Badar agar umat Islam lebih fokus kepada kehebatan Allah berbanding dengan fokus kepada harta rampasan perang.
Pada halaman lepas Allah SWT memberi peringatan supaya kita memelihara diri daripada azab kerana kalau azab turun semua akan kena. Hari ini kita akan lihat kalau kita tak cegah kemungkaran, Allah tidak akan selamatkan kita. Masalah itu boleh datang ke dalam rumah kita sekiranya kita tak jalankan tugas sebagai orang yang memperjuangkan kebenaran dalam kapasiti masing-masing. Contohnya kita tazkirah kepada anak. Yang pentingnya mesti buat kerja untuk mengingatkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti orang yang rasuah, melakukan penipuan atau gila kuasa. Kita perlu sampaikan kepada pihak yang berkuasa.
Ayat [8:26]
وَٱذْكُرُوٓا۟ إِذْ أَنتُمْ قَلِيلٌۭ مُّسْتَضْعَفُونَ فِى ٱلْأَرْضِ تَخَافُونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ ٱلنَّاسُ فَـَٔاوَىٰكُمْ وَأَيَّدَكُم بِنَصْرِهِۦ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.
Mesej dan Tindakan:
Allah memberi peringatan kepada sahabat-sahabat. وَٱذْكُرُوٓا۟ ada perkataan ٱذْ bermakna peristiwa yang pernah berlaku sebagai nostalgia yang penting diambil pelajaran. Sahabat-sahabat Muhajirin diberi perlindungan oleh Allah SWT bila mereka lemah dan rasa takut diterkam oleh musyrik Mekah. خَطَّفَ ialah perasaan takut macam ayam disambar helang. Perasaan takut sahabat-sahabat adalah seperti ayam yang disambar helang. Lari bertempiaran. Contoh zaman sekarang: orang rohingya yang dihalau, kita sebagai orang yang beriman sepatutnya bertanggungjawab untuk menyambut mereka kerana mereka juga orang yang beriman.
Dalam perang Badar, bantuan Allah datang bertubi-tubi. Allah turunkan malaikat, ketenangan dan hujan yang membersihkan segala kekotoran dan rasa tidak tenang sahabat-sahabat.
Kalau ada rumah boleh duduk dengan aman. Itu nikmat yang mesti disyukuri maka kita mesti berjuang.
Ayat [8:27]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
Mesej dan Tindakan:
Allah hendakkan sahabat Muhajirin jangan tengok harta sahaja. Selepas diingatkan kepada nikmat-nikmat, Allah ingatkan jangan khianat kepada Allah dan Rasul dan jangan khianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada mereka dan apa yang mereka sudah tahu. Allah sudah selamatkan mereka, bagi perlindungan, bagi pertolongan dan rezeki.
Bila Allah sudah beri macam-macam janganlah khianat kepada Allah dan kepada rasul yang telah memperjuangkan dakwah tauhid kepada Allah SWT.
Amanah tauhid adalah amanah yang amat besar. Jangan khianat kepada perjuangan.
Itulah perspektif tentang Islam pada sahabat. Mereka bukan beragama sebagai rutin harian. Mereka berjuang membantu nabi untuk memastikan keadilan dan ketauhidan dilaksanakan. Begitu juga di Madinah. Mereka masuk Islam bukan sekadar macam sekarang yang bila tunjuk kad pengenalan Islam dapat zakat, boleh solat sebagai agama. Islam pada zaman sahabat adalah perjuangan.
Mindset bila kita baca surah al-Anfal ini ialah kita akan rasa bahawa dengan Nabi berjuang kita dapat baca al-Quran sekarang dengan selesa. Kita kena tanya kita kena buat apa agar anak cucu saya pada masa akan datang dapat baca al-Quran tanpa susah dan dapat mengamalkan al-Quran ini dengan betul dan tidak ada orang yang memimpin dengan berpandukan hawa nafsu semata-mata.
Sahabat ada dateline kerana mereka rasakan ini adalah projek bersama dengan nabi untuk pastikan bahawa Islam sampai kepada ahli keluarga mereka. Dengan mindset ini menyebabkan sahabat-sahabat sanggup berkorban memberikan harta yang banyak untuk perjuangan. Agama bukan sekadar rutin ritual sahaja.
Dua ayat terakhir dalam surah al-Anfal Allah beritahu orang beriman sebenar-benarnya adalah orang yang berhijrah, yang berjihad, yang memberi pertolongan kepada orang-orang yang berjuang. Inilah cara Allah mendidik kepada sahabat.
Jangan khianat kepada perjuangan. Jangan pentingkan diri dan keluarga. Ugama mesti diutamakan.
Iman adalah mindset yang penting bila kita bercakap tentang al-Quran.
Ayat [8:28]
وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
Mesej dan Tindakan:
Cabaran untuk orang yang terlibat dengan perjuangan ialah dua perkara iaitu harta dan anak. Janganlah kita cari duit banyak-banyak hanya fikirkan untuk anak-anak. Allah ingatkan bahawa anak adalah sebagai cubaan.
Janganlah kita sibuk cari harta sampai tak sempat berjuang. Kerja-kerja juga, tetapi ketika ditempat kerja mesti ada perjuangan untuk membawa mesej tauhid.
Kalau lulus kedua-dua ujian, Allah akan naikkan pangkat kita. Macam sahabat-sahabat diangkat oleh Allah SWT. Tetapi kalau tak lulus bermakna gagal berjuang. Di sisi Allah ganjaran yang besar untuk orang-orang yang berjuang.
Ujian untuk dapat ganjaran daripada Allah lebih besar berbanding kalau kita utamakan bisnes lebih penting daripada membawa mesej kebaikan. Kalau yang bijak, sambil bisnes sambil bawa mesej tetapi mesej mesti lebih tinggi. Contoh: Kalau ada pilihan antara rasuah dan kebenaran, maka mesti utamakan kebaikan.
Ayat [8:29]
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًۭا وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.
Mesej dan Tindakan:
Kalau kita bina takwa, Allah akan berikan tiga perkara:
petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang salah
menghapuskan kesalahan-kesalahan kecil
mengampunkan dosa-dosa
Iman kita percaya dan takwa ialah bila kita buat. Contoh: Puasa mesti dibuat dengan takwa.
Bina takwa dengan menyokong perjuangan Nabi Muhammad SAW. Jangan khianat. Takwa bukan baca al-Quran sahaja. Dalam ayat ini takwa maksudnya banyakkan mengingat nikmat Allah dan mesti berjuang.
Bila dapat al-Quran yang nama lainnya al-Furqan kita dapat membezakan, dapat urus masa dengan elok, dapat cakap yang elok, dapat buat yang produktif. Kita sudah tak bersemangat nak buat perkara-perkara yang sia-sia.
Ini adalah anugerah daripada Allah al-Azim kepada orang-orang yang memilih jalan takwa. Dah dapat macam-macam gunakan untuk mengangkat nama dan mesej kebaikan, hancurkan keburukan dan kerosakan yang ada.
Ayat [8:30] Risiko Perjuangan
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ
Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.
Mesej dan Tindakan:
Allah menjelaskan apabila kita membawa kebenaran, musuh akan mematahkan dengan berbagai cara:
menahan/penjara supaya tidak cakap perkara kebaikan seperti
bunuh
menghalau
Orang-orang membuat kebatilan tak suka ditegur kerana itu mengganggu bisnes mereka. Contoh: website yang menghalalkan pelacuran yang melibatkan pelajar universiti. Kononnya boleh tambah pendapatan untuk bayar hutang. Pihak berkuasa mesti buat sesuatu untuk membanteras perkara batil ini.
Allah suruh recall. Mereka merancang tipudaya, Allahlah sebaik-baik perancang. Allahlah sebaik-baik konspirator. Jaga-jaga kerana ia mengganggu وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ. Jangan paranoid rasa dibayangi oleh konspirator padahal kita perlu berjuang.
Jangan pakai teori konspirasi. Contoh: jangan tengok TV, ia macam dajjal yang bermata satu.
Ayat [8:31]
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا قَالُوا۟ قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَآءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَـٰذَآ ۙ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّآ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang dahulu kala".
Mesej dan Tindakan:
Ini adalah satu perkara yang penting. Nabi tak cakap dari hawa nafsu. Nabi bacakan ( تُتْلَىٰ ) al-Quran yang diturunkan daripada langit. Tadabbur adalah perkataan pentadabbur yang mesti respond kepada ayat yang dibaca. Isinya tak boleh ditambah/lari jauh daripada ayat-ayat yang dibaca.
Orang-orang kafir apabila dibaca ayat-ayat al-Quran mereka kata sudah pernah dengar perkara ini. Mereka kata al-Quran hanya cerita dongeng orang dahulu kala.
Kita mesti ingat bahawa setiap kali ayat al-Quran dibaca, ia ada mesej yang besar pada waktu itu. Ia akan membina akaun akhirat kita tetapi pada masa sama ia akan membetulkan balik tauhid (contoh bila membaca surah al-Ikhlas). Jangan cakap sikit-sikit Quran, sikit-sikit Quran kerana itu melambangkan penolakan mesej daripada Allah SWT. Itulah yang dikatakan khianat.
Ayat [8:32]
وَإِذْ قَالُوا۟ ٱللَّهُمَّ إِن كَانَ هَـٰذَا هُوَ ٱلْحَقَّ مِنْ عِندِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةًۭ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ أَوِ ٱئْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ
Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".
Mesej dan Tindakan:
Ini adalah respond orang-orang yang tidak suka dengan Nabi. Mereka kata nabi penipu. Mereka doa di depan Kaabah. Mereka minta diberikan hujan batu. Mereka cabar Allah. Tetapi Allah tidak turunkan azab yang mereka doakan.
Ayat [8:33]
وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).
Mesej dan Tindakan:
Talian hayat zaman nabi ada dua. Sekarang tingal satu sahaja.
Ada manusia bertanya "bolehkah al-Quran dapat selesaikan isu zaman sekarang?". Dengan membaca al-Quran kita akan nampak bagaimana Allah memberikan bantuan. Allah berikan bantuan dalam bentuk yang telah kita bincang sebelum ini iaitu Allah berikan perlindungan, bantuan dan pertolongan. Dengar al-Quran semasa My #QuranTime ini juga satu pertolongan Allah. Ini cara Allah nak pastikan kita baca al-Quran. Kita tengok satu persatu ayat yang tidak pernah kita buat sebelum ini.
Allah tidak menjawab permintaan orang kafir kerana:
Nabi ada dalam kalangan mereka - kalau azab pasti kena semua. Nabi adalah rahmat kepada seluruh alam kepada orang beriman dan juga tidak beriman.
Sahabat-sahabat beristighfar meminta ampun.
Hendaklah kita pastikan ada orang yang masih istighfar dalam rumah, pejabat, organisasi kita, agar Allah tidak menimpakan azab kepada kita.
RESOLUSI
Ingat !!
Syukur dengan ingat selalu bagaimana Allah SWT menyelamatkan kita dan memberi rezeki (26)
Jaga amanah sebaik-baiknya (27)
Bina takwa agar dapat kemampuan membezakan hak dan batil dan dihapuskan dosa (29)
Lega kerana Allah akan menyelamatkan saya dan memberi rezeki sekiranya saya selalu syukur, ingat Allah dan istighfar.
Saya jelas untuk syukur dengan ingat selalu bagaimana Allah SWT menyelamatkan saya dan memberi rezeki. Saya jelas saya mesti jaga amanah sebaik-baiknya. Saya jelas untuk bina takwa agar dapat kemampuan membezakan hak dan batil dan dihapuskan dosa.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim, Ya Hakim, Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, jadikan kami orang yang bersyukur dan sentiasa ingat kepada Mu. Ya Allah, selamatkan kami dari azab dunia dan azab akhirat. Ya Allah rezekikan kami dengan hati yang sentiasa ingat kepada Mu dan bersemangat untuk terus berjuang menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar. Ya Allah, bimbing kami untuk menjadi orang yang jaga amanah sebaik-baiknya. Ya Allah, bantu kami untuk bina takwa agar kami dapat kemampuan membezakan hak dan batil dan dihapuskan dosa.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.