Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”
PERKATAAN HARI INI
عَجِبَ Hairan, takjub, kagum.
27 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Jaga-jaga dengan harta dan anak pinak (55)
- Sumpah palsu orang munafik dan tindakan mereka memanfaatkan semua kesempatan untuk memperlekehkan Nabi Muhammad SAW (56-59)
- 8 golongan penerima zakat (60)
- Tindakan orang munafik yang menyakiti Nabi Muhammad SAW dan melurus kefahaman mereka (61)
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pengajian pada halaman 196. Masa ini kita betul-betul berikan untuk Allah SWT untuk kita membuka diri kita dengan hidayah, dengan cahaya yang terang benderang daripada Allah SWT kerana kita yakin bahawa kehidupan kita ini perlukan panduan yang jelas daripada Allah SWT. Itulah yang kita mohon dalam surah al-Fatihah.
Kita harapkan kita dapat belajar bersungguh-sungguh supaya Ramadhan kali ini kita dapat hayati setiap bait perkataan yang Allah sampaikan kepada kita dalam surah-surah yang kita sudah tadabbur bersama-sama. Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita.
Ayat-ayat pada hari ini adalah bercakap tentang perjuangan dalam kehidupan kita seharian agar kita sedar kita berada di mana. Modul juz pertama adalah tentang hati dan tentang Bani Israel. Juz kedua, ketiga berkaitan dengan infaq tetapi bila sampai pada juz yang ke sepuluh kali ini kita banyak bercakap tentang perjuangan hidup dengan iman. Maksudnya kita menandatangani hidup untuk berjuang bukan duduk di rumah semata-mata. Semoga harta dan anak-anak akan mengangkat kemuliaan kita di dunia dan di akhirat. Semoga kita mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Pada halaman lepas, Allah menyiapkan kepada orang beriman untuk berjuang dan mengingatkan sahabat pada zaman Nabi SAW agar jangan terpalit dengan gejala munafik. Mereka itu tidak mahu mengikut Nabi SAW untuk berjuang. Zaman ini Nabi SAW sudah wafat tetapi perjuangan kebaikan ini ada di mana-mana seperti di masjid, sekolah agama, untuk memperjuangkan pendidikan hak orang miskin, fakir dan sebagainya. Namun ada orang yang kufur. Mereka tidak mahu mengikut. Yang penting hanya diri mereka. Mereka mendirikan solat secara malas dan berinfaq pun secara terpaksa.
Ayat [9:55]
فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَٰدُهُمْ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَٰفِرُونَ
“Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).”
Mesej Dan Tindakan
- Allah ingatkan supaya berhati-hati dengan harta dan anak pinak kita. Harta dan anak pinak adalah aset penting untuk kita tukar jadi sebagai matawang akhirat. Kita kena ada kemahiran untuk tukar aset ini cepat-cepat pergi ke akhirat agar ia lebih banyak untung. Allah janjikan keuntungan minimum 700 peratus sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 261 daripada surah al-Baqarah.
- Bagi orang munafik, harta dan anak pinak ini adalah racun kepada mereka kerana menghalang kepada perjuangan. Contoh: Isteri kata "abang duduk sajalah di rumah". Anak pula kata "abah bagilah duit pada saya. Saya nak beli itu ini". Segala-galanya dilayan untuk anak. Abah pula kata, "Saya kumpulkan harta banyak-banyak untuk anak bila saya dah meninggal". Sebenarnya, mereka yang kata begitu ada masalah. Walaupun hadis Nabi SAW ada berkata, "jangan tinggalkan anak kita dalam keadaan miskin", tetapi jangan sampai kita bimbang anak tidak makan tetapi kita tak bimbang tentang betapa pentingnya kita berjuang atas iman, agar anak kita jangan terpotong atau terhindar daripada keimanan yang ayah ibu perjuangkan semasa hidupnya. Kita boleh bantu tabung-tabung untuk mendirikan agama Islam ini.
- Sesungguhnya Allah ingin mengazab orang munafik dengan harta dan anak pinak kerana mereka tidak menggunakan harta dan anak pinak untuk berjuang di jalan Allah SWT. Mereka akan mati dalam keadaan ngeri dan seram.
- Ini juga boleh menjadi azab kepada kita kalau kita ada duit dalam akaun yang banyak, anak pun banyak, semuanya berjaya, tetapi tidak menambah satu nilai kepada perjuangan Islam. Contoh: Anak belajar pandai, dapat duit jadi kaya, beli kereta, kemudian nanti ada cucu, cucu belajar pandai lepas tu ada kereta, kemudian tidur makan, hidup begitu sahaja. Sebenarnya itu adalah satu azab. Orang-orang munafik ini kadang-kadang anak mereka sendiri yang bergaduh dengan ayahnya, atau bila mak ayah dah meninggal, mereka bergaduh sesama adik-beradik pasal hendakkan harta. Ini kerana ayah menyiapkan harta tidak menyiapkan iman kepada anak pinak. Ini adalah perkara yang perlu difikirkan. Kita mungkin ada bisnes dan banyak harta. Harta tersebut perlu diuruskan mengikut kaedah yang yang akan dipelajari dalam ayat berikut.
- Allah ingatkan kita jangan takjub kepada orang kaya, rumah besar, anak ramai, anak berjaya. Jangan kagum kepada perkara tersebut kecuali kalau rumah besarnya itu ataupun anaknya yang berjaya itu digunakan untuk memberi manfaat lebih ramai kepada qariah, kepada komuniti, kepada masjid, kepada perjuangan Islam, yang itu memang kita kena kagum. Ya Allah jadikan kami dalam kalangan orang yang ada harta, ada anak untuk berjuang pada jalan Mu.
- Sekarang ini ramai orang di sosial media yang menunjukkan rumah, cuti sana sini, beli itu ini. Janganlah kagum sangat. Katakan Masya Allah. Doakan kepada Allah kalau kita nak, tetapi kena betul niat. Kita nak kerana untuk makin dekat dengan Allah, bukan sekadar saya nak macam orang lain sebab nak menandingi mereka. Allah ingatkan, itu bukannya dimuliakan malah ia boleh menjadikan kita hina.
- Solehkan anak-anak kita. Allah akan melindungi orang-orang yang soleh. Jangan biarkan anak-anak menjadi musuh bagi kita.
Ayat [9:56]
وَيَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنَّهُمْ لَمِنكُمْ وَمَا هُم مِّنكُمْ وَلَٰكِنَّهُمْ قَوْمٌ يَفْرَقُونَ
“Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut.”
Mesej Dan Tindakan
- وَيَحْلِفُونَ bermakna mereka bersumpah kerana mereka berbuat silap iaitu mereka tidak ikut berjuang dengan Nabi SAW. Dalam perang Uhud mereka pergi tapi sekerat jalan mereka patah balik. Semoga kita dijauhkan daripada perangai Munafik ini. Contoh: Nak buat satu projek kebajikan tiba-tiba tak jadi. Kecualilah ada kepayahan atau sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedang dirancang.
- Mereka bertemu dengan Nabi SAW dan mereka bersumpah mereka adalah sebahagian daripada golongan baginda SAW. Allah menyatakan yang mereka bukan di kalangan baginda SAW. Mereka sendiri yang menolak Nabi SAW, menolak orang beriman jadi tetapi itu hanya kata-kata manis di bibir sahaja.
Ayat [9:57]
لَوْ يَجِدُونَ مَلْجَـًٔا أَوْ مَغَٰرَٰتٍ أَوْ مُدَّخَلًا لَّوَلَّوْا۟ إِلَيْهِ وَهُمْ يَجْمَحُونَ
“Kalau mereka dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang dalam tanah, nescaya mereka segera menuju ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah SWT bongkar lagi bahawa orang munafik itu gelabahnya lain macam. Jika ada tempat berlindung, gua atau lubang dalam tanah pasti mereka akan masuk. Contoh zaman sekarang: Kita boleh tengok orang munafik ini kalau ada masalah mereka meraung-raung, menjerit-jerit tidak keruan.
- Pelajaran untuk kita: jika ada sesuatu yang tidak kena dalam hidup, jangan meraung-raung, jangan menjerit-jerit, letak di facebook, atau komen sana sini tak tentu hala tetapi kita hendaklah mengadu kepada Allah SWT kemudian baru mengadu kepada manusia. Itupun kita kena pilih orang bukan mengadu di facebook atau sosial media. Perkara itu akan menampakkan kelemahan hati kita yang ada penyakit yang ingin kita elakkan.
Ayat [9:58]
وَمِنْهُم مَّن يَلْمِزُكَ فِى ٱلصَّدَقَٰتِ فَإِنْ أُعْطُوا۟ مِنْهَا رَضُوا۟ وَإِن لَّمْ يُعْطَوْا۟ مِنْهَآ إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ
“Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah juga memberitahu lagi bahawa orang munafik itu suka mencela mengenai pembahagian sedekah/zakat. Jika mereka mendapat sesuatu, mereka gembira. Kalau tak dapat mereka tunjuk perasaan habis-habisan.
- Kita boleh hendak menuntut hak tetapi perjuangan Islam bukan menuntut hak kita. Kita menuntut hak untuk orang lain. Nabi SAW menuntut hak untuk orang lain ditunaikan tetapi tidak menuntut hak sendiri. Nabi SAW sebenarnya kaya daripada harta perniagaan bersama isterinya saidatina Khadijah. Namun, Nabi SAW memberikan hartanya kepada orang lain yang memerlukan sehingga di akhir kehidupannya amat ringkas kerana Nabi SAW memperjuangkan hak orang lain.
- Itulah tanda orang-orang beriman yang kita sama-sama kena lakukan. Kalau kita tak ada harta untuk diberi, kita boleh tanyakan orang lain yang berada untuk membantu.
- Janganlah kita jadi يَسْخَطُونَ (marah/tak puas hati) apabila tidak mendapat bahagian daripada pembahagian sedekah, tetapi jadilah orang yang bersedekah.
Ayat [9:59]
وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا۟ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَقَالُوا۟ حَسْبُنَا ٱللَّهُ سَيُؤْتِينَا ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَرَسُولُهُۥٓ إِنَّآ إِلَى ٱللَّهِ رَٰغِبُونَ
“Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah"”
Mesej Dan Tindakan
- Orang munafik tak puas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan Rasul kepada mereka. Mereka sanggup mengutuk Nabi SAW. Dalam Islam, kita boleh mengingatkan. Tetapi mempersoalkan untuk mengutuk (lumazah) tidak boleh. Adab bertanya itu penting. Jangan dibanding jangan dihina. Kalau tak betul cakap elok-elok, jangan sampai mengutuk orang lain.
- Cukuplah Allah. Allah akan berikan kurniaan demi kurniaan. Yang dicari ialah Allah, bukan harta, bukan anak. Tanda orang yang mencari Allah ialah mereka bersyukur dan akan laburkan lagi harta dan anak mereka untuk dimanfaatkan kepada perjuangan Islam. Mereka akan membayar zakat.
Ayat [9:60]
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْعَٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّهِ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Mesej Dan Tindakan
- Orang-orang yang betul-betul mencari Allah dalam kehidupan, mereka akan menunaikan sedekah yang wajib iaitu zakat.
- Allah SWT memperjuangkan 8 golongan asnaf untuk diberi zakat iaitu:
- Fakir : orang yang tidak mempunyai harta
- Miskin : orang yang tidak mempunyai harta yang cukup
- Amil : orang-orang yang mengumpulkan daripada orang yang membayar zakat dan membuat pengagihan kepada asnaf
- Mualaf : yang belum masuk Islam atau mereka yang baru masuk Islam
- Hamba : penghambaan dalam berbagai bentuk seperti anak kecil yang ditindas
- Mereka yang berhutang dan tidak mampu membayar tetapi bukan atas jalan maksiat
- Fi sabilillah : apa-apa sahaja kerja yang menaikkan nama Allah, Islam dan sunnah nabi. Kalau ada individu yang mengutip zakat untuk institusi, buatlah laporan secara tersusun supaya orang ramai tidak berburuk sangka
- Musafir yang terputus bekalan
- Sesiapa yang ada masalah pergilah kepada pihak yang diamanahkan untuk menguruskan zakat kepada asnaf. Jangan diminta-minta di media sosial kerana boleh disalah tafsir sebagai scammer.
- Allah Maha Mengetahui bahawa semua lapan asnaf ini sukar, buntu dalam keadaan mereka. Allah Maha Bijaksana apabila Allah memberikan undang-undang ini kerana kalau tak ada undang-undang zakat ini orang kaya tetap kaya, dia tak akan cari orang miskin. Orang miskin pula kena meminta-minta. Tetapi bila Allah letak lapan perkara ini, kita sendiri kena ingat samada sudah bayar zakat atau belum.
- Dengan menunaikan zakat, itulah tandanya orang itu betul-betul menuju kepada Allah SWT. Semua harta yang kita dapat ini Allah juga yang bagi. Allah akan ganti lebih banyak lagi selepas itu.
Ayat [9:61]
وَمِنْهُمُ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلنَّبِىَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Mesej Dan Tindakan
- Sifat lain orang munafik ialah mereka menghina orang yang berbuat baik dan mereka menghina Nabi SAW. Mereka mengatakan Nabi SAW mendengar apa sahaja dan mereka jadikan itu bahan ejekan. Sebenarnya Nabi SAW hanya mendengar daripada orang-orang yang beriman dan baginda bersifat rahmah kepada orang-orang beriman. Orang yang menyakitkan rasul akan mendapat azab yang sengsara.
- Janganlah kita jadi orang suka mengejek bila orang itu nampak lurus. Jangan hina orang yang sudi mendengar.
RESOLUSI MQT274
Ingat !!
- Manfaatkan harta dan anak untuk perjuangan, bukan untuk bersenang dan bermegah (55)
- Elakkan menjadi golongan suka subsidi (58)
- Berkata baik dan tidak memandangkan rendah kepada orang yang empati dan memberi perhatian (61)
Lega kerana Allah ingatkan supaya manfaatkan harta dan anak untuk perjuangan bukan untuk bersenang dan bermegah.
Saya jelas untuk manfaatkan harta dan anak untuk perjuangan, bukan untuk bersenang dan bermegah. Saya jelas saya mesti elakkan menjadi golongan suka subsidi. Saya jelas untuk berkata baik dan tidak memandangkan rendah kepada orang yang empati dan memberi perhatian.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bimbing kami untuk manfaatkan harta dan anak untuk perjuangan, bukan untuk bersenang dan bermegah. Ya Allah, jauhi kami daripada menjadi orang yang suka subsidi. Ya Allah, pimpin kami untuk berkata baik dan tidak memandangkan rendah kepada orang yang empati dan memberi perhatian.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.