Sunday, July 2, 2023

Halaman 195 : At-Tawbah, 9:48-54

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

بَغَى Mencari.

96 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Munafik suka membuat gangguan pada jalan kebaikan (48)
  2. Suka ketika orang mukmin mendapat bencana (49-52)
  3. Terhapusnya pahala orang munafik daripada nafkah dan solat mereka serta siksa terhadap mereka di dunia dan akhirat (53-54)


Mukaddimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pengajian pada halaman 195. Selamat Hari Wanita kepada semua para wanita di seluruh dunia. Kita ingin teruskan perjuangan sebagaimana yang kita pelajari dalam surah at-Tawbah ini. Wanita yang berjuang adalah mereka yang bersama Nabi SAW dan akan bersama baginda di syurga nanti juga bersama para siddiqin, syuhada’ dan orang-orang solih   

Jadilah wanita yang tidak menghalang kepada perjuangan. Jadilah wanita seperti Khadijah, Aisyah, Sumayyah, Mariam yang diangkat Allah di dalam sejarah kerana mereka adalah insan penting yang sentiasa bertaubat dan sentiasa menyokong kepada perjuangan ke arah kebaikan.  

Pada halaman lepas kita sudah melihat bahawa orang munafik itu umpama satu unit yang tidak berfungsi dan akan mewujudkan kekacauan dalam bala tentera. Mereka bergegas ke sana sini dalam kalangan tentera Islam untuk menimbulkan fitnah yang menyebabkan tentera Islam lemah semangat untuk pergi berjuang.  


Ayat [9:48]

لَقَدِ ٱبْتَغَوُا۟ ٱلْفِتْنَةَ مِن قَبْلُ وَقَلَّبُوا۟ لَكَ ٱلْأُمُورَ حَتَّىٰ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَظَهَرَ أَمْرُ ٱللَّهِ وَهُمْ كَٰرِهُونَ

“Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) ugama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadanya.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah ingatkan kembali tentang kekacauan yang pernah dicetuskan oleh kaum munafik di Madinah. Orang Munafik pernah buat kacau dengan memfitnah Aisyah berbuat curang dengan seorang sahabat. Urusan umat Islam pada masa itu berkecamuk kerana Nabi SAW sendiri pun tidak boleh cakap apa-apa. Aisyah juga tidak kata apa-apa.
  2.  
  3. Akhirnya Allah lah yang memenangkan Aisyah. Orang Munafik benci kepada kebenaran yang datang. Mereka memang suka buat kacau.
  4.  
  5. Janganlah kita bergaduh dan jangan menjadi orang yang suka melihat pergaduhan. Pergaduhan yang berpanjangan adalah salah satu sifat orang-orang yang ada penyakit nifak.
  6.  
  7. Sebagai orang yang beriman hendaklah kita sentiasa mencari redha Allah SWT.

Ayat [9:49]

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ ٱئْذَن لِّى وَلَا تَفْتِنِّىٓ أَلَا فِى ٱلْفِتْنَةِ سَقَطُوا۟ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌۢ بِٱلْكَٰفِرِينَ

“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: "Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah". Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Ada seorang munafik tidak mahu pergi berperang dan alasannya, takut kacau iman bila berjumpa wanita-wanita Rom yang cantik-cantik di sana.
  2.  
  3. Allah membongkar yang mereka itu memang dari awal sudah terjerumus ( سَقَطُوا۟) dalam fitnah. Orang yang ada sifat munafik suka memanipulasi wanita. Mereka menjadikan wanita sebagai komoditi, atau wanita sebagai kelas kedua. Islamlah yang meletakkan wanita sama baris dengan lelaki. Yang paling mulia adalah orang yang bertakwa.
  4.  
  5. Neraka jahanam mengelilingi kekufuran mereka. Mereka rasa mereka boleh buat perancangan untuk mengalahkan Nabi SAW untuk memenangkan mereka. Allah tegaskan bahawa segala strategi yang lengkap itu akan dibalas oleh Allah dengan neraka jahanam yang akan mengelilingi mereka. Mereka ingat mereka bijak, ada ilmu, ada kepakaran tetapi semua itu adalah kekufuran yang tidak dapat diselamatkan.

Ayat [9:50]

إِن تُصِبْكَ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكَ مُصِيبَةٌ يَقُولُوا۟ قَدْ أَخَذْنَآ أَمْرَنَا مِن قَبْلُ وَيَتَوَلَّوا۟ وَّهُمْ فَرِحُونَ

“Jika engkau (wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah pun mengambil keputusan (tidak turut berperang) sebelum itu", dan mereka berpaling (meninggalkanmu) sambil mereka bergembira.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah memberitahu bahawa sesuatu kebaikan yang Allah beri kepada manusia, tidak pernah salah alamat.
  2.  
  3. Kalau orang beriman dapat kebaikan, hendaklah kita turut bergembira. Contoh: kalau kawan kita naik pangkat atau beli kereta baru, katakan Alhamdulillah. Jangan kita buruk sangka kerana itu adalah sifat orang munafik.
  4.  
  5. Orang Munafik akan berpaling dan gembira ( فَرِحُونَ ) apabila orang Islam ditimpa musibah.

Ayat [9:51]

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal"”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah bongkarkan untuk sama-sama kita fahami sebenarnya setiap perkara yang menimpa kita adalah apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kita (لَنَا).
  2.  
  3. Allah memberi kita kepayahan adalah untuk mendekatkan kita kepadanya. Semua yang Allah beri adalah hadiah. Sekiranya apa yang Allah beri itu menjauhkan kita dari Allah, itu adalah azab.
  4.  
  5. Allah adalah pelindung yang menyelamatkan kita maka hendaklah kita bertawakal kepada Allah.

Ayat [9:52]

قُلْ هَلْ تَرَبَّصُونَ بِنَآ إِلَّآ إِحْدَى ٱلْحُسْنَيَيْنِ وَنَحْنُ نَتَرَبَّصُ بِكُمْ أَن يُصِيبَكُمُ ٱللَّهُ بِعَذَابٍ مِّنْ عِندِهِۦٓ أَوْ بِأَيْدِينَا فَتَرَبَّصُوٓا۟ إِنَّا مَعَكُم مُّتَرَبِّصُونَ

“Katakanlah: "(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid); dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisiNya, atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu".”

Mesej Dan Tindakan

  1. Bila orang munafik menimbulkan keraguan, Allah mengajar kepada Nabi SAW dan kepada kita bahawa orang yang berjuang akan mendapat satu daripada dua kebaikan: mendapatkan kemenangan atau mati syahid.
  2.  
  3. Umat Islam tidak suka berperang tetapi bila diajak pergi berperang mereka bersedia. Mindsetnya adalah samada menang atau mati syahid. Kedua-dua itu adalah win-win. Dalam Uhud walaupun tentera Islam kalah tetapi umat Islam yang masih hidup belajar daripada kekalahan itu. Mereka baiki untuk perang seterusnya. Yang wafat tetap diangkat, dipuji dan didoakan keampunan seperti Saidina Hamzah Abdul Mutalib.
  4.  
  5. Ketika kita berbuat kebaikan dalam hidup ini, asalkan kita berpegang kepada kebenaran, sama ada kita menang di dunia ini membawa kebenaran atau syahid di jalan Allah SWT. Kita boleh menjadi kumpulan yang berjuang atau kita bagi duit, sokong kepada perkara kebaikan, kita doakan, beri semangat kepada orang yang terus berjuang membantu sesama kita.
  6.  
  7. Dalam usaha kita membuat kebaikan, ada orang yang mencabar keislaman dan iman kita, kita kena ingat bahawa Allah boleh hancurkan mereka.
  8.  
  9. Semoga kita menjadi dalam kalangan orang yang membuat kebaikan. Kemenangan akan memihak kepada orang yang berjuang kepada kebenaran. Orang munafik pasti tidak akan berjaya.

Ayat [9:53]

قُلْ أَنفِقُوا۟ طَوْعًا أَوْ كَرْهًا لَّن يُتَقَبَّلَ مِنكُمْ إِنَّكُمْ كُنتُمْ قَوْمًا فَٰسِقِينَ

“Katakanlah: "Dermakanlah harta kamu sama ada dengan sukarela atau kerana terpaksa, tidak sekali-kali akan diterima daripada kamu, (kerana) sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik".”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah hendak meneguhkan orang beriman dengan menderma. Allah ingatkan bahawa Dia tidak akan terima derma orang-orang yang fasik.
  2.  
  3. Hendaklah kita terus menderma kerana taat kepada Tuhan, bukan kerana fasik. Walaupun sedikit, teruskan juga menderma. Allah akan beri ganjaranNya di dunia dan akhirat kepada orang yang menderma. Orang fasik pun menderma, contohnya orang Kristian menderma 20% untuk gereja mereka.

Ayat [9:54]

وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَٰتُهُمْ إِلَّآ أَنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَبِرَسُولِهِۦ وَلَا يَأْتُونَ ٱلصَّلَوٰةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَٰرِهُونَ

“Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Setiap derma/infak akan diterima oleh Allah kecuali derma orang-orang yang kufur kepada Allah dan Rasul.
  2.  
  3. Orang yang kufur kepada Allah dan Rasul mengerjakan solat dengan perasaan malas dan menderma dengan perasaan benci.
  4.  
  5. Hendaklah kita sempurnakan solat agar Allah terima derma/infak kita dan amalan kebaikan yang lain. Bila kita derma, akan terus masuk akaun akhirat. Kita tak rugi pun malah Allah gandakan pahala sehingga 700 kali ganda.
  6.  
  7. Semoga kita menjadi orang yang berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa dengan penuh taat dan ikhlas kepada Allah.


RESOLUSI MQT273 

Ingat !!

  1. Bina rasa sukakan kejayaan pada agama biarpun sedikit (48)
  2. Elakkan suka beri alasan untuk perkara kebaikan (49)
  3. Jadilah orang yang menyokong kumpulan kemenangan dengan iman (52)

Lega kerana Allah pasti akan beri kemenangan sekiranya saya berjuang dalam perkara kebaikan.

Saya jelas untuk bina rasa sukakan kejayaan pada agama biarpun sedikit. Saya jelas untuk elakkan suka beri alasan untuk perkara kebaikan. Saya jelas saya mesti jadi orang yang menyokong kumpulan kemenangan dengan iman. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bimbing kami untuk bina rasa sukakan kejayaan pada agama biarpun sedikit. Ya Allah, elakkan kami daripada suka beri alasan untuk perkara kebaikan. Ya Allah, jadikan kami orang yang menyokong kumpulan kemenangan dengan iman.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...