Sunday, July 2, 2023

Halaman 194 : At-Tawbah, 9:41-47

Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”

PERKATAAN HARI INI

نَفَرَ Berangkat, bersedia berjuang.

18 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Pergi berjihad fi sabilillah (41)
  2. Ketidakturutan orang munafik dari perang Tabuk dan masalah pemberian izin kepada mereka (42-45)
  3. Dalil tidak ikutnya orang munafik dalam perang tanpa uzur dan mereka ikut perang (46-47)


Mukaddimah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat terus membaca, memahami dan mengamalkan intisari daripada halaman 194. Kita memohon Allah SWT mencucuri rahmat kepada kita, keluarga kita kerana kita bersama al-Quran dan semoga kita terus diberi inayah oleh Allah SWT. Kita doakan kepada seluruh dunia untuk diberikan kesejahteraan. Kita harapkan dengan ujian COVID19 ini kita makin dekat dengan Allah SWT.   

Dari ayat 38 surah at-Tawbah ini, bermulalah seruan untuk berjuang, bukan hanya di Mekah tetapi ke luar Mekah. Itu sebabnya ada seruan ke Tabuk, satu tempat yang jauh, 600km dari Mekah.  

Pada halaman lepas kita sudah lihat bahawa Allah SWT memenangkan Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar ketika mereka berada di Gua Thur. Allah SWT telah menyusun tenteranya sehingga kaum Musyrikin tidak berjaya mencari Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar.  


Ayat [9:41]

ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Walaupun Allah boleh membantu, Allah memberi semangat kepada sesiapa yang hendak membantu menjadi sebahagian daripada perjuangan.
  2.  
  3. Allah SWT menyuruh orang beriman berangkat berperang dalam keadaan ringan atau berat. Dalam tafsir Qurtubi banyak tafsiran tentang ringan dan berat ini. Ringan itu mungkin seseorang dalam keadaan miskin/kaya, muda/tua, belum ada keluarga/berkeluarga, tidak ada banyak harta/miskin, berani/pengecut.
  4.  
  5. Hendaklah kita terus berjuang untuk menaikkan agama Allah walaupun dalam keadaan berat atau ringan. Kalau urusan itu untuk manfaat umum maka hendaklah kita bersedia melakukannya.
  6.  
  7. Dalam konteks perang Tabuk, masa itu musim panas. Air tak berapa ada. Buah tamar sedang masak. Semua orang lelaki dipanggil pergi berperang, jadi ada yang bimbang siapa nak mengutip buah kurma yang menjadi sumber rezeki mereka setahun sekali? Inilah sumber pendapatan mereka.
  8.  
  9. Akhirnya kita jadi saksi bahawa perjuangan sahabat dan para nabi menyebabkan kita dapat al-Quran tanpa perlu pakai pedang. Apa yang kita buat baik sekarang kita tak nampak kesannya tetapi ia memberi kesan jangka masa panjang.

Ayat [9:42]

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ ٱلشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَٰذِبُونَ

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”

Mesej Dan Tindakan

  1. Perjuangan ke arah kebaikan berbeza daripada buat bisnes. Kita mesti terlibat dalam apa sahaja usaha membuat kebaikan. Perjalanan dakwah adalah jauh dan ada kepayahan. Kita tidak pasti hasilnya dalam masa terdekat. Nabi Nuh berdakwah 950 tahun, lebih kurang 70 orang sahaja yang beriman. Dalam dakwah tak boleh ada mindset seperti bisnes. Berdakwah ini ada cabaran, memakan masa dan memerlukan pengorbanan.
  2.  
  3. Orang munafik tidak mahu ikut berperang. Mereka bersumpah dusta. Kita tidak boleh memberi alasan sekiranya ada seruan untuk berperang. Jangan jadi seperti orang munafik yang memberi berbagai alasan untuk tidak pergi berperang. Mereka menipu sahaja.
  4.  
  5. Surah ini memberi panduan tentang disiplin dalam organisasi iaitu disiplin minta izin. Perkara tentang disiplin disebut dalam surah an-Nur dan surah ini. Dalam surah an-Nur Allah memberi izin untuk tangguh. Tapi bila bercakap tentang perang, ini ada kaitan dengan perkara kritikal/darurat/nyawa maka surah at-Tawbah menjadi panduan.

Ayat [9:43]

عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَتَعْلَمَ ٱلْكَٰذِبِينَ

“Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta?”

Mesej Dan Tindakan

  1. Sebelum ayat ini diturunkan, Nabi SAW memberi izin kepada sahabat yang tidak dapat pergi berperang. Sama ada orang itu tipu atau tidak, Nabi SAW benarkan sahaja. Allah sudah maafkan Nabi SAW tentang perkara yang telah lalu.
  2.  
  3. Dalam konteks ini, Allah SWT memberitahu Nabi SAW supaya bertegas. Dalam keadaan kritikal, Nabi kena tegas memberitahu keperluan mereka pergi sama berjuang. Nabi kena scrutinize untuk memastikan alasan yang sebenar jika mereka tidak mahu pergi berperang.

Ayat [9:44]

لَا يَسْتَـْٔذِنُكَ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ أَن يُجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلْمُتَّقِينَ

“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Orang beriman tidak akan memberi alasan dalam keadaan darurat. Kita boleh ambil semangat ini.
  2.  
  3. Allah mengetahui orang yang benar-benar bertaqwa. Tak perlu lah kita berikan alasan sekiranya diseru utuk berjihad. Contoh: Nak kata ada keluarga, semua orang pun ada keluarga, nak kata sebab harta, Saidina Uthman lagi banyak harta yang nak diuruskan. Nak kata tua, baginda SAW pun sudah berusia 60 tahun ketika itu. Dalam tafsir Hamka ada menceritakan tentang Abu Haisamah yang ada 2 isteri berada di rumah dan tidak ikut pergi berperang. Satu hari, isterinya memberi dia air. Bila nak minum, dia tiba-tiba teringat Nabi SAW, apakah baginda SAW minum ke tidak lalu dia terus pergi menuju ke Tabuk untuk menyertai baginda SAW.
  4.  
  5. Berat atau ringan, bila bercakap tentang perjuangan, jangan main-main kerana peluang hanya sekali. Dalam hidup ini kita kena sama-sama bina semangat at-Tawbah. Jika rasa lemah bila nak berjuang, teruskan juga. Allah akan memberi ganjaran yang besar.

Ayat [9:45]

إِنَّمَا يَسْتَـْٔذِنُكَ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَٱرْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِى رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ

“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah SWT menerangkan sifat orang munafik yang minta izin untuk tidak pergi berjuang. Mereka memang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.
  2.  
  3. Allah membongkar kepada apa yang ada dalam hati orang munafik. Kita juga kena berjaga-jaga jangan sampai Allah bongkar. Jangan bagi alasan untuk tangguhkan tanggungjawab apabila terlibat dalam projek kritikal.

Ayat [9:46]

وَلَوْ أَرَادُوا۟ ٱلْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا۟ لَهُۥ عُدَّةً وَلَٰكِن كَرِهَ ٱللَّهُ ٱنۢبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ ٱقْعُدُوا۟ مَعَ ٱلْقَٰعِدِينَ

“Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): "Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal".”

Mesej Dan Tindakan

  1. Allah membongkar perangai dan hati berbolak balik orang munafik. Jika mereka benar-benar hendak pergi berjuang, mereka mestilah buat persediaan. Kerana di dalam hati mereka ragu-ragu, Allah sangat benci. Mereka itu merasa berat/malas ( فَثَبَّطَهُمْ ) untuk berjuang. Itu tandanya ada masalah keraguan di dalam hati
  2.  
  3. Allah menghina mereka "duduk sahajalah di rumah dengan keluarga" kerana mereka memberi berbagai alasan untuk pergi berperang di Tabuk.

Ayat [9:47]

لَوْ خَرَجُوا۟ فِيكُم مَّا زَادُوكُمْ إِلَّا خَبَالًا وَلَأَوْضَعُوا۟ خِلَٰلَكُمْ يَبْغُونَكُمُ ٱلْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّٰعُونَ لَهُمْ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلظَّٰلِمِينَ

“Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.”

Mesej Dan Tindakan

  1. خَبَالًا bermakna satu unit yang tidak berfungsi. Ia akan memberi kesan kepada semua. Contoh: Dalam satu organisasi kalau ada satu unit/individu/jabatan tak berfungsi, akan memberi kesan kepada seluruh organisasi.
  2.  
  3. Allah memberitahu, kalau orang Munafik itu keluar bersama Nabi SAW, mereka adalah sebagai خَبَالًا kerana mereka itu tidak berfungsi dengan baik. Mereka itu hendak segera ke hadapan di antara orang beriman untuk menghasut dan memfitnah yang boleh melemahkan semangat tentera Islam.
  4.  
  5. Allah tahu orang yang zalim, iaitu mereka yang menghasut dan juga mereka yang mendengar hasutan. Seperti juga dalam organisasi, ada orang yang suka menghasut untuk melemahkan orang lain. Janganlah memberi peluang kepada orang yang ada sifat munafik untuk melemahkan semangat perjuangan kita.


RESOLUSI MQT270 

Ingat !!

  1. Berjuang dengan harta dan diri untuk jalan Allah SWT (41)
  2. Sentiasa menyedari bahawa jalan perjuangan adalah jauh dan penuh dengan duri (42)
  3. Elakkan dari suka memberi alasan untuk berjuang bersungguh-sungguh (44)

Lega kerana Allah beri semangat untuk terus berjuang di jalan Islam.

Saya jelas untuk berjuang dengan harta dan diri untuk jalan Allah SWT. Saya jelas saya mesti sentiasa menyedari bahawa jalan perjuangan adalah jauh dan penuh dengan duri. Saya jelas untuk tidak suka memberi alasan untuk berjuang bersungguh-sungguh. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, bimbing kami berjuang dengan harta dan diri untuk jalan Mu. Ya Allah, tetapkan hati kami dalam agama Mu walaupun jalan perjuangan ini jauh dan penuh duri. Ya Allah, jauhi kami dari sifat munafik yang suka memberi alasan untuk berjuang bersungguh-sungguh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...