Saturday, July 1, 2023

Halaman 181 Al-Anfal, 8:34-40

 Perkataan hari ini:  

غَلَبَ  Mengalahkan

31 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   


  1. Halangan untuk ke Masjidil Haram (34-35)

  2. Hilangnya pahala menderma kerana menghalang orang daripada jalan Allah SWT (36-37)

  3. Keampunan untuk orang kafir jika mereka masuk Islam, dan diperangi jika mereka enggan masuk Islam untuk menghindari fitnah dalam agama (38-40)



Mukaddimah


Assalamualaikum, bersyukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pembelajaran untuk menyelusuri kalam Allah di halaman terakhir Juz 9. Semoga Allah SWT memberi kita hidayah agar ia memandu kehidupan kita seharian. 


Hari ini kita menyambung perbincangan dari halaman lepas apabila orang Musyrik Mekah mencabar Allah untuk menurunkan bala. Mereka tidak mahu beriman kepada al-Quran, kerana kalau mereka beriman kepada al-Quran bermakna mereka kena beriman kepada rasul dan melantik baginda SAW sebagai pemimpin. Mereka tidak mahu berada di bawah rasul, tidak mahu hilang kuasa. Selain itu, mereka tidak mahu beriman kepada Allah dan Rasul kerana takut perniagaan berhala mereka akan hancur. Perniagaan berhala besar bagi mereka waktu itu. 


Sepatutnya mereka diazab oleh Allah awal-awal lagi tetapi kerana Nabi SAW masih berada bersama mereka di Mekah dan masih ada orang beristighfar, Allah tangguhkan. Selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, dan tidak ada lagi orang yang beristighfar di Mekah, kaum musyrik mengalami azab dari kekalahan di Badar. Abu Lahab sangat kecewa dengan kekalahan tersebut.



Ayat [8:34]


وَمَا لَهُمْ أَلَّا يُعَذِّبَهُمُ ٱللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ وَمَا كَانُوٓا۟ أَوْلِيَآءَهُۥٓ ۚ إِنْ أَوْلِيَآؤُهُۥٓ إِلَّا ٱلْمُتَّقُونَ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ


Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) dari masjid Al-Haraam, padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya (kerana mereka kafir musyrik)? Sebenarnya orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.


Mesej dan Tindakan:


  1. Hanya orang bertakwa yang layak memakmurkan Masjidil Haram seperti Nabi Ibrahim yang mengasaskan pembinaan Kaabah atas dasar takwa. Orang bertakwa adalah orang yang diberikan furqan dan diampunkan dosa-dosanya.

  2. Kaum musyrik tidak tahu apa itu takwa dan siapa yang sepatutnya memimpin. Ini adalah kerana perbuatan mereka tidak berasaskan ilmu, mereka buat hanya berasaskan nafsu. Model bisnes di Mekah adalah amat mewah kerana ia tempat spiritual. Mereka mengambil peluang mengawal ekonomi dan kuasa di Mekah.



Ayat [8:35]


وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِندَ ٱلْبَيْتِ إِلَّا مُكَآءًۭ وَتَصْدِيَةًۭ ۚ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ


Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.


Mesej dan Tindakan:


  1. Orang musyrik beribadah dengan bersiul dan bertepuk tangan di keliling Kaabah. Allah menyelar perbuatan mereka ini.

  2. Ulamak sepakat mengatakan, apa-apa ibadah yang melibatkan alat muzik yang ditiup dan yang ditepuk seperti rebana tidak dibenarkan. Semoga kita tak terpengaruh dengan penggunaan muzik semasa solat. 

  3. Perbuatan mereka yang hanya mengikut logik akal mengundang azab Allah SWT. Kekalahan mereka di dalam perang Badar adalah kerana kekufuran yang mereka lakukan.

  4. Ini menunjukkan psikologi dan ibadah mengikut nafsu orang musyrik. Sampai sekarang, di gereja masih ada band dan nyanyian untuk menarik hati anak muda. Orang Islam tidak sepatutnya buat begini.

  5. Bagi orang Islam, al-Quran yang dibaca adalah sebagai hiburan tersendiri. Orang yang suka mendengar al-Quran, tidak akan minat mendengar lagu-lagu. Gelombang bacaan ayat-ayat al-Quran lebih padu, menenangkan dan memberi semangat berbanding gelombang muzik. Bacaan dengan taranum yang elok dapat menggetarkan hati seseorang untuk membuatkan dia bersemangat, sedih dan boleh menyebabkan sesuatu perkara yang baik boleh berlaku.



Ayat [8:36]


إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ لِيَصُدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةًۭ ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ


Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menegaskan bahawa orang-orang kafir kuat berinfak untuk menghalangi manusia daripada jalan Allah SWT.

  2. Bagi Orang Musyrik:

    1. Mereka menderma, mereka rasa menyesal.

    2. Mereka akan dikalahkan.  

    3. Mereka tetap akan masuk ke neraka bersama batu-batu.

  3. Kalau kita beriman, jika ada orang yang mahu menaikkan nama Allah atau kalam Allah, kita pasti turut sama berinfak. Bukan hanya sekali, malah akan menginfakkan lagi dan lagi secara konsisten.

  4. Bagi orang beriman, jika kita menderma untuk masjid, walaupun masjid belum siap, pahala kita dah dapat. Walau belum menang, Allah sudah menangkan.

  5. Infaq adalah tanda selepas kita tidak suka bersiul dan juga bertepuk tangan atau bermuzik banyak sangat dalam hidup. Dengan Quran, semangat untuk memperjuangkan Quran akan makin meningkat akhirnya infaq kita makin bertambah. Itu impak daripada al-Quran. 



Ayat [8:37] 


لِيَمِيزَ ٱللَّهُ ٱلْخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ ٱلْخَبِيثَ بَعْضَهُۥ عَلَىٰ بَعْضٍۢ فَيَرْكُمَهُۥ جَمِيعًۭا فَيَجْعَلَهُۥ فِى جَهَنَّمَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ


Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.


Mesej dan Tindakan:


  1. Dalam Peperangan Badar, Allah mengasingkan (tamyiz) orang beriman dengan yang tidak beriman. Di dalam peperangan, baru nampak terserlah siapa yang betul-betul komited kepada iman atau komited kepada kekufuran.  Di akhirat nanti, orang yang tidak beriman dikumpulkan menjadi satu.

  2. Kebaikan itu satu dan kejahatan itu juga satu. Orang beriman tidak mungkin berbalah-balah dan mesti berada dalam kelompok kebaikan yang satu. Kalau berbalah pun akan cepat mengendurkan hati kerana komited kepada iman.

  3. Ayat ini adalah untuk memberi semangat kepada orang-orang yang beriman. Ini adalah 40 ayat terawal dalam surah ini yang mana Allah memberi lecture kepada sahabat sebelum cakap mengenai harta rampasan perang. Allah nak asingkan yang beriman dengan tidak beriman.



Ayat [8:38]


قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِن يَنتَهُوا۟ يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا۟ فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ ٱلْأَوَّلِينَ


Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.


Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah ayat disclaimer. Nabi SAW berjuang  di Mekah 13 tahun dengan kasih sayang tetapi dibalas dengan penghinaan dan tuduhan kesat. Namun, Allah ingatkan jika mereka itu memohon keampunan, Allah pasti akan mengampunkan. Begitu juga dengan kita, kalau ada buat silap Allah akan hapuskan kesilapan kita jika kita memohon keampunan dan bertaubat.

  2. Peraturan yang berlaku kepada orang yang terdahulu, mereka diberikan azab kecil dahulu sebelum diturunkan azab besar. Contoh: Firaun awalnya diazab dengan katak, darah dll. Kemudian baru dilemaskan di lautan. Itulah peraturan yang berlaku kepada Musyrik Mekah. Bila mereka menghalau nabi, nak bunuh nabi, embargo di Mekah, itulah yang menjadi review kepada sahabat. 

  3. Bila para sahabat diingatkan, mereka menghargai bahawa kemenangan Badar itu adalah dipimpin oleh Allah. Ia sebagai satu sunnatullah orang beriman mengalahkan orang yang tidak beriman dengan bantuan Allah.



Ayat [8:39]


وَقَـٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌۭ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ كُلُّهُۥ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ


Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.


Mesej dan Tindakan:


  1. Ini adalah ayat untuk terus berjuang sampai tidak ada syirik dan kekacauan berlaku, dan semuanya adalah untuk Allah SWT. 

  2. Ayat ini diambil secara salah oleh sesetengah orang Islam. Adakah terus sahaja nak membunuh semua orang tidak beriman? Ini salah, tetapi jangan pula sampai bila orang bukan Islam mengajak atau memaksa orang Islam keluar dari Islam, kita tetap berdiam. Jika berlaku begitu, kita kena berjuang. Allah memerhatikan kita, apa yang kita buat. Adakah kita duduk diam sahaja? 

  3. Orang beriman kena berjuang dan tidak boleh jadi pengecut jika agama Islam ini diancam. Sepertimana kita mempertahankan rumah daripada pencuri, orang beriman kena mempertahankan agama daripada orang yang menghancurkan agama Allah.

  4. Allah sentiasa perhatikan kita buat apa untuk mempertahankan agama.



Ayat [8:40] 


وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَوْلَىٰكُمْ ۚ نِعْمَ ٱلْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ ٱلنَّصِيرُ


Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia lah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).


Mesej dan Tindakan:


  1. Dua perkataan penting dalam ayat ini مَوْلَ (pelindung) dan ٱلنَّصِيرُ (penolong). Seorang bapa wali/pelindung kepada anak perempuannya tetapi tetapi bukanlah melindungi  24 jam. Allah lah yang مَوْلَ yang melindungi kita 24 jam setiap hari. Allah adalah sebaik-baik pemberi pertolongan kepada umat yang beriman.

  2. Maha Suci Allah yang memberi anugerah hujan dan tidur yang mengamankan kepada tentera Islam dalam perang Badar di kala musuh mereka kepenatan dan tidak dapat tidur


RESOLUSI


Ingat !!


  1. Membanyakkan derma harta untuk menyokong perkara kebaikan (36)

  2. Mendapatkan keampunan Allah SWT dengan berhenti terlibat dengan projek menghalang kebaikan (38)

  3. Yakin pertolongan Allah SWT setiap masa apabila kita mengikut jalan-Nya (40)


Lega kerana Allah akan memberi pertolongan setiap masa apabila saya mengikut jalan-Nya.


Saya jelas untuk membanyakkan derma harta untuk menyokong perkara kebaikan. Saya mesti mendapatkan keampunan Allah SWT dengan berhenti terlibat dengan projek menghalang kebaikan. Saya mesti yakin pertolongan Allah SWT setiap masa apabila saya mengikut jalan-Nya.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah,  bantu kami membanyakkan derma harta untuk menyokong perkara kebaikan. Ya Allah, ampuni kami, dan jauhi kami daripada terlibat dengan projek menghalang kebaikan. Ya Allah, bimbing kami supaya sentiasa mengikut jalan-Mu dan jauhi kami daripada perbuatan yang Engkau benci.  


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...