Saturday, July 1, 2023

Halaman 179 Al-Anfal, 8:17-25

 Analisis Badar

Perkataan hari ini:  


  قَتَلَ  Membunuh, menghapuskan


170  kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Hakikat kemenangan (17-19)

  2. Perintah untuk mentaati Allah SWT dan Rasul serta ancaman menentang keduanya (20-23)

  3. Memenuhi seruan untuk kehidupan yang abadi (24-25)


Mukaddimah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 179 surah al-Anfal di hari Jumaat yang barakah ini. Ini adalah surah Madaniyyah yang penuh dengan peraturan dan disiplin. Mesejnya lebih tegas sebagai panduan untuk Nabi Muhammad SAW memimpin masyarakat di Madinah pada waktu itu. Ada yang mengikut peraturan, ada yang tidak. Nabi SAW kena memastikan yang semua dapat hidup bersama dengan baik tidak kira Islam atau tidak. 


Bagaimana disiplin dalam berjuang? Kita akan melihat di halaman ini. Surah ini penuh dengan nilai dan panduan. Dalam berjuang, tidak semestinya di medan perang? Ia merangkumi di rumah, organisasi. Ada disiplin dan panduan yang di ajar kepada kita.


Bila bercakap tentang perang di dalam al-Quran, ia adalah disiplin di medan perang. Selain itu, perang adalah satu aktiviti dinamik berkumpulan yang paling tinggi, iaitu perubahan dalam satu kumpulan yang berjuang untuk mencapai kejayaan. Kepimpinan menguruskan keluarga, negeri dan negara akan sentiasa berubah-berubah dan perlu berjuang untuk memimpin. Disiplin mesti ada terutamanya bila berdepan dengan kumpulan-kumpulan di medan perang. Disipilin paling ketat perlu dipegang oleh para tentera di medan perang.


Pelajaran daripada surah al-Anfal ini amat tinggi. Sebelum ini para sahabat diingatkan agar tidak berpatah balik. Para sahabat bimbang jika mereka berpatah balik dari medan perang, mereka tergolong dalam kumpulan yang dimurkai Allah. Begitulah disiplin mereka. Disiplin kehidupan  dibina di dalam solat kerana ia membina asas ketaatan ketika berjuang dan untuk berjaya. 



Ayat [8:17]


فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ قَتَلَهُمْ ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ رَمَىٰ ۚ وَلِيُبْلِىَ ٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَآءً حَسَنًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ


Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Mesej dan Tindakan:


  1. Hakikat kejayaan di Perang Badar, bukan kerana jumlah  tentera yang ada. Allah yang memastikan kemenangan tersebut. Umat Islam kena berusaha tetapi untuk mencapai hasil, perlu bantuan dari Allah. Ini adalah kefahaman akidah yang penting untuk mengelakkan kita menjadi sombong. Nak angkat tangan pun perlu Allah yang menolong kita. 

  2. ‘Waliyubliya’ (وَلِيُبْلِىَ) bermakna ujian untuk menyaring ataupun membersihkan orang beriman. Ujian yang ‘bala an hasana’ (بَلَآءً حَسَنًا), ujian yang menjadi punca kebaikan kepada yang menghadapinya.  Ibla' membuat kita lebih baik bila diberi ujian, tandanya dengan kita menjadi ‘hasan’, lebih baik. 'Ibtila' pula sebaliknya, ia adalah ujian berat yang menimpa semua orang. 

  3. Ayat ini ditutup dengan  إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ - Allah mendengar segala rintihan dan keluh kesah tentera Badar dan Allah mengetahui siapa yang patut menang di dalam peperangan Badar itu.



Ayat [8:18]


ذَٰلِكُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ مُوهِنُ كَيْدِ ٱلْكَـٰفِرِينَ


Demikianlah (caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah memang akan menjadi pelemah yang melemahkan kepada perancangan (كَيْدِ) orang kafir. Ini menyebabkan orang beriman akan menang. 



Ayat [8:19]


إِن تَسْتَفْتِحُوا۟ فَقَدْ جَآءَكُمُ ٱلْفَتْحُ ۖ وَإِن تَنتَهُوا۟ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَإِن تَعُودُوا۟ نَعُدْ وَلَن تُغْنِىَ عَنكُمْ فِئَتُكُمْ شَيْـًۭٔا وَلَوْ كَثُرَتْ وَأَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُؤْمِنِينَ


Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad, s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah membongkar tentang kemenangan yang diberi kepada orang beriman. Syarat kemenangan di dalam hidup kita bukanlah banyaknya kekayaan mahupun ramai penyokong. Kalau begitu, Firaun lah orang yang lebih menang kerana kekayaannya dan pengikutnya. 

  2. Ini adalah mesej kepada kaum musyrik Mekah. Biar berapa ramai pun orang musyrik, mereka tidak akan menang kerana iman itu penting.  Allah bersama dengan orang-orang yang beriman.

  3. Allah memberi keistimewaan di Peperangan Badar dan diberi kemenangan kepada orang beriman, walaupun jumlah mereka sedikit. 

  4. Akan tetapi, Allah tidak memberi keistimewaan ini di dalam perang Uhud. Penting untuk kita memahami perkara ini agar tidak kira kita berjaya atau tidak di dalam kehidupan, kita terus beriman. Kita tidak mahu mengguna pakai perspektif Firaun yang merasakan dirinya hebat dan mengaku sebagai tuhan apabila dia berjaya dan berkuasa.



Ayat [8:20] Disiplin Penting untuk Menang


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَوَلَّوْا۟ عَنْهُ وَأَنتُمْ تَسْمَعُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah ingatkan orang beriman supaya taat kepada Allah dan rasul, tetapi, “jangan berpaling daripadaNYA” (عَنْهُ). NYA di sini merujuk kepada Allah.  Satu sahaja.

  2. Kalau kita taat kepada Allah, kita mesti merujuk kepada rasul. Rasulullah SAW adalah ketua.

  3. Untuk masa ini, kalau ketua kita taat kepada Allah, maka kita harus mentaati beliau dan tidak boleh berpaling.

  4. Disiplin penting untuk menang ialah mendengar. Allah menyeru untuk taat kepada Allah dan Rasul. Taat kepada Allah dan Rasul, bermakna mesti taat padaNya serta merujuk kepada rasul.



Ayat [8:21]


وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ قَالُوا۟ سَمِعْنَا وَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ


Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: "Kami dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).


Mesej dan Tindakan:


  1. Jangan menjadi orang yang suruh mendengar tetapi dia sendiri buat tidak tahu dan tidak mendengar. Sekiranya perkara ini berlaku, ia akan membawa kepada kehancuran. 



Ayat [8:22]


إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلصُّمُّ ٱلْبُكْمُ ٱلَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ


Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).


Mesej dan Tindakan:


  1. Menyambung ciri insan yang Allah suka. Allah marah sangat dalam ayat ini sehingga menyebut hambaNya sebagai makhluk (ٱلدَّوَآبِّ), bukan manusia. 

  2. Dalam satu organisasi, kita tidak mahu ketua yang pekak dan bisu. Bukan pekak bisu OKU, tetapi pekak dan bisu terhadap kebenaran. Keutamaan dalam hidup ialah taat kepada ketua yang taat kepada Allah.

  3. Bila di dalam peperangan, panglima perang menyuruh kita beralih, penting dituruti. Kita mesti memberi respon. Jika tidak, kita tidak menggunakan akal dan gagal memahami bahaya yang bakal sampai bila tidak bersatu di dalam satu organisasi.



Ayat [8:23]


وَلَوْ عَلِمَ ٱللَّهُ فِيهِمْ خَيْرًۭا لَّأَسْمَعَهُمْ ۖ وَلَوْ أَسْمَعَهُمْ لَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعْرِضُونَ


Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.


Mesej dan Tindakan:


  1. Taat dan dengar ini penting. Dalam organisasi, jika tidak taat dan berpaling dari arahan ketua, ini akan merosakkan.  

  2. Orang yang enggan taat dan mendengar adalah orang yang sombong yang hatinya jauh daripada Allah.



Ayat [8:24] Panduan Berorganisasi


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَجِيبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ ٱلْمَرْءِ وَقَلْبِهِۦ وَأَنَّهُۥٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ


Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.


Mesej dan Tindakan:


  1. Bila Allah dan rasul arahkan sesuatu, buat segera. Dengar azan, senyap, jawap dan terus pergi solat. دَعَاكُمْ bila rasul mengarahkan, terus ikut. Sahabat, bila Rasullullah mengajak berjihad, mereka melihat kehidupan yang abadi. Mereka tahu itu adalah arahan Allah dan jalan yang menghidupkan (يُحْيِيكُمْ) dan untuk mencapai kemenangan. 

  2. Antara buat sesuatu amal sendirian dan mengikut ajakan ketua untuk membantu orang, pahala mematuhi ketua lebih banyak dari buat amal soleh sendiri. 

  3. Menurut tafsir Hamka, Fudhail  ibnu Iyad ketika nak merompak terdengar ayat dari Surah al-Hadid, terus tidak jadi merompak. Kesan ayat al-Quran bila didengar.  



Ayat [8:25] Mengapa Kena Berjuang?


وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ


Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.


Mesej dan Tindakan:


  1. Kita ingin memelihara diri kita dari fitnah. Fitnah ini contohnya berpecah-pecah, kata mengata. 

  2. Kita kena pelihara diri kita daripada siksaan. Salah satu siksaan besar kepada umat Islam sekarang ialah perpecahan.

  3. Salah satu fitnah kewafatan baginda SAW ialah Saidina Uthman dibunuh dan umat Islam berpecah-belah.

  4. Kita kenalah berjuang, berdisiplin, mengikut dan mentaati ketua.


RESOLUSI


Ingat !!


  1. Sentiasa menyedari siapa yang berkuasa untuk menjadikan atau melaksanakan sesuatu ketika kita berjaya (17)

  2. Sentiasa mendengar dengan betul/baik apa yang Allah SWT dan Rasul serukan (21)

  3. Sentiasa siap siaga melaksanakan perintah Allah SWT kerana ia akan memberikan kehidupan yang lebih bermakna (24)


Lega kerana Allah akan memberikan kehidupan yang lebih bermakna sekiranya saya siap siaga melaksanakan perintah Allah SWT.


Saya jelas untuk sentiasa menyedari Allah yang berkuasa untuk menjadikan atau melaksanakan sesuatu ketika kita berjaya. Saya jelas untuk sentiasa mendengar dengan betul/baik apa yang Allah SWT dan Rasul serukan. Saya jelas untuk sentiasa siap siaga melaksanakan perintah Allah SWT kerana ia akan memberikan kehidupan yang lebih bermakna.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa menyedari bahawa Engkau yang berkuasa untuk menjadikan atau melaksanakan sesuatu ketika kami berjaya. Ya Allah, bantu kami untuk sentiasa mendengar dengan betul/baik apa yang Engkau dan Rasul serukan. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa siap siaga melaksanakan perintah Mu kerana ia akan memberikan kehidupan yang lebih bermakna.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...